J
ika beberapa tahun lalu jenayah pemerdagangan orang selalunya bagi tujuan persundalan, kini kegiatan itu lebih kepada mencari “penjenayah” untuk melakukan penipuan dalam talian, pemerasan dan juga pengubahan wang haram.
Dipikat menggunakan iklan tawaran kerja bergaji menarik - selalunya di luar negara - menerusi media sosial dan Internet, sindiket kemudian memerangkap mangsa dengan pelbagai jerat termasuk “hutang” dalam bentuk perbelanjaan yang dikeluarkan oleh sindiket semasa membawa mereka ke luar negara.
Menurut pakar, dalam konteks ini, mangsa akan dipaksa melunaskan “hutang” itu dengan bekerja sebagai penipu dalam talian untuk sindiket.
Kata mereka lagi, bentuk pemerdagangan orang bagi tujuan itu semakin signifikan di Asia Tenggara termasuk Malaysia sejak tiga tahun lalu, dan dijangka bertambah parah sekiranya kelompangan yang ada dari segi undang-undang, kerjasama antarabangsa dan penguatkuasaan tidak ditambah baik.
JENAYAH PAKSA
Mengulas kegiatan jenayah yang semakin mendominasi itu, pakar kriminologi Dr Haezreena Begum Abdul Hamid berkata pemerdagangan orang untuk jenayah paksa merujuk eksploitasi mangsa melalui paksaan atau penipuan untuk melakukan aktiviti jenayah bagi tujuan keuntungan ekonomi atau faedah lain kepada si pemerdagang.
Beliau berkata jenayah paksa yang semakin mengukuh di rantau Asia Tengara merangkumi mereka yang dipaksa menjadi ‘scammer’, keldai dadah, keldai akaun dan pengganas atau perlakuan yang menyokong keganasan.

Dr Haezreena Begum Abdul Hamid
"Pemerdagangan orang bagi tujuan jenayah paksa ialah satu keadaan atau perbuatan melibatkan seseorang itu direkrut melalui kaedah perdayaan atau penipuan atau paksaan . Paksaan ini sama ada secara lembut atau kasar atau tidak dimaklumkam secara betul tujuan perekrutan itu untuk mengeksploitasi seseorang dalam melakukan sesuatu jenayah," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Menjelaskan bentuk aktiviti jenayah pemerdagangan manusia, Haezreena Begum berkata ketika ini aktiviti yang sering dijalankan ialah bekerja di pusat penipuan bagi menjadi seorang penipu.
"Eksploitasi terhadap individu terjadi apabila disuruh melakukan sesuatu perbuatan jenayah termasuk menjadi seorang pengganas, terlibat dalam kegiatan militan atau insurgency (pemberontakan) - itu pun boleh berlaku dan tidak semestinya (dilakukan) di Malaysia . Banyak jenayah paksa dihantar ke luar negara dan dipaksa melakukan sesuatu jenayah," katanya.
Menurut beliau, dalam konteks jenayah paksa, ada dua senario yang boleh berlaku, iaitu pertamanya individu yang telah diperdaya dan menjadi mangsa kemudian bertindak menjadi ejen atau perekrut.
"Dalam hal ini individu tersebut mungkin telah diperdaya atau dipaksa untuk menjadi ‘scammer’ namun setelah melihat pendapatan lumayan daripada kegiatan penipuan, individu tersebut memilih untuk kekal dan menjadi sebahagian daripada sindiket secara sukarela.
“Kedua, individu itu telah diperdaya dengan tawaran pekerjaan sah dan kemudiannya dipaksa melakukan jenayah seperti penipuan dalam talian tanpa sebarang pilihan untuk keluar dari kitaran eksploitasi," katanya.
MODUS OPERANDI
Jelas Haezreena Begum, modus operandi yang digunakan oleh pihak terbabit untuk memperdaya individu, terutama golongan muda, ialah mempamerkan iklan menarik di media sosial serta Internet dengan menyatakan peluang pekerjaan di luar negara.
"Kebanyakan yang terpedaya ialah golongan muda dari umur remaja hingga 30-an, kerana dalam lingkungan umur sebegini masing-masing ingin meneroka, mencari duit lebih, selain mahu membina karier. Apabila terdapat satu iklan menarik bekerja di luar negara dan pendapatan pula ditulis dalam bentuk dolar dan euro membuatkan ia (tawaran) lagi memikat," katanya.

