Perluas BDR Untuk Impak Lebih Besar - Pakar

B
agi Suzana Abdullah, 32,  kelonggaran Bekerja Dari Rumah (BDR) secara bergilir yang dilaksanakan oleh syarikatnya memberikan dia sedikit kelegaan dari segi perbelanjaan harian.

Masakan tidak, tanpa kemudahan tersebut, pegawai tadbir di sebuah syarikat telekomunikasi ini perlu berulang-alik saban hari dari rumahnya di Seremban, Negeri Sembilan ke pejabatnya di Jalan P. Ramlee di sini.

“Jika berulang-alik dari rumah ke pejabat, selalunya perbelanjaan petrol, tol, dan letak kereta akan mencecah hingga RM400 sebulan. Selalunya kesesakan jalan raya yang menyebabkan petrol menjadi cepat habis, selain kenderaan perlu dihantar ke bengkel untuk diselenggara setiap tiga bulan,” katanya kepada Bernama. 

Bagaimanapun, wanita ini berharap kelonggaran BDR sehari dalam seminggu yang diberikan oleh majikannya itu dapat dipertingkatkan memandangkan kuota penggunaan BUDI95 telah diselaraskan sementara kepada 200 liter sebulan berbanding 300 liter sebelum ini, menimbulkan kebimbangan dia kehabisan kuota sebelum tempoh sebulan berakhir.

Kebanyakan pengguna jalan raya berpendapat kesesakan jalan raya menyebabkan petrol menjadi cepat habis

Bagi Elthan Koo, 38, seorang perunding teknologi maklumat di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC)  di Cyberjaya, BDR bermakna penggunaan elektrik yang lebih tinggi di rumahnya.

“Jika dilaksanakan BDR, saya perlu memindahkan kesemua peranti termasuk komputer saya dari pejabat ke rumah untuk membolehkan saya bekerja. Selain itu, pendingin hawa juga perlu dihidupkan sepanjang masa kerana cuaca panas sekarang. 

“Bagaimanapun saya bernasib baik kerana tinggal di rumah bertanah dan telah memasang 12 keping panel solar tahun lepas bagi mengurangkan bil elektrik yang sebelum ini mencecah RM300 sebulan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 2020,” katanya.

Menurutnya, dia juga antara mereka yang mendapat manfaat daripada  Program Peralihan Tenaga Solar Yang Diperkukuhkan (Solar ATAP). 

(Bermula 1 Jan 2026, Solar ATAP menggantikan Skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) dengan penekanan terhadap penggunaan sendiri yang tinggi tanpa kuota tetap, membolehkan pengguna kediaman atau komersial menampung hingga 100 peratus permintaan sendiri.)

 

KEBERKESANAN DARI SEGI PENJIMATAN KOS 

Susulan krisis tenaga global dan sebagai sebahagian usaha kerajaan menjimatkan kos, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 April, berkata kabinet telah bersetuju melaksanakan dasar BDR melibatkan kementerian, agensi, badan berkanun serta GLC bermula 15 April ini.

Beliau berkata pelaksanaan BDR selama tiga hari seminggu bagi penjawat awam  itu bertujuan memastikan penggunaan bahan api lebih cekap, di samping mengurangkan kos operasi kerajaan sebagai langkah proaktif menangani krisis tenaga global.

Bagaimanapun, dasar ini hanya terpakai kepada penjawat awam di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan semua ibu negeri yang tinggal dalam jarak lebih lapan kilometer dari pejabat. Dasar ini juga tidak termasuk kakitangan awam dalam sektor keselamatan dan pertahanan serta kesihatan dan pendidikan.

Sekalipun dasar BDR yang diumumkan itu tidak meliputi sektor swasta, pekerja dalam sektor berkenaan boleh memohon Aturan Kerja Fleksibel (FWA), termasuk BDR di bawah Akta Kerja (Pindaan) 2022.

Akan tetapi, sejauh manakah BDR benar-benar mampu menurunkan kos operasi kerajaan, sambil pada masa yang sama mengurangkan perbelanjaan mereka yang bekerja di rumah?

Pakar ekonomi berpangkalan di Malaysia, Dr Geoffrey William, berkata BDR berpotensi menjimatkan kos bagi pengguna dan kerajaan, khususnya melalui pengurangan penggunaan bahan api serta subsidi.

“Ini merupakan situasi menang-menang dari segi penjimatan kos. Sesetengah syarikat turut menanggung kos petrol pekerja, maka mereka juga akan mendapat manfaat daripada pengurangan perbelanjaan.

