Usaha Hebat Pertahankan Khazanah Marin Dan Biodiversiti Pulau Bidong

D
unia bawah laut Pulau Bidong begitu unik bagi saya yang berpeluang meneroka keindahan ekosistem marin di situ apabila menyertai program Bidong Summit 3.0 pada 22 hingga 25 Ogos lepas anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan RHB Islamic Bank Berhad. 

Dengan memakai alat pernafasan skuba, saya dan rakan peserta menyelam dan meneroka dunia bawah laut yang begitu menakjubkan. Melalui aktiviti ini, kita mampu melangkah keluar dari rutin harian dan menikmati sensasi berada di dunia yang asing.

Ia juga membolehkan penyelam menyaksikan banyaknya usaha pemuliharaan serta langkah aktif lain demi melindungi ekosistem marin, seterusnya mengembangkan rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar.

Ekosistem dan biodiversiti Pulau Bidong turut terkenal dengan pelbagai jenis hidupan laut serta pelbagai jenis fauna marin yang jarang ditemui di tempat lain.

Di bawah permukaan air berwarna biru dan sedikit kehijauan, mata saya tertumpu kepada landskap bawah laut yang menakjubkan, dengan pelbagai variasi hidupan marin memberikan pemandangan visual sungguh mengujakan. 

Kawasan laut Pulau Bidung yang terletak di Kuala Nerus, Terengganu ini turut terkenal dengan pelbagai jenis hidupan laut, antaranya termasuk spesies ikan pari, ikan Inggu, dan kerapu yang berenang di celah-celah terumbu karang dan koral. Lebih menarik, selain kelibat ikan-ikan besar seperti yu dan tenggiri termasuklah nudibranch (siput laut tak bercengkerang yang berwarna-warni) dan sepiola (sejenis sotong). Kepelbagaian ini memberi peluang kepada penyelam untuk lebih dekat dengan pelbagai jenis fauna marin yang jarang ditemui di tempat lain.

Ekosistem terumbu karang di sekitar pulau berkeluasan 203 hektar persegi dan terpisah oleh Laut China Selatan ini juga merupakan habitat penting pelbagai spesies hidupan marin sebagai tempat perlindungan dan pembiakan. Alga dan rumpai laut turut berfungsi sebagai makanan dan tempat tinggal bagi banyak spesies ikan.

Bukan itu sahaja, terdapat juga 11 monumen mercu tanda mini mewakili setiap negara ASEAN. Bayangkan saya dapat melihat secara dekat replika Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur (KLCC), Masjid Sultan Haji Omar Ali Saifuddien (Brunei), serta Monumen Kemerdekaan Kemboja di Galeri Dasar Laut yang berada di kedalaman 10 meter di bawah laut. Monumen-monumen ini sangat sesuai untuk dikunjungi pelancong khususnya penyelam skuba.

Tidak jauh daripada kawasan jeti pula wujud sebuah pusat inkubator pembiakan batu karang dikendalikan Yayasan Coral Malaysia (YCM). Malahan terdapat juga tukun-tukun rekreasi seperti Batu Bersurat Terengganu, keris dan sampan tradisional diletakkan pada kedalaman sekitar 15 meter di bawah air sebagai kawasan selaman alternatif kepada penyelam-penyelam skuba.

Disebabkan keunikan ekosistemnya, Pulau Bidong diwartakan sebagai Taman Negeri oleh kerajaan Terengganu bagi melindungi khazanah marin dan tinggalan sejarah di situ daripada kerosakan yang boleh disebabkan oleh pelancongan yang tidak terkawal. Oleh itu, akses terhad yang ditetapkan ke Pulau Bidong adalah bagi mematuhi daya tampung membabitkan jumlah kemasukan pelawat setiap hari.

 

PENUH SEJARAH BERHARGA

Berhubung Program Bidong Summit 3.0, Timbalan Naib Cancelor Penyelidikan & Inovasi UMT Prof Dr Marinah Mohd Ariffin menjelaskan ianya adalah kesinambungan daripada program Bidong Summit yang dimulakan sejak tahun 2022.

Program yang dilangsungkan kali ini turut mengangkat aktiviti pemerkasaan warisan kebudayaan bawah air negara berdasarkan kepada Matlamat ke-14 Pembangunan Lestari PBB ke-14 (UN SDG11.4) berkenaan usaha untuk melindungi dan memelihara warisan budaya dan semula jadi dunia dan Pengantaraan Berasaskan Nilai yang ditetapkan Bank Negara Malaysia.  

Berbekalkan alat pernafasan skuba, peserta program menyelam bagi meneroka dunia bawah laut yang penuh dengan keunikan.

"Oleh itu, UMT berpadu tenaga dengan RHB dan Jabatan Warisan Negara (JWN) demi memperkasakan program arkeologi bawah air negara, memandangkan UMT adalah universiti pertama di Malaysia yang terlibat secara aktif dalam aktiviti ekskavasi arkeologi bawah air dan mampu menawarkan pengalaman dan kepakaran yang diperlukan.