Modus operandi digunakan untuk memperdaya individu, terutama golongan muda, ialah mempamerkan iklan menarik di media sosial dengan menyatakan peluang pekerjaan di luar negara.--foroBERNAMA
Pensyarah kanan di Fakulti Undang–Undang Universiti Malaya itu berkata bertitik tolak dari situ, anak muda yang tertarik akan bertindak menghubungi nombor tertera.
"Selepas itu akan ada yang memberi respons dan maklumat lebih menarik lagi berkenaan pekerjaan ditawarkan, dan apabila individu tersebut bersetuju, mereka akan mendapat maklumat dan arahan untuk pergi ke sesebuah tempat. Pada masa ini semua nampak seperti ‘legit’ (sah).
"Biasanya menerusi modus operandi ini, pihak sindiket tidak akan buat perkara lain daripada yang lain. Proses mereka sama macam (prosedur) normal, contoh apabila kita hendak ke luar negara perlu sediakan pasport, isi borang dan sebagainya. Namun destinasi yang dituju adakalanya mereka akan meminta untuk transit di mana-mana negara. Contohnya, destinasi Taiwan atau negara Barat, tetapi diminta transit di Bangkok. Dari situ benda-benda ini akan berlaku seperti diculik dan dibawa ke tempat lain," katanya.
Beliau berkata selepas itu bermulalah episod baharu buat yang terpedaya apabila mereka dibawa ke satu tempat dan kemudiannya dikurung serta direkrut untuk menjadi penipu dan lain-lain.
Berhubung motif jenayah, pakar itu berkata agenda utama adalah untuk mendapatkan wang ringgit dan kekayaan.
"Untuk mencapai objektif itu, satu cara mudah digunakan iaitu menipu orang ramai dengan bermacam-macam teknik tipu. Ada yang dilakukan menerusi pusat panggilan, iaitu sindiket ini akan gunakan mereka yang celik teknologi maklumat. Kita boleh lihat banyak jenis penipuan, iaitu ‘macau scam’, ‘romance scam’ dan tujuannya hanya satu, iaitu mahukan wang.
"Modal yang digunakan hanya kata-kata untuk mengumpan mangsa supaya percaya pada pemanggil dan biasanya melibatkan dua atau tiga orang yang menyamar menjadi pegawai bank, polis dan sebagainya," katanya.
MEMBIMBANGKAN
Sementara itu, memetik kenyataan Polis Diraja Malaysia baru-baru ini yang berjaya menyelamatkan 504 warga Malaysia daripada terus menjadi mangsa jenayah paksa di Thailand, Myanmar, Kemboja dan beberapa negara lain, Haezreena Begum berkata daripada jumlah tersebut, hanya 10 peratus disahkan sebagai mangsa pemerdagangan sebenar.

jenayah paksa semakin kukuh di rantau Asia Tengara merangkumi mereka yang dipaksa menjadi ‘scammer’. -- fotoBERNAMA
"Sebahagian besar lagi merupakan individu yang telah secara sukarela menjadi ‘scammer’ dan hanya meminta diselamatkan selepas diugut atau didera kerana gagal mencapai sasaran keuntungan yang ditetapkan.
" Ada juga antara mereka yang menjadi ejen dan merekrut warga Malaysia untuk menjadi ‘scammer’ di luar negara. Ada yang tidak memberi kerjasama dengan pihak berkuasa setelah pulang ke tanah air," katanya.
Yang turut membimbangkan kata beliau, ialah jenayah paksa itu turut berlaku di lokasi berlesen secara sah seperti kasino, hotel dan pusat hiburan.
PINDAAN ATIPSOM
Dalam pada itu, menurut Haezreena Begum, ketika ini Seksyen 2 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) tidak memberikan takrifan jenayah paksa secara jelas sebagai satu bentuk eksploitasi.
Justeru katanya, pihak berkuasa perlu melakukan pindaan terhadap akta itu agar wujud satu peruntukan khusus berkaitan jenayah paksa.
"Seksyen 2 akta ini memberi definisi jenis pemerdagangan untuk tujuan eksploitasi. Namun, untuk jenayah paksa secara khusus tidak disebut, maka pindaan harus dibuat bagi menyebut jenayah paksa,” katanya.
Mengakui pihak berwajib telah banyak menjalankan usaha memberikan kesedaran kepada masyarakat berkaitan sindiket penipuan sebegini, Haezreena Begum bagaimanapun berkata undang-undang sedia ada pada masa ini tidak memadai bagi membendung kegiatan itu.
Ujar beliau, pada masa ini Malaysia tidak ada undang-undang khusus tentang kegiatan penipuan dalam talian dan hanya bergantung pada Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Selain itu kata beliau, walaupun usaha bersepadu membanteras jenayah paksa digerakkan di peringkat serantau, terdapat tiga cabaran utama yang mengekang usaha tersebut termasuk kekeliruan konsep pemerdagangan manusia kerana ada yang masih mengehadkan kegiatan berkenaan kepada buruh paksa dan eksploitasi seksual.
"Kedua, kesukaran menyiasat dan mendakwa mereka yang terlibat, kerana sindiket beroperasi merentasi sempadan dengan struktur kompleks serta teknologi canggih yang menyukarkan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka. Ketiga, kurangnya kerjasama undang-undang antarabangsa.
“Walaupun Malaysia menyertai Bali Process, kejayaan membanteras jenayah ini memerlukan kerjasama rentas negara yang lebih kukuh termasuk bantuan bersama dalam siasatan jenayah dan ekstradisi," katanya.
Justeru kata beliau, usaha menangani jenayah paksa memerlukan kesepaduan yang melibatkan penguatkuasaan undang-undang lebih holistik, pemahaman mendalam tentang dinamik pemerdagangan orang untuk jenayah paksa serta memperkukuh kerjasama antarabangsa.
PERLU KAWALAN
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim berkata trend pemerdagangan manusia menipu mangsa untuk dijadikan penipu menyasarkan golongan muda.
Trend menunjukkan sejak 2023 hingga sekarang, media sosial seperti Facebook tidak lagi digunakan untuk memburu mangsa, sebaliknya dijadikan medium merekrut ejen bagi mencari “penipu”.

Datuk Hishamuddin Hashim,--fotoBERNAMA
"Kebanyakan ejen-ejen ini menggunakan hubungan secara langsung (dengan mangsa) yang kemudian didagangkan dan seterusnya bekerja dengan sindiket, terutamanya di Kemboja, Laos dan Myanmar.
“Ejen rekrut ini menggunakan kawan-kawan mangsa untuk meyakinkan mangsa bahawa bekerja di sana (negara yang berkenaan) tidak ada masalah dan boleh menjana pendapatan tinggi,” jelasnya.
Mengakui kegiatan jenayah itu sukar dibendung kerana melibatkan keuntungan besar, Hishamuddin berkata antara perkara yang boleh dilakukan sekarang ialah menggiatkan kempen kesedaran, terutama di pintu sempadan agar dapat menahan golongan muda daripada melintasi sempadan negara untuk ke lokasi pusat penipuan.
“Ahli keluarga dan ibu bapa perlu memainkan peranan memantau anak-anak agar tidak mudah terpedaya dengan janji yang ditaburkan oleh ‘rakan-rakan’ tentang bekerja di luar negara,” katanya.
Dalam menangani isu tersebut, Hishamuddin berkata pihak berwajib perlu mengambil tindakan undang-undang yang keras terhadap mereka yang terlibat dalam sindiket pemerdagangan orang seperti ejen merekrut selain tindakan juga mesti bersifat rentas sempadan.
"Sekiranya jenayah itu berlaku di negara seperti Kemboja dan Laos, kita perlu menggunakan platform ASEANAPOL (badan Gabungan Polis-Polis Rantau Asia Tenggara) untuk membuat tangkapan dan ASEANAPOL menyerahkan mana-mana ejen untuk disiasat di Malaysia.
“Ini bermakna Interpol perlu ada koordinasi dengan ASEANAPOL supaya proses ekstradisi untuk siasatan dan pendakwaan dapat dilakukan," katanya.
Dalam pada itu, Hishamuddin berkata hingga kini tidak ada satu pun kes berkaitan jenayah pemerdagangan orang di Malaysia berakhir dengan hukuman pemenjaraan dan setakat ini hanya di peringkat pendakwaan.
"Belum ada kes berkaitan jenayah ini dijatuhkan sebarang hukuman, dan sebab itu tidak ada perasaan gerun untuk melakukan jenayah scam kerana kesukaran dalam melaksanakan siasatan dan pendakwaan berikutan ia melibatkan jenayah rentas sempadan," katanya.
Bagaimanapun tegas Hishamuddin, selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN kali ini, negara harus memanfaatkan peluang berkenaan dengan memberikan tekanan kepada semua negara anggota ASEAN supaya membasmi petempatan penipu dalam talian di negara masing-,masing.
"Jika perkampungan ‘scammer ini dapat dihentikan, maka tidak ada lagi mangsa pemerdagangan menjadi buruh paksa seterusnya menipu dalam talian. Pada masa sama, tidak akan ada lagi masalah rakyat Malaysia yang menjadi mangsa ‘scammer’ ,” katanya.