Khamis, 24 September 2020
DUNIA
16/09/2020 05:36 PM

Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA, 16 Sept  -- Dalam semangat sambutan Hari Malaysia, Tourism Malaysia-Singapura menggerakkan inisiatif  "Food Donation Drive" bagi membantu rakyat Malaysia yang terkesan oleh pandemik COVID-19 terutama yang terlibat dalam sektor pelancongan di sini.

Bercakap kepada Bernama, Pengarah Tourism Malaysia-Singapura Edzuar Zar Ayob Azari berkata buat masa ini inisiatif itu memfokuskan kepada rakyat Malaysia yang sebelum ini bekerja di agensi pelancongan di republik ini.

Edzuar berkata keadaan semasa industri pelancongan di sini yang terjejas oleh wabak itu  menyaksikan agensi pelancongan mengurangkan jumlah kakitangan mereka yang turut melibatkan rakyat Malaysia.

“Inisiatif ini sedikit-sebanyak dapat meringankan beban harian kira-kira 30 rakyat kita yang sebelum ini bekerja di agensi pelancongan terbabit,” katanya.

Menurut Edzuar, Tourism Malaysia-Singapura turut mendapat sokongan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam menghubungkan badan korporat di Singapura bagi menjayakan inisiatif itu.

“Sokongan amat menggalakkan. Bukan sahaja badan korporat tetapi terdapat kira-kira 15 individu dalam kalangan rakyat Singapura turut menyumbang kepada inisiatif ini,” katanya.

Edzuar berkata 40 ahli Otai's Bikers Brotherhood turut memainkan peranan dengan membantu urusan agihan sumbangan tersebut kepada isi rumah yang terkesan.

Menurutnya inisiatif itu akan diteruskan pada penghujung tahun ini bagi membantu rakyat Malaysia dalam sektor perhotelan.

Menerusi inisiatif itu, mereka yang berkenaan menerima bantuan barangan seperti baucar pasar raya, makanan dalam tin, beras, minyak, mi segera dan barangan kering.

Pengumpulan sumbangan diadakan selama dua hari pada 5 dan 6 Sept lepas di pejabat Tourism Malaysia-Singapura di  Robinson Road dan diagihkan kepada penerima pada 13 Sept lalu bersempena sambutan Hari Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan