D
alam mendepani peningkatan kos sara hidup, semakin ramai yang melakukan kerja-kerja sampingan bagi menampung pendapatan termasuklah kakitangan Tenaga Nasional Berhad ini.
Namun, jika orang lain bergiat dalam ekonomi gig sebagai sumber pendapatan sampingan, Khairul Azwan Mohamad Hasbor, 40, memilih bidang pertanian yang diceburinya sejak 2019.
Bermula dengan sayur-sayuran seperti peria, kacang bendi, labu air, petola, kangkung, bayam, terung dan lada bara, anak jati Sungai Besar, Selangor ini memperluas kepada tanaman halia bermula Oktober lalu.
Ternyata, usaha itu tidak sia-sia apabila tuaian pertamanya pada bulan lepas memberi pulangan memberangsangkan.
BANTUAN JABATAN PERTANIAN
Mengusahakan ladang di Kampung Sungai Panjang, Sungai Besar, Khairul Azwan berkata sebagai persediaan sebelum memulakan projek tanaman halia itu, dia mengikuti kursus selama tiga hari anjuran Bahagian Pembangunan Industri Tanaman, Kompleks Pertanian Serdang, pada Oktober lalu.
"Selain itu, saya turut menimba pengetahuan menerusi sumber di aplikasi Google dan YouTube serta mengunjungi plot milik rakan-rakan yang pernah mengusahakan tanaman halia dan belajar daripada pengalaman mereka," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
"Sebenarnya saya memang tidak ada pengalaman langsung untuk tanam halia ini. Justeru, saya turut mendapatkan khidmat nasihat daripada Pejabat Pertanian Daerah Sabak Bernam. Dari segi modal juga, pihak jabatan yang banyak bantu dan saya hanya laksanakan,” tambahnya.

Khairul Azwan Mohamad Hasbor
Jelasnya, dia memperuntukkan kawasan seluas 2.4 hektar untuk menjalankan projek itu, namun bagi peringkat permulaan hanya 0.4 hektar digunakan.
“Saya tanam sebanyak 10,000 pokok,” katanya, menambah dia mengusahakan tanaman halia Thailand yang mendapat permintaan tinggi di negara ini.
Menurut Khairul Azwan, dia juga tidak perlu menunggu lama untuk menuai hasil.
“Untuk mendapatkan halia muda, tuaian boleh dilakukan selepas tiga ke empat bulan, sementara halia tua pula memerlukan tempoh sekitar tujuh hingga lapan bulan setelah ditanam,” ujarnya.
KEPUASAN
Kongsi Khairul Azwan, susulan hasil memuaskan pada tuaian pertama baru-baru ini, dia berhasrat memperluas kawasan tanaman dalam masa terdekat.
“Hasil pertama ialah halia muda yang saya jual kepada pemborong selain dijual sendiri di pasar borong berdekatan.
"Permintaan untuk halia (muda) ini agak tinggi dengan harga bagi sekilogram dijual dari RM7 hingga RM10. Melihat hasil tuaian halia yang pertama selepas hampir empat bulan diusahakan, memberikan saya kepuasan selain rasa bangga kerana penat lelah sebelum ini berjaya membuahkan hasil," katanya yang turut dibantu dua orang pekerja.
Berhubung cabaran dalam mengusahakan tanaman halia, bapa kepada dua orang anak itu berkata paling ditakutinya ialah penyakit serangan bakteria.
“Rutin saya ialah menyembur racun serangga dua ke tiga kali seminggu selain meletakkan baja subur,” katanya.
Sekalipun terpaksa berpanas dan bergelumang tanah, Khairul Azwan bersyukur kerana mendapat sokongan padu keluarga dan rakan-rakan selain kakitangan Jabatan Pertanian Sabak Bernam yang tidak jemu menghulurkan bantuan serta khidmat nasihat.
POTENSI HALIA
Potensi tanaman halia pernah diketengahkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengesyorkan agar penduduk luar bandar mengambil peluang mengusahakan tanaman itu yang dapat memberikan pulangan tinggi.

Halia mendapat permintaan tinggi dari negara luar dan tanaman itu mempu memberikan pendapatan lumayan.--fotoBERNAMA
Ahmad Zahid berkata ini kerana tanaman itu mendapat permintaan tinggi daripada negara-negara seperti China, Eropah dan Amerika Syarikat bagi kegunaan dalam produk kosmetik dan farmaseutikal.
“Yang dikatakan oleh Timbalan Perdana Menteri itu memang betul. Saya sendiri menerima tempahan yang sangat tinggi, iaitu lima hingga 10 tan sehari. Memang saya tidak dapat tampung buat masa sekarang.
“Saya masih di peringkat bertatih dalam tanaman ini, buat dulu secara kecil-kecilan sebelum beransur-ansur perluaskan kawasan tanaman. Saya sendiri pun tidak tahu berapa luas plot yang perlu diusahakan untuk menampung permintaan setinggi itu,” ujarnya.
“Saya tidak menolak sekiranya ada rezeki lebih, suatu hari nanti saya akan perluaskan plot berdasarkan modal yang ada. Insya-Allah, jika seseorang itu konsisten, dia akan mendapat banyak permintaan dari dalam dan luar negeri kerana halia merupakan satu daripada sumber makanan, selain dijadikan ramuan produk kesihatan," katanya.