Mengubah Buluh Kepada Binaan Lestari

A
rtikel ini yang pertama daripada laporan dua bahagian tentang penggunaan buluh dalam pembinaan.

Ketika mengunjungi Vietnam pada 2013, jurutera struktur Ahmad Mazlan Othman jatuh cinta dengan buluh. 

Ketika menjelajah bandar raya Ho Chi Minh, bekas presiden Pertubuhan Buluh Malaysia itu perasan sesuatu di jalanan yang lain daripada kebiasaan, unik dan berunsur tradisional.  

“Terdapat banyak basikal buluh di sana,” katanya kepada Bernama melalui Google Meet.

Basikal yang diperbuat daripada buluh.

Jadi, beliau mencubanya. Selebihnya, seperti kata klise, menjadi sejarah. 

Dari situ, beliau mendalami ilmu berkaitan buluh. Menggelarnya sebagai “tumbuhan ajaib”, beliau berkata buluh bukan sahaja bertindak sebagai penyerap karbon, malah ia satu-satunya bahan yang boleh diusahakannya sendiri dari awal hingga akhir – boleh ditanam, dituai dan dirawat sebelum digunakan dalam projek-projeknya. Tidak seperti bahan pembinaan lain seperti keluli, konkrit, simen dan kayu.

Beliau bukan sekadar belajar membuat basikal buluh, tetapi menghasilkan pelbagai struktur lain termasuk surau, masjid, jambatan dan kafe di Malaysia. Malah gitar elektrik turut dihasilkannya daripada buluh.

Tekadnya adalah untuk menggunakan buluh secara tidak konvensional, bukan hanya untuk kegunaan tradisional seperti membuat lemang atau meriam buluh, katanya.

Selepas empat dekad berkecimpung dalam industri pembinaan yang tinggi pelepasan karbon, baginya keputusan beralih kepada buluh dalam kerja kejuruteraan struktur adalah sesuatu yang mudah, terutamanya apabila dunia dan Malaysia mula memberi tumpuan kepada usaha mitigasi kesan daripada perubahan cuaca, teknologi hijau dan kelestarian. 

Lebih satu dekad kemudian - ketika bumi mencatatkan rekod tiga tahun paling panas sejak era praperindustrian (2023-2025) - nalurinya ternyata tepat. Ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa rantau Asia Pasifik, termasuk Malaysia, tidak berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran tindakan iklim 2030, negara-negara yang mencari cara untuk mengurangkan pelepasan karbon kembali memberi tumpuan terhadap buluh dan kelebihan biologinya.

 

“BAMBOO-READY”

Pada 22 Jan 2026, Institution of Structural Engineers, badan profesional antarabangsa yang berpangkalan di United Kingdom mengeluarkan sebuah manual bagi mereka bentuk struktur kekal daripada buluh. Badan tersebut memposisikan buluh sebagai alternatif yang mampan, rendah karbon dan struktur terbaik berbanding keluli dan konkrit, sekali gus menggesa para arkitek untuk “bersedia untuk buluh (bamboo-ready)”. Matlamatnya adalah untuk menjadikan buluh sebagai bahan arus perdana dalam pembinaan moden yang tahan lama seperti sekolah dan rumah.

Sebulan kemudian, PBB mengeluarkan laporan menyatakan bahawa walaupun negara-negara di rantau Asia Pasifik berjaya meningkatkan taraf hidup dan mengurangkan kemiskinan, mereka tidak akan dapat mencapai beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menjelang 2030, terutamanya yang berkaitan dengan alam sekitar dan iklim.

Jurutera struktur Ahmad Mazlan Othman.

Pakar seni bina landskap, Prof Madya Dr Sapura daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), tidak terkejut apabila buluh kembali diminati. Beliau memberitahu Bernama bahawa buluh mempunyai banyak manfaat kepada alam sekitar dan dianggap sebagai elemen penyelesaian berasaskan alam semula jadi (NbS). Satu daripada manfaat utama buluh ialah keupayaan menyerap dan menyimpan karbon.

“Buluh mempunyai banyak daun. Contohnya, sehelai daun boleh sebesar tapak tangan saya. Ia mempunyai permukaan yang luas. Jadi keseluruhan daun boleh menyerap banyak karbon. Jadi apabila ada banyak daun, maknanya buluh boleh menyimpan atau menyerap banyak karbon,” katanya melalui Google Meet.

Walaupun pokok mempunyai daun dan boleh menyerap karbon, katanya kelebihan buluh ialah ia tumbuh dengan sangat cepat, mengambil masa kira-kira tiga atau enam tahun untuk matang, manakala pokok mengambil masa berdekad-dekad.

Malah, buluh juga bagus untuk menstabilkan tanah dan mencegah hakisan. Manfaat lain yang disenaraikan dalam manual termasuk buluh membiak dengan cepat dan tetap berupaya menyerap karbon walaupun selepas ditebang.

Dalam masa yang sama, buluh boleh digunakan untuk membuat perabot, hiasan dalaman dan struktur binaan. Walaupun ia tidak setahan konkrit, ia boleh bertahan hingga 30 hingga 50 tahun jika dirawat dengan betul.

Bali, Indonesia mempunyai sebuah sekolah yang dibina daripada buluh, manakala bandar pesisir Manta di Ecuador pula memiliki beberapa bangunan buluh termasuk balai bomba. Malah, kesemua bangunan tersebut terselamat daripada gempa bumi pada 2016.

Di Malaysia, beberapa struktur memperlihatkan kepelbagaian fungsi buluh. Selain sebuah jambatan di Langkawi, Kedah yang dibina oleh Mazlan dan masih dalam pembinaan, terdapat juga sebuah masjid buluh di Kelantan serta resort, restoran, pavilion rekreasi dan chalet. Banyak taman juga menggunakan struktur dan perabot buluh.

Surau buluh di Kuala Nerus, Terengganu siap pada 2024. Foto fail Bernama

Satu daripadanya ialah surau buluh yang terletak di tengah-tengah Taman D R Seenivasagam di Ipoh, Perak. Struktur kecil itu dibina secara terbuka tanpa dinding, bumbung melengkung dan lantai bertiang dengan sebuah buaian buluh terletak berhampiran.

“(Bangunan-bangunan ini menunjukkan) kebolehlaksanaan seni bina bahan tersebut, keupayaan struktur dan nilai estetiknya. Projek-projek ini menjadi bukti konsep secara praktikal bahawa buluh boleh berfungsi melangkaui kegunaan tradisional dan menjadi bahan pembinaan yang berdaya maju dalam sektor hospitaliti dan infrastruktur komuniti,” kata Norhazaedawati Baharuddin, penyelidik kanan di Fibre & Biocomposite Centre, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

Manfaat buluh kepada alam sekitar tidak terhenti di situ. Pada akhir kitar hayatnya, sisa buluh boleh digunakan untuk menghasilkan karbon teraktif bagi menyingkirkan logam berat dan pewarna daripada air sisa, selain dijadikan bahan kompos.

Pakar buluh Surina Aziz berkata sisa buluh yang diproses atau bioarang (biochar), iaitu bahan kaya karbon dan berliang yang dihasilkan dengan memanaskan biojisim dalam persekitaran rendah oksigen (pirolisis), juga boleh digunakan untuk menyuburkan dan memulihkan tanah.

“Biochar ni untuk merawat tanah. Bila kita tambahkan biochar di tanah, ia akan menarik kehadiran mikro-mikro macam cacing dan lain-lain yang akan duduk di dalam tanah. Bila ada banyak cacing di dalam tanah tu, akan lagi benefit (manfaat)…tanah jadi lebih subur,” katanya.

Beliau menambah penggunaan biochar akan mengurangkan keperluan baja kimia yang boleh merosakkan tanah dalam jangka masa panjang.

 

DORONGAN KERAJAAN

Malaysia turut menyokong usaha memanfaatkan buluh, sumber yang banyak terdapat di negara ini. Beberapa tahun lalu, MTIB telah melancarkan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh 2021–2030.

Norhazaedawati memberitahu Bernama dalam satu kenyataan bahawa pelan itu dirangka “bagi menyediakan rangka kerja yang menyeluruh dan tersusun untuk mentransformasikan sektor buluh Malaysia menjadi industri yang berdaya saing, dipacu eksport dan bernilai tambah.”

Selain digunakan untuk membuat lemang, pelita atau meriam, buluh mempunyai potensi besar dalam pembinaan moden seperti sekolah dan surau. Foto fail bernama

Beliau berkata di bawah Program Pertanian Komuniti MTIB terdapat kira-kira 4,000 hektar ladang buluh komersial di seluruh negara dan 88 petani komuniti. Program tersebut menyediakan anak benih, baja dan latihan secara percuma kepada para petani.

Surina, yang sebelum ini mengetuai Program Pertanian Komuniti MTIB, berkata penanaman buluh diwujudkan sebagai sumber alternatif kepada kayu balak.

“Sekarang kayu susah nak dapat, kan? Sekarang ada isu-isu konservatif dan usaha memulihara hutan. Kita cadangkan buluh yang cepat tumbuh dan cepat matang sebagai alternatif,” katanya.

Beliau menambah sebahagian besar buluh yang ditanam di bawah program itu sedia untuk dituai pada tahun ini atau tahun depan.

Bagaimanapun perancangan tersebut berdepan kekangan. Walaupun terdapat galakan untuk menanam buluh, pakar dan pemain industri pembinaan memberitahu Bernama bahawa permintaan terhadap buluh masih rendah disebabkan peraturan yang kurang jelas termasuk isu pensijilan dan penggredan, kurangnya kesedaran dan penyeragaman piawaian.

Ini kerana dalam industri pembinaan, piawaian banyak berpandukan kayu, konkrit atau keluli, manakala buluh belum mempunyai kod reka bentuk struktur yang komprehensif dan seragam seperti bahan konvensional.

Keadaan ini mengecewakan Mazlan. Selepas 13 tahun mempromosikan buluh dalam pembinaan dan industri lain, beliau masih bergelut untuk meyakinkan industri pembinaan dan pihak berkuasa supaya buluh tidak digunakan hanya sebagai struktur sementara. Kebanyakan buluh di Malaysia digunakan untuk perabot dan kelengkapan dalaman, berbanding infrastruktur.

“Kita agak ketinggalan berbanding negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Filipina,” katanya.

 

© 2026 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.