Selasa, 07 April 2020
DUNIA
26/03/2020 05:55 PM

Oleh By Shakir Husain

NEW DELHI, 26 Mac -- Rajib yang bekerja di Bihar, timur India, hilang mata pencarian dan langsung tidak mempunyai duit untuk meneruskan kehidupan.

Pagi 25 Mac, hari pertama perintah lockdown dikuatkuasakan untuk tempoh tiga minggu, akibat wabak COVID-19, dia cuba meminjam duit daripada kawan-kawan. 

"Sejak beberapa hari lalu saya tidak mempunyai kerja. Cuba pinjam duit kawan-kawan. Seorang kawan beri saya sebungkus beras, macam mana saya nak hidup tanpa pendapatan," kata Rajib kepada Bernama.

Kebiasaannya Rajib boleh mendapat pendapatan kira-kira 600 rupee (kira-kira US$8) sehari dengan membawa beca elektrik. Setiap bulan beliau memperoleh 15,000 rupee selepas ditolak sewa beca sebanyak 3,000 rupee.

Dengan hasil pendapatan tidak seberapa itu, digunakan untuk membayar sewa bilik, perbelanjaan harian dan dikirim ke kampung.

"Saya bersedia untuk buat kerja lain, malangnya semua pekerjaan tidak dapat dilakukan, nak balik kampung tak dapat kerana perkhidmatan bas dihentikan," kata Rajib.

Media melaporkan terdapat pekerja migran berjalan kaki pulang ke kampung halaman masing-masing. 

Radheshyam Patel, berjalan kaki sejauh 150 kilometer dari bandar Ahmedabad di Gujarat ke kampung halamannya di Rajasthan bersama 50 pekerja migran yang lain.

Beliau dan rakan lain memutuskan untuk pulang ke kampung selepas Perdana Menteri Narendra Modi mengumumkan India akan diletakkan di bawah perintah lockdown bermula Selasa malam.

"Kebanyakan kami bekerja di kedai minuman dan makanan di Ahmedabad. Majikan suruh kami balik kampung kerana kami tidak akan dibayar gaji," katanya. 

Jutaan penduduk di India tertumpu di pusat bandar raya seperti New Delhi dan Mumbai untuk mencari rezeki, pastinya perintah kawalan itu menyukarkan kehidupan kerana tidak mempunyai pendapatan. 

Modi berkata langkah lockdown terpaksa dikuatkuasakan di setiap bandar, kejiranan dan kampung demi melindungi rakyat dan negara. 

Namun, bagi penduduk India yang hidup dalam kemiskinan pastinya keadaan ini akan menambah lagi kesengsaraan.

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Lain-lain

Laman Korporat
Hubungi Kami
Sebutharga / Tender

Ikut Kami

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan