D
unia wanita yang aktif dalam sukan angkat berat selalunya bersulam salah tanggapan dan stigma yang mereka akan kelihatan "sado” atau kekar seperti lelaki selain “amaran” aktiviti itu membahayakan kesihatan mereka.
“Nak jadi lelaki ke?” atau “Jangan angkat berat, nanti peranakan kau jatuh!” antara ungkapan yang sering didengari Amirah Nursaidah Amir Hamzah, 38; Nicole Lee Shu Wei, 25 dan Dr Izza Arsyika Abdul Rahim, 37 - tiga wanita yang berjaya meningkatkan kualiti hidup mereka menerusi angkat berat.
Amirah dan Lee merupakan atlet angkat berat profesional yang mencipta kejayaan serta rekod baharu dalam beberapa pertandingan peringkat kebangsaan dan rantau, sementara Dr Izza Arsyika, seorang pakar perubatan di sebuah hospital, memanfaatkan kebaikan yang dituainya daripada aktiviti itu dalam tugas seharian.

Walaupun datang daripada latar belakang berbeza, tiga wanita ini berkongsi satu matlamat - membetulkan salah tanggapan serta mempromosikan manfaat sukan itu kepada kesihatan mental dan fizikal seseorang.
Walaupun datang daripada latar belakang berbeza, mereka berkongsi satu matlamat - membetulkan salah tanggapan serta mempromosikan manfaat sukan itu kepada kesihatan mental dan fizikal seseorang.
“Orang selalu anggap penggiat angkat berat wanita tidak mampu menyaingi lelaki dari segi berat angkatan, tetapi kami (wanita) sebenarnya mampu 'squat’ dengan angkatan sekali ganda berat kami dan 'deadlift’ tiga kali ganda berat badan kami… kalau tidak masakan kami mampu bawa anak dalam kandungan,” kata Amirah Nursaidah yang mempunyai dua orang anak.
DEPANI OBESITI, HERNIA & CAKERA TERANJAK
Berkongsi perjalanannya dalam dunia angkat berat, Amirah Nursaidah berkata segalanya bermula dengan usaha beliau menangani obesiti, hernia dan slipped-disc (cakera teranjak) ketika beratnya mencecah 90 kilogram (kg) pada 2010.
“Saya berusia awal 20-an ketika itu. Bermacam cara saya cuba untuk menurunkan berat badan termasuk berdiet. Usaha tersebut berjaya turunkan berat saya sebanyak 30 kg tetapi hanya bertahan beberapa bulan kerana ketika itu saya tidak tahu cara makan atau bersenam yang betul.
“Kemudian saya terkena slipped-disc pada 2012 yang menyebabkan saya tidak dapat berjalan atau bergerak dengan sempurna. Pada 2019 saya mengalami hernia, membuatkan saya muntah tanpa henti apabila makan. Ketika itulah saya sedar yang saya perlu lakukan sesuatu,” katanya kepada Bernama.
Bab baharu dalam kehidupan jurulatih peribadi ini bermula apabila beliau dimaklumkan tentang prosedur bariatrik, mendorong beliau menjalani prosedur itu pada 2019.
“Selepas prosedur itu, saya dapatkan khidmat jurulatih peribadi untuk menurunkan berat badan secara selamat, dan beliaulah yang memperkenalkan saya kepada latihan meningkatkan kekuatan.
“Dari situ baru saya tahu yang saya mampu angkat beban berat; saya sukakan perasaan saya ketika berjaya angkat beban berat, selain saya dapat dukung anak sambil melakukan kerja rumah tanpa rasa sakit,” ujarnya yang berjaya mengurangkan berat badannya daripada sekitar 90 kg kepada 48 kg.

Amirah Nursaidah, 38, mendapatkan khidmat jurulatih peribadi dan diperkenalkan kepada latihan meningkatkan kekuatan
Kecintaannya terhadap sukan itu membawa beliau ke pertandingan angkat berat pertama pada 2021. Ketika itu beliau tidak terfikir untuk menang.
“Waktu itu angkatan 'squat’ saya ialah 110 kg, 'bench press’ 57.5 kg dan ‘deadlift’ kira-kira 130 kg, namun saya berjaya memenangi pingat pertama, membuatkan saya lagi bersemangat untuk meneruskan dengan aktiviti angkat berat ini,” katanya.
Pada 2022, beliau mengambil bahagian dalam Piala Asia Tenggara di Johor Bahru, di mana beliau berjaya memenangi pingat gangsa dalam kategori ‘squat’.
DARIPADA PENARI KEPADA PENCIPTA REKOD
Kisah Lee dalam bidang sukan itu pula bermula ketika beliau berusia 19 tahun, tidak lama selepas menamatkan persekolahan pada 2017.
Pada Julai lepas, wanita ini memecahkan rekod Asia dalam kategori 'squat’ bawah 52 kg dengan angkatan 151 kg di Kejohanan Angkat Berat Asia Pasifik Afrika 2025 yang berlangsung di Himeji, Jepun sekali gus menetapkan tanda aras baharu bagi atlet wanita di rantau ini.
Menurut Lee, sukan itu juga membantunya menangani dismorfia tubuh, satu isu kesihatan mental yang dicirikan oleh ketaasuban pada apa yang ditanggapi sebagai kecacatan fizikal.
“Semasa remaja, saya terlibat dalam tarian (etnik dan kebudayaan Cina), jadi memang amat beri perhatian pada penampilan serta berat badan, kerana sebagai penari kita perlu pastikan pasangan kita dapat mengangkat kita.
“Saya pernah tidak makan langsung semasa latihan… memang agak teruk,” imbas Lee.

Nicole Lee, 25, merupakan pemegang rekod Asia bagi kategori 'squat’ 52 kg dengan angkatan 151 kg di Kejohanan Angkat Berat Asia Pasifik Afrika 2025, baru-baru ini
Tabiat makannya itu akhirnya menjejaskan keseimbangan hormon dan beliau kemudian didiagnosis mengalami sindrom ovari polisistik (PCOS), satu keadaan perubatan yang dikaitkan dengan ketidakseimbangan hormon dan gaya hidup.
“Ketika remaja saya langsung tidak ambil makanan berkarbohidrat selain kurang makan. Oleh sebab itulah kandungan zat dalam tubuh saya tidak seimbang. Namun kini keadaan (pemakanan) semakin baik.
“Angkat berat mengubah cara saya melihat diri saya dan juga hubungan saya dengan makanan,” ujarnya.
Menerusi sukan itu beliau belajar untuk fokus pada kemampuan tubuhnya bukan bagaimana ia kelihatan di mata orang lain.
“Apabila saya mula menumpukan pada kemampuan tubuh saya, secara beransur-ansur saya dapat bebaskan diri daripada ketaasuban terhadap penampilan; itulah yang mengekalkan saya dalam sukan ini,” jelasnya yang bekerja dalam bidang pengiklanan sebelum bergiat sepenuh masa selaku jurulatih peribadi yang mengkhususkan latihan angkat berat.
TEMUKAN KEKUATAN MENERUSI ANGKAT BERAT SUSULAN KECEDERAAN
Dr Izza Arsyika merupakan bekas pemain bola keranjang ketika zaman persekolahannya, namun kecederaan lutut menyebabkan beliau terpaksa melupakan sukan itu. Pada masa sama, insiden tersebut juga membuka bab baharu dalam kehidupannya.
“Saya ambil bahagian dalam kejohanan bola keranjang pada 2018, namun mengalami kecederaan pada lutut kanan. Ligamen krusiat posterior dan meniskus saya koyak, membuatkan saya hampir tidak dapat berjalan apatah lagi bermain buat seketika.
“Ketika itu saya ikuti kaedah tradisional R.I.C.E, iaitu rehat, ais, demah dan elevasi. Bagaimanapun pemahaman perubatan baharu mencadangkan bahawa rehat yang berpanjangan boleh mendatangkan lebih banyak mudarat daripada kebaikan.
“Dulu kita diminta berehat sepenuhnya, tapi sekarang doktor syorkan hanya hingga dua minggu sebelum mulakan rehabilitasi, kerana terlalu banyak rehat boleh menyebabkan kehilangan (pengecutan) otot,” katanya.
Sebulan selepas kecederaannya, seorang doktor perubatan sukan memberitahu yang otot kuadriseps beliau telah mengecut dan beliau perlu membina semula kekuatan sebelum kembali ke gelanggang.
“Ketika itu saya sedang bercuti perubatan, dan memang tidak ada pilihan lain kecuali ke gim setiap hari. Jadi, saya gunakan peluang itu untuk fokus pada pemulihan dan bina semula kekuatan otot saya,” katanya.

Dr Izza Arsyika, 37, merupakan bekas pemain bola keranjang ketika zaman persekolahannya
Keputusan itu menandakan permulaan beliau dalam sukan membina kekuatan. Dr Izza Arsyika bermula dengan memperkuat bahagian bawah badan sebelum beransur-ansur menggemblengkan latihan memperkuat bahagian atas bagi meningkatkan keseimbangan dan prestasi keseluruhan tubuhnya.
Bekerja di hospital menyedarkan Dr Izza Arsyika betapa pentingnya kekuatan tubuh bagi golongan profesional penjagaan kesihatan.
“Ketika pandemik COVID-19, ramai antara kami yang terpaksa melakukan tugas seperti memindahkan pesakit dan mengambil darah selama berjam-jam tanpa rehat. Postur kerja yang tidak ergonomik boleh dengan mudah menyebabkan kecederaan pada tulang belakang dan sendi.
“Saya melihat sendiri bagaimana rakan sekerja saya mengalami slipped-disc akibat terlalu lama membongkok untuk merawat pesakit.
“Selepas melihat keadaannya, saya bertekad untuk tidak mengalami nasib sama. Ketika itulah saya mula menjaga kesihatan tulang belakang saya dengan serius, bermula dengan ‘deadlift’ dan menguatkan otot teras bagi melindungi tulang belakang saya,” katanya.
Didorong oleh kemajuan yang dicapainya, Dr Izza Arsyika kini giat mempromosikan latihan membina kekuatan kepada pesakit beliau sebagai kaedah menjaga kesihatan tulang dan sendi.
"Saya ialah bukti bahawa latihan kekuatan memang berhasil dan membantu kita bergerak dengan lebih baik serta mencegah kecederaan. Angkat berat tidak semestinya kena angkat beban yang berat tetapi tentang latihan progresif, iaitu meningkatkan kekuatan secara beransur-ansur dan menambah baik mobiliti,” katanya.
BUKTIKAN MEREKA SILAP
Berusia lewat 30-an, Amirah Nursaidah dan Dr Izza Arsyika menyanggah stereotaip tentang wanita dan usia dalam sukan melibatkan kekuatan.
“Orang selalu kata selepas usia 30 tahun kita sudah tidak boleh meningkatkan lagi kekuatan kita, namun kami buktikan mereka salah,” kata Amirah Nursaidah.
Bagi Lee pula angkat berat mengajar beliau maksud berempati dengan diri sendiri.

Amirah Nursaidah (kiri) dan Dr Izza Arsyika (tengah), menyanggah stereotaip tentang wanita dan usia dalam sukan melibatkan kekuatan, manakala Lee (kanan) pula angkat berat mengajar beliau maksud berempati dengan diri sendiri
“Kini, setiap kali saya melangkah ke platform itu saya mengingatkan diri sendiri yang saya tidak lagi ‘menghukum’ tubuh saya, sebaliknya meraikan keupayaannya,” kata Lee.
Beliau berharap perjalanannya dalam sukan itu akan menggalakkan lebih ramai wanita untuk menerima “kekuatan tubuh” mereka tanpa rasa takut atau bersalah.
“Tubuh kita sebenarnya jauh lebih berkemampuan daripada yang kita sangkakan. Apabila kita mula fokus pada prestasi, yang lain-lain juga akan mula tersusun dengan sendirinya,” ujar beliau.