Kecil Tapi 'Besar': Krisis Obesiti Kanak-Kanak Di Malaysia Kian Membimbangkan

L
aporan empat bahagian ini mengupas permasalahan obesiti dalam kalangan kanak-kanak di negara ini meliputi punca, kesan dan penyelesaian bagi menanganinya. Artikel ini  yang pertama. 

“Kadang-kadang rasa ‘down’ juga sebab saya tak dapat sertai banyak aktiviti fizikal dan sukan seperti rakan-rakan lain kerana faktor berat dan saiz badan. Saya rasa cepat penat, tidak boleh berdiri lama dan buat aktiviti lasak. 

“Tahun ini saya betul-betul berazam nak turunkan berat badan kerana saya nak hidup lebih sihat dan aktif,” demikian luah Muhammad Mikhael Qaiser Mohd Yuzaini yang mesra disapa Mikhael.

Mikhael, 14, seorang kanak-kanak yang berdepan masalah obesiti dan kini menjalani rawatan bagi menurunkan berat badan.

Konvensyen Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (CRC) dan Akta Kanak-Kanak 2001 mentakrifkan kanak-kanak sebagai seseorang yang belum mencapai usia 18 tahun. 

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Malaysia antara negara di Asia Tenggara yang mempunyai kadar obesiti kanak-kanak tertinggi dan data menunjukkan kadar itu meningkat secara berterusan sepanjang 15 tahun lalu dengan lebih 30 peratus mereka yang berumur lima hingga 17 tahun diklasifikasikan sebagai berlebihan berat badan atau obes pada 2022.

Satu kajian bertajuk "Prevalence of childhood overweight and obesity in Malaysia: a systematic review and meta-analysis" yang diterbitkan pada November 2024, turut mendedahkan prevalens kanak-kanak yang mempunyai berat badan berlebihan, obesiti dan berat berlebihan secara keseluruhan di Malaysia meningkat hampir sekali ganda dalam tempoh 26 tahun!

Rujukan WHO 2007

Pada 2022, WHO melaporkan sebanyak 37 juta kanak-kanak bawah umur lima tahun serta 370 juta yang berusia lima hingga 19 tahun dikategorikan mempunyai berat badan berlebihan.  Selain itu, 160 juta daripada golongan berumur lima hingga 19 tahun ini hidup dengan obesiti.

Berat berlebihan merujuk deposit lemak dalam badan melebihi kadar normal, sementara obesiti ialah penyakit kronik lebih serius, juga melibatkan lemak berlebihan, yang boleh menjejaskan kesihatan.

Obesiti boleh meningkatkan risiko mendapat diabetes jenis 2 dan penyakit jantung, menjejaskan kesihatan tulang dan reproduktif serta meningkatkan risiko beberapa jenis kanser. Obesiti juga boleh menjejaskan kualiti hidup akibat kesukaran untuk tidur atau bergerak.

Diagnosis berat berlebihan dan obesiti dibuat dengan mengukur ketinggian dan berat seseorang, serta mengira indeks jisim badan (BMI): berat (kg)/tinggi² (m²). Kategori BMI bagi mengukur obesiti dalam kalangan bayi, kanak-kanak dan remaja adalah berbeza mengikut umur dan jantina.

 

ANAK JENIS “PEMAKAN”

Ketika Mikhael berumur 11 tahun dengan berat badan 70 kilogram (kg), kanak-kanak itu ditawarkan menyertai satu kajian yang dijalankan oleh pakar pediatrik daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi menangani masalah obesitinya.

Pakar pediatrik sebelum itu memaklumkan ibu bapanya bahawa Mikhael mempunyai peluang 50 peratus diberikan sama ada ubat atau plasebo bagi tujuan menurunkan berat badan.

Atas keinginan dan semangat untuk cuba menurunkan berat badan anak mereka selepas pelbagai usaha yang dijalankan sebelum itu tidak berhasil, ibu bapa Mikhael bersetuju menyertai kajian tersebut.

Sepanjang empat tahun mengikuti program itu sejak 2021 dan menerima rawatan jenis suntikan, berat badan Mikhael sebaliknya meningkat dan mencecah 103 kg pada awal Ramadan lalu (Mac) dengan ketinggian 168 cm.

(Mikhael kemudian disahkan telah ditempatkan dalam kumpulan plasebo, bermakna kanak-kanak itu tidak menerima ubat sebenar sepanjang tempoh kajian, sekali gus menjelaskan ketiadaan perubahan ketara dari segi berat badannya walaupun mengikuti program yang tersusun).

