Krisis Tenaga Global Berpotensi Pacu Tenaga Boleh Baharu Malaysia

K
onflik Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang masih berterusan sejak serangan pertama ke atas negara Timur Tengah itu pada 28 Feb lalu mencetuskan krisis tenaga global, dengan Asia Tenggara antara paling terjejas disebabkan oleh gangguan bekalan minyak dan kenaikan harga.

Kesan kebergantungan tinggi negara-negara di rantau ini pada tenaga import mula dirasai apabila Iran menutup Selat Hormuz - laluan sempit strategik yang menyaksikan kira-kira 20 juta tong minyak mentah serta produk petroleum bertapis diangkut ke pasaran Asia setiap hari - memaksa mereka mengambil langkah-langkah kecemasan bagi mengurangkan impak terhadap fiskal negara dan juga sosioekonomi masing-masing.

Filipina misalnya, dilaporkan menjadi negara pertama mengisytiharkan darurat tenaga nasional  sementara negara-negara lain pula mula mengambil langkah-langkah mitigasi bagi menjimatkan penggunaan tenaga masing-masing, antaranya melaksanakan dasar bekerja dari rumah.

Malaysia tidak ketinggalan. Bagi mengurangkan kesan krisis tenaga ke atas negara, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kuota minyak bersubsidi BUDI95 diselaraskan sementara kepada 200 liter sebulan berbanding 300 liter sebelum ini, berkuat kuasa 1 April lalu. Bagaimanapun harga petrol bersubsidi di bawah BUDI95 ini kekal pada RM1.99 seliter.

Di Malaysia, petrol RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter, menjadikannya antara yang termurah di rantau ini walaupun harga minyak mentah dunia meningkat.

Tidak dapat disangkal, Malaysia selaku negara pengeluar minyak turut mendapat manfaat daripada kenaikan harga minyak global, namun dengan pengeluaran harian sekitar 570,000 tong sehari berbanding keperluan domestik 712,000 tong, menjadikan Malaysia pengimport bersih tenaga.

Pada masa sama, Malaysia juga berdepan peningkatan kos domestik dan beban subsidi, terutamanya jika krisis tenaga global ini berterusan untuk jangka panjang. Justeru, penganalisis melihat krisis ini sebagai ruang untuk Malaysia mempercepat peralihan kepada tenaga boleh baharu (TBB) sebagai langkah mitigasi terhadap ketidaktentuan pasaran bahan api fosil.

 

PERCEPAT NETR

Pakar ekonomi Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata krisis di Timur Tengah itu menyerlahkan kerentanan Malaysia disebabkan oleh kebergantungan pada bahan api fosil yang meletakkan kedudukan ekonomi dan strategik negara pada risiko tinggi.

Justeru, beliau mengesyorkan kerajaan mempercepat garis masa di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) daripada 2050 kepada lima hingga 10 tahun lebih awal, termasuk meningkatkan penggunaan TBB  kepada 40 peratus berbanding 35 peratus menjelang 2035,  menerusi pelaksanaan fasa awal yang lebih agresif bermula tahun ini. 

“Dengan mempercepat NETR, kerentanan negara terhadap kejutan minyak global dapat dikurangkan selain memperkukuh daya tahan ekonomi dan meletakkan Malaysia sebagai peneraju tenaga bersih serantau.

“Buat masa ini, usaha ke arah itu belum memadai atau masih di peringkat awal, dan tindakan lanjut diperlukan dari segi kadar pelaksanaan tenaga boleh baharu, pembaharuan grid serta liberalisasi pasaran,” katanya kepada Bernama.

Pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai

NETR ialah pelan strategik kerajaan yang dilancarkan pada 2023 untuk mengalihkan negara daripada kebergantungan pada bahan api fosil kepada ekonomi hijau menjelang 2050, dengan tumpuan pada TBB, kecekapan tenaga, hidrogen, biotenaga dan mobiliti hijau.

Pelan peralihan ini bertujuan meningkatkan kapasiti TBB kepada  70 peratus menjelang 2050, mengurangkan kebergantungan pada minyak dan meninggalkan penggunaan arang batu hampir sepenuhnya dengan gas asli sebagai bahan api peralihan.

Menurut Ember, iaitu badan pemikir tenaga, Malaysia sangat-sangat bergantung pada bahan api fosil untuk penjanaan tenaganya dengan data pada 2023 merekodkan lebih 43 peratus tenaga elektrik disumbang oleh arang batu, 37 peratus gas asli dan cuma 17 peratus daripada hidro. 

“Peralihan ke TBB juga akan melindungi isi rumah dan industri daripada lonjakan harga tenaga pada masa akan datang serta meningkatkan kemampanan,” kata Barjoyai yang turut mengingatkan agar pelaksanaan dibuat secara berfasa dan mengikut sektor bagi menjamin kestabilan ekonomi dan bekalan tenaga.

“Malah, risiko keselamatan tenaga yang semakin meningkat serta pengurangan rizab menguatkan lagi keperluan untuk beralih kepada TBB,” tambahnya.

Pada 28 Feb lalu, perang meletus di Timur Tengah susulan serangan mengejut AS dan Israel ke atas Iran, mengakibatkan harga minyak mentah dunia melonjak. Setakat laporan ini ditulis, harga minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras pasaran global, melepasi paras US$100 kepada US$106 setong. Dalam tempoh sebulan lalu, harga Brent meningkat sebanyak lebih 30 peratus berbanding sebelum konflik AS-Iran bermula.

