Jangan Buang Serbuk Kopi Terpakai, Boleh Buat Skrub DIY

S
etiap kali Dr Janira Kumari menyediakan minuman kopinya, serbuk kopi yang dibru akan dikumpul untuk membuat skrub atau lulur badan.

Beliau juga tidak segan silu meminta serbuk kopi terpakai di kafe atau restoran dan bagi mengelakkannya dibuang di tempat pembuangan sampah.

"Ramai tak tahu atau tak sedar serbuk kopi boleh digunakan semula untuk kita hasilkan sendiri skrub atau lulur badan. 

"Lagi pun ini dapat membantu menjaga alam sekitar di samping berjimat," demikian kongsi Dr Janira Kumari, pengasas bersama Zero Waste Earth Store di ceramah 'Gaya Hidup Hijau', anjuran Yayasan Hijau Malaysia, baru-baru ini.  

Beliau adalah salah seorang penceramah di majlis berkenaan yang diadakan di Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) pada 29 Mac lepas, bertujuan mendidik rakyat Malaysia mengenai pelbagai cara mengurangkan sisa dan mengamalkan gaya hidup hijau bagi memulihara alam sekitar.

Berdasarkan data Pertubuhan Kopi Antarabangsa (ICO), rakyat Malaysia semakin banyak minum kopi, menjadikan negara ini di tempat ketiga dalam kalangan 58 buah negara di rantau ini daripada segi pertumbuhan tertinggi penggunaan kopi pada tahun 2021. 

Menurut data, penggunaan kopi Malaysia meningkat sebanyak 73 peratus, dari 344,783 beg biji kopi pada tahun 2020, kepada 597,064 beg biji kopi pada tahun 2021. Ini bermakna Malaysia menggunakan tambahan 252,281 beg kopi, setiap beg seberat 60kg.

Rakyat Malaysia merupakan penggemar kopi sehingga menjadikan negara ini di tempat ketiga dalam kalangan 58 buah negara di rantau ini daripada segi pertumbuhan tertinggi penggunaan kopi pada tahun 2021.

Menurut Dr Janira, lazimnya serbuk kopi terpakai akan berakhir di tempat pembuangan sampah dan tindakan ini mempunyai beberapa kesan negatif terhadap alam sekitar, terutamanya penghasilan gas metana, iaitu gas  rumah hijau (GHG) paling kuat.

"Mengurangkan pelepasan metana adalah penting untuk menangani perubahan iklim serta mengehadkan impak suhu global, bagaimanapun, ia hanyalah salah satu daripada pelbagai isu  iklim yang kompleks. 

"Strategi yang berkesan untuk menangani metana amat diperlukan di samping usaha mengurangkan pelepasan karbon diokasida dan GHG yang lain," katanya. 

 

 

MANFAAT SERBUK KOPI 

 

Bercakap lanjut tentang penggunaan serbuk kopi terpakai untuk membuat skrub atau lulur badan, Dr Janira turut berkongsi beberapa potensi manfaat skrub yang dihasilkan itu.

"Serbuk kopi adalah kasar dan bagus untuk menyental kulit badan, membantu menanggalkan  sel kulit yang mati dan menjadikan kulit kita berasa licin dan cerah.

Skrub kopi buatan sendiri yang turut didapati di kedai Zero Waste Earth Store (Gambar Ihsan - Zero Waste Earth Store)

"Ia juga mengandungi kafein sebagai vasokonstriktor semula jadi yang secara sementara waktu mampu mengurangkan ketampakan selulit dengan menegangkan kulit, di samping berpotensi mengurang bengkak pada kulit, menjadikannya pilihan popular untuk skrub bawah mata.

"Memandangkan kopi juga kaya dengan antioksidan, ia boleh membantu kesan kerosakan akibat radikal bebas atas kulit, dan ini dapat menjadikan kulit kelihatan lebih muda dan sihat," katanya.

Beliau menambah, bau kopi juga menyegarkan, seakan kita berada di pusat perawatan kecantikan ketika kita melakukan rutin penjagaan kulit.

"Setiap pagi selepas bangun dari tidur, anda boleh bau harum skrub kopi anda untuk menyegarkan badan sebelum anda minum kopi seperti rutin harian anda," katanya.

 

 

BUAT SENDIRI SKRUB KOPI DI RUMAH 

 

Sewaktu ceramahnya yang berlangsung selama 30 minit, Dr Janira berkongsi langkah mudah untuk menggunakan semula serbuk kopi terpakai bagi menghasilkan skrub badan.

"Anda boleh mulakan dengan mengumpul serbuk kopi terpakai, sama ada yang anda gunakan atau yang anda boleh dapat daripada kedai kopi berhampiran. Pastikan serbuk kopi ini sejuk dan kering sepenuhnya. Kumpulkan dalam beberapa hari, dan anda gunakan serbuk kopi baharu setiap kali anda buat kopi.

"Serbuk kopi kering bagus untuk dijadikan skrub kerana ia mudah dikendalikan dan kurang bersepah berbanding serbuk kopi basah atau lembab. Lebih elok juga serbuk kopi terpakai ini anda sangai (goreng tanpa minyak) atau keringkan dalam ketuhar sebelum dimasukkan ke dalam mangkuk atau botol. 

"Serbuk kopi terpakai yang basah boleh digunakan serta merta namun tidak boleh disimpan untuk tempoh yang lama kerana ia akan berkulat terutama selepas dicampur dengan bahan lain," katanya.

Dr Janira Kumari (Gambar Ihsan: Yayasan Hijau Malaysia)

Untuk menghasilkan skrub kopi, Dr Janira berkata, perlu diasingkan dua bahagian serbuk kopi yang kering, sebelum dicampurkan dengan tiga bahan lain, iaitu minyak pembawa, emolien atau pelembap dan minyak pati. 

"Antara minyak pembawa ialah minyak manis badam, minyak kelapa, minyak zaitun dan minyak jojoba, yang memberi kelembapan, dan dapat digunakan secara rata di badan serta menyumbang kepada keseluruhan manfaat penjagaan kulit.

"Apabila memilih minyak pembawa untuk skrub badan anda, penting untuk mengetahui jenis kulit anda dan mungkin kesukaan anda yang lain. Sebagai doktor perubatan, saya amat mengesyorkan minyak kelapa kerana ia mengandungi sifat anti-bakteria serta membantu melembapkan kulit, dan ia bermanfaat untuk kulit yang kering dan sensitif," katanya. 

Beliau menambah, emolien adalah tambahan berharga untuk skrub kopi, terutama jika mahu menambah sifat kelembapan skrub kopi itu terutama menjadikannya lebih sesuai untuk kulit kering atau sensitif.

"Emolien adalah bahan yang membantu melembut serta menghidratkan kulit dengan membentuk pelindung bagi mengelakkan kelembapan kulit. Apabila ditambah kepada skrub kopi, ia dapat membantu menangani potensi kulit kering apabila ia menggelupas selepas diskrub. Kulit akan menjadi lebih licin dan lembut," katanya.

Menurut beliau, minyak pati juga tambahan yang bagus untuk skrub kopi bukan sahaja kerana baunya yang menyenangkan tetapi juga potensi manfaat penjagaan kulit.

"Lebih elok untuk tambah tidak lebih daripada dua jenis minyak pati ke dalam campuran skrub kopi kerana jika lebih daripada tiga, ia mungkin menghasilkan reaksi dan menjadi toksik untuk kulit.

"Kebiasaannya, minyak pati yang disyorkan adalah minyak lavender – diketahui mengandungi bahan yang menenangkan; minyak tea tree pula mengandungi sifat antimicrobial yang bagus untuk kulit yang bermasalah dan berminyak di samping minyak lemon yang mengandungi asid alfa hidroksi, yang boleh menggelupaskan kulit serta mencerahkannya. 

"Bagaimanapun, ia akan menjadikan kulit anda lebih sensitif kepada cahaya matahari, jadi gunakan secara berhati-hati dan gunakan juga pelindung matahari," katanya.

 

 

PASTIKAN CARA BETUL BUAT SKRUB KOPI

 

Dr Janira berpesan, ketika membuat skrub kopi, pastikan baunya kerana sesetengah minyak pati lebih kuat baunya berbanding yang lain, dengan demikian beberapa titik sahaja minyak peppermint atau eucalyptus, perlu ditambah kepada skrub.  

"Minyak pati memang pekat dan boleh merengsa kulit jika dicampur begitu sahaja. Perlu campurkan minyak pati dalam minyak pembawa sebelum ditambah kepada skrub kopi.

"Biasanya, beberapa titik minyak pati dicampur dengan minyak pembawa adalah nisbah yang sesuai. Campurkan minyak pati dengan minyak pembawa bagi menjamin keserataannya dalam skrub, " tambahnya.

Dr Janira berkata, beliau sering menasihatkan pesakitnya supaya melakukan ujian dengan menyapu sedikit skrub ke bahagian kecil kulit bagi memastikan ia tidak mendatangkan iritasi atau alahan, sebelum menggunakan skrub itu ke atas kulit atau muka.

"Urut wajah atau badan perlahan-lahan setelah meletakkan sedikit skrub kopi. Jangan gosok terlalu kuat kerana ia mungkin menyebabkan iritasi. Serbuk kopi adalah kelupas semula jadi yang boleh menggelupaskan kulit. Anda boleh menambah bahan kelupas lain sekiranya anda mahu menambah sifat menggelupas skrub kopi anda.

"Tiga kelupas lain yang biasa digunakan dalam skrub kopi ialah oatmeal, gula dan serbuk penaik," kata Dr Janira yang berpengalaman dalam bidang penjagaan kulit. 

 

 

CARA SIMPAN BETUL SKRUB KOPI 

 

Bagi memastikan skrub kopi yang anda hasilkan itu segar dan bertahan lama, Dr Janira berkata, perlu periksa tanda kerosakan kerana selepas beberapa ketika, skrub itu mungkin menjadi berbau, bertukar warna dan boleh dilihat kulat.

"Sekiranya anda tambah minyak pati, sesetengah minyak pati mempunyai sifat pengawet semula jadi, sebagai contoh, minyak tea tree dan minyak rosemary, yang boleh membantu skrub bertahan lama.

"Elok juga dilabel tarikh skrub kopi dihasilkan, pada bekasnya supaya anda boleh kesan kesegarannya," katanya menambah, sebagai panduan, kebanyakan skrub kopi DIY perlu digunakan dalam tempoh dua hingga empat minggu, bagi memastikan kesegarannya. 

"Kalau anda nampak sebarang perubahan warna, bau atau tekstur, elok buang untuk mengelakkan sebarang potensi isu kulit," katanya.

 

 

KEMPEN GAYA HIDUP HIJAU

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijau Malaysia Dr Muiz Murad berkata, sejak 10 tahun lepas, pihaknya aktif mempromosi serta mendidik golongan belia tentang kepentingan Teknologi Hijau serta manfaatnya.

(Yayasan Hijau Malaysia adalah agensi di bawah NRES, dan ditubuhkan pada 2 Mac 2014)

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijau Malaysia, Dr Muiz Murad (Gambar ihsan- Yayasan Hijau Malaysia)

"Menyebarkan ilmu pada peringkat akar umbi adalah penting untuk menyemai perubahan minda serta menanam gaya hidup beretika serta bertanggungjawab dalam kalangan rakyat Malaysia, menerusi pendidikan iklim. 

"Pada 12 Januari tahun ini, NRES melancarkan 'Kempen Gaya Hidup Hijau', antaranya memberi fokus kepada menggalakkan rakyat negara ini mengamalkan gaya hidup hijau serta menukar tingkah laku dalam kehidupan seharian mereka. 

"Buat masa ini, kempen berkenaan berlangsung selama 12 bulan, fokus kepada komuniti, individu dan isi rumah, dengan memberikan mereka pengetahuan serta kemahiran hijau dan kelestarian kehidupan," katanya. 

Menurut beliau, kempen berkenaan dibahagikan kepada dua peringkat iaitu kementerian dan komuniti.

"Setiap bulan, kami mengundang rakan kongsi program seperti pertubuhan tidak bersifat keuntungan dan perbadanan untuk menyampaikan ceramah serta membuat demonstrasi untuk mendidik orang ramai mengenai gaya hidup hijau menerusi produk dan perkhidmatan.

"Menerusi program ini, kami memberi fokus kepada empat bidang iaitu air mampan, tenaga, pengurusan sisa dan eko-barangan. Sejak dua bulan mengendalikan program ini, kami menerima banyak maklum balas yang baik daripada para peserta dan komuniti. Mereka berpeluang belajar mengkomposkan sisa makanan, mengasingkan sisa isi rumah, kitar semula dan mengurangkan penggunaan produk pastik sekali guna.

"Semua rakyat Malaysia yang berminat untuk menyertai program-program yang akan dianjurkan secara percuma ini digalakkan untuk berhubung terus dengan pihak Yayasan Hijau Malaysia, " katanya.

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.