Masih Relevankah Hibah Selepas Boleh Dicabar Di Mahkamah?

I
su hibah iaitu pemberian harta secara sukarela semasa hayat seseorang individu umumnya dianggap muktamad dan tidak boleh dipertikai.

Namun begitu, keputusan Mahkamah Tinggi Sivil baru-baru ini mengejutkan banyak pihak apabila hibah takaful bernilai RM1 juta yang diberikan kepada balu sahih dari sudut syariah, dibatalkan selepas dibawa semula ke mahkamah sivil di bawah hukum faraid.

Perkara itu mencetuskan polemik di media sosial dengan ada yang mula mempersoalkan keabsahan hibah. Tidak kurang juga yang melabel ejen takaful mereka sebagai “scammer” selepas mengetahui hibah boleh dicabar di mahkamah.  

 

BOLEH DICABAR DENGAN SYARAT

Merungkai isu itu, peguam Dr Mahmud Abdul Jumaat menjelaskan hibah merupakan pemberian harta secara sukarela oleh seseorang kepada penerima ketika si pemberi masih hidup, dan lazimnya bertujuan mengelakkan perebutan harta pusaka di kemudian hari.

Hibah juga boleh merujuk pemilikan harta yang berpindah serta-merta kepada penerima melalui akad ijab kabul, tanpa sebarang balasan dan dilakukan atas dasar kasih sayang.

Hibah boleh dicabar di mahkamah oleh waris sekiranya terdapat kelemahan atau ketidakpatuhan tertentu.

“Namun begitu, realitinya hibah boleh dicabar di mahkamah oleh waris sekiranya terdapat kelemahan atau ketidakpatuhan tertentu, contohnya dokumen hibah yang tidak jelas atau tidak lengkap.

“Begitu juga jika pemberian hibah itu tidak memenuhi rukun dan syarat syarak seperti tiada ijab kabul yang sah, tiada persetujuan penerima, atau harta yang dihibah sebenarnya tidak dimiliki sepenuhnya oleh si pemberi, maka waris berhak mempersoalkan kesahihan hibah di mahkamah.

“Cabaran biasanya timbul apabila ada waris yang tidak berpuas hati, contohnya berasakan hibah tersebut menjejaskan hak faraid mereka atau mendakwa berlaku unsur penipuan atau paksaan dalam proses hibah berkenaan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut Mahmud, sekiranya hibah dibuat semasa si pemberi berada dalam keadaan marad al-maut (sakit tenat yang membawa kepada kematian), undang-undang syariah menganggapnya serupa dengan wasiat - pemberian itu tertakluk kepada had maksimum satu per tiga harta dan tidak boleh mengabaikan hak waris tanpa persetujuan mereka.

Beliau berkata dalam situasi begitu, waris boleh mencabar hibah tersebut dengan alasan melanggar hukum pembahagian harta pusaka Islam.

Mengulas lanjut dari sudut kerangka perundangan Malaysia, Mahmud menjelaskan isu hibah melibatkan bidang kuasa kedua-dua mahkamah syariah dan sivil.

Mahkamah syariah mempunyai kuasa khusus untuk mengesahkan kesahihan sesuatu hibah mengikut hukum syarak, manakala pentadbiran harta pusaka (proses agihan selepas kematian) terletak di bawah bidang kuasa sivil seperti Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi Sivil.

“Cabaran terhadap hibah boleh berlaku jika terdapat pertindihan atau kekeliruan dalam proses dua bidang kuasa ini, contohnya waris mungkin mencabar di mahkamah sivil bahawa harta tersebut masih sebahagian daripada pusaka yang perlu difaraidkan walaupun mahkamah syariah telah mengesahkan hibah itu sah.

“Inilah yang berlaku dalam kes hibah takaful baru-baru ini, iaitu isu teknikal perundangan (melibatkan Jadual 10, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (APKI) 2013 tentang penamaan hibah takaful) menyebabkan keputusan mahkamah syariah dan mahkamah sivil bercanggah.

“Secara keseluruhannya, hibah boleh dicabar jika ada asas dari segi syarat hukum atau undang-undang yang tidak dipenuhi. Namun, jika hibah dilaksanakan dengan teratur mengikut hukum syarak dan peraturan, ia biasanya akan diiktiraf sah dan tidak terbatal meskipun dicabar,” jelasnya.

