B
unyi lantunan alu berlaga dengan dasar lesung kayu menyambut ketibaan kami di Kampung Gintong di sini, menambahkan lagi kemeriahan suasana seakan festival dengan riuh-rendah penduduk dan pengunjung itu.
Tertanya-tanya tentang aktiviti mereka, kami diberitahu penduduk kampung sedang mengemping padi - satu tradisi turun-temurun masyarakat setempat yang dilakukan pada musim menuai padi saban tahun.
Emping padi ialah sejenis makanan ringan yang mungkin tidak lagi dikenali oleh generasi muda sekarang, diperbuat daripada padi muda atau belum masak sepenuhnya dan lazimnya dihidangkan sebagai juadah minum petang.
Bagi penduduk Kampung Gitong yang terletak kira-kira 21 kilometer dari pekan Jerantut, tradisi mengemping merupakan acara yang ditunggu-tunggu mereka khususnya generasi tua, kerana pada waktu itu mereka akan bergotong-royong menghasilkan makanan tradisional tersebut sambil mengeratkan ukhuwah.
Bukan itu sahaja, pada acara tersebut turut diadakan aktiviti sampingan bagi memikat golongan muda dan kanak-kanak, antaranya pertandingan memancing di tali air, sukan rakyat serta bermain lumpur di sawah.

Aktiviti mengemping padi dilakukan secara bergotong-royong oleh penduduk Kampung Gintong. (Gambar Ihsan: Zulhilmi Weng)
Tuah menyebelahi kami - peserta Ekspedisi Sumber Air (EKSAN) 2025 ke Lembangan Sungai Pahang anjuran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) - kerana penduduk sudi mengadakan aktiviti warisan budaya golongan petani Melayu yang kian dilupakan itu khusus untuk kami.
(EKSAN 2025 melibatkan 100 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk institusi pengajian tinggi, merupakan edisi ketujuh program yang bertujuan meningkatkan kesedaran pemuliharaan air dalam Pembangunan Sistem Pengurusan Imbangan Air Negara (NAWABS) yang diterajui oleh JPS.
Berlangsung dari 30 Jun hingga 2 Julai lalu, EKSAN 2025 membawa peserta ke beberapa lokasi penting di lembangan Sungai Pahang yang menjadi sumber utama bekalan air bagi negeri itu.)
PROSES MENGEMPING
Tertarik dengan aktiviti itu, penulis mendekati seorang penduduk yang tekun menyangai padi, Hariani Zakaria, 62.
Menurut suri rumah itu, penanaman padi merupakan punca pendapatan utama penduduk kampung itu yang mengusahakan sawah seluas kira-kira 200 hektar.
Katanya aktiviti mengemping itu yang juga acara wajib mereka, dilakukan semasa musim menuai, iaitu antara Mei dan Julai saban tahun, dan akan diadakan secara besar-besaran sekiranya ada pelawat seperti rombongan sekolah atau korporat.
"Emping dianggap makanan istimewa dan dihasilkan daripada padi muda yang ditumbuk halus dan biasanya dinikmati ketika minum petang atau dihidangkan kepada tetamu.
"Untuk buat emping ini padi perlu melalui beberapa proses. Padi mesti yang baru dituai, kemudian perlu direndam selama satu hingga dua hari. Air rendaman pula kena tukar setiap hari agar padi kekal segar. Selepas itu padi tersebut digoreng tanpa minyak atau sangai," kongsinya, menambah semasa disangai padi perlu dikacau tanpa henti.
“Kena sangai sampai padi meletup-letup, menandakan telah kering sepenuhnya. Kemudian barulah kita masukkan ke dalam lesung untuk ditumbuk,” jelasnya lagi.

Hariani Zakaria, 62, menampi butir padi yang telah leper menggunakan nyiru bagi mengasingkan emping daripada kulit padi atau sekam
Menurutnya, proses menumbuk dijalankan oleh orang lelaki menggunakan lesung hindik atau lesung kaki, bertujuan meleperkan butir-butir padi sehingga menjadi emping.
"Semasa lesung hindik itu dipijak mengikut rentak, padi dituas-tuas menggunakan penuas diperbuat daripada buluh yang dibelah dua. Tukang tuas ini perlu mahir mengikut rentak agar penuas tidak berlaga dengan alu,” katanya, menambah persefahaman antara tukang tuas dan mereka yang menghindik lesung amat penting.
Bercerita lanjut, Hariani berkata butir padi yang telah leper kemudian ditampi menggunakan nyiru bagi mengasingkan emping daripada kulit padi atau sekam.
“Emping yang siap ditampi boleh dihidangkan mengikut selera masing-masing. Kebiasaannya saya akan sediakan dua jenis, iaitu emping dicampur dengan kuah santan yang dimasak dengan gula kabung, ataupun yang kering digaul bersama-sama kelapa muda parut dan gula.
"Tradisi memasak dan memakan emping ini mungkin agak asing dalam kalangan generasi muda namun apabila mereka merasai emping buat kali pertama, rasanya sama seperti memakan bijirin oat," katanya.
Penulis yang pertama kali memakan emping padi bersetuju; rasanya tidak ubah seperti bijirin oat dan enak dimakan kering, iaitu digaul dengan kelapa parut berserta gula melaka.
KEKALKAN TRADISI TURUN-TEMURUN
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Gintong Shahrulwizam Harun berkata aktiviti mengemping itu menjadi acara tahunan bagi menarik pengunjung dari dalam dan luar daerah yang ingin melihat sendiri proses pembuatan emping, selain memperkenalkan tradisi tersebut kepada generasi muda.
"Kegiatan ini harus dijadikan produk ekopelancongan di Kampung Gintong, kerana selain dapat memperkenalkan tradisi turun-temurun ini kepada pelancong, mereka juga dapat merasai suasana kampung dengan penduduknya melakukan aktiviti secara bergotong-royong.
"Malah, penduduk di sini turut membuat satu lesung hindik yang dihasilkan daripada kayu pokok bungor atau leban, khusus untuk kegiatan mengemping,” katanya.
Katanya kedudukan Kampung Gintong yang terletak bersebelahan dengan Sungai Pahang itu sangat strategik untuk aktiviti pertanian, khususnya penanaman padi sawah dengan bekalan air mencukupi dari Sungai Pahang yang disalurkan menerusi rumah pam khas oleh JPS.

Kampung Gintong yang terletak bersebelahan dengan Sungai Pahang, bergantung kepada sumber airnya untuk aktiviti pertanian dan sawah padi.
"Sistem tali air kami bersambungan dengan rumah pam dari Sungai Pahang dan sentiasa dipantau oleh pihak JPS bagi memastikan bekalan air mencukupi serta kualiti air bersih untuk sawah padi dan aktiviti pertanian serta penternakan ikan patin, terutamanya ketika musim kemarau," katanya.
Rumah Pam Paya Gintong yang dikendalikan oleh JPS berfungsi sebagai infrastruktur untuk membekalkan air kepada Skim Pengairan Paya Gintong yang berkeluasan 250 ekar (100 hektar).
Pam jenis elektrik Acrylonitrile Butadine Styrene (ABS) itu digunakan untuk membekalkan air ke kawasan sawah melalui sistem tali air jenis konkrit sejauh 3.2 km.

Rumah Pam Skim Paya Gintong yang dikendalikan oleh Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS)
KUALITI AIR BERSIH PEMANGKIN HASIL TANAMAN PADI
Sementara itu, pensyarah kanan Fakulti Kejuruteraan Kelautan dan Informatik, Universiti Malaysia Terengganu Dr Mohd Sofiyan Sulaiman yang turut menyertai EKSAN 2025, berkata selain paras air, kadar keasidan atau kealkalian air (pH), tahap kemasinan dan logam berat merupakan tiga kualiti utama yang boleh menjejaskan hasil padi.
"pH yang terlalu berasid, kemasinan air serta kandungan logam berat yang berkumpul di tanah boleh menjejaskan hasil pengeluaran... selalunya dikaitkan dengan pencemaran air dan senang berlaku ketika musim kemarau.
"Selalunya pemantauan ketiga-tiga kualiti utama air ini akan dilakukan oleh JPS dan Jabatan Alam Sekitar dengan mengambil sampel air secara 'composite sample', iaitu diambil di beberapa lokasi sepanjang sungai dengan kedalaman sekurang-kurangnya 0.5 meter dari permukaan air.
Bacaan nilai pH selalunya akan diambil secara 'on site' dengan menggunakan meter mudah alih dengan kadar segera kerana perubahan pada suhu air boleh menjejaskan nilai pH air dalam masa singkat," katanya sambil menambah, tahap ketoleransian air untuk penanaman padi ialah antara pH 5 hingga 9.

Pensyarah kanan Fakulti Kejuruteraan Kelautan dan Informatik, Universiti Malaysia Terengganu, Dr Mohd Sofiyan Sulaiman (kiri) .
Mohd Sofiyan berkata tanaman padi juga boleh terjejas sekiranya air yang disalurkan ke sawah berkeladak.
“Antara kelebihan sawah padi yang terletak berhampiran sungai ialah pesawah boleh membina tapisan air menggunakan sekam padi berserta medium lain seperti batu-batu kecil.
“Sekam padi ini dibakar sehingga menjadi arang dan kemudian disusun dengan medium lain di dalam tali air sebagai penapis yang akan menyingkirkan keladak. Sifat arang sekam padi yang beralkali juga meneutralkan paras pH air,” katanya, menambah selain arang sekam padi, bebola lumpur juga boleh digunakan untuk merawat air.