Dulu Awasi Perairan Negara, Kini Komandan Birri "Jaga" Keterjaminan Makanan

S
elama 15 tahun, beliau menjaga keselamatan rakyat dengan mengawasi perairan negara, namun sejak dua tahun lalu bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ini memastikan keterjaminan masyarakat dengan cara berbeza, iaitu makanan.

Meninggalkan dunia ketenteraan pada 2024, Mohamed Adib Abdul Razak, 35, beralih ke bidang penternakan biri-biri sekalipun tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam sektor itu.

Berkongsi perubahan 180 darjah dalam kerjayanya dengan Bernama, usahawan ini mengakui beliau tidak pernah terfikir akan menceburkan diri dalam bidang penternakan, namun pengalaman semasa berkhidmat sebagai tentera membuka matanya akan kepentingan keterjaminan makanan buat rakyat dan negara.  

“Semasa dalam tentera, saya melihat satu perkara penting, iaitu sesebuah negara mungkin mempunyai sistem pertahanan yang kuat, tetapi tanpa jaminan bekalan makanan yang stabil negara itu berisiko menjadi lemah. Dari situ saya mula melihat sekuriti makanan bukan sekadar isu pertanian, tetapi isu strategik negara,” ujarnya.

 

MEDAN KETENTERAAN

 

Bercerita lanjut, Mohamed Adib yang mesra dipanggil Komandan Birri itu, berkata beliau membangunkan jenama Argrow Farm dan Berek Birri pada 2024 di bawah syarikat Afdal Rezeki Sdn Bhd.

“Saya terpaksa meninggalkan dunia ketenteraan atas faktor kesihatan sekalipun minat saya masih menebal. Pun begitu saya akur dan bermulalah perjalanan hidup saya sebagai penternak kambing biri-biri,” ujar bapa kepada dua cahaya mata ini.

Mohamed Adib Abdul Razak,

Anak jati Batu Pahat, Johor ini memulakan ladang biri-birinya di Johol, Negeri Sembilan dengan hanya lima ekor biri-biri baka Dorper, khususnya Black Head Dorper yang terkenal dengan kadar tumbesaran cepat, kualiti daging dan nilai komersial yang baik.

 “Semasa dalam tentera, saya bertugas di pelbagai bahagian. Lima tahun pertama dalam TLDM saya berkhidmat di atas kapal dan terlibat secara langsung dalam operasi ketenteraam yang membina ketahanan mental dan budaya kerja berpasukan.

“Kemudian saya ditempatkan di Cawangan Udara TLDM dan bertugas menerbangkan pesawat sebelum ke bahagian pengurusan yang melibatkan pelbagai urusan strategik. Kesemua pengalaman ini membantu saya dalam menjadi usahawan ternak sekalipun saya tidak ada pengalaman dalam bidang itu,” jelasnya yang menamatkan perkhidmatan dengan pangkat leftenan.

Mohamed Adib yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Afdal Rezeki, kemudian mengaplikasikan pengalaman ketenteraannya itu dalam dunia penternakan selain meningkatkan pengetahuan menerusi pembelajaran kendiri dan juga pemerhatian di lapangan.

Dalam tempoh dua tahun, ladang beliau kini memiliki keseluruhan 134 ekor biri-biri yang diternak secara moden selain membuka cawangan Berek Birri di Batu Pahat, Johor dengan keluasan 0.4 hektar, sebagai sokongan kepada ladang di Negeri Sembilan yang  seluas 2.4 hektar.

 

PELBAGAIKAN RANGKAIAN

 

Bermula suku ketiga 2025, beliau mengembangkan perniagaan dengan membangunkan produk hiliran berasaskan daging kambing.

"Apabila operasi semakin berkembang saya mula melihat bahawa industri penternakan tidak boleh bergantung pada jualan ternakan semata-mata. Argrow turut berkembang kepada sektor hiliran menerusi Argrow Food Industries yang memberi fokus kepada pembangunan produk makanan halal dan Ready-To-Eat (RTE). 

Antara produk hiliran berasaskan daging kambing keluaran Argrow Food Industries

"Bagi saya nilai sebenar industri ini adalah apabila kita mampu membina keseluruhan rantaian daripada ladang hingga produk makanan yang mempunyai nilai tambah dan pasaran lebih luas," katanya yang menjadikan slogan Makanan Kita, Tanggungjawab Kita sebagai pegangan.

Menerusi Argrow Food Industries, usahawan muda ini mengeluarkan RTE seperti Birri™yani Birri, Nasi Goreng Birri™ dan Birri™yani Lambshank. Selain itu, mereka juga menghasilkan produk minuman Birri™Kool dan baja organik Baja Birri™.

Menurut beliau, sambutan terhadap produk hilirannya amat menggalakkan dengan jumlah permintaan melebihi pengeluaran, selain turut menyokong nilai jualan syarikat yang kini merekodkan hingga RM750,000 setahun.

 

CABARAN 

 

Mengulas cabaran dihadapi, Mohamed Adib mengakui beliau berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri di peringkat awal kerana, berbanding ketenteraan yang tersusun dan berdisiplin, bidang keusahawanan pula penuh dengan ketidakpastian.

“Apabila masuk ke dunia penternakan dan perniagaan, saya perlu bermula dari bawah dan belajar sendiri tentang industri, memahami operasi ladang, pengurusan kewangan, pasaran dan cabaran sebenar di lapangan," katanya.

Mohamed Adib kini memiliki keseluruhan 134 ekor biri-biri yang diternak secara moden

Selain itu, dunia penternakan juga memerlukan modal yang agak besar kerana kos operasi tinggi selain berdepan risiko penyakit dan juga ketidaktentuan pasaran.  

"Di awal pembabitan, saya bukan sahaja perlu membina keyakinan pelanggan tetapi harus membuktikan sektor agro boleh diurus secara profesional dan moden.

"Bagi saya cabaran dalam industri ini memang tidak boleh dielakkan tetapi dapat diurus dengan ilmu, sistem dan kemampuan untuk sentiasa menyesuaikan diri. Pengalaman dalam tentera mengajar saya setiap operasi pasti ada risiko. Namun yang penting ialah tahap kesiapsiagaan, perancangan dan kemampuan untuk terus bergerak ke depan walaupun dalam keadaan mencabar," tegasnya.

 

PROSPEK 

 

Bercadang menubuhkan hab Berek Birri dan Berek Lembu di pelbagai negeri dalam tempoh lima tahun, Mohamed Adib berkata beliau juga berhasrat menjadikan ladangnya sebagai destinasi agropendidikan dan agropelancongan.

Katanya langkah itu diharap dapat meningkatkan kesedaran umum akan kepentingan sekuriti makanan dan cabaran yang bakal dihadapi negara sekiranya aspek tersebut diambil mudah.

"Jika sesebuah negara terlalu bergantung pada import makanan, negara itu akan menjadi sangat terdedah apabila berlaku krisis di luar kawalan kita. Malaysia masih mempunyai ruang yang besar untuk memperkukuh tahap sara diri, khususnya dalam sektor protein dan ruminan. 

"Saya melihat pembangunan industri penternakan, pertanian dan makanan perlu menjadi agenda strategik negara yang melibatkan kerjasama kerajaan, industri dan masyarakat. Kita tidak boleh lagi melihat sektor agro sebagai industri kelas kedua,  sebaliknya ia satu sektor penting untuk masa depan ekonomi dan keselamatan negara," tegasnya.

Berpandangan kesedaran tentang sekuriti makanan perlu ada di setiap peringkat masyarakat, beliau berkata usaha melahirkan lebih ramai usahawan agro perlu diperhebat, khususnya dengan menarik golongan muda.

Usaha melahirkan lebih ramai usahawan agro perlu diperhebat, khususnya dengan menarik golongan muda

Selain itu, beliau juga melihat kepentingan memperkukuh teknologi agar bidang pertanian tidak lagi dilihat sebagai satu bidang yang kotor sehingga gagal menarik anak muda menyertai bidang tersebut.

"Memperkukuh sekuriti makanan bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata tetapi memerlukan kerjasama semua pihak termasuk industri, institusi pendidikan dan masyarakat. Kita perlu mula membina budaya menghargai pengeluar makanan tempatan serta melihat sektor agro sebagai satu bentuk pertahanan negara yang penting untuk kelangsungan ekonomi dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Mengakhiri bicara, Mohamed Adib menitipkan pesanan buat anak muda agar tidak melihat bidang penternakan dan agro hanya dari sudut luaran atau persepsi bahawa bidang itu  kotor, susah dan tidak  glamor. 

"Hakikatnya industri makanan adalah antara sektor paling penting untuk kelangsungan sesebuah negara. Tidak kira sejauh mana teknologi berkembang, manusia tetap memerlukan makanan setiap hari. Oleh sebab itu orang yang terlibat dalam sektor ini sebenarnya memainkan peranan yang sangat besar untuk masa depan masyarakat dan negara.

"Hari ini industri agro juga sudah banyak berubah. Penternakan moden melibatkan teknologi, data, automasi, pemasaran digital, produk hiliran dan pembangunan ekosistem perniagaan yang luas. Anak muda perlu melihat bahawa bidang ini mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai kerjaya profesional dan juga platform membina perniagaan yang mampan," katanya.

 

:

© 2026 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.