A
hli politik Joshua Woo Sze Zeng kini dalam misi menggalakkan belia terlibat dalam politik di Malaysia.
Berusia 44 tahun, Ahli Dewan Undangan Negeri DAP bagi Pulau Tikus di Pulau Pinang itu percaya, untuk menarik minat golongan muda politik perlu dilihat sebagai satu proses yang membina dan berkesan serta memberi inspirasi dan harapan, bukannya didominasi oleh konflik dan pertelingkahan.
“Belia akan terlibat dalam politik apabila kedua-duanya boleh diakses dan dipercayai. Tugas kami sebagai ahli politik ialah membuka pintu berkenaan kepada mereka.
“Golongan muda mesti diperkasa dengan peluang, pendedahan dan latihan, jadi mereka boleh memahami dan berkembang menjadi kepimpinan politik,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.
Penglibatan awal Woo yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang dalam politik bukanlah sesuatu yang dirancang, tetapi hasil galakan rakan sekolahnya, Steven Sim Chee Keong yang kini berkhidmat sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam.
“Saya tidak mempunyai sebarang latar belakang politik. Tiada seorang pun ahli keluarga atau saudara-mara yang aktif dalam politik,” katanya sambil menambah beliau tidak menyesal dengan keputusan menceburi politik sepenuh masa pada 2015.
KESEDARAN POLITIK PENTING
Woo mengingatkan golongan muda agar jangan memandang enteng politik kerana ia membabitkan masa depan mereka seperti isu pendidikan dan pekerjaan.
"Mereka cenderung melihat isu-isu ini sebagai kebimbangan peribadi kerana tidak segera mengaitkannya dengan politik. Apabila belia menyedarinya bahawa perkara tersebut mempunyai asas-asas politik, sikap acuh tak acuh mereka akan digantikan dengan penglibatan.”

Ahli Dewan Undangan Negeri DAP bagi Pulau Tikus di Pulau Pinang itu percaya, untuk menarik minat golongan muda politik perlu dilihat sebagai satu proses yang membina dan berkesan serta memberi inspirasi dan harapan. Kredit gambar Facebook Joshua Woo Sze Zeng.
Tambahnya kesedaran politik akan memberi kuasa kepada golongan muda untuk mencorakkan masa depan yang mereka inginkan, "tetapi jika mereka masih kekal tidak terlibat (dalam politik), pihak lain akan membuat keputusan untuk mereka."
Namun begitu, beliau mengakui, daripada sikap tidak peduli terhadap politik, ramai golongan belia sebenarnya sedang melalui proses penemuan - berubah daripada memahami kebimbangan peribadi kepada mengenal pasti akar politik mereka, kesimpulan ini dibuat berdasarkan pengalaman politiknya sendiri.
Woo berkata selepas memperoleh diploma dalam bidang pengajian perniagaan pada usia 20 tahun, beliau berhijrah ke Hong Kong dan Singapura untuk bekerja dalam sektor hospitaliti sebelum beralih ke bidang jualan dan pemasaran.
Beliau mula aktif dalam politik sekitar 2007 hingga 2008 ketika masih bekerja di Singapura, apabila direkrut Sim untuk menjadi sukarelawan DAP.
“Sejujurnya, pada masa itu saya sebenarnya tidak tahu banyak tentang DAP. Malah falsafah parti pun tidak tahu,” katanya.
Pada 2015, Sim menawarkan Woo untuk berkhidmat sebagai pegawai khasnya. (Sim dipilih sebagai Ahli Parlimen Bukit Mertajam pada 2013.)
“Ia bukan keputusan yang mudah kerana ketika itu saya masih bekerja di Singapura. Saya bimbang jika menerima tawaran itu, saya akan berasa seperti rusa masuk kampung,” katanya.
Beliau akhirnya menerima tawaran tersebut.
“Jadi pada usia 33 tahun, saya berpindah ke Pulau Pinang dan mula mendalami politik secara serius,” katanya sambil tersenyum.
MENELUSURI PERJALANAN POLITIK
Perjalanan politik Woo bermula apabila dilantik sebagai Ahli Majlis di Majlis Perbandaran Seberang Perai pada 2016. Selepas berkhidmat selama dua tahun, dan susulan Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, Woo yang memiliki Ijazah Sarjana Pembangunan Lestari daripada Universiti Sunway serta Ijazah Sarjana Komunikasi daripada Universiti Sains Malaysia menggalas tugas di bahagian komunikasi ibu pejabat DAP.
Kemampuan dan komitmen Woo teruji semasa pandemik COVID-19, namun beliau dan pasukannya cemerlang menguruskan komunikasi parti, termasuk mengendalikan Facebook Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Woo mengingatkan golongan muda agar jangan memandang enteng politik kerana ia membabitkan masa depan mereka seperti isu pendidikan dan pekerjaan.
Menjelang 2022, Woo mengetuai Jabatan Komunikasi Korporat di Penang Infrastructure Corporation, sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri, selain dipinjamkan sebagai Pegawai Khas kepada ADUN Tanjung Bungah Zairil Khir Johari.
Pada tahun sama, beliau ditanya oleh seorang pemimpin kanan parti sama ada bersedia menjadi calon dalam pilihan raya negeri akan datang.
“Saya secara terus terang menyatakan lebih gemar bekerja di belakang tabir,” katanya.
Pemimpin parti itu membalas adalah wajar melangkah ke depan jika Woo ingin memperjuangkan Malaysia yang lebih baik.
“Apa yang dikatakan pemimpin itu kekal dalam ingatan saya, jadi saya memutuskan untuk terjun ke arena politik pada 2023 apabila diminta bertanding sebagai calon bagi kawasan Pulau Tikus dalam pilihan raya negeri Pulau Pinang.
“Memenangi kerusi itu membuatkan saya berasa cemas kerana menjadi wakil rakyat adalah sesuatu yang benar-benar baharu dan belum pernah saya lalui,” kata Woo yang dilahirkan di Pulau Tikus.
Beliau menetapkan dua matlamat untuk dirinya: pertama, melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan semua “masalah yang boleh diselesaikan” di kawasannya, dan kedua, berusaha sedaya upaya untuk menyediakan sebanyak mungkin peluang kepada belia melalui program latihan industri dan laluan pembangunan kerjaya.
Woo berkata pada April 2022 kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Belia Pulau Pinang (JBPP) di setiap kawasan DUN bagi melibatkan golongan muda dalam perancangan dan penganjuran pelbagai aktiviti komuniti.
“Kami baru sahaja menamatkan program latihan pickleball. Sebelum itu, kami mengadakan wacana harmoni dan latihan pembangunan kepimpinan untuk ahli jawatankuasa. Seterusnya, kami akan menganjurkan bengkel membuat kopi, sesi permainan berpapan dan inisiatif sukarelawan di rumah anak yatim,” katanya.
Woo juga menitipkan nasihat kepada golongan muda yang ingin terlibat dalam politik.
“Masuklah politik untuk berkhidmat, bukan sekadar untuk berjaya. Kekalkan nilai diri tetapi terbuka terhadap kekurangan sendiri. Sentiasa bersedia untuk terus belajar. Ini akan membantu anda menjadi pemimpin yang Malaysia perlukan,” tambahnya.