DUNIA
Tarikh Kemaskini :
14/02/2020 05:11 PM

WASHINGTON, 14 Feb -- Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat mengalihkan sebanyak US$3.83 bilion daripada pelbagai akaun Pentagon untuk membiayai pembinaan tembok sepanjang sempadan di selatan negara itu, lapor agensi berita Anadolu.

Satu notis sudah dihantar kepada Kongres dengan menyatakan pembiayaan itu diperlukan bagi memerangi aktiviti dadah dengan melaksanakan tindakan sokongan kepada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS), menurut laman web The Hill.

Notis itu menyatakan DHS mengenal pasti beberapa kawasan yang digunakan kumpulan penjahat dan penjenayah sebagai koridor penyeludupan.

Penting untuk membina tembok dan jalan tambahan bagi menyekat penyeludupan, menurut notis itu.

Langkah terbaru itu adalah kali kedua berturut-turut membabitkan dana pertahanan digunakan untuk membina tembok berkenaan.

Pada tahun lalu, Pentadbiran Trump menggunakan US$6.5 bilion daripada dananya untuk membina tembok berkenaan.

Tindakan berkenaan mencetuskan kritikan ahli kongres daripada Parti Demokrat dan Republikan.

Menerusi satu kenyataan, Senator Demokrat, Patrick Leahy mendakwa Trump mencuri daripada kantung 'pengawal kebangsaan untuk membiayai tembok membazirnya'.

"Dan dengan menyamun dana Operasi Kontigensi Luar Negara - dana yang diperuntukkan untuk perang di luar negara - penyalahgunaan kuasa beliau sudah sampai ke tahap amat kabur," tulisnya.

Ketua Republikan dalam Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Kongres, Mac Thornberry, berkata Kongres mempunyai tanggungjawab menentukan bagaimana sesuatu dana dibelanjakan.

"Apabila keputusan sudah dibuat, Jabatan Pertahanan tidak boleh mengubahnya untuk digunakan bagi kepentingan mereka tanpa kelulusan Kongres," katanya menerusi satu kenyataan. 

Thornberry menggesa Kongres mengambil tindakan dan berikrar akan bekerjasama dengan rakannya bagi menentukan apakah langkah seterusnya yang bakal diambil. 

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Lain-lain

Hubungi Kami

Ikut Kami

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan