Diancam jadi Pulau Tinggal, Penduduk Bergantung Harap Pada Pelancongan

B
ahagian pertama daripada laporan tiga artikel ini menumpukan pada Pulau Besar dan persoalan adakah pelancongan lestari dapat menyelesaikan isu yang dihadapi oleh penduduknya.

 

Di lobi sebuah daripada tiga resort di sini, sekumpulan pelancong yang masing-masing mengenakan topi bertepi lebar, berhimpun dengan bagasi mereka, menunggu untuk menaiki bot ke pekan Mersing, menandakan berakhirnya cuti hujung minggu.

Di langit, matahari memancar terik menyimbahkan cahayanya ke permukaan biru kehijauan Taman Marin Sultan Iskandar di Laut China Selatan itu, dengan ombak yang bergemerlapan bergulung perlahan ke pantai berpasir putih.

Ketika deruan enjin bot semakin sayup kedengaran menjauhi pulau yang dulunya dikenali sebagai Pulau Babi Besar itu - menurut legenda, pulau ini terbentuk apabila seekor babi besar terjatuh dari sebuah jong saudagar China menuju Melaka - lambaian pepohon kelapa yang tumbuh meliar di pulau itu juga akhirnya terpaku diam. 

Sepelaung dari situ, Saudah Rastam, 65, duduk di buaian, sementara abangnya Jamil, 70, membaringkan diri di buaian rajut di depan rumah papan yang didiami bersama-sama dengan adik lelaki bongsu mereka itu. Masing-masing diam. Di tepi rumah, deretan basikal yang mereka sewakan kepada pelancong sedia menunggu ketibaan pelawat pada hujung minggu akan datang. 

Pulau kembali sunyi dengan hanya tidak sampai 20 penduduk masih setia menunggu ketibaan pelancong saban hujung minggu. Itupun termasuk aktivis pemuliharaan dan kakitangan resort, sementara penduduk asal yang turut dipanggil orang pulau, cuma tinggal beberapa orang. Lima tahun lalu, menurut Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020, ada 184 orang mendiami pulau yang menghadap laut lepas ini.

“Kalau boleh tu nak ramai. Tapi nak buat macam mana... mereka tak nak tinggal sini,” kata Saudah kepada Bernama.

Seperti orang pulau yang lain, Saudah juga mempunyai rumah di pekan Mersing, di mana beberapa orang anak serta cucunya tinggal. Tanpa kegiatan ekonomi setempat dan ketiadaan kemudahan asas seperti sekolah dan klinik, ramai penduduk  berhijrah ke tanah besar, di mana mereka menghantar anak ke sekolah, bekerja dan juga akses kepada penjagaan kesihatan.

Jumlah penduduk yang kian berkurangan bagaimanapun tidak menghalang usaha kerajaan untuk menjadikan Pulau Besar dan tapak taman marin itu sebagai destinasi pelancongan lestari. Di sebalik keindahannya, pulau yang kaya dengan kepelbagaian hidupan marin ini tidak begitu dikenali. 

Penurunan jumlah penduduk ini berpunca daripada gabungan kesan perubahan iklim dan kehilangan sumber ekonomi. Pada 1970-an, semasa Pulau Besar dilanda taufan yang menjadi punca perpindahan penduduknya, para saintis di seluruh dunia baru sahaja mencapai kata sepakat tentang perubahan iklim, dan bahawa ancaman jangka panjang terbesar ialah pemanasan global yang memburukkan lagi kejadian cuaca ekstrem.

Pakar tempatan kini berharap dengan membalikkan penghijrahan keluar akan bukan sahaja membantu mengurangkan kesan perubahan iklim tetapi juga mengekalkan cara hidup orang pulau serta peranan mereka sebagai penjaga pulau itu.

 

KETUPAT DAN RIBUT

Sementara itu, tidak ubah seperti ahli silap mata yang menghiburkan kanak-kanak, Saudah atau Mak Udah dalam kalangan penduduk setempat, tangkas menganyam dua jalur daun kelapa yang seakan reben menjadi kelongsong ketupat berbentuk buah manggis. 

Kemahirannya yang dipupuk sebagai hobi mengisi masa luang di waktu malam, kini berdepan “kepupusan”, kerana Saudah antara segelintir pakar menganyam ketupat menjadi bentuk-bentuk luar biasa yang masih hidup.

--fotoBERNAMA 2025. HAK CIPTA TERPELIHARA.

Setakat ini dia belum dapat mewariskan kemahiran itu kepada generasi pelapis.

“Diorang (mereka) tak berminat nak belajar,” katanya yang mempunyai 13 orang cucu, menambah apabila dia meninggal kelak, tidak ada lagi orang yang tahu menganyam ketupat cara orang Pulau Besar.

Warga emas ini telah banyak kali menjuarai pertandingan menganyam ketupat di pulau itu yang kali terakhir diadakan kira-kira sedekad lalu.

Ketiadaan pertandingan menganyam ketupat itu bukan satu-satunya kesan daripada penghijrahan penduduk, kerana nasib sama juga hampir menimpa kumpulan ghazal pulau. Kecuali pemain biola, kesemu ahli lain telah meninggal dunia.

Selain itu, ahli asal kumpulan zapin pulau (tarian tradisional Johor namun gerak tari hanya diketahui oleh orang pulau) cuma berbaki tiga orang, meskipun mereka berjaya merekrut penari pelapis dari tanah besar yang ada pertalian dengan pulau itu.

Ahli biologi marin dan Pengarah Eksekutif  Tengah Island Conservation Noor Azariyah Mohtar yang mengagumi gerak tari zapin pulau berkata tarian itu merupakan penghormatan kepada nenek moyang mereka yang kebanyakannya nelayan.

“Satu daripada langkah tarian menggambarkan mereka seolah-oleh sedang mendayung perahu macam nelayan. Memang menakjubkan,” katanya sambil menunjukkan gerakan tersebut.

Beliau, seperti pakar pemuliharaan lain, sedang berusaha menyelamatkan dan menghidupkan semula budaya pulau. Aktivis melihat penduduk setempat sebagai komponen penting dalam usaha memelihara daya tarikan dan kepelbagaian biologi pulau, kerana mereka telah beradaptasi dengan sempurna dalam ekosistem pulau itu. 

Kekhuatiran di sebalik itu ialah apabila budaya pulau hilang, rasa hormat anak watan terhadap warisan pulau mereka dan hubungan dengan tanah tersebut juga akan lenyap, digantikan oleh orang asing yang langsung tidak menghargai.      

Sejak kecil, orang pulau dididik agar menghormati dan hidup seiring dengan alam semula jadi, tahu sebanyak mana boleh diambil, waktu yang tepat untuk mencuba nasib, beralah dan berundur, selain tahu membaca isyarat yang ditunjukkan oleh alam.

 “Pokok (ketapang) tu, akan gugur daun pada hujung bulan 10, awal bulan 11, menandakan pertukaran angin monsun,” kata Abdul Ghaffar Ismail, lebih dikenali sebagai Pak Adun yang mengusahakan Warung Pak Adun yang turut berfungsi sebagai kedai runcit di pulau itu.

“(Pokok ketapang) macam ada musim luruh (sendiri). Pokok lain semua okey je.” 

Tambahnya sejak beberapa tahun lalu, keadaan cuaca di luar tempoh monsun, iaitu dari Mac atau April hingga November atau Disember semakin buruk, sukar dijangka berbanding ketika dia baru menetap di pulau itu bersama-sama dengan arwah isterinya pada 2012. Arwah isteri merupakan penduduk Pulau Besar, bagaimanapun disebabkan oleh dia juga anak pulau, berasal dari Pulau Tioman yang terletak di utara Pulau Besar, Abdul Ghaffar dapat menyesuaikan diri dengan mudah. 

“Cuaca tak menentu sekarang, macam dah masuk musim (monsun). Ribut boleh melanda bila-bila masa tanpa diduga. Dulu bulan April dan Mei selalunya cuaca cantik, kan?” ujarnya kepada Bernama.  

 

LIMPAHAN RIBUT

Eksodus penduduk ke tanah besar bermula sejak berdekad dulu, disebabkan oleh  bencana taufan yang sudah hampir dilupakan oleh kebanyakan masyarakat setempat.

Namun, kesemua mereka bersetuju ribut yang buruk itu berlaku ketika musim monsun pada 1970-an, namun masing-masing bercanggah dari segi tahun kejadian tersebut berlaku. Ada yang kata 1978, yang lain pula 1974 atapun 1971. Carian laporan berita dalam talian juga tidak membuahkan sebarang hasil berhubung kejadian ribut itu.

--fotoBERNAMA 2025. HAK CIPTA TERPELIHARA.

Akan tetapi, semua penduduk reda dengan kemusnahan yang ditinggalkan oleh taufan tersebut termasuk satu-satunya sekolah, klinik dan juga balai polis.

Pada masa itu, terdapat kira-kira 500 penduduk akan tinggal di Pulau besar, demikian menurut Tuk Kelana Ali Kahar, ketua Kampung Busong, Pulau Besar.

Apabila semua fasiliti terbabit dimusnahkan, pihak berwajib memutuskan untuk tidak membina semula kemudahan berkenaan kerana jumlah populasi yang terlalu kecil.

“Selepas Felda diwujudkan, ramai orang pulau berpindah ke tanah rancangan Felda (di tanah besar), (kerana bagi sesetengah orang pulau) anak mereka bersekolah, jadi mereka perlu berpindah ke Mersing,” katanya.

Apabila penduduk berpindah keluar, begitu juga ekonomi pulau itu. Ramai yang bekerja di tanah besar dan tinggal di sana. 

Begitupun pulau ini masih ada “talian hayat”. Dipenuhi dengan pokok kelapa, kegiatan ekonomi utama ketika itu ialah membekalkan kelapa tua ke sebuah kilang di tanah besar untuk menghasilkan santan dan minyak kelapa. Namun, industri itu berakhir pada suatu malam apabila kapal kargo yang digunakan untuk mengangkut kelapa tua tersebut hilang tanpa jejak.

“Sejak kapal kargo itu karam atau dihanyutkan ombak, mereka berhenti daripada membawa keluar kelapa kering,” kata Nurul Aida Amanina Mohd Roslan, pengurus projek ‘Besar Bersih’ yang dijalankan oleh TIC. Beliau memberitahu Bernama tidak ada siapapun yang tahu bagaimana kapal itu boleh lenyap begitu sahaja kerana, kata penduduk, cuaca pada malam itu baik. 

Kelapa kekal penting dalam kehidupan di pulau itu, meskipun tidak lagi dimanfaatkan untuk tujuan komersial secara besar-besaran. Sebaliknya, kelapa hadir dalam sajian masyarakat setempat, sama ada hidangan tradisional ataupun masakan baharu. Satu daripada juadah istimewa di pulau ini ialah karipap berintikan ikan yang disalai dengan sabut kelapa. 

Di dinding kedai makan Abdul Ghaffar pula tergantung papan tanda bertulis “Ais Krim Kelapa Asli Pulau”.

 

HARAPAN KEBANGKITAN SEMULA 

Pada 1994, perairan sekitar Pulau Besar dan pulau-pulau lain diperuntukkan sebagai taman marin (Taman Marin Sultan Iskandar). Terletak di luar pesisir Mersing, taman marin itu meliputi 13 buah pulau dalam enam gugusan, iaitu Pulau Tinggi, Pulau Aur, Pulau Pemanggil, Pulau Besar, Pulau Sibu dan Pulau Rawa. Majoriti pulau itu tidak berpenghuni dan sehinggalah baru-baru ini, kekal hampir tidak terusik.

Usaha pelancongan di kawasan itu boleh dikatakan turun naik, dengan pembangunan yang sedikit, iaitu sesuatu yang dianggap oleh penduduk setempat dan aktivis alam sekitar sebagai baik untuk kelestarian alam walaupun kurang memberi manfaat kepada ekonomi komuniti setempat.

--fotoBERNAMA 2025. HAK CIPTA TERPELIHARA.

Namun, sepanjang beberapa dekad lalu, gugusan pulau di situ semakin mendapat perhatian. Kini, berhampiran jeti di Pulau Besar, sedang didirikan sebuah bangunan konkrit bertiang dengan separuh di pantai dan separuh lagi di laut. Menurut papan tanda projek, bangunan itu akan menempatkan sebuah klinik dan pejabat kerajaan - kemudahan pertama seumpamanya di pulau tersebut dalam tempoh beberapa dekad lalu.

Penambahbaikan infrastruktur itu membawa harapan baharu kepada penduduk pulau. Sejak beberapa dekad yang lalu mereka bukan sahaja menyaksikan ramai rakan dan jiran berpindah meninggalkan pulau, malah turut menjual tanah mereka kepada pemaju.

Tuk Kelana begitu berharap agar dengan tumpuan semula kepada pelancongan lestari di taman laut dan gugusan pulau, penduduk yang telah meninggalkan kampung halaman akan pulang kembali.

--fotoBERNAMA 2025. HAK CIPTA TERPELIHARA.

“Bila kita dapat wujudkan banyak peluang pekerjaan, banyak pelabur masuk kan? Mungkin banyak orang pulau balik, sebab cuma orang pulau yang boleh duduk pulau lama-lama dan buat kerja, orang luar payah sikit,” kata Tuk Kelana. 

Bagaimanapun dia dan penduduk lain menetapkan syarat. Mereka takut berlaku pembangunan secara berlebihan dan pelancongan besar-besaran yang berisiko memusnahkan cara hidup mereka.

“Tak perlulah macam Bali sangat. Banyak sangat orang,” celah Abdul Ghaffar. “Kita kan sayang tempat kita kan, tempat asal datuk nenek kita.”

© 2025 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.