“Namun, impak keseluruhan BDR mungkin terhad disebabkan oleh sifat pekerjaan dalam sektor awam. Kebanyakan peranan sektor awam melibatkan perkhidmatan penting seperti kesihatan, pendidikan dan penguatkuasaan yang tidak sesuai dilaksanakan secara jarak jauh,” katanya kepada Bernama.

Prof Dr Geoffrey William

Beliau berkata daripada kira-kira 1.3 juta penjawat awam di Malaysia, hanya sekitar 522,000 orang layak untuk BDR.

“Berdasarkan cadangan tiga hari BDR seminggu, jumlah hari berulang-alik boleh dikurangkan kepada lapan hari sebulan, sekali gus menjimatkan kira-kira 9.4 juta liter petrol RON95 dan RM17.7 juta dari segi subsidi setiap bulan.

“Namun, jumlah ini hanya mewakili 0.7 peratus daripada keseluruhan penggunaan petrol dan 0.4 peratus daripada perbelanjaan subsidi. Justeru, untuk memberi impak lebih bermakna, BDR perlu diperluaskan ke sektor swasta,” katanya.

Beliau berkata sekiranya BDR dilaksanakan secara meluas merentasi sektor awam dan swasta, jumlah trafik pada waktu puncak berpotensi dikurangkan sebanyak 25 peratus yang dapat menjana penjimatan hingga RM1 bilion dari segi kos petrol dan subsidi. 

“Pelaksanaan tiga hari BDR bagi separuh daripada keseluruhan pekerja berpotensi mengurangkan penggunaan petrol sebanyak 25 hingga 30 peratus.

“Ketika ini, dasar tersebut tidak mempunyai sebarang risiko berpotensi kepada ekonomi atau perkhidmatan kerajaan kerana jumlah penjawat awam yang terlibat adalah terhad. Namun, kesannya akan lebih besar jika (BDR) turut melibatkan sektor swasta,” katanya. 

 

JIMAT HINGGA RM169 JUTA SEBULAN 

Menurut badan pemantau alam sekitar Rimba Watch, pelaksanaan BDR bagi separuh tenaga kerja di Lembah Klang mampu menjimatkan subsidi bahan api Malaysia hingga RM169 juta sebulan.

Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia dan sumber penyelidikan lain, Lembah Klang mempunyai kira-kira 4.1 juta penduduk bekerja. Dengan andaian 50 peratus BDR, seramai 2.05 juta pekerja tidak perlu berulang-alik secara purata sejauh 20 km sehala, dengan penggunaan bahan api sekitar 0.11 liter setiap km dalam keadaan trafik sesak.

Pengguna yang bekerja di Lembah Klang menggunakan kira-kira 2.2 liter petrol sehari untuk ke tempat kerja

Berdasarkan parameter ini, seorang pengguna yang bekerja di Lembah Klang menggunakan kira-kira 2.2 liter petrol sehari untuk ke tempat kerja. Jika 50 peratus tenaga kerja BDR, sebanyak 4.51 juta liter petrol dapat dijimatkan sehari atau 90.2 juta liter sebulan.

“Dengan subsidi bahan api semasa sebanyak RM1.87 seliter (berbanding harga semasa di stesen minyak), ini bersamaan penjimatan RM169 juta sebulan. Jika keadaan geopolitik berlarutan atau bertambah buruk pada tahun ini, jumlah boleh meningkat kepada RM2.03 bilion,” kata jabatan itu dalam kenyataan.

 

BERALIH KE TENAGA BERSIH

Peralihan cara bekerja ini mengurangkan perbelanjaan petrol, tol dan kos perjalanan, namun turut menimbulkan kebimbangan baharu, iaitu peningkatan penggunaan elektrik di rumah semasa BDR.

Aspek ini membawa kepada perbincangan penyelesaian jangka panjang seperti penggunaan tenaga solar di samping peningkatan penggunaan pengangkutan awam ketika isi rumah mencari kaedah bagi mengimbangi penjimatan kos dengan penggunaan tenaga lebih mampan.

Pengarah Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Norasikin Ahmad Ludin berkata pemasangan panel solar bumbung mampu mengurangkan kos elektrik isi rumah dengan ketara, khususnya bagi mereka yang bekerja dari rumah.

Beliau berkata bagi rumah bertanah dengan penggunaan elektrik bulanan antara 900 hingga 1,200 kWj, pemasangan sistem solar bumbung berkapasiti lima hingga enam kWp di bawah Solar ATAP boleh mengurangkan bil elektrik sebanyak 70 hingga 85 peratus.

“Secara praktikal, isi rumah yang kini membayar antara RM300 hingga RM400 sebulan boleh melihat bil mereka berkurang kepada sekitar RM50 hingga RM80,” katanya kepada Bernama.

Pengarah Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Norasikin Ahmad Ludin

Dengan tarif asas elektrik bagi tempoh 2025 hingga 2027 ditetapkan pada kadar 45.4 sen setiap kWj, potensi penjimatan adalah besar, terutama jika tarif meningkat akibat tekanan tenaga global.

“Jika tarif elektrik meningkat 10 hingga 20 peratus, penjimatan menjadi lebih ketara kerana setiap kilowatt per jam yang dijana melalui solar mengurangkan kebergantungan pada bekalan grid yang lebih mahal,” katanya, menambah bahawa pengguna tenaga solar secara tidak langsung melindungi diri daripada kenaikan tarif pada masa depan.

Beliau berkata dalam tempoh 10 tahun, jumlah penjimatan boleh melebihi RM30,000 hingga RM40,000 dengan tempoh pulangan modal kini dipendekkan kepada  tiga hingga lima tahun.

“Pelaksanaan BDR turut meningkatkan penjimatan ini kerana penggunaan elektrik pada waktu siang selari dengan penghasilan tenaga solar waktu puncak, sekali gus memaksimumkan penggunaan sendiri dan mengurangkan kebergantungan pada grid,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi Samisen Group Berhad, Dr Tee Wu Shun, berkata bahawa bagi rumah dengan penggunaan tenaga tinggi seperti mempunyai beberapa unit pendingin hawa, peti sejuk besar dan peralatan elektrik yang kerap digunakan semasa BDR, mereka mungkin memerlukan sistem solar lebih besar antara 17 kWp hingga 22.5 kWp.

“Sistem penyimpanan bateri pula meningkatkan kecekapan dengan membolehkan lebihan tenaga solar disimpan untuk digunakan pada waktu malam atau ketika gangguan bekalan, dan ini amat membantu isi rumah dengan penggunaan konsisten pada waktu malam, selain membantu memaksimumkan penggunaan tenaga solar tanpa bergantung pada grid,” katanya.

Ketua Pegawai Strategi Samisen Group Berhad Dr Tee Wu Shun (kanan) dan Pengurus Besar Tan Boon Ming (TBM) Sdn Bhd, Tan Wai Keat (kiri), ketika perasmian 'First Solar Consumer Experience' di TBM Bangsar, baru-baru ini

 

MANFAATKAN PENGANGKUTAN AWAM 

Pengarah dan penyelaras serantau Climate Action Network Southeast Asia (CANSEA), Nithi Nesadurai pula berkata bagi pekerja dalam perkhidmatan penting di Lembah Klang yang tidak boleh BDR, penggunaan pengangkutan awam dapat mengurangkan perbelanjaan harian berbanding memandu sendiri, selain mengurangkan kesesakan dan pencemaran udara.

Beliau berkata peluasan pengangkutan awam, khususnya bas, merupakan penyelesaian lebih cekap kos dan segera berbanding bergantung sepenuhnya pada kenderaan persendirian termasuk kenderaan elektrik atau EV.

Penambahbaikan sistem bas mampu mengurangkan pelepasan karbon sektor pengangkutan Malaysia

“Pengangkutan awam adalah penyelesaian sebenar, bukan sekadar EV, kerana pengangkutan awam bukan hanya melibatkan sistem rel seperti LRT atau MRT, tetapi juga pengukuhan rangkaian bas.

“Penambahbaikan sistem bas mampu mengurangkan pelepasan karbon sektor pengangkutan Malaysia dengan ketara, selain meringankan beban kewangan isi rumah akibat kenaikan harga bahan api.

“Dengan laluan khas, bas boleh bergerak seperti tren. Pengangkutan ini pantas, boleh dipercayai dan lebih mudah diakses kerana hentian bas boleh ditempatkan lebih dekat dengan kawasan perumahan berbanding stesen rel,” katanya, merujuk kejayaan model di bandar seperti Jakarta dan Singapura.

Katanya pelaburan dalam sistem pengangkutan berasaskan bas merupakan penyelesaian praktikal dan kos rendah yang boleh dilaksanakan dengan lebih cepat bagi menangani isu kesesakan dan perubahan iklim.

 

Penulis

Soon Li Wei
13 April 2026
Artikel berkaitan

© 2026 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.