SESB "Menerangi" Harapan Rakyat Sabah Untuk Bekalan Elektrik Lebih Stabil

M
ati karan adalah ungkapan yang akan diutarakan oleh rakyat di Sabah setiap kali berlaku gangguan bekalan elektrik, yang menurut mereka, kerap berlaku di negeri itu.

Bagaimanapun, episod itu bakal menjadi sejarah susulan penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik oleh kerajaan pusat kepada kerajaan negeri Sabah yang berkuat kuasa pada 3 Jan lepas.

Langkah itu yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2024, juga seiring usaha kerajaan persekutuan memartabatkan Perjanjian Malaysia 1963.

Selaras keputusan kerajaan pusat itu, Dewan Undangan Negeri Sabah mengadakan persidangan khas pada 3 Jan lepas dan meluluskan tiga rang undang-undang bagi membuka laluan buat kerajaan negeri mengambil alih kuasa kawal selia sektor bekalan tenaga elektrik dan tenaga boleh baharu daripada kerajaan persekutuan.

Tiga rang undang-undang itu ialah Rang Undang-undang Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) 2024, Rang Undang-undang  Bekalan Elektrik 2024 dan Rang Undang-undang Tenaga Boleh Baharu 2024.

Tanggal 19 Jan lalu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mewakili kerajaan Sabah, secara rasmi menerima kuasa kawal selia bekalan elektrik Sabah daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mewakili kerajaan persekutuan pada majlis simbolik penyerahan itu di Menara Kinabalu di sini.

Bagaimanapun penyerahan kuasa itu hanyalah titik permulaan cabaran besar yang didepani oleh kerajaan Sabah dan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) sebagai badan kawal selia, serta Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) selaku syarikat pembekal elektrik di negeri ini, di sebalik pelbagai inisiatif dan pelan yang telah dan sedang dilaksanakan, termasuk Pelan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040, dalam usaha “menerangi” keseluruhan rakyat di Sabah.

 

KESTABILAN BEKALAN 

Mengupas penurunan kuasa itu, Pengerusi SESB Datuk Seri Wilfred Madius Tangau melihat langkah tersebut memberi peluang kepada syarikat utiliti berkenaan melaksanakan pelan yang lebih mantap bagi memastikan penyaluran tenaga elektrik yang lebih stabil dan efisien.

“Kelulusan tiga rang undang-undang itu tepat pada masanya dalam reformasi urus tadbir kerajaan, iaitu desentralisasi kuasa, sekali gus memperluas autonomi kerajaan Sabah yang sebelum ini tidak merangkumi kawal selia bekalan tenaga,” katanya kepada Bernama.

Pengerusi SESB Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Mengulas lanjut tentang masalah yang  membelenggu sistem bekalan elektrik di Negeri di Bawah Bayu ini, beliau berkata terdapat beberapa faktor penting yang mengekang kecekapan penyaluran tenaga elektrik di Sabah, antaranya ialah jumlah bekalan tenaga yang dijana setiap hari.

Menurut beliau, pada masa ini Sabah berdepan isu rizab margin bekalan, iaitu baki bekalan elektrik, yang amat rendah.

Mengambil situasi pada 28 Feb lalu, Madius berkata kapasiti penjanaan elektrik pada hari berkenaan ialah 1,110 megawatt (MW),  manakala permintaan puncak untuk kuasa mencecah 1,064 MW, menunjukkan rizab margin tersedia sekitar 46 MW atau 4.3 peratus sahaja berbanding kadar minimum 12 peratus yang diperlukan.

Kadar itu katanya adalah terlalu rendah berbanding Semenanjung yang merekodkan 40 peratus.

“Rizab margin yang terlalu rendah ini akan menyebabkan catuan elektrik, bermakna gangguan bekalan elektrik akan berterusan. Catuan perlu dilakukan supaya bekalan elektrik dalam grid sentiasa stabil, tetapi pada masa sama ada beberapa kawasan tiada bekalan elektrik kerana terpaksa dicatu,” jelas beliau.

Malah kata beliau, insiden pada 17 Jan lepas mengetengahkan permasalahan itu apabila grid bekalan elektrik Sabah berdepan defisit kritikal bekalan berjumlah 155 MW, selepas dua syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP),  iaitu Kimanis Power Sdn Bhd yang membekalkan 95 MW dan Ranhil Powertron Sdn Bhd (60 MW), tidak dapat beroperasi sepenuhnya.

“SESB hanya menjana 18 peratus daripada bekalan tenaga elektrik Sabah dan baki 82 peratus dihasilkan oleh IPP yang kemudian dijual kepada SESB, dan ini satu lagi isu yang harus dilihat,” katanya.

 

TINGKATKAN PENJANAAN 

Menurut Madius, kaedah terbaik dalam menangani ketidakcukupan bekalan elektrik adalah dengan memastikan peningkatan penjanaan tenaga. 

Sehubungan dengan itu, SESB sedang melihat pelbagai inisiatif untuk meningkatkan rizab margin kepada 30 peratus tahun ini, antaranya ialah Solar Berskala Besar (LSS) dan inisiatif biogas.

Turut dilaksanakan ialah pemasangan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) di Lahad Datu berkapasiti  100 MW, dan pemasangan jana kuasa diesel 100 MW sewaan sebagai penyelesaian sementara, jelas beliau.

Menurut Madius, kebergantungan tinggi pada IPP juga harus dilihat semula dalam usaha menjadikan SESB sebuah syarikat pembekal utiliti yang sihat, menerusi peningkatan penjanaan tenaga.

Untuk itu, beliau  mengesyorkan agar keutamaan penggunaan gas asli diberikan kepada penjanaan elektrik.

“Pada masa ini, keutamaan penggunaan gas asli adalah untuk penghasilan gas asli cecair dan pihak industri. Kemudian baru diberikan kepada penjanaan elektrik.

“Gas asli yang digunakan untuk penjanaan elektrik ini pula dibeli pada harga mahal di pasaran, dan sekiranya kos itu dipindahkan kepada pengguna, maka akan menyebabkan kenaikan tarif elektrik dan ini akan membebankan pengguna. Jadi kita harap kerajaan negeri dan juga pihak berkepentingan dapat mencari kaedah bagi menangani isu ini,” katanya.

 

SESB SEBAGAI SUBSIDIARI KERAJAAN SABAH 

Madius berkata pada masa ini kerajaan Sabah hanya memiliki 17 peratus saham dalam SESB dan bakinya adalah milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Bagi menjadikan syarikat ini sebuah syarikat di bawah kerajaan negeri, maka pemilikan saham TNB sebanyak 83 peratus itu perlu dibeli atau diambil alih oleh kerajaan Sabah, sekali gus membolehkan Sabah menguruskan bekalan elektrik secara terus," katanya.

SESB sebagai sebuah syarikat juga katanya terkesan apabila terpaksa menanggung kerugian dianggarkan RM200 juta setahun akibat kegiatan curi elektrik, atau dipanggil “pancing karan” oleh masyarakat setempat, terutamanya di kawasan setinggan dan petempatan pendatang tanpa izin.

Menurutnya, SESB berdepan kehilangan 17 peratus tenaga elektrik setahun, iaitu 10 peratus akibat faktor teknikal, manakala tujuh peratus disebabkan oleh faktor bukan teknikal termasuk kecurian bekalan elektrik.

Bagi membanteras kegiatan curi elektrik, Madius berkata SESB akan meningkatkan kerjasama dengan pihak polis

“SESB tidak ada kuasa dalam undang-undang bagi menangkap pencuri ini... kita hanya syarikat berniaga bekalan elektrik. Seperti rumah dimasuki pencuri, kita panggil polis, SESB ini mangsa jenayah dan kita lapor kepada polis bila hal seperti ini berlaku,” katanya.

Sementara itu, Madius berkata pada masa ini SESB juga bergantung pada subsidi daripada kerajaan pusat bagi memastikan kelangsungan operasi syarikat.

Menurut beliau, SESB terpaksa menjual elektrik pada kadar lebih rendah berbanding kos penjanaan, iaitu hanya 34 sen seunit sedangkan kos penjanaan adalah sebanyak 43 sen seunit. 

 "Dalam erti kata lain, SESB mengalami kerugian sekitar hampir 10 sen bagi seunit jualan elektrik kepada pengguna. Untuk menampung kerugian ini, kerajaan persekutuan memberikan subsidi, iaitu pada tahun lalu sahaja sekitar RM850 juta subsidi diperuntukkan kepada SESB,” katanya.

Bagaimanapun Madius berkeyakinan situasi itu akan dapat diatasi dalam tempoh tujuh tahun akan datang sekiranya Pelan Transformasi SESB dapat dijayakan bersama seluruh pihak berkepentingan.

 

KUKUHKAN SESB 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECoS Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid berkata antara langkah utama yang perlu dilaksanakan oleh suruhanjaya tersebut setelah pengambilalihan kuasa ialah memastikan kemampanan SESB sebagai sebuah syarikat pembekal elektrik untuk negeri ini.

“Bagi memastikan SESB boleh bergerak terus ke depan, keupayaan operasi syarikat perlu kita tingkatkan, selain keupayaan kewangan,  agar syarikat ini mampu berfungsi dengan baik, menjana serta membekal tenaga untuk kita,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan projek pembinaan Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di Tenom pada 7 Dis 2023..

Mengakui bukan mudah mengambil alih kuasa kawal selia bekalan elektrik daripada Suruhanjaya Tenaga (ST), Abdul Nasser berkata bagi melancarkan urusan itu,  ECoS menggubal perancangan yang sejajar dengan Pelan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040.

“Kita mengambil pekerja mahir yang diserap masuk daripada agensi lain termasuk lapan daripada ST. Kita memerlukan kira-kira 90 petugas dan lebih 70 telah diisi. Selebihnya kita melihat untuk mengambil pekerja baharu dalam kalangan warga Sabah," katanya.

Presiden Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah David Chan pula berkata dalam memastikan SESB berupaya menjalankan tanggungjawab membekal tenaga elektrik dengan baik, usaha mengembalikan syarikat utiliti itu kepada kerajaan Sabah perlu dilakukan dengan sempurna.

Beliau berkata sasaran kerajaan Sabah mengambil alih SESB pada 2030 adalah langkah yang tepat, bagaimanapun perlu disusuli perancangan yang sejajar dengan Pelan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040.

“Pemilikan 17 peratus (SESB) oleh kerajaan Sabah pada masa ini masih belum mencerminkan kita betul-betul dapat kuasa kawal selia elektrik itu, perlu dikembalikan kepada Sabah kerana kita sendiri sahaja tahu keperluan untuk rakyat serta negeri kita ini.

“Mengekalkan operasi penjanaan SESB dengan subsidi kerajaan juga sesuatu yang tidak sihat untuk SESB. Bila ada kuasa kawal selia, diharapkan SESB mampu jadi syarikat berdaya saing, menjana tenaga mencukupi untuk rakyat serta membuat keuntungan, iaitu situasi menang-menang antara rakyat dan syarikat,” katanya.

 

EMPANGAN HIDROELEKTRIK

Satu daripada projek utama yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan dan Sabah serta pemain industri ialah pembinaan Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di Tenom, yang dilaksanakan oleh UPP Holdings Sdn Bhd, iaitu syarikat hasil kerjasama strategik di antara Sabah Energy Corporation Sdn Bhd, Gamuda Berhad dan Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn Bhd.

Empangan itu diuruskan oleh Upper Padas Power Sdn Bhd, dan menurut Pengurus syarikat Lim Chin Hong, projek yang dijadualkan siap pada 2029 tersebut diunjur dapat meningkatkan penjanaan tenaga elektrik sebanyak 187.5 MW, atau pertambahan 15 peratus kapasiti bekalan elektrik negeri,  satu jumlah yang amat signifikan.

Selain itu, empangan tersebut juga dipertimbang untuk berfungsi sebagai pembekal air bersih yang berpotensi menjana 6,000 megaliter (6,000 juta liter) sehari.

“Kita juga menjangkakan lebih 60,000 penduduk di kawasan sekitar akan menikmati limpahan ekonomi apabila projek ini siap nanti, antaranya dari segi ekopelancongan dan perniagaan, hasil daripada bekalan elektrik lebih stabil,” katanya.

Ketua Anak Negeri Kemabong Emot Kandau memberitahu kawasan itu amat sesuai untuk pembinaan empangan hidroelektrik kerana mempunyai sumber air semula jadi terbaik, dan paling penting, kawasan tadahan yang amat luas, iaitu 1,905 kilometer persegi.

Emot, 63,  berkata beliau dan penduduk di kawasan itu menaruh harapan yang tinggi terhadap empangan berkenaan selain berharap projek dapat disiapkan dengan lebih cepat.  

“Saya tinggal di kawasan ini sejak lahir dan masalah elektrik juga air ini tidak pernah selesai. Saya betul-betul harap masalah ini dapat diselesaikan sebelum saya ‘menutup mata’ supaya generasi anak cucu kita di sini dapat hidup dengan selesa.

“Perniagaan dan pelabur juga sukar mahu berkembang kerana kurang bekalan (elektrik dan air) ini. Ruginya penduduk kerana rata-rata kami di sini kurang berada (bukan orang kaya). Bila ada perniagaan dan pelabur, kami harap ekonomi setempat kami bertambah baik juga,” katanya.

Semasa berucap merasmikan empangan itu pada 7 Dis tahun lepas, Anwar menegaskan beliau tidak mahu lagi melihat ada projek tertangguh, dan semua projek kemudahan rakyat seperti Empangan Hidroelektrik Ulu Padas, perlu disiapkan pada kadar segera.

“Tiada lagi sebarang alasan,” kata Perdana Menteri yang mahu menyaksikan rakyat di Sabah menjalani kehidupan lebih selesa melalui penyediaan kemudahan asas seperti elektrik dan air yang sempurna. 

 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.