"Bidong Summit 3.0 juga akan memfokuskan kepada usaha mewujudkan mewujudkan Pusat Latihan Arkeologi Bawah Air Nasional (PLAN) yang pertama di Malaysia, yang mana salah satu daripada komponen PLAN adalah penyediaan tapak simulasi latihan arkeologi bawah air di sini," katanya, menambah tapak berkenaan dapat memberikan pendedahan awal kepada penyelam-penyelam yang akan terlibat dalam program eskavasi dan penyelamatan artifak daripada tapak arkeologi bawah air yang sebenar. 

Di tapak simulasi tersebut, pihak RHB sebagai rakan strategik program menyumbang dua mesin ATM terpakai mereka untuk dijadikan titik datum bagi tapak simulasi latihan arkeologi bawah air. 

Menurut Marinah, titik datum dalam bidang arkeologi ialah titik rujukan tetap yang digunakan sebagai titik permulaan untuk memeta dan merekod penemuan dan ciri arkeologi dalam sesuatu tapak arkeologi sama ada daratan atau bawah air. Titik datum yang dipilih di tapak arkeologi biasanya merupakan satu penanda yang bersifat kekal, di mana koordinatnya akan direkodkan. 

Sebaik sahaja titik datum ditetapkan, ahli arkeologi akan menggunakannya untuk mencipta sistem grid yang membahagikan tapak kepada unit yang lebih kecil untuk penggalian dan rakaman yang sistematik.

Penggunaan titik datum juga penting untuk mengekalkan ketekalan dan ketepatan dalam penggalian arkeologi dan proses merekod tapak dan jumpaan artifak. Semua artifak yang dibawa naik perlulah direkod dan didaftarkan kepada pihak pengurusan JWN.

"Program yang dilaksanakan ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia yang mana dua tapak simulasi arkeologi bawah air akan diwujudkan iaitu di daratan dan di kawasan perairan stesen penyelidikan ini pada kedalaman lapan meter.

Pelbagai artifak berharga yang ditemui dalam Kapal Karam Bidong perlu dipelihara dan dipulihara dengan sebaiknya.

"Program yang dilangsungkan kali ini turut melibatkan sambutan Bulan Kemerdekaan melalui aktiviti Malaysia Book of Record bagi Titik Datum ATM pertama di Malaysia untuk Tapak Latihan Arkeologi Bawah Air di Sekolah Menyelam UMT(Pulau Bidong)," tambahnya..

Ketua Pengarah Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan UMT Prof Madya Dr Hazrizal Shaari pula berkata, pihaknya menyasarkan pewujudan PLAN dapat direalisasikan sekitar tahun 2025 memandangkan ia perlu melalui pelbagai fasa bermula dengan penyediaan tapak simulasi arkeologi.  

"Fasa kedua pula akan bermula sekitar bulan Oktober ini menerusi pewujudan tapak ex-situ konservasi tidak jauh dari lokasi Kapal Karam Bidong yang terletak kira-kira 2.5km dari stesen penyelidikan UMT. Ia bagi menyediakan persekitaran yang sama buat semua artifak yang diselamatkan daripada tapak arkeologi yang sebenar. Selain itu, teknik konservasi ex-situ akan menjimatkan masa, tenaga dan kos berkaitan konservasi artifak-artifak daripada tapak arkeologi kapal karam.

"Ini berbeza dengan proses konservasi secara biasa di mana artifak yang diselamatkan dari tapak arkeologi akan dibawa balik ke daratan dan perlu melalui proses penyahgaraman artifak demi mengelakkan berlakunya kerosakan kepada artifak akibat pembentukan kristal garam di dalam rongga-rongga artifak, selain teknik konservasi itu sendiri melibatkan kos yang agak tinggi," jelasnya lagi. 

Setakat ini, lebih 400 artifak membabitkan penemuan pelbagai artifak dari Kapal Karam Bidong yang   dikenalpasti berasal dari Kerajaan Purba Thai seperti Si Satchanalai daripada kerajaan Ayutthaya dan Maenam Noi daripada kerajaan Sukhothai, selain temuan Porselin Biru-Putih Dinasti Ming, China. Kapal Karam Bidong membuktikan aktiviti perdagangan tidak terhad kepada persisir pantai Laut China Selatan malahan melibatkan aktiviti perdagangan berskala lebih besar.  

 

TANDA SIMBOLIK

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Berhad Datuk Adissadikin Ali pula berkata, dua mesin ATM terpakai yang disumbangkan pihaknya boleh dianggap sebagai salah satu initiatif institusi korporat dalam membantu kerajaan dan agensi terbabit untuk terus cakna dan bekerjasama dalam memelihara dan memulihara warisan kebudayaan bawah air negara.

Menjelas lanjut, mesin ATM dipilih pihaknya untuk dijadikan titik datum di tapak Latihan simulasi memandangkan ia boleh dijadikan simbolik bahawa ekosistem lautan dan segala macam artifak di dalamnya sebagai sesuatu yang amat berharga dan perlu dipertahankan sebaik mungkin.

Pengarah Urusan dan KPE RHB Islamic Bank Berhad Datuk Adissadikin Ali (kanan) bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan UMT Prof Madya Dr Hazrizal Shaari (kiri) merasmikan titik datum pada Bidong Summit 3.0.

"RHB sebagai institusi bank juga perlu memikirkan apakah langkah terbaik untuk kita sama-sama menjaga warisan kebudayaan sebegini yang pastinya cukup penting untuk tatapan generasi masa depan. Apatah lagi ini selaras dengan matlamat asal kita dalam mewujudkan inisiatif Ocean Harmoni SDG14 Life Below Water yang telah diperluaskan untuk merangkumi UN SDG yang saling berkaitan dengan kelestarian biodiversiti lautan.

"Selain itu, RHB juga mempunyai iniastif lain bagi sama-sama membolehkan ahli masyarakat terbabit dalam aktiviti kelestarian kelautan ini. Sebagai contoh, sekiranya pelanggan ingin membuka akaun bank RHB, sebanyak RM15 bayaran akan dikenakan bagi tujuan proses pembukaan akaun dan pengeluaran kad debit (sepenuhnya menggunakan bahan boleh kitar semula) di bawah iniasiatif Ocean Harmoni Penyu. Pemegang akaun juga diminta menyumbang sebanyak RM3 (nilai minimum) yang akan disumbangkan terus kepada pihak UMT yang terbabit secara langsung dalam program ini," katanya.

Bagi program kali ini juga, pihaknya menganjurkan Bidong Merdeka Dive sempena sambutan bulan kemerdekaan menerusi aktiviti mengibarkan bendera Malaysia di permukaan air secara beramai-ramai serta turut mengibarkan bendera Jalur Gemilang gergasi sebesar 20x10 meter di atas permukaan pantai bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik di kalangan peserta program seramai 60 orang.

 

HARGAI WARISAN KITA

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara (JWN) Mohamad Muda Bahadin pula berkata, pihaknya amat mengalu-alukan kerjasama strategik dengan lebih ramai pihak yang berminat untuk pemerkasaan warisan kebudayaan bawah air negara.

Menurut beliau, aktiviti melestarikan warisan kebudayaan sedemikian tidak boleh hanya dipikul oleh beberapa pihak sahaja memandangkan ianya adalah harta warisan negara yang turut dilindungi di bawah penguatkuasaan Akta Warisan Kebudayaan 2005 (Akta 645).

Antara petugas BERNAMA yang berpeluang menyertai 60 peserta Bidong Summit 3.0 baru-baru ini bagi meneroka keindahan dunia bawah laut pulau itu.

Secara umum, beliau berkata, warisan boleh dibahagikan kepada empat kategori iaitu warisan budaya, alam semula jadi, budaya bawah air dan tokoh orang hidup. Manakala warisan budaya boleh dipecahkan kepada warisan budaya ketara dan warisan tidak ketara.

"Warisan bawah air yang diperolehi menerusi operasi eksplorasi dan ekskavasi arkeologi boleh dikategorikan di bawah budaya bawah air ketara dan tidak ketara. Kesemua warisan ini memerlukan perlindungan termasuklah perundangan dan penguatkuasaan, dan pastinya kerjasama semua pihak daripada pelbagai latar belakang.

"Bagi mereka yang terbabit, kita akan mengadakan memorandum persefahaman (MoU). Sebagai contoh, kita laksanakan MoU dengan UMT bagi projek arkeologi bawah air memandangkan mereka satu-satunya universiti dalam negara yang ada setiap kepakaran diperlukan.

“Kita juga boleh keluarkan wang sumbangan dari Kumpulan Wang Warisan berdasarkan ketetapan seksyen 20 dan 21 Akta 645 untuk diberikan kepada pihak yang berminat sertai program kita," katanya, menambah pelbagai lagi inisiatif lain turut disediakan kerajaan antaranya Geran Sempadan Sektor kebudayaan (GSSK) untuk manfaat NGO berdaftar yang turun padang mempromosikan program kelestarian berkaitan lautan, selain initiatif pelepasan cukai turut diperkenalkan. 

Beliau yang juga Pesuruhjaya Warisan turut menyatakan bahawa terdapat hasrat dan perancangan daripada pihak kerajaan negeri Terengganu dan UMT khususnya bagi mewujudkan sebuah galeri atau muzium khas bagi mempamerkan artifak-artifak sedemikian.

Ini, katanya, kerana setakat ini, masih belum ada mana-mana muzium seumpamanya di negara ini bagi mempamer dan berkongsi khazanah bawah laut yang cukup berharga buat tatapan umum.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.