Bandar Pintar Di Malaysia Perlu Utamakan Keperluan Manusia

H
ampir 10 tahun menjadi warga kota, mengharungi kesesakan jalan raya bagaikan ‘alah bisa tegal biasa’ bagi Salina Ahmad, 42, terutamanya pada waktu puncak.

Cuma yang menghairankan anak kelahiran Alor Setar, Kedah yang bekerja dalam sektor perbankan ini, mengapa kesesakan itu berterusan dan semakin teruk sedangkan kerajaan dilaporkan mengambil pelbagai inisiatif untuk mengurangkannya.

Berdasarkan data daripada pakar pemetaan TomTom, jalan raya lebih sesak berbanding sebelum Pandemik COVID-19 memandangkan sekatan pergerakan ditarik balik dan pekerja sudah mula dikehendaki kembali ke pejabat. 

Bukan sahaja kesesakan jalan raya yang menjadi kebimbangan Salina, hujan lebat atau musim tengkujuh juga menambah kerisauan kerana sering berlaku banjir kilat. Keadaan ini boleh memburukkan kesesakan pada waktu puncak ditambah risiko pokok tumbang ketika hujan lebat dan ribut. Keadaan berbahaya ini adalah antara cabaran utama bagi warga kota Kuala Lumpur seperti Salina.

"Meskipun kita mempunyai data masa nyata untuk laporan terkini trafik serta maklumat bencana dari aplikasi mobile pihak berkuasa tempatan atau yang dipaparkan di papan iklan, ianya masih tidak mencukupi. Masalah masih berlarutan, dan kita terus berdepan dengan isu yang sama setiap hari.

"Cakap fasal pengangkutan awam, tak pernah tepat. Kadang-kadang nampak ikon bas di peta, tetapi ia tak tiba tepat pada masanya. Jadi, walaupun ada aplikasi mobile yang bagus memberikan data yang terkini, nampaknya banyak aspek yang masih perlu penambahbaikan," beliau memberitahu Bernama. 

Ketika majoriti rakyat Malaysia menikmati manfaat inovasi digital yang memudahkan kehidupan mereka, semakin banyak usaha dilakukan untuk menggunakan teknologi bagi menyelesaikan cabaran bandar serta merealisasikan konsep bandar pintar.

 

 

BANDAR PINTAR BERPUSATKAN RAKYAT 

 

Pada April 2021, Blueprint Bandar Pintar Wilayah Persekutuan (MySmart Wilayah 2030) dilancarkan bertujuan merangka dan memandu arah dalam perancangan dan pembangunan bandar pintar melalui penerapan teknologi digital di Wilayah Persekutuan. Ia juga bertujuan meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Inisiatif berkenaan melengkapkan Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia (MSCF), dengan sasaran mencapai 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta menukar negara ini menjadi negara mampan menjelang tahun 2030.  SDG yang juga dikenali sebagai Matlamat Global diterimapakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2015 sebagai gesaan universal untuk bertindak menghapuskan kemiskinan, melindungi planet dan memastikan semua orang menikmati keamanan serta kemakmuran menjelang tahun 2030.

17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang juga dikenali sebagai Matlamat Global diterimapakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2015 sebagai gesaan universal untuk bertindak menghapuskan kemiskinan, melindungi planet dan memastikan semua orang menikmati keamanan serta kemakmuran menjelang tahun 2030. (Gambar Ihsan PBB)

Warga kota Kuala Lumpur pada masa ini dengan maklumat di hujung jari serta pembangunan pesat teknologi dengan mudah mampu mendapatkan data sama ada untuk memudahkan perjalanan, bencana, kesihatan mahu pun berita terkini.

Urbanisasi lazimnya mencetuskan pelbagai cabaran termasuk kesesakan, kekurangan bekalan air, kekurangan perkhidmatan awam, jurang kehidupan, keselamatan serta isu lain yang memerlukan infrastruktur yang lebih baik bagi menampung pembesaran mampan.

Meskipun pelbagai pelan induk jangka masa pendek dan jangka panjang dirangka, penduduk bandar masih bertarung dengan isu yang sama hampir setiap hari seperti kesesakan jalan raya, banjir kilat serta pencemaran akibat pembangunan pesat serta perubahan iklim.

Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada 21 November lepas, banjir sering berlaku di kawasan yang padat penduduk dan pembangunan pesat, meletakkan Lembah Klang berisiko tinggi terutama ketika monsun timur laut yang dijangka berlarutan hingga bulan Februari 2024.

Ciri bandar pintar semakin ketara di Kuala Lumpur dan kawasan sekitar.  Bagaimanapun, pakar berpandangan masih perlu penambahbaikan kerana konsep bandar pintar tidak sentiasa bersamaan teknologi termaju tetapi fokus lebih kepada mewujudkan bandar pintar yang berpusatkan manusia, di samping mencapai 17 matlamat SDG.

Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada 21 November lepas, banjir sering berlaku di kawasan yang padat penduduk dan pembangunan pesat, meletakkan Lembah Klang berisiko tinggi terutama ketika monsun timur laut yang dijangka berlarutan hingga bulan Februari 2024.

 

 

PEMIKIRAN BERASASKAN TEKNOLOGI

 

Menurut Perunding Bandar Pintar Eropah Stephane Pean, seperti di kebanyakan negara, pendekatan bandar pintar Malaysia bermula dengan pemikiran berasaskan teknologi, berusaha untuk memupuk ekonomi digital (inovasi), memperbaiki keselamatan awam (kamera) dan menyokong dasar kemampanan dan daya tahan bandar (amaran banjir).

Sebahagian daripada inisiatif itu, katanya, boleh menyumbang kepada sebahagian daripada 17 SDG, seperti SDG 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur), SDG 11 (Bandar dam Komuniti Mampan), dan SDG 13 (Tindakan Iklim). 

"Bagaimanapun, pendekatan bandar pintar sebenar seharusnya secara menyeluruh menyatukan keperluan bandar bagi mencapai semua 17 SDG, kerana semuanya saling berkait. Oleh yang demikian, hasilnya bergantung kepada perlaksanaan dasar awam dan bukan sahaja teknologi yang digunakan. 

"Sebagai contoh, di Lembah Klang, infrastruktur pengangkutan massa kini digunakan dengan baik sekali tetapi untuk menarik orang menggunakannya, modal shift policy (perubahan dalam sistem pengangkutan) mesti dilaksanakan dan solusi mobiliti pintar adalah kuncinya," beliau memberitahu  Bernama. 

Beliau yakin Malaysia mampu membina bandar pintar dan mampan yang tulen pada masa terdekat dengan mengintegrasikan kemampanan bandar yang memerlukan tadbir urus yang mengutamakan rakyat.

"Secara teknikalnya, adalah juga penting untuk membuka data dan sistem bagi memupuk ekosistem melibatkan seluruh masyarakat sivil di bandar dan juga di peringkat rantau, " kata bekas perancang bandar itu.  

Sementara itu, Chong Yin Wei, Ketua Pemetaan Solusi Accelerator Lab Malaysia, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) menekankan, membina bandar pintar tidak selalunya seiringan dengan teknologi tertinggi tetapi memberi lebih penghargaan kepada penglibatan orang ramai. 

Beliau menambah, ini termasuk solusi berasaskan alam semula jadi, inovasi akar umbi, dan teknologi rendah tetapi intervensi berimpak tinggi yang boleh menyelesaikan masalah tempatan, dalam masa sama menggunakan pengetahuan masyarakat Orang Asli dan memperkasa orang ramai.

Ketua Pemetaan Solusi Accelerator Lab Malaysia, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Chong Yin Wei (Gambar Ihsan UNDP Malaysia)

 

 

PENYELESAIAN BERASASKAN ALAM SEMULA JADI

 

Contoh terbaik solusi berasaskan alam semula jadi adalah ‘sponge cities' yang terdapat di seluruh China. Konsep ini menguruskan air hujan dan air banjir. Satu lagi contoh adalah ‘passive cooling shopping center’ di Harare, ibu negara Zimbabwe. 

"Di Malaysia, usaha untuk mencegah hakisan tanah menerusi penanaman pokok buluh dan tanaman tempatan adalah antara solusi berasaskan alam semula jadi yang digunakan dengan berkesan. Ini berbanding langkah intervensi yang digunakan sebelumnya yang melibatkan infrastruktur berat bagi mencegah banjir kilat," katanya. 

Menurut Chong, menerusi pendekatan dari bawah ke atas, perancang bandar boleh mendapatkan penglibatan komuniti dan pemegang taruh di peringkat tempatan bagi mengenal pasti keperluan serta keutamaan mereka, serta membangunkan solusi yang dapat menangani isu tertentu itu.

"Pendekatan ini boleh mengarah kepada lebih banyak solusi yang inklusif dan efektif, kerana ia memperkasa komuniti untuk berperanan aktif dalam membentuk sendiri bandar mereka.

"Memastikan penglibatan wanita, kanak-kanak, Orang Kurang Upaya, kumpulan Orang Asli dan kumpulan yang berstatus sosioekonomi yang rendah dalam mereka bentuk bandar adalah komponen penting dan juga penting untuk kumpulan ini tidak terjejas dengan kekurangan mengakses platform digital atau kemahiran digital," katanya. 

Menurut beliau, di peringkat global terdapat banyak contoh bagaimana kerajaan pintar menggunakan data serta teknologi yang boleh meningkatkan penyertaan rakyat dalam pembangunan bandar yang boleh didiami dan mampan. 

"Di Madrid, suara rakyat adalah faktor penting pemilihan projek di bandar menerusi Consul Platform yang menawarkan proses permohonan serta pemilihan projek yang terbuka dan telus.

"Begitu juga platform sesawang Amsterdam City memberi ruang kepada idea bandar pintar serta kerjasama projek antara institusi awam dan swasta termasuk syarikat yang baru memulakan perniagaan, universiti dan agensi kerajaan di samping maklum balas daripada rakyat. Semunya ini faktor kejayaan kritikal untuk bandar mereka," katanya. 

 

 

BERKONGSI DATA

 

Menurut Chong, melaksana serta mewujudkan bandar pintar dalam tempoh dekad akan datang juga akan meningkatkan kebimbangan privasi data dan keselamatan. 

"Dengan begitu banyak data yang dijana teknologi bandar pintar, terdapat risiko maklumat peribadi boleh disalah guna, menyebabkan pencerobohan peribadi dan ancaman sekuriti.

"Untuk itu amat penting memahami tingkah laku, budaya serta perbezaan bandar. Pencipta aplikasi dan pakar teknologi perlu peka amalan teknologi yang bertanggungjawab.

"Mereka perlu faham bagaimana setiap teknologi memberi kesan kepada cara kita membuat keputusan, emosi dan perpaduan sosial, tidak mencetuskan bahaya dan menghasilkan produk yang mampu meningkatkan kualiti hidup sebagai manusia," jelasnya. 

Menurut Chong, bagi memastikan teknologi baharu digunakan secara berkesan, cekap dan beretika, Standard Digital UNDP dibangunkan bagi menyediakan bimbingan amalan terbaik apabila menghasilkan solusi digital yang menyokong SDG. 

"Daripada ‘bermula dengan keperluan’, kepada ‘tidak mendatangkan bahaya’ dan ‘mengukur apa yang penting’, Standard Digital itu menyediakan rangka kerja yang kukuh untuk inovasi dan memperbaiki kerja kita, termasuk kerja kita di bandar pintar. 

"Kerja kami di bamdar pintar memberi fokus kepada interaksi antara komponen yang berbeza – komuniti, kerajaan tempatan dan sektor swasta. 

"Kami juga meneroka aset yang berbeza yang sedia ada iaitu inovasi berteknologi tinggi tetapi melibatkan kos yang rendah, inovasi berteknologi rendah dan solusi berasaskan alam semula jadi, di samping data besar tetapi berkualitatif," katanya. 

Beliau menambah, apabila menimbangkan langkah perlindungan data, 10 prinsip Standard Privasi PBB yang termasuk perundangan, persetujuan, ketelusan, tujuan dan kesetiaan adalah berguna untuk mewujudkan keseimbangan antara percanggahan kepentingan dalam data peribadi dan hak untuk privasi dalam era global dan digital.

"Durasi penyimpanan data perlu dihadkan. Pihak berkuasa hanya boleh menceroboh secara elektronik ke atas peranti peribadi sebagai jalan terakhir bagi menyekat atau menyiasat sesuatu perbuatan yang boleh mengancam keselamatan negara atau melibatkan jenayah serius yang tertentu.

"Dalam mengemudi teknologi baharu untuk bandar pintar, kepentingan manusia mesti diutamakan, daripada mempengaruhi tingkah laku penduduk kepada peraturan yang membentuk teknologi dengan meletakkan kepentingan orang ramai dalam membuat keputusan," katanya.

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

© 2025 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.