Semol Studio Hidupkan Memori Kartun Ikonik Malaysia Menerusi Mainan Seni

B
agi yang membesar dalam era 1990-an, pastinya mereka tidak asing dengan kisah Ujang dalam majalah kartun terkemuka tanah air pada ketika itu, sementara generasi Milenial pula mengenali Keluang Man, iaitu siri animasi popular televisyen.

Karakter fiksyen namun kisah mereka yang berlatarkan kehidupan sebenar di negara ini mewarnai dunia kanak-kanak serta remaja ketika itu, dan kini sekadar menjadi kenangan ketika masing-masing melewati usia 30-an dan 50-an.

Namun melalui “art toys” atau mainan seni berskala kecil, watak-watak ikonik itu diabadikan dalam bentuk fizikal tiga dimensi (3D) yang bukan hanya dapat dilihat dan disentuh saban hari tetapi juga sebagai koleksi berharga untuk diturunkan kepada anak-anak atau cucu-cucu mereka.   

 

“DILAHIRKAN SEMULA” 

Berkemahiran dalam menghasilkan figura 3D berskala kecil, Raja Mohd Azreen Raja Azahan, 37 diberi kepercayaan oleh pemilik harta intelek (IP) Ujang dan Keluang Man untuk “melahirkan” watak-watak kartun berkenaan dalam bentuk fizikal. 

Lebih mesra dipanggil Kuyen, pengasas Semol Studio yang beroperasi dari kediamannya di Melaka, memberitahu Bernama projek Keluang Man bermula pada pertengahan 2025 selepas Kelab Keluangman dan Iconic Animation Studio selaku pemilik IP karya itu menghubunginya bagi penghasilan mainan seni  watak-watak dalam siri animasi Keluang Man.  

Art toy Keluangman, Tiongman dan watak Ujang menjadi sensasi dan rebutan golongan pengumpul.

“Cabaran utama adalah bagaimana untuk menterjemahkan identiti visual watak-watak ini ke dalam bentuk fizikal tanpa menghilangkan ciri asal yang peminat sudah biasa lihat dan kenal,” katanya ketika dihubungi Bernama, baru-baru ini.

Pengumuman awal pengeluaran mainan seni Keluang Man yang dibuat di media sosial berjaya mencetuskan sensasi dan keterujaan peminat. Pada hari pelancaran yang berlangsung di Festival Seni Kreatif dan TVET Malaysia (Anifest) Oktober lepas, peminat beratur sejak awal pagi untuk mendapatkan set figura tersebut memandangkan hanya 50 set edisi terhad dikeluarkan. 

Berhubung projek Ujang pula yang juga bermula pada pertengahan 2025, Kuyen berkata pendekatan sama diterapkan dengan penekanan khusus terhadap keaslian karakter serta elemen nostalgia yang sinonim dengan pembaca komik tempatan.

Tambahnya, setiap figura dibangunkan berdasarkan visual asal agar semua ekspresi dan personaliti watak kekal dikenali walaupun diterjemahkan dalam bentuk berbeza.

Menurutnya lagi, edisi terhad figura Ujang dan Atuk habis terjual dalam tempoh singkat semasa pemilik IP iaitu kartunis Ibrahim Anon atau Ujang menyertai satu pameran di Balai Seni Lukis Negara baru-baru ini. 

Kuyen bergambar kenangan bersama kartunis Ujang.

Mengulas sambutan peminat, Kuyen berkata reaksi positif jelas kelihatan apabila kandungan berkaitan Keluang Man dan Ujang yang dimuat naik ke platform seperti TikTok dan Facebooknya menerima ribuan tontonan, perkongsian serta komen.

“Secara jujurnya saya sangat terkejut namun dalam masa yang sama saya sangat teruja. Tidak  sangka saya dilamar oleh kedua-dua pihak ini memandangkan studio saya baru setahun jagung umurnya. Ia juga membangkitkan kembali memori saya masa kecil kerana saya membesar dengan kartun sebegini.

“Bukan saya sahaja, malahan orang ramai turut teruja melihat watak-watak nostalgia ini dihidupkan semula dalam bentuk fizikal, dan ramai juga menyatakan minat untuk memilikinya sebagai koleksi,” kongsinya, menambah studionya ditubuhkan pada Oktober 2022. 