Mengulas lanjut, Barjoyai berkata bagi mempercepat pelaksanaan NETR, projek TBB seperti ladang solar berskala besar dan solar terapung hidro perlu disegerakan melalui kelulusan yang dipermudah serta insentif pelaburan yang dipertingkat.

“Negara juga perlu membina grid yang lebih pintar dan fleksibel dilengkapi sistem penyimpanan tenaga bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan elektrik,” katanya.

 

KESEDARAN TENAGA SOLAR, HIDRO DAN KENDERAAN ELEKTRIK 

Sementara itu, Naib Presiden ESGpedia Jozsef Acabo berkata daya tarikan TBB seperti tenaga solar dan hidro semakin terbukti di tengah-tengah krisis tenaga global kerana sektor itu berfungsi sebagai penampan terhadap ketidaktentuan harga tenaga global.

Dalam e-mel kepada Bernama, Acabo yang bersetuju agar pelaksanaan NETR dipercepat, bagaimanapun berpendapat Malaysia harus turut menangani cabaran berstruktur dalam penggunaan TBB, terutamanya dari segi kerangka subsidi dan harga.    

“Pelaksanaan NETR mungkin tidak sepantas yang dimahukan, tetapi penurunan kos teknologi dan peningkatan kesedaran korporat menyokong perkembangan proses peralihan tenaga,” katanya.  

Naib Presiden ESGpedia, Jozsef Acabo (Gambar Ihsan ESGpedia)

Sementara itu, Presiden Kelab Pemilik Kenderaan Elektrik Malaysia Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi mengesyorkan kerajaan memastikan laporan tahunan kemajuan pelaksanaan NETR didedahkan kepada umum. 

“Dedahkan perincian perkembangan projek agar orang awam, khususnya pelabur dan pemain industri dapat memberi maklum balas sewajarnya.

“Saya percaya ini akan membantu pelaksanaan yang lebih cekap, dan mungkin ada idea baharu dapat diketengahkan,” katanya.

Presiden Kelab Pemilik Kenderaan Elektrik Malaysia, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi

Dalam pada itu, beliau berkata sejak tercetusnya krisis tenaga global yang mendorong peningkatan harga bahan api serta gangguan bekalan, minat dan permintaan terhadap kenderaan elektrik (EV) kian meningkat.

Akan tetapi katanya, negara ini masih berdepan kekangan dari segi infrastruktur stesen pengecas EV, terutamanya di lebuh raya. 

“Isunya bukan sahaja keperluan menyediakan stesen pengecas yang mencukupi tetapi juga memastikan bekalan tenaga yang cekap agar EV dapat dicas pada kadar maksimum, sekali gus membolehkan lebih banyak EV menggunakan stesen pengecas tersebut, terutamanya pada musim perayaan.

“Langkah segera untuk Malaysia ialah mempercepat pemasangan Pencawang Padat (CSU) di semua kawasan rehat dan rawat lebuh raya supaya pengendali dapat menyediakan lebih banyak stesen pengecas dengan bekalan kuasa yang mencukupi.

“Penyelesaian jangka panjang pula ialah kerajaan menerajui pembangunan hab pengecasan berskala besar, di mana tanah dan infrastruktur dimiliki entiti kerajaan yang kemudiannya menyewakan infrastruktur itu kepada operator pengecas,” katanya.

Infrastruktur stesen pengecas EV perlu ditambahbaik bagi menampung keperluan mengecas EV di atas jalan raya - MyEVOC

 

TETAPKAN SASARAN LEBIH TINGGI UNTUK NETR 

Pengerusi Ahli Parlimen ASEAN untuk Hak Asasi Manusia Charles Santiago berkata Malaysia perlu mempercepat peralihan ke arah tenaga solar serta mengurangkan kebergantungan pada bahan api fosil dengan menetapkan sasaran TBB yang lebih tinggi, sekurang-kurangnya 50 peratus menjelang 2030.

Katanya sasaran semasa sebanyak 35 peratus menjelang 2030 masih tidak mencukupi dan berisiko mendedahkan negara kepada kejutan tenaga global.

“Melihat pada apa yang sedang berlaku di Timur Tengah, terdapat keperluan untuk kita  meningkatkan kemandirian agar kita tidak bergantung pada negara luar.

“Berbanding membuka lombong arang batu yang mengambil masa, lebih baik dibangunkan industri solar yang jauh lebih pantas. Sektor perniagaan melihat situasi ini sebagai masa depan dan kerajaan perlu memahami bahawa inilah hala tuju ke depan.

“Sekarang adalah masa untuk kepimpinan ASEAN, sama ada di peringkat nasional atau serantau, memberi tumpuan kepada TBB dengan tumpuan besar terhadap tenaga solar,” katanya dalam sidang media mengenai impak konflik Amerika Syarikat-Iran terhadap perubahan iklim, bersempena dengan mesyuarat persediaan ASEAN dan Asia Selatan bagi COP31, di sini baru-baru ini.

Projek solar terapung merupakan salah satu daripada inisiatif tenaga boleh baharu bagi mengurangkan pelepasan karbon

Santiago yang juga bekas Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, berkata pelaburan dalam tenaga solar dan penyimpanan bateri meningkat dengan ketara sejak kebelakangan ini.

“Dalam tempoh hanya 24 hari, kira-kira US$70 bilion (RM274.68 bilion) telah dilaburkan dalam panel solar, penyimpanan bateri dan teknologi berkaitan, mencerminkan kesedaran mendadak yang mendesak kita beralih daripada bahan api fosil,” katanya.

Penulis

Soon Li Wei
3 April 2026
Artikel berkaitan

© 2026 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.