Situasi itu menimbulkan kebimbangan ibu bapa Mikhael yang kembali membawanya ke Klinik Obesiti  Pediatrik PPUM untuk rawatan seterusnya dengan harapan anak mereka mampu mencapai berat badan ideal bagi ketinggiannya, iaitu 65 hingga 70 kg. 

Muhammad Mikhael Qaiser Mohd Yuzaini, 14, bersama ibu bapanya, Zaliza Mat Som dan Mohd Yuzaini Abu Bakar.

Bermula awal April lepas, Mikhael disarankan mengambil metformin 500 miligram (mg), bagi membantu meningkatkan kecekapan insulin (juga sejenis ubat bagi mengawal kandungan gula dalam darah). Untuk dua minggu pertama dia perlu mengambil sebiji sekali sehari dan selepas itu dua tablet. Dia juga perlu berjumpa doktor setiap tiga bulan untuk rawatan susulan.  

Berkongsi lanjut, bapanya Mohd Yuzaini Abu Bakar, 48, berkata anak tunggalnya itu memang comel dan montel sejak bayi.

Mikhael juga katanya gemar minum susu dan mampu menghabiskan lapan botol susu formula bersaiz besar dengan sukatan penuh dalam sehari, yang diberikan hingga dia berusia tiga tahun. 

Juruteknologi Makmal Perubatan PPUM yang menetap di Taman Medan, Petaling Jaya itu berkata dia dan isteri mula merujuk pakar pediatrik semasa Mikhael berusia empat tahun, selepas bimbang dengan peningkatan ketara berat badan anak mereka.

“Anak saya jenis ‘pemakan’ dan tidak memilih. Tidak kiralah yang dimasak atau dibeli, semua dia okey (makan) saja termasuklah minuman atau makanan yang tular. Pernah satu ketika, bila kami keluar dia mesti mahukan minuman daripada outlet kopi jenama popular walaupun sedar minuman itu tinggi kandungan gula. Kita pula sebagai ibu bapa, kadang-kadang tidak sampai hati bila anak dah minta.

“Rutin hariannya, pagi selepas subuh kami akan hantar ke rumah pengasuh (transit) sebelum dia ke sekolah dan kami ke tempat kerja. Di rumah pengasuh dia akan beli nasi lemak atau mi goreng di kedai berhampiran untuk sarapan. Itu memang kegemarannya.

“Di sekolah pula apabila waktu rehat, biasanya dia akan beli nasi lemak atau mi goreng lagi. Balik tengah hari ke rumah pengasuh sebelum bersiap ke sekolah agama petang (sekolah tahfiz), dia akan makan tengah hari bekalan yang dimasak oleh ibunya. Biasanya isteri saya akan bekalkan lebih sebab bimbang dia lapar (kerana) bersekolah hingga petang.

“Petang di sekolah agama pula memang disediakan makanan, dan menjadi kelaziman di sekolah tahfiz ramai orang akan infaq makanan. Balik sekolah 7 malam, kita akan makan malam bersama,” katanya, menambah di rumah sentiasa ada stok makanan seperti roti, biskut, coklat, buah-buahan dan mi segera untuk dimakan sekiranya Mikhael berasa lapar pada waktu lewat malam.

 

MUNGKIN FAKTOR GENETIK

Walaupun tidak pernah menjalani sebarang ujian bagi pengesahan, Mohd Yuzaini berkata punca obesiti Mikhael mungkin ada kaitan dengan genetik, bukan pemakanan semata-mata.

Malaysia terkenal dengan kepelbagaian makanan tradisi kaum dan kekayaan budaya di negara ini.

“Ahli keluarga saya ramai yang ada masalah obesiti. Saya sendiri dulu aktif sukan ragbi. Bila bersukan kita makan dan aktif jadi benda tu seimbang. Lepas berhenti sukan dan fokus pada kerja, kurang aktiviti fizikal, berat saya naik mencecah 165 kg dengan ketinggian 176 cm.

“Saya ada enam orang adik-beradik. Saya yang sulung, nombor dua meninggal dunia akibat sakit jantung berpunca daripada obesiti. Nombor tiga pun obes. Adik yang keempat obes dan kaki dah kena potong sebab diabetes. 

