Courtyard by Marriott Tarikan Terbaharu di Melaka

M
elaka sememangnya terkenal dengan pelbagai tarikan pelancongan bersejarah yang diiktiraf dunia, warisan budaya dan seni yang berakar umbi sejak ratusan tahun lamanya.  

Selain banyak pilihan lokasi menarik untuk pengunjung dalam dan luar negara, aspek hospitaliti yang ditawarkan turut menggamit pelancong untuk datang ke negeri yang dikenali dengan jolokan ‘Negeri Bersejarah’ itu.

Pada 7 Julai 2008, ibu negerinya iaitu Bandaraya Melaka diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

 

LUAS, SELESA, MENDAMAIKAN

Hotel Courtyard by Marriott Melaka, ahli portfolio jenama hotel Marriott Bonvoy yang diuruskan oleh Marriott International adalah antara tarikan terbaharu di negeri itu.

Terletak di Jalan Haji Bachee, Kampung Bukit China,  perjalanan ke hotel itu dari Kuala Lumpur dengan kereta mengambil masa kira-kira dua jam.

Penulis dan jurufoto Bernama serta beberapa lagi rakan media baru-baru ini berpeluang menginap di hotel baharu lima bintang itu selama tiga hari dua malam, atas undangan Marriot International.

Mula dibuka kepada pengunjung pada April tahun ini, hotel ini adalah hotel Courtyard ketiga selepas pembukaan Courtyard by Marriott Penang pada tahun 2018 dan Courtyard by Marriott Setia Alam pada tahun 2022.

Selain kolam hiasan pancuran air yang terletak di tepi bangunan hotel yang menarik perhatian penulis, ruang menyambut tetamu hotel ini juga kelihatan unik, luas dan meskipun hiasannya minimalis namun penggunaan sistem pencahayaan ditambah pula dengan cahaya semula jadi dari luar, menjadikannya begitu menarik. 

Tiga buah perabot bangku rotan ‘gergasi’ yang ditempah khas dan diletakkan di ruang lobi untuk kemudahan tetamu ketika menunggu sementara berurusan di kaunter bukan sahaja mempunyai bentuk yang unik dan warna yang menarik, malah membangkitkan kelainan pada suasana lobi hotel.

Selesai berurusan di kaunter, kami dibawa ke bilik oleh seorang penyambut tetamu yang begitu ramah bercerita mengenai tempat menarik yang boleh dilawati termasuk menu popular yang wajib dicuba apabila datang ke Melaka.

Antara tempat yang menarik dan terletak tidak jauh dari hotel kami menginap itu ialah perkampungan tradisional Melayu di Kampung Morten, Jonker Walk, Bangunan Stadthuys, Kubu St John’s, Kota A Famosa dan Muzium Warisan Baba & Nyonya.

“Ada yang hanya lebih kurang 600 meter dan ada hanya kurang dua kilometer perjalanan, jadi jalan kaki pun boleh (pergi). Seri Erra Roti John (antara yang popular di Melaka) pun dekat depan tu saja. Cendol Kampung Hulu pun popular, jangan lupa makan,” kata penyambut tetamu itu, secara berseloroh sebaik kami tiba di bilik dan mengucapkan terima kasih.

Bilik yang disediakan untuk kami bukan sahaja luas, selesa dan kemas dengan reka bentuk dalaman gaya kontemporari bahkan serba serbi baharu disertai dengan kemudahan yang lengkap selain kami juga boleh menikmati pemandangan bandar Melaka yang nostalgik.

 

FASILITI MEWAH, MENU MENARIK

Usai berehat seketika, kami kemudian dibawa meninjau ke dewan ‘ballroom’ yang boleh memuatkan 1,000 orang dalam satu masa, bilik persidangan atau bilik mesyuarat pelbagai saiz serta bilik menunggu VIP yang mengetengahkan konsep moden. 

Selain untuk tujuan kursus, persidangan atau mensyuarat, Courtyard by Marriott Melaka turut menerima tempahan bagi majlis perkahwinan beserta pakej lengkap dan menarik untuk pelbagai tema mengikut permintaan pelanggan. 

Sebaik tiba di bahagian fasiliti hotel yang terletak di tingkat lapan hotel itu, kami teruja apabila melihat ruang rehat dan santai yang dilengkapi kerusi dan meja berkonsepkan atas kolam air dengan rekaan yang begitu eksklusif dan suasana yang mendamaikan.

Di sini, pengunjung bukan sahaja boleh berehat dan bersantai dengan membaca bahkan menikmati suasana tenang atau ‘healing’, dalam bahasa orang muda hari ini, berlatar belakangkan bandar Melaka. 

Selain kolam renang kanak-kanak, terdapat kolam renang dewasa yang berkonsepkan infinity pool dengan air bersih berwarna biru itu dilatari landskap tanaman hijau, ruang berehat yang luas dengan tema perabot berwarna coklat gelap dan putih, pengunjung boleh menikmati pemandangan bandar dan Selat Melaka. 

Beralih pula kepada makanan, Courtyard Cafe adalah restoran utama hotel ini di samping terdapat bar ‘Lounge 1939’ yang namanya diambil bersempena tahun kawasan perumahan yang terletak berhadapan hotel itu dibina. 

Courtyard Cafe yang berkonsepkan dapur terbuka bukan sahaja dihiasi dengan dekorasi yang cantik bahkan turut menyajikan menu pelbagai pilihan cita rasa tempatan dan antarabangsa. Di ruang tengah restoran ini dihiasi dengan replika beca roti yang suatu ketika dahulu cukup popular dalam kalangan penduduk tempatan.

Dengan hidangan menu bufet dan ala carte, pengunjung boleh memilih untuk menikmati hidangan di meja dua kerusi bagi mereka yang mahukan privasi atau memilih untuk duduk di meja yang lebih besar bagi yang berkeluarga yang terletak in-door atau berkonsepkan ‘al-fresco’ dengan pencahayaan semula jadi dan suasana santai sambil menikmati angin sepoi-sepoi bahasa di luar restoran.

Restoran ini boleh memuatkan kira-kira 250 pengunjung dalam satu masa selain turut mempunyai ruang makan peribadi yang boleh memuatkan 14 orang. 

Kami berkesempatan bersarapan pagi dan makan malam secara bufet di Courtyard Cafe sekali gus merasai pengalaman gastronomi, menikmati pelbagai hidangan, antaranya sate sekaki daging yang saiznya lebih panjang berbanding sate biasa, cucur bilis cencaluk (cencaluk sejenis makanan popular di Melaka yang dibuat daripada udang geragau yang diasinkan dalam air garam dan diawet untuk satu tempoh masa), sambal sotong kering bersama kacang tumbuk, rosted leg of lamb with lyonnaise potato dan seared chicken ballotine with mushroom and english herbs.

Selain itu menu nasi dengan pelbagai lauk-pauk, bihun dan mi sup, bubur, makanan laut seperti tiram dan udang serta perahan lemon, pelbagai jenis buah-buahan, sayur-sayuran dan pencuci mulut dengan pelbagai jenis kek, ais krim termasuk air batu campur turut disajikan.

 

TEMPAT MENARIK DIKUNJUNGI

Tidak lengkap ‘percutian singkat’ kami sekiranya tidak melawat ke kawasan sekitar Bandar Warisan Dunia oleh UNESCO itu, lebih-lebih lagi dengan kemudahan akses ke tempat menarik tumpuan pelancong. 

Menikmati suasana malam Jonker Walk, iaitu pasar malam besar dan popular bahkan menjadi lokasi wajib bagi mereka yang datang ke Melaka adalah antara pengalaman yang cukup menarik. Jonker Walk terletak di Jalan Hang Jebat dengan kebanyakan peniaga menjual makanan, barang antik, kraftangan, cenderahati, kasut, baju dan lain-lain. 

Walaupun penjual di situ majoritinya kaum Cina, pengunjung boleh melihat kepelbagaian budaya yang ada di deretan gerai pasar malam, ditambah kilauan lampu warna-warni beca yang turut mengambil dan menurunkan penumpang di situ. 

Mula-mula masuk ke Jonker Walk, pengunjung akan ‘disambut’ oleh tiga beranak yang terdiri daripada pasangan suami isteri dan anak mereka yang mengusahakan air kelapa muda.

Lengkap berpakaian tradisi Melayu dengan bertanjak dan bersongkok, si anak dalam lingkungan usia 20-an turut membuat pertunjukan melambung kelapa yang menjadi tumpuan pengunjung. 

Di sepanjang jalan pasar malam itu turut terdapat beberapa kedai yang menjual kebaya nyonya, kedai cenderahati, makanan tradisional nyonya, restoran peranakan yang menyajikan menu kuih tradisi, nyonya laksam, asam laksa, nasi pandan, baba cendol dan sago gula melaka. 

Di sebalik kesibukan Jonker Walk yang sesak dengan pengunjung, terdapat seorang lelaki berbangsa India dan pasangannya yang menjual pani puri (makanan tradisi kaum India). Ramai yang sabar menunggu giliran untuk membeli makanan ini, termasuk pelancong asing. 

Pada hari kedua, kami melawat ke Dataran Persahabatan Malaysia-China yang dihiasi mural seni jalanan berwarna-warni serta ‘Malacca River Walk’ dengan landskap yang cukup cantik pemandangan bot River Cruise yang berulang-alik membawa pelancong. 

Lokasi lain yang kami kunjungi ialah Dutch Square (Req Square) Malacca, Menara Jam Melaka, Bangunan Stadthuys, Gereja St Paul dan Rumah Api Bukit St Paul atau dikenali sebagai Bukit Melaka yang juga terdapat monumen St Francis Xavier di hadapannya.

Gereja St Paul di Melaka adalah binaan lama Portugis yang terletak hanya bersebelahan dengan Pintu Gerbang Santiago (Kota A Famosa). Terletak di kawasan bukit yang agak tinggi, binaan yang berusia hampir 500 tahun itu pernah menjadi sebuah gereja, gudang simpanan peluru senjata selain tempat persemadian (kubur) beberapa orang pembesar Portugis dan Belanda.

Apabila sampai di puncak, pelancong boleh melihat pemandangan sekeliling bandaraya Melaka dan sayup-sayup kelihatan perairan Selat Melaka.

Meneruskan aktiviti ‘jalan-jalan’, kami berpeluang menaiki beca dari Kota A Famosa ke Muzium Warisan Baba & Nyonya yang terletak di Jalan Tun Tan Cheng Lock, yang mengambil masa tidak sampai 10 minit. 

Muzium yang cukup cantik dengan perabot dan ukiran yang unik, ruang yang luas serta kaya dengan tinggalan barangan sejarah ini asalnya adalah tiga buah rumah teres milik keluarga Chan Cheng Siew pada tahun 1861.

Empat generasi keluarga Chan tinggal di rumah ini dan dibuka oleh keluarga itu kepada umum pada tahun 1985. Lelaki peranakan dipanggil Baba, manakala wanita pula digelar Nyonya.

