P
ertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jangka hayat manusia kini semakin panjang dengan kebanyakannya hidup jauh melangkaui usia 60 tahun dan situasi ini dialami oleh setiap negara di dunia yang menyaksikan populasi warga tua masing-masing berkembang dari segi saiz berbanding jumlah penduduk.
Menurut pertubuhan itu lagi, menjelang 2030, kira-kira 1.4 bilion penduduk dunia ialah mereka yang berusia 60 tahun ke atas dan angka tersebut dijangka meningkat kepada 2.1 bilion menjelang 2050.
Meskipun begitu, WHO melihat warga emas tetap mampu menyumbang kepada keluarga mereka dan masyarakat. Namun, sejauh mana kemampuan mereka dapat berbuat demikian sangat bergantung pada satu aspek - kesihatan.
ASEAN yang bakal menyaksikan populasi berusia 65 tahun ke atas berjumlah 128.7 juta orang pada 2050 berbanding 55.9 juta pada 2023, telah mengambil langkah proaktif menerusi Deklarasi Penuaan Kuala Lumpur 2015: Memperkasa Warga Emas di ASEAN, yang menggariskan antara lain setiap negara anggota disaran menggubal dasar yang dapat membantu populasi warga emas menjalani kehidupan sihat, aktif dan produktif.
Ringkasnya, negara anggota ASEAN perlu memastikan masing-masing ada dasar yang dapat menangani pelbagai isu berbangkit berkaitan peningkatan jumlah rakyat bergelar warga emas, sekali gus mengurangkan beban kewangan yang bakal ditanggung, terutama dari segi penjagaan kesihatan.
PEMAKANAN SIHAT
Mengambil peluang daripada situasi semasa, konsep penuaan sihat muncul sebagai agenda utama industri nutraseutikal global dan ini dicerminkan menerusi Pameran Fi Asia Thailand 2025 dan Vitafoods Asia 2025 yang berlangsung serentak di Pusat Konvensyen Queen Sirikit, di sini pada bulan lepas.
Acara yang berlangsung dari 17 hingga 19 Sept itu menghimpunkan lebih 1,500 pempamer dari 70 negara termasuk Malaysia, dengan fokus utama pada inovasi pemakanan sihat, makanan tambahan dan bahan makanan berfungsi.
Thailand, selaku antara negara anggota ASEAN, juga menjadikan pameran itu sebagai platform bagi menegaskan peranan besar yang dimainkannya dalam industri nutraseutikal global dan aspirasinya untuk muncul sebagai hab kesihatan dan kesejahteraan serantau.

Thailand, selaku antara negara anggota ASEAN, juga menjadikan pameran itu sebagai platform bagi menegaskan peranan besar yang dimainkannya dalam industri nutraseutikal global.
Pengarah Portfolio Serantau ASEAN Informa Markets Rungphech "Rose" Chitanuwat berkata realitinya bukan hanya warga emas mengambil berat soal pemakanan sihat. Pengguna muda juga katanya kian memberi perhatian kepada produk kesihatan.
Beliau berkata kehidupan moden yang sibuk, tekanan kerja dan gaya pemakanan tidak seimbang mendorong golongan itu memilih diet tambahan sebagai sokongan harian.
“Produk untuk tenaga, kesihatan mental, kecantikan dan imuniti adalah antara kategori yang semakin mendapat permintaan,” katanya kepada media antarabangsa di luar Sidang Kemuncak Penuaan Sihat, satu daripada aktiviti di pameran itu.
Trend pemakanan sihat dalam kalangan pengguna muda turut diketengahkan di pelbagai sesi seminar dan bengkel teknikal yang diadakan sepanjang Fi Asia dan Vitafoods Asia.
NUTRASEUTIKAL: THAILAND DAN POTENSI ASIA PASIFIK
Thailand dilihat semakin menonjol sebagai hab nutraseutikal serantau berikutan kekuatannya dalam keselamatan makanan, pelancongan kesihatan dan pengeluaran ramuan berfungsi berkualiti tinggi.
Komitmen negara itu terserlah apabila sumber pertanian tempatan diangkat menjadi bahan bernilai tinggi, selain menjadikan pameran Fi Asia sebagai platform penting kerjasama dan perkongsian idea di rantau ini.

Konsep penuaan sihat muncul sebagai agenda utama industri nutraseutikal global dan ini dicerminkan menerusi Pameran Fi Asia Thailand 2025 dan Vitafoods Asia 2025.
Chitanuwat berkata permintaan nutraseutikal di Asia Pasifik dijangka melonjak daripada US$103 bilion pada 2025 kepada US$202.6 bilion menjelang 2035, dipacu oleh peningkatan kesedaran pengguna terhadap kesejahteraan diri, gaya hidup aktif serta penuaan sihat.
Trend ini dijangka membuka peluang besar kepada negara-negara yang memiliki biodiversiti unik seperti Malaysia yang kaya dengan herba tropika bernilai tinggi dan berpotensi menjadi sumber ramuan nutraseutikal baharu.
MALAYSIA ANGKAT PRODUK SEMULA JADI KE PENTAS DUNIA
Malaysia turut menyerlah dengan penyertaan beberapa syarikat di pameran itu, antaranya Serai Malaya Sdn Bhd dan Biotropics Malaysia Berhad.
Serai Malaya memperkenalkan produk inovatif berasaskan serai seperti teh dan serbuk, stok masakan serta ramuan bernilai tambah untuk makanan dan kesihatan.

