J
ika beberapa tahun lalu pembedahan bariatrik dilihat sebagai antara kaedah pilihan ramai individu dalam usaha mereka menurunkan berat badan, kebelakangan ini trend mula berubah.
Mereka kini beralih kepada pengambilan sejenis ubat menerusi suntikan yang dilihat dapat membantu mereka mendapatkan berat dan bentuk tubuh ideal, selain lebih “mesra poket” berbanding prosedur bariatrik.
Populariti suntikan Ozempic dan kini Mounjaro, dapat dilihat khususnya dalam kalangan wanita, kerana mereka tidak perlu mengawal ketat pemakanan ataupun menjalani rutin senaman ekstrem bagi menurunkan berat badan.
Ubat itu, yang mudah didapati di klinik-klinik persendirian, membantu seseorang mengawal selera makan, sekali gus menyokong usaha menurunkan berat badan berlebihan dalam masa singkat.
“HILANG” LAPAN KILO DALAM SEBULAN
Berkongsi pengalamannya dengan Bernama, Nurul Wahida, 45, mengakui mula mengambil suntikan untuk menguruskan badan sejak Januari tahun lalu.
“Dengan berat 85.4 kg pada masa itu dan ketinggian 158 sentimeter, saya dalam kategori obes. Keadaan ini membuatkan saya cepat penat semasa berjalan atau menaiki tangga,” katanya yang diperkenalkan kepada penggunaan Ozempic oleh rakan.
Selepas menjalani pemeriksaan dan didapati sesuai oleh doktor, Nurul Wahida mengambil suntikan ubat itu bermula Januari 2025.
“Meskipun telah mengambil suntikan Ozempic selama sembilan minggu, saya hanya berjaya turunkan berat dalam tujuh kg sahaja, selain saya sukar mengawal selera makan. Kemudian, pada Disember tahun lalu, doktor sarankan saya mencuba Mounjaro, dan dalam tempoh sebulan sahaja saya berjaya turunkan berat dalam lapan kg,” katanya.

Mounjaro bukan rawatan kosmetik atau suntikan kecantikan
Nurul wahida berkata dengan Mounjaro, dia berjaya menyekat selera makan selain hanya mengalami kesan sampingan ringan termasuk loya dan sukar tidur.
“Bagi saya ini bukan ‘ubat ajaib untuk kurus’...sekiranya nak ambil perlu ada pemantauan doktor sebab kesan sampingannya berbeza bagi setiap individu. Walaupun saya tidak mempunyai kencing manis, dengan ubat ini saya mampu mengawal gula dalam darah untuk elak pradiabetes selain rasa lebih bertenaga dan mudah bergerak,” katanya.
KAWAL KADAR GULA
Mengulas penggunaan ubat itu, Pegawai Perubatan Am Klinik Pusrawi Bandar Baru Selayang Dr Siti Asiah Zaidi berkata sepertimana Ozempic, Mounjaro juga pada asalnya digunakan untuk merawat pesakit kencing manis, khususnya diabetes jenis dua.
Beliau berkata menerusi pengambilan dos yang disyorkan, pesakit kencing manis dapat mengawal paras gula di dalam darah mereka.
“Walaupun fokus utama suntikan ini ialah mengawal gula dalam darah, kedua-duanya (Ozempic dan Mounjaro) turut menunjukkan kemampuan dalam membantu menurunkan berat badan kerana kesannya membuatkan individu kurang selera makan.
“Ozempic masih efektif untuk membantu sesetengah pesakit menurunkan berat badan, tetapi kesannya agak kurang berbanding Mounjaro kerana Mounjaro ini mengandungi bahan aktif ‘tirzepatide’ yang bekerja menyerupai dua hormon, iaitu GIP (Glucose-dependent Insulinotropic Polypeptide) dan GLP-1 (Glucagon-Like Peptide-1),’’ katanya.
Beliau berkata melalui tindakan dua hormon itu, Mounjaro membantu pesakit berasa kenyang lebih lama, sekali gus menjadikanya lebih efektif dalam menyokong proses penurunan berat badan.
Selain itu, katanya, Mounjaro turut merangsang pelepasan insulin serta membantu menurunkan paras gula dalam darah dengan lebih berkesan.
“Kita mengakui suntikan Mounjaro begitu popular ketika ini. Saya rasa trend ini berlaku selari dengan kesedaran masyarakat terhadap komplikasi penyakit berkaitan berat badan berlebihan.
“Mounjaro juga kekal sebagai ubat utama yang diluluskan Kementerian Kesihatan dalam merawat pesakit kencing manis… ia turut disarankan diambil oleh mereka yang mempunyai berat badan berlebihan dan menghampiri atau berada dalam fasa ‘pre-diabetes’,’’ tambahnya.
BUKAN RAWATAN KOSMETIK
Mengulas lanjut, Dr Siti Asiah berkata meskipun popular sebagai “suntikan kurus”, realitinya Mounjaro bukan rawatan kosmetik atau suntikan kecantikan.
Beliau berkata ubat tersebut hanya boleh diambil dengan nasihat dan pemantauan doktor atau pakar kesihatan.