“Pada 2007 saya ambil keputusan buat pembedahan bariatrik susulan nasihat doktor yang memaklumkan jika saya tidak jalani prosedur tersebut pada masa itu, saya berisiko dapat penyakit popular ‘tiga serangkai’ - kencing manis, tekanan darah tinggi dan jantung.

“Dua tahun selepas jalani bariatrik, berat saya sekitar 107 kg, dan kalau naik pun sikit saja kerana selepas prosedur itu saya sukar untuk terima ‘solid food’. Alhamdulillah, tekanan darah dan gula saya yang sebelum ini sipi-sipi juga kembali stabil,” katanya.

Mengulas rawatan yang diterima Mikhael sekarang, dia berkata pendekatan itu menggabungkan kepakaran tiga klinik, iaitu pediatrik, perubatan sukan dan dietitik di bawah satu bumbung Klinik Obesiti Pediatrik PPUM.

Doktor perubatan sukan mengusulkan beberapa jenis senaman yang boleh dilakukan oleh Mikhael seperti turun naik tangga selama 30 minit setiap hari dan menggunakan pedal pengayuh yang boleh dilakukan pada bila-bila masa.

“Kita cuba buat masa bulan puasa lepas, dan alhamdulillah, selepas raya kita tengok berat dia turun tiga kg. Kita akan terus ikut cara yang dicadangkan dengan berpuasa dan senaman, kita sasarkan untuk dapat 90 kg menjelang hujung tahun ini.

 

UBAH CORAK PEMAKANAN KELUARGA

Mohd Yuzaini berkata beliau dan isterinya, Zaliza Mat Som, 58, telah mula mengawal pemakanan anak mereka.

Aktiviti riadah perlu dijadikan jadual harian bagi memupuk kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak.

“Kita mula kawal pemakanan dia seperti saranan doktor, tidak ambil sarapan pagi, buat ala-ala ‘intermittent fasting’ dan makanan pertama setiap hari ialah ketika waktu rehat sekolah.

“Untuk makan tengah hari dan malam, kita cuba kurangkan bahagian, iaitu nasi cuma segenggam (beras jenis rendah Indeks Glisemik), kurangkan makanan berminyak dan berlemak dan melebihkan sayur-sayuran serta buah-buahan,” katanya, menambah sasaran itu mesti dicapai kerana pada berat melebihi 100 kg, Mikhael berisiko alami pradiabetes. 

Mohd Yuzaini pada masa sama berkata melalui perubahan corak pemakanan dan senaman yang dilakukan, isterinya secara tidak langsung turut mengalami penurunan berat badan. 

“Kami nak sama-sama sokong Mikhael untuk dapat berat badan ideal, jadi kami pun kena sama-sama berubah ke arah gaya hidup yang lebih sihat,” katanya. 

Mencadangkan agar pihak sekolah menjalankan program kesihatan melibatkan pakar pemakanan, jurulatih senaman dan kaunselor emosi untuk pelajar dan ibu bapa dengan lebih kerap, ini katanya dapat memberi pendedahan dalam menangani isu obesiti secara holistik di samping kesedaran penyakit berkaitan obesiti.

“Ibu bapa juga perlu dimaklumkan keadaan anak mereka, terutama apabila pihak sekolah ada menjalankan ujian tertentu. Sebagai contoh, Ujian Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan Untuk Murid Sekolah Malaysia (SEGAK) yang secara tidak langsung dapat membantu mencegah obesiti dalam kalangan pelajar,” katanya.

SEGAK ialah ujian kecergasan fizikal wajib yang dijalankan dua kali setahun di semua sekolah kerajaan di Malaysia, bertujuan mengukur tahap kecergasan fizikal murid berdasarkan petunjuk kesihatan.

 

IBU BAPA SURI TELADAN 

Sementara keluarga Mikhael memainkan peranan mereka, pakar berpendapat perubahan sebenar mesti bermula dari rumah dan disertai sokongan ibu bapa yang berterusan.

Berkongsi pendapat, jurulatih kecergasan yang popular dengan gelaran Cikgu Fitness Malaysia, Kevin Zahri berkata ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka, bukan sahaja dari aspek tingkah laku bahkan soal gaya hidup, kesihatan diri, pemakanan dan perlu sentiasa mengamalkan prinsip “lead by the example” dan “walk the talk.” 

Kevin Zahri, jurulatih kecergasan yang popular dengan gelaran Cikgu Fitness Malaysia,

Menurut beliau, berat badan berlebihan dan obesiti pada usia muda bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal, malah boleh mempengaruhi emosi, keyakinan diri dan mental seorang kanak-kanak.

“Tabiat yang sedentari dan kurang aktif itu mudah terbawa ke alam dewasa dan sukar untuk diubah. Jadi, ibu bapa perlu membantu anak-anak menetapkan sempadan masa untuk peranti dan permainan video serta memastikan mereka terlibat dalam aktiviti fizikal secara konsisten.

“Aktiviti fizikal atau waktu beriadah tidak seharusnya dijadikan ‘special occasion’, sebaliknya perlu dijadikan jadual harian bagi memupuk kesihatan mental, emosi serta pembangunan fizikal seorang kanak-kanak sejak usia kecil,” katanya.

Menyentuh program Cabaran Sihat 30 Hari yang dianjurkannya secara dalam talian setiap bulan sepanjang tahun, beliau berkata program itu menerima sambutan yang amat menggalakkan dengan banyak penyertaan secara sekeluarga.

“Ramai pada awalnya nak masukkan anak mereka yang ada masalah obesiti dan berat badan berlebihan ke program ini, namun saya sarankan mereka sertainya secara sekeluarga, bagi mengelakkan kanak-kanak itu ada rasa malu, tertekan dan rendah diri.

“Ternyata langkah saya itu bukan sahaja membuatkan ahli keluarga yang menyertai program ini lebih seronok, bahkan mendapat kehidupan yang lebih sihat dengan pendekatan yang menekankan konsep ‘fit family’ dan lebih bermakna apabila mereka dapat meluangkan masa bersama-sama dan saling menyokong,” katanya, menambah ibu bapa tidak boleh menyerahkan tugas menjaga kesihatan si anak kepada doktor atau pihak sekolah semata-mata.

Tambah Kevin, makanan tambahan boleh diambil contohnya untuk atlet atau bagi menampung kekurangan nutrien dan khasiat tertentu, namun ia bukanlah pengganti makanan kerana yang lebih utama ialah soal pemilihan makanan sihat bagi menjaga kesihatan diri. 

“Anak perempuan saya atlet negara untuk sukan tenis manakala anak lelaki saya atlet dan menjalani latihan bola empat kali seminggu. Mereka juga mengambil makanan tambahan untuk membantu tumbesaran, yang ada multivitamin bagi menampung kekurangan yang perlu. 

“Sebagai ibu bapa kita perlu mengambil tanggungjawab memimpin ‘our circle of influence’ atau keluarga sendiri. Mulakan secara kecil-kecilan seperti aktiviti fizikal bersama setiap hari Sabtu dengan berjalan kaki, bermain badminton atau pickleball,” katanya, menambah maklumat lanjut mengenai program beliau boleh didapati di laman web kevinzahri.com.

Kesimpulannya, pengalaman Mikhael menceritakan pelbagai faktor yang menyumbang kepada obesiti kanak-kanak, daripada kemungkinan kecenderungan genetik, gaya hidup keluarga, sehinggalah kepada tabiat pemakanan serta pengaruh emosi.

Situasi yang dialami Mikhael turut mencerminkan realiti pahit yang dihadapi oleh ramai lagi kanak-kanak di Malaysia apabila kesihatan mereka dibentuk secara senyap oleh rutin harian, norma sosial dan kekurangan aktiviti fizikal.

Kisah ini bukanlah sesuatu yang luar biasa, sebaliknya merupakan ‘wake-up call’. Sekiranya obesiti dalam kalangan kanak-kanak terus diabaikan atau dianggap perkara biasa, akibat jangka panjang terhadap kesihatan, kesejahteraan dan produktiviti negara boleh menjadi sangat serius.

Tindakan awal, sokongan keluarga dan kesedaran awam yang lebih kukuh amat penting untuk mengubah naratif ini bermula dengan seorang anak, satu keluarga pada satu masa.

Esok: Daripada diabetes jenis 2 ke hati berlemak dan apnea tidur, bahagian dua menyelami risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) terhadap kanak-kanak akibat obesiti dan kepentingan rawatan awal serta kesedaran awam.

[Laporan ini dihasilkan di bawah Program Media Fellowship “Komunikasi Penyakit Tidak Berjangkit (NCD)” anjuran Probe Media Foundation Inc. (PMFI), Reporting ASEAN (RA) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Pandangan dan pendapat yang dinyatakan dalam artikel ini tidak semestinya mencerminkan pandangan PMFI, RA dan WHO].

© 2025 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.