 

MENYAMBUNG LEGASI, MEMBINA NILAI BAHARU

Bagi Kuyen, kerjasama projek mainan seni unik melibatkan Ujang dan Keluang Man itu membawa makna yang lebih besar, bukan hanya sekadar penghasilan sebuah koleksi.

“Bagi penghasil seni kreatif seperti saya, ia dilihat penting bukan sahaja dari sudut seni dan koleksi, tetapi juga sebagai usaha memelihara memori budaya pop tempatan dalam bentuk yang masih relevan dengan generasi hari ini,” ujarnya.

Raja Mohd Azreen Raja Azahan (duduk, tengah) atau lebih mesra dipanggil Kuyen, pengasas Semol Studio.

Menurut beliau lagi, dengan menterjemahkan watak-watak ikonik ke dalam medium seni fizikal, secara tidak langsung membuka ruang dialog antara generasi lama dan baharu.

“Paling penting, saya melihat ia berjaya menghubungkan mereka yang membesar dengan komik dan animasi tempatan kepada generasi muda yang lebih dekat dengan seni dan lenggok bahasa visual kontemporari,” katanya.

Pada masa sama, Kuyen melihat projek sedemikian mampu menyumbang kepada perkembangan ekosistem kreatif tempatan dengan memberi nilai ekonomi baharu kepada IP Malaysia.

Ini menurutnya sekali gus dapat membantu meningkatkan kesedaran terhadap karya tempatan dan membuktikan bahawa warisan popular negara boleh terus hidup, berkembang dan dihargai dalam bentuk baharu tanpa kehilangan identiti asalnya.

 

SENI YANG KELIHATAN RINGAN, PROSES YANG BERAT

Dari luar, sebuah mainan seni kelihatan kecil, comel dan ringkas dengan ketinggian sekitar lima sentimeter. Namun kata Kuyen, setiap figura melalui rantaian proses yang panjang, membabitkan gabungan idea, lakaran, pembinaan digital, cetakan hinggalah kemasan akhir menggunakan berus lukisan.

Mengulas ringkas proses pembuatan, Kuyen berkata watak dilakar secara digital dalam bentuk 3D sebelum figura dibina melalui proses pengukiran digital yang akan memastikan setiap perincian tetap setia pada lakaran asal watak tersebut.

Keadaan ruangan kerja Semol Studio (kiri), dan miniatur figura negarawan tersohor Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Hasmah (kanan).

Kemudian fail 3D yang telah siap itu akan dihantar untuk proses cetakan. Setiap figura 3D dihasil menggunakan bahan resin.

“Proses cetakan ini mengambil masa antara tiga hingga lapan jam (untuk penghasilan lima unit pada satu-satu masa), diikuti pencucian resin dan pengawetan UV (sinaran ultra ungu) yang merupakan fasa kritikal untuk menentukan kekuatan dan ketahanan figura supaya tidak mudah rosak,” katanya yang hingga kini telah menghasilkan ribuan figura mainan seni.

Setelah selesai, setiap figura akan digosok dan dilicinkan secara manual dan seterusnya perlu melalui proses menyapu lapisan cat asas pada permukaan figura, sebelum dicat sepenuhnya menggunakan cat akrilik secara  ‘handpainting’. 

“Projek skala kecil sebegini memang tidak memaafkan kesilapan. Salah sedikit sahaja  kita kena ulang proses dari awal,” kongsinya lagi.

 

DARIPADA HOBI KE STUDIO SOLO

Perjalanan Kuyen ke dunia mainan seni bermula tanpa dirancang ketika Perintah Kawalan Pergerakan akibat pandemik COVID-19, apabila beliau mula menghabiskan masa di rumah dengan hobi mengubah suai model robot Gundam.

Latar belakang dirinya sebagai lepasan ijazah reka bentuk grafik daripada Management & Science University (MSU) banyak mempengaruhi pendekatan kreatif beliau, terutamanya dalam aspek visual, penjenamaan dan penceritaan karyanya. Keputusan meninggalkan kerja tetap sebagai pereka grafik di sebuah syarikat e-sukan pada hujung 2023 pula diambil ketika industri berdepan kegawatan dan menjadi pemangkin untuk beliau bergerak sepenuhnya dalam dunia seni 3D.

Antara peminat dan pengumpul koleksi art toy sempat bergambar kenangan bersama produk yang mereka beli dari Semol Studio.

Daripada penghasilan aksesori Gundam pada asalnya, beliau berkembang kepada miniatur berskala 1:64 melalui servis cetakan 3D. Antara yang pernah dihasilkannya ialah figura negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Hasmah serta pelbagai watak daripada animasi kegemaran pelanggan.

Tidak lama selepas itu, fokus beliau berkembang kepada penghasilan figura mainan seni yang lebih kompleks dan kecil termasuk watak daripada komik Jepun seperti Dragon Ball dan Akira, sebelum akhirnya terlibat dalam projek IP tempatan seperti Keluang Man dan Ujang yang  tertarik dengan kehalusan seni tangan beliau.

Buat masa ini Semol Studio beroperasi sebagai studio solo dengan semua proses, daripada rekaan hingga pembungkusan dilakukan sendiri oleh Kuyen dengan bantuan isteri. Pengalaman menyertai pelbagai acara luar seperti Miniscale Festival dan Hobby Expo turut memainkan peranan penting dalam perkembangan jenama Semol Studio.

“Saya sedar yang saya perlu keluar dan memperkenalkan produk secara fizikal, bukan hanya bergantung pada laman sosial. ‘Art toys’ adalah karya seni, jadi peminat mahu melihat, memegang dan menilai sendiri kualiti serta perincian setiap figura,” jelasnya.

Beliau menambah penyertaan dalam pameran memberi peluang berinteraksi terus dengan pengumpul, menerima maklum balas secara langsung, dan membina hubungan dengan komuniti mainan seni tempatan, sesuatu yang tidak dapat dicapai sepenuhnya melalui jualan di media sosial miliknya.

 

BERKEMBANG SEBAGAI PENCIPTA IP

Kini, tumpuan Kuyen beralih kepada penciptaan watak asli seperti Benjo yang diinspirasikan daripada anak lelakinya. Lebih menggembirakan, sejak dilancarkan pada pertengahan Disember lalu sebanyak 30 unit Benjo telah terjual.

Mengakui harga seunit mainan seni yang dijualnya mungkin dilihat agak mahal, beliau berkata proses pembuatan yang rumit dan secara manual memberikan nilai seni lebih tinggi berbanding mainan seni yang dihasilkan oleh kilang walaupun harganya murah.

“Setakat ini, saya juga sudah mula menerima tempahan peminat dari beberapa negara luar termasuk Brunei dan Filipina,” katanya, menambah sambutan yang cukup memberangsangkan itu membuktikan bahawa hasil seni anak Malaysia sebenarnya mampu bersaing di peringkat global.

Gaya chibi (reka bentuk watak yang comel dengan badan kecil dan kepala besar) dipilih sebagai bahasa visual utama bagi watak Benjo, sejajar dengan landskap mainan seni semasa.

“Setelah berbincang dengan isteri, kami merancang untuk mendaftarkan IP ini di bawah MyIPO supaya karya tempatan terus mempunyai perlindungan dan status yang jelas dalam isu hak cipta,” jelasnya.

Dalam tempoh beberapa tahun akan datang, Kuyen bercadang membuka kedai fizikal supaya pengumpul boleh membeli terus daripadanya, selain ingin membina pasukan lebih besar untuk membantu proses rekaan, cetakan, pengecatan dan pembungkusan, sambil mengekalkan kualiti tinggi.

“Walaupun realitinya saya bekerja secara ‘one-man show’ serta mampu memperoleh pendapatan purata RM10,000 sebulan untuk menyara keluarga, saya sedar menambah anggota pasukan adalah penting untuk menguruskan projek lebih besar sambil mengekalkan standard ketelitian dan sentuhan tangan yang menjadi ciri khas Semol Studio,” harapnya.

Visi masa depannya juga cukup jelas, dengan beliau mahu membuktikan bahawa karya IP tempatan mampu berkembang, membina komuniti tersendiri dan bersaing di peringkat global tanpa kehilangan jiwa dan identiti budaya Malaysia.

© 2026 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.