Pegawai Perubatan Am Klinik Pusrawi Bandar Baru Selayang Dr Siti Asiah Zaidi
Ditanya tentang trend pempengaruh mempromosikan suntikan itu di pelbagai platform media sosial mutakhir ini, beliau berkata situasi itu boleh memberi mesej yang tidak tepat kepada orang ramai kerana pengambilan ubat tersebut memerlukan penilaian kesihatan menyeluruh.
“Ramai yang beranggapan penggunaan Mounjaro adalah untuk tujuan penurunan berat badan semata-mata, hakikatnya ubat ini adalah ubat terkawal dan penggunaannya bagi menurunkan berat badan perlu dilakukan mengikut preskripsi serta di bawah pengawasan doktor.
“Sebelum suntikan dibuat, individu perlu melakukan pemeriksaan fizikal dan darah bagi mengelakkan sebarang kesan sampingan atau risiko kesihatan yang mungkin boleh berlaku, termasuk mual dan muntah teruk, dehidrasi, radang pankreas serta kesan pada tiroid,’’katanya.
Menurut Dr Siti Asiah, Mounjaro akan diberikan dalam beberapa dos, bermula dari dos rendah bagi membiasakan tubuh menerima kesan ubat berkenaan.
Dos ubat kemudiannya akan ditambah secara berperingkat mengikut penerimaan tubuh sehingga mencapai sasaran kadar gula yang ditetapkan atau mencapai berat badan ideal.
“Suntikan akan dibuat seminggu sekali. Dos yang paling rendah ialah 2.5 mg dan dos paling tinggi atau maksimum 15 mg… setiap individu akan diberikan dos berbeza mengikut keperluan dan penerimaan dos itu pada badan.
“Di klinik kami, kebiasaannya yang menerima suntikan ini hanya mereka yang dalam kategori berat berlebihan atau obes serta mengalami pradiabetes. Namun, sekiranya berat individu itu hanya lebih sekitar lima kg daripada berat badan ideal, kita akan nasihat dulu supaya mereka ini menurunkan berat secara alami termasuk menjaga pemakanan dan bersenam, tanpa dibantu suntikan ubat,’’ katanya.
Beliau berkata sepanjang rawatan, doktor akan memantau tahap kesihatan individu itu menerusi pemeriksaan berkala termasuk pengukuran kadar gula dalam darah, berat badan, tekanan darah selain mengenal pasti kesan sampingan ubat berkenaan.
Tambahnya, kesan pengambilan ubat tersebut boleh dilihat dalam tempoh satu hingga empat minggu selepas suntikan pertama, terutamanya dari segi pengurangan selera makan dan penurunan gula dalam darah.

Melakukan senaman dengan konsisten turut membantu mengurangkan berat badan
“Mounjaro terbukti berkesan dalam mengawal gula dengan penurunan HbA1c (ujian darah yang mengukur purata paras gula) sekitar 1.6 hingga 2.4 peratus, serta penurunan berat badan ketara, iaitu purata 20 hingga 26 peratus bergantung pada dos dan tempoh rawatan.
“Keberkesanan ini menjadikan Mounjaro antara ubat suntikan paling efektif ketika bukan sahaja kepada pesakit diabetes malah mereka yang berdepan berat badan berlebihan,” katanya.
PERLU JAGA PEMAKANAN
Mengulas lanjut, Dr. Siti Asiah menegaskan bahawa individu yang mengambil Mounjaro tetap perlu menjaga pemakanan serta melakukan senaman secara konsisten dan bersesuaian, bagi memastikan berat badan kekal ideal.
Pendekatan itu termasuk mengambil makanan berkalori rendah dan tinggi nutrien, mengawal saiz hidangan serta melakukan aktiviti fizikal seperti berjalan, berjoging atau melakukan senaman kardiovaskular.
Dr Siti Asiah berkata sekiranya suntikan ubat tersebut dihentikan, berat badan berkemungkinan kembali kepada asal sekiranya tiada perubahan dilakukan terhadap gaya hidup individu berkenaan.
“Suntikan Mounjaro melibatkan kos yang tinggi, justeru tanpa amalan diet seimbang dan gaya hidup sihat, penggunaannya hanya akan menjadi satu pembaziran kerana kesan penurunan berat badan sukar dikekalkan.
“Manfaat ubat ini sama seperti suntikan penurunan berat badan yang lain atau pembedahan bariatrik yang bertujuan membantu mengurangkan berat badan, iaitu sekiranya aspek-aspek itu tidak dijaga, berat badan boleh meningkat semula, malah berisiko melebihi berat asal (berat sebelum suntikan dibuat),’’ katanya.
-- BERNAMA