Malaysia mencatat kejayaan pada pameran itu dengan penyertaan beberapa syarikat tempatan, termasuk Serai Malaya Sdn Bhd dan Biotropics Malaysia Berhad.
Syarikat itu turut melaksanakan program kontrak perladangan dengan memberi sokongan ekonomi serta teknikal kepada penduduk luar bandar berpendapatan rendah di bawah Program Perniagaan Inklusif (IB).
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Star Medik Datuk Tajuddin Abdul Latif berkata kekayaan biodiversiti Malaysia memberi kelebihan kepada produk herba untuk dikembangkan ke pasaran global.
“Malaysia kaya dengan herba dan serai antara yang paling mudah ditanam. Kepelbagaian kegunaannya menawarkan potensi besar untuk pasaran antarabangsa, malah inisiatif kontrak perladangan ini membantu meningkatkan taraf hidup penduduk kampung,” katanya ketika ditemui Bernama.
Biotropics Malaysia pula menampilkan rangkaian nutraseutikal semula jadi untuk menyokong kesihatan dalaman, seiring trend global yang menuntut produk selamat dan berasaskan sains.
Pengurus Kanan Biotropics Malaysia Nik Fahmi Mokhtar berkata Fi Asia dan Vitafoods Asia telah membuka peluang yang luas bagi mereka memperkenalkan khazanah herba dari Malaysia.
“Antara herba yang digunakan dalam produk kami ialah tongkat ali, kacip fatimah dan daun kesum. Kesemua produk yang dihasilkan dari produk ini telah menembusi pasaran 36 negara,” katanya.
EMPAT KATEGORI UTAMA INDUSTRI MAKANAN MASA DEPAN
Presiden Persatuan Perdagangan Makanan Masa Depan Thailand Dr Visit Limlurcha berkata industri makanan masa depan dijangka berkembang pesat dengan empat kategori utama, iaitu makanan berfungsi, makanan perubatan, makanan organik dan protein alternatif.
Beliau berkata protein alternatif daripada serangga seperti cengkerik kini semakin diterima di peringkat antarabangsa selepas melepasi ujian penyelidikan dan pembangunan, sekali gus menawarkan pilihan baharu yang lebih lestari serta mesra alam.

Produk untuk tenaga, kesihatan mental, kecantikan dan imuniti adalah antara kategori yang semakin mendapat permintaan.
“Di Thailand dan banyak negara Asia, makan serangga perkara biasa. Namun, apabila dieksport ke pasaran lain terutamanya Kesatuan Eropah (EU), ia perlu didaftarkan sebagai ‘novel food’ kerana mereka tidak mengenali cengkerik. Kini, produk berasaskan cengkerik dari Thailand sudahpun diluluskan untuk dieksport ke EU,” katanya kepada media baru-baru ini.
Selain cengkerik dalam bentuk keseluruhan, Dr Visit berkata serbuk cengkerik turut dikomersialkan sebagai bahan campuran dalam produk makanan seperti pasta, spageti dan mi, sekali gus meningkatkan kandungan protein dalam makanan harian.
Katanya Thailand juga giat mempromosikan lalat askar hitam (black soldier fly) sebagai sumber protein alternatif lain.
Menurutnya, larva lalat askar hitam mampu memakan sisa makanan daripada pengeluaran dan menukarkannya kepada protein dalam tempoh hanya 10 hari.
“Ulat daripada lalat askar hitam ini mengandungi lebih 30 peratus protein bagi setiap 100 gram. Ia bukan sahaja bernilai tinggi dari segi pemakanan, malah berupaya menjadi jawapan kepada isu kelestarian global,” katanya.
KOPI TANPA BIJI KOPI
Selain itu, pameran ini turut menampilkan Zon Inovasi yang dikendalikan oleh Innova Market Insights, memperlihatkan teknologi ramuan terkini.
Antara tarikan unik ialah kopi alternatif yang dihasilkan tanpa biji kopi, namun tetap memberikan rasa dan aroma kopi sebenar, sesuai untuk pengguna yang alah kepada kafein atau mencari pilihan minuman yang berbeza.
Kejayaan Fi Asia Thailand 2025 dan Vitafoods Asia 2025 ialah bukti penuaan sihat kini menjadi tumpuan utama industri global.
Fi Asia dan Vitafoods Asia akan berlangsung di Indonesia pada 2026 dengan jangkaan lebih banyak penyertaan syarikat serantau yang mahu menembusi pasaran antarabangsa serta terus memacu inovasi dalam sektor pemakanan lestari, penuaan sihat dan kesejahteraan.