Khamis, 21 Januari 2021
DUNIA
14/01/2021 10:57 PM

BANGKOK, 14 Jan -- Thailand meminta lebih banyak hasil data ujian klinikal vaksin COVID-19 daripada syarikat farmaseutikal China, Sinovac Biotech Ltd, sebelum mendapatkan bekalan kumpulan pertama vaksin tersebut bulan depan.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata pertimbangan utama negaranya terhadap vaksin COVID-19 adalah keselamatan dan keberkesanannya.

Pada masa ini, katanya, Pentadbiran Makanan daqn Perubatan (FDA) Thailand telah menerima permohonan pendaftaran vaksin daripada AstraZeneca dan Sinovac.

“FDA Thailand sudah membuat permintaan kepada Sinovac untuk memberikan lebih banyak maklumat terperinci mengenai ujian klinikal,” katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.

Keberkesanan vaksin Sinovac telah mencetuskan kebimbangan berikutan data daripada hasil ujian di Brazil menunjukkan bahawa ia hanya 50.4 peratus berkesan untuk mencegah jangkitan simptomatik.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Jabatan sains Perubatan Supakit Sirilak berkata Thailand berada di landasan tepat untuk menerima vaksin Sinovac dari China itu mulai bulan depan walaupun ujian klinikal  menunjukkan tahap keberkesanan yang lebih rendah.

Thailand memperoleh dua juta dos vaksin COVID-19 yang dibangunkan oleh Sinovac dengan penghantaran pertama sebanyak 200,000 dos dijangka diterima menjelang hujung bulan depan, 800,000 dos pada hujung bulan Mac serta sejuta dos lagi menjelang akhir April ini.

Di bawah Pelan Vaksinasi Kebangsaan, Thaweesilp berkata kumpulan pertama bekalan vaksin sebanyak 200,000 dos itu akan diberikan kepada kumpulan berisiko tinggi di kawasan penularan yang tinggi termasuk petugas perubatan, pesakit mengalami masalah kesihatan lain serta warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Selain bekalan daripada Sinovac, Thailand turut menempah 61 juta dos vaksin daripada firma farmaseutikal multinasional Britain-Sweden, Oxford-AstraZeneca.

Syarikat biofarmaseutikal Thailand, Siam Bioscience, akan menghasilkan vaksin Covid-19 dengan menggunakan formula dan teknologi yang dibangunkan oleh AstraZeneca Plc, dengan bekalan pertama dijangka siap sebelum Mei ini.

-- BERNAMA 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan