P
enjagaan kesihatan warga emas, antara yang perlu diberi perhatian utama khususnya negara yang mempunyai peratus tinggi golongan ini bagi memastikan mereka mampu hidup selesa di usia senja.
Dalam hal ini, Malaysia dijangka mencapai status negara tua pada tahun 2030 apabila 15 peratus daripada jumlah penduduknya tergolong dalam kumpulan ini dan tempoh berbaki kurang tujuh tahun ini menuntut pelbagai pelaksanaan langkah, baik oleh sektor awam mahupun sektor swasta.
Kediaman persaraan warga emas ‘Sunway Sanctuary’ yang mengetengahkan konsep service apartment bagi penghuninya, dilihat sebagai antara yang dapat memberi nilai tambah kepada aspek penjagaan kesihatan berkaitan penuaan.
Lokasinya juga strategik iaitu terletak bersebelahan Pusat Perubatan Sunway, Petaling Jaya, dan dikelilingi pelbagai kemudahan perkhidmatan serta jaringan pengangkutan.
Penulis baru-baru ini berkesempatan melawat ke Sunway Sanctuary dengan wakil Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) dan teruja melihat konsep minimalis, dekorasi serta pilihan rona seperti putih dan beige, yang membangkitkan suasana tenang dan nyaman bagi penghuninya.
KEDIAMAN PERSARAAN MODEN
Menurut Pengurus Besar Sunway Sanctuary Leonard Theng, pusat penjagaan itu adalah kediaman persaraan moden yang dikendalikan Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway, bertujuan memberi penginapan selesa dan berkualiti kepada warga emas yang aktif.

Sunway Sanctuary menawarkan perkhidmatan peribadi yang sesuai, bergantung pada keperluan warga emas.
Projek yang meliputi kawasan seluas kira-kira 9,290 meter persegi , mempunyai 473 unit kediaman serba lengkap dengan pilihan studio, satu atau dua bilik tidur.
“Pembangunan kediaman ini mengutamakan kesejahteraan holistik dengan memberi penekanan kepada minda, tubuh dan jiwa yang seimbang. Kami turut menawarkan pakej kesihatan eksklusif kepada mereka yang berumur 55 tahun dan ke atas, tidak terhad kepada warganegara Malaysia malah terbuka kepada ekspatriat dan pelancong asing.
“Sunway Sanctuary mula beroperasi dan dibuka kepada orang ramai termasuk pelancong penjagaan kesihatan pada 6 Jun lepas. Ia boleh dianggap sebagai ‘rumah jagaan’ warga emas yang menawarkan perkhidmatan peribadi yang sesuai, bergantung pada keperluan individu.
“Apa yang menarik, ia juga dihubungkan terus dengan Pusat Perubatan Sunway dan seterusnya menyediakan akses mudah kepada pelanggan yang mahu mendapatkan perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang berkualiti,’’ katanya kepada Bernama.
PELBAGAI AKTIVITI UNTUK KEKAL AKTIF
Mengulas lanjut Leonard berkata, mereka yang memilih untuk menginap di pusat penjagaan itu akan dapat menikmati gaya hidup yang lebih elegan dan aktif.
Ini kerana ia bukan sekadar penginapan semata-mata sebaliknya turut menyediakan kemudahan berbentuk kecergasan, kesihatan dan aktiviti yang mampu memenuhi gaya hidup masa kini.
Lengkap dengan pusat hiburan dan rekreasi, ia bertujuan untuk memastikan penghuninya boleh memenuhi masa terluang mereka dengan melakukan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan dan bermanfaat.
Terletak berhampiran pusat beli belah Sunway Pyramid serta taman tema Sunway Lagoon, ia juga menyediakan kemudahan seperti penyediaaan makanan harian, mengemas serta mencuci pakaian yang diuruskan oleh pasukan hospitalitinya.
Di samping itu, ia turut menawarkan pasukan kesihatan yang terdiri daripada kakitangan berkelayakan sekiranya pelanggan berdepan situasi kecemasan.
“Sunway Sanctuary ketika ini memenuhi permintaan daripada komuniti warga emas bukan sahaja dari sekitar Kuala Lumpur, sebaliknya dari rantau Asia Tenggara seperti Singapura, Indonesia, Hong Kong malah Australia dan negara Eropah yang lain.

Sunway Sanctuary memberi penginapan selesa dan berkualiti kepada warga emas yang aktif.
“Ini kerana kediaman ini kita buka sememangnya untuk pesara dan prapesara yang masih aktif dalam menjalani kehidupan harian masing-masing dengan menawarkan mereka penjagaan premium yang menyeluruh,’’ katanya menambah, bayaran bulanan bermula sekitar RM8,050 bagi penghuni menikmati kemudahan yang disediakan.
Terdapat juga penghuni dari negara luar terutamanya Singapura yang lebih selesa menginap di Sunway Sanctuary sepanjang mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Sunway tanpa perlu berulang-alik ke negara asal mereka.
Ini kerana pelancong kesihatan yang mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Sunway turut diberi ruang untuk mendapatkan penginapan di sini dengan kadar sekitar RM350 semalam.
FASILITI KELAS PERTAMA
Menyifatkan langkah memperluaskan perkhidmatan untuk warga emas bukan satu beban, Leonard berkata, ini berikutan pihaknya mempunyai pengalaman luas dalam bidang kesihatan dan hospitaliti.
“Melalui kelebihan ini kami mampu memanfaatkan semua kepakaran bagi menyediakan fasiliti yang terbaik buat warga emas, apatah lagi terdapat banyak isu yang mengaitkan warga emas ketika ini.
“Sunway Sanctuary menyediakan fasitiliti lengkap antaranya kemudahan gimnasium, kolam infiniti air masin yang melalui proses pemanasan, mini pawagam, perpustakaan, ruang karaoke, pusat permainan, sauna dan pusat rehabilitasi.
“Kolam dan pusat rehabilitasi boleh digunakan warga emas untuk tujuan terapi strok dan sebagainya selain kami turut menyediakan staf untuk membimbing mereka melakukan rawatan dan terapi yang bersesuaian,’’ katanya menambah, beberapa ruang istirehat yang ada membolehkan pelanggan bergaul dan saling mengenali antara satu sama lain.

Pelancong kesihatan yang mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Sunway turut diberi ruang untuk mendapatkan penginapan di Sunway Sanctuary dengan kadar sekitar RM350 semalam.
Pada masa yang sama, pusat penjagaan itu turut menempatkan sebuah pusat kesihatan bertujuan menyediakan pemeriksaan asas, ujian darah, nasihat pemakanan serta pemantauan kesihatan tetap terhadap pelanggan.
Namun begitu, sekiranya pelanggan berdepan risiko penyakit serius mereka akan dirujuk terus ke Pusat Perubatan Sunway untuk pemeriksaan lanjut.
“Kami turut menawarkan perubatan kesihatan tradisional seperti Perubatan Komplementari Tradisional kepada pelanggan yang mahu menikmati rawatan alternatif. Kaum keluarga dan waris pelanggan kami akan berasa terjamin apabila insan yang mereka sayang diurus rapi, berada dalam keadaan selamat serta mendapat akses kepada rawatan perubatan yang terbaik di sini,’’ katanya.
PERLUAS PERKHIDMATAN
Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway melalui Sunway Sanctuary berhasrat memperluaskan jaringannya dalam memenuhi permintaan penginapan warga emas secara menyeluruh, tidak terhad kepada pasaran tempatan bahkan di peringkat global.
Menurut Leonard, untuk itu, Sunway Sanctuary berkongsi kepakaran dan pengalaman dengan negara yang mahir dalam mengendalikan warga emas termasuk Australia dan Jepun.

Sunway Sanctuary turut menyediakan kemudahan berbentuk kecergasan, kesihatan dan aktiviti yang mampu memenuhi gaya hidup masa kini.
“Sebanyak 28 peratus daripada jumlah penginapan dikaitkan dengan pelancong antarabangsa dan ekspatriat. Statistik ini menunjukkan daya tarikan global pusat penjagaan ini yang mempunyai tawaran luar biasa dalam menarik pengunjung dari seluruh dunia.
“Dengan tumpuan strategik usaha jualan dan pemasaran Sunway Sanctuary yang beralih ke arah pasaran luar negara, angka ini dijangka meningkat dengan ketara.
“Trend ini bukan sahaja menyerlahkan daya tarikan antarabangsa pusat penjagaan ini tetapi turut mencadangkan trajektori yang menjanjikan, menjelaskan bahawa Sunway Sanctuary bersedia menjadi pilihan yang lebih digemari bagi pelancong senior yang mencari pengalaman yang benar-benar global dan mengalu-alukan,” tambahnya.
Disunting oleh Melati Mohd Ariff