 

FAHAM, TELITI PROSEDUR

Memetik pandangan pakar dan pengamal perancangan harta bahawa hibah kekal relevan sebagai instrumen pengagihan harta selagi dilaksanakan secara betul, Mahmud berkata hakikat boleh dicabar tidak bererti hibah itu tidak sah atau akan terbatal begitu sahaja, sebaliknya cuma bermaksud hibah bukan instrumen "kebal” yang langsung tiada ruang dipersoal. 

“Sesuatu yang boleh dicabar tidak semestinya tidak baik. Sama seperti wasiat atau dokumen undang-undang lain, hibah menyediakan penyelesaian yang baik dalam perancangan harta pusaka, namun perlu dibuat dengan teliti mengikut hukum. Malah, dalam kerangka hukum Islam, hibah dibenarkan dan dianggap instrumen yang sesuai diamalkan asalkan tidak bertentangan dengan faraid dan memenuhi ketetapan syarak.

“Hibah tetap sah di sisi undang-undang dan sah dipakai. Isu yang timbul baru-baru ini lebih menunjukkan kepentingan memahami proses perundangan hibah, bukannya menafikan manfaat hibah itu sendiri,” katanya.

Mengulas kes yang tular itu, beliau berkata keputusan mahkamah sivil tersebut juga belum muktamad kerana dijangka dirayu oleh pihak terlibat.

Sehubungan itu kata beliau, masyarakat tidak perlu panik, sebaliknya memahami cara hibah yang betul dan memperkemas proses hibah masing-masing. 

“Yang mustahak, kita perlu sedar bahawa hibah bukan jaminan mutlak atas kertas semata-mata, tetapi memerlukan pemahaman dan langkah pelaksanaan yang betul supaya niat si pemberi harta terlaksana dengan lancar tanpa pertikaian di kemudian hari,” katanya.

 

ALTERNATIF PINDAH MILIK, HARTA SEPENCARIAN

Menurut Mahmud, selain hibah, terdapat beberapa alternatif untuk menyalurkan harta atau wang kepada insan tersayang yang boleh mengurangkan risiko dicabar, antaranya melakukan pemberian terus semasa hidup melalui pindah milik biasa atau hadiah tanpa menggunakan dokumen hibah formal.

Dr Mahmud Abdul Jumaat, peguam.

“Sebagai contoh, seorang suami boleh menghadiahkan wang tunai atau memindahkan hak milik hartanah kepada isterinya secara sah ketika beliau masih hidup. Sebaik sahaja harta tersebut dinamakan atas nama isteri sebagai pemilik, ia jadi hak mutlak isteri dan tidak lagi termasuk dalam pusaka suami apabila suami meninggal dunia.

“Dengan kata lain, harta yang telah diberi semasa hidup tidak tertakluk kepada pembahagian faraid kerana pemilikan telah berpindah sebelum kematian. Pemberian secara langsung begini (sama ada melalui deed of gift, pindah milik di pejabat tanah bagi hartanah atau pemindahan baki akaun bank) boleh mengelakkan pertikaian kerana waris lain sudah tiada hak ke atas harta yang dihadiahkan itu.

“Selain itu, pasangan suami isteri juga boleh mempertimbangkan penggantian pemilikan bersama atau konsep joint ownership. Sebagai contoh, mendaftarkan aset seperti rumah atau akaun bank atas nama bersama suami dan isteri. Bergantung pada amalan perundangan, kaedah ini kadangkala membolehkan aset tersebut jatuh sepenuhnya kepada pemilik bersama yang masih hidup tanpa melalui proses pusaka (terutama jika didaftarkan sebagai joint tenancy),” katanya.

Selain itu, beliau berkata di Malaysia, bagi pasangan beragama Islam, si isteri juga boleh membuat tuntutan harta sepencarian di mahkamah syariah selepas kematian suami, dan begitu juga sebaliknya. Melalui tuntutan tersebut, mahkamah akan menentukan bahagian tertentu daripada harta yang diperoleh sepanjang perkahwinan sebagai hak isteri (contohnya separuh daripada rumah yang dibeli bersama dianggap milik isteri).

Beliau berkata bahagian yang diiktiraf sebagai harta sepencarian isteri dikeluarkan daripada senarai harta pusaka si mati, justeru tidak boleh dicabar oleh waris lain kerana sudah menjadi hak isteri sendiri. Langkah ini memastikan isteri mendapat bahagian yang adil hasil perkongsian sepanjang perkahwinan, di luar kerangka faraid.

“Satu lagi alternatif ialah menggunakan instrumen amanah (trust) untuk pemberian harta. Pemberi harta boleh melantik sebuah institusi pemegang amanah atau syarikat amanah (seperti Amanah Raya Berhad, atau syarikat pemegang amanah swasta) dan memindahkan aset tertentu kepada pemegang amanah tersebut melalui satu perjanjian amanah dengan arahan bahawa aset berkenaan dipegang bagi manfaat penerima yang dikehendaki.

“Sebagai contoh, seorang bapa boleh meletakkan sejumlah wang atau hartanah di bawah satu amanah untuk anaknya, dengan syarat-syarat tertentu. Apabila beliau meninggal, harta tersebut tidak termasuk dalam pusaka kerana telah dipegang di bawah amanah semasa beliau hidup.

“Pemegang amanah akan menyerahkan harta itu kepada si anak mengikut syarat amanah dan waris lain tidak boleh mencabar kerana harta itu secara undang-undang bukan lagi milik si mati pada saat kematian (telah dipegang bagi pihak penerima),” katanya, menambah penggunaan amanah melibatkan kos dan pengurusan profesional.

 

WASIAT BOLEH DICABAR

Menjelaskan mereka yang beragama Islam juga boleh mempertimbang untuk membuat wasiat, Mahmud berkata perkara itu dalam had yang dibenarkan, maksimum satu per tiga daripada harta (setelah ditolak hutang) kepada bukan waris, dan tidak boleh mewasiatkan kepada waris faraid melainkan dengan persetujuan waris-waris lain.

Wasiat merupakan hasrat atau pesanan bertulis atau lisan oleh seseorang, bagaimana hartanya perlu diagihkan setelah dia meninggal dunia dan hanya berkuat kuasa selepas kematian.

Wasiat merupakan hasrat atau pesanan bertulis atau lisan oleh seseorang, bagaimana hartanya perlu diagihkan setelah dia meninggal dunia dan hanya berkuat kuasa selepas kematian.

“Sekiranya wasiat melebihi had atau dibuat tanpa persetujuan yang lain, maka wasiat tersebut boleh dicabar dan tidak akan dikuatkuasakan bagi bahagian yang melanggar aturan (bahagian yang melebihi satu per tiga akan kembali kepada pembahagian faraid, manakala wasiat kepada waris tanpa izin akan terbatal kecuali dipersetujui semua).

“Wasiat bagi orang Islam perlu disahkan melalui Perintah Pengesahan Wasiat di mahkamah syariah manakala untuk bukan Islam melalui proses probet di mahkamah sivil sebelum harta dapat diagihkan. Wasiat memerlukan masa dan boleh dipertikai jika ada isu sah taraf wasiat tersebut,” katanya.

  

PASTIKAN DOKUMEN JELAS, LENGKAP

Bagi memastikan hibah yang dibuat kukuh dan sukar dicabar oleh mana-mana pihak, Mahmud berkata pemberi dan penerima hibah perlu memastikan dokumen hibah disediakan dengan jelas dan lengkap, melibatkan segala butiran seperti pengenalan pemberi dan penerima, keterangan harta yang dihibahkan, lafaz akad (ijab kabul) hibah dan tandatangan serta saksi hendaklah dinyatakan dengan teratur.

Beliau berkata dokumen hibah perlu bebas daripada keraguan dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh hukum syarak serta undang-undang semasa.

“Adalah lebih baik hibah dibuat secara bertulis (berbanding hibah lisan semata-mata) kerana dokumen bertulis menjadi bukti kukuh niat dan persetujuan semua pihak. Malah, sesiapa yang ingin menghibahkan harta digalakkan mendapat pengesahan mahkamah syariah bagi hibah tersebut, di samping memastikan dokumen disediakan secara bertulis rasmi.

“Pengesahan mahkamah syariah (melalui perintah pengesahan hibah) akan mengesahkan bahawa hibah tersebut sah menurut hukum, sekali gus mengikat waris-waris lain untuk akur pada pemberian itu.

“Proses ini mungkin melibatkan hadir ke mahkamah dengan membawa dokumen hibah dan saksi, namun hasilnya sangat membantu mengelakkan pertikaian di kemudian hari. Pemberi hibah juga dinasihatkan mendapat khidmat nasihat profesional seperti peguam syarie, pegawai di institusi agama atau perunding pusaka sebelum dan semasa membuat hibah,” katanya.

Mahmud, pada masa sama, berkata pakar boleh memastikan tiada aspek teknikal yang tercicir (contohnya jika harta masih bercagar, cara mendapat kebenaran pihak bank; atau jika melibatkan hibah takaful, mematuhi prosedur penamaan dengan betul).

Selain itu, beliau berkata ada baiknya juga menggunakan khidmat syarikat amanah atau perancang pusaka bertauliah yang menawarkan perkhidmatan dokumentasi hibah kerana mereka berpengalaman dan akan memastikan semua prosedur (termasuk urusan tukar milik harta, jika perlu) dilengkapkan mengikut undang-undang, sekali gus menutup kelompongan yang mungkin dieksploitasi dalam cabaran mahkamah.

“Komunikasi dengan waris tentang niat hibah juga boleh membantu mencegah salah faham di masa depan. Sememangnya dari segi hukum, seseorang tidak perlu meminta izin waris lain untuk menghibahkan hartanya kepada sesiapa yang dikehendaki.

“Namun, secara praktikal, apabila ahli keluarga tahu lebih awal tentang hasrat pemberi untuk menghibahkan harta tertentu kepada penerima pilihan, mereka mungkin lebih reda dan kurang cenderung mempertikaikan di mahkamah selepas si pemberi tiada kelak,” katanya, menambah langkah itu opsyenal namun digalakkan demi keharmonian keluarga.

 

WASI ATAU HIBAH?

Sementara itu, Pengurus Al-Isra' Group Reefa Shahidah Mohd Razali berkata isu hibah takaful dipertikaikan di mahkamah tidak timbul jika pelaksanaannya mematuhi kerangka perundangan sedia ada, khususnya di bawah APKI 2013.

Reefa Shahidah Mohd Razali, Pengurus Al-Isra' Group.

Beliau berkata hibah yang diamalkan dalam industri takaful kini ialah hibah bersyarat, iaitu hadiah atau pemberian yang dibuat secara terus oleh pemegang polisi  kepada penerima yang dinamakan dalam sijil takaful.

“Tiada isu untuk mengatakan ejen takaful menipu kerana pelaksanaan hibah ini berpandukan pada peruntukan sah dalam APKI 2013, khususnya Jadual 10 yang memperuntukkan tentang instrumen hibah.

“Pengurusan hibah dalam takaful hari ini berbeza dengan pelan lama sebelum wujudnya APKI 2013. Sebelum akta tersebut dikuatkuasakan, kebanyakan pelan hanya menggunakan konsep wasi, iaitu pemegang amanah, dan bukannya hibah yang bersifat pemilikan mutlak.

“Kerana itulah dulu ada kekeliruan, sebab tidak disebut dengan jelas bagaimana pemberian kepada waris dibahagikan, sama ada melalui hibah atau wasi. Sekarang ini jelas. Dalam pelan takaful terkini, hibah bersyarat adalah sah dan mempunyai asas undang-undang,” katanya, menambah penamaan hibah adalah sah dan tidak boleh dipertikaikan kecuali jika berlaku unsur penipuan atau pelanggaran kontrak.

Menekankan pengamal industri takaful sentiasa berpegang pada prinsip dan peraturan yang sah, beliau berkata kumpulan itu tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan berhubung hibah.

“Semuanya bersandarkan undang-undang. Malah, pihak kami menggalakkan pelanggan memahami sepenuhnya konsep hibah bersyarat sebelum menandatangani sebarang polisi,” katanya.

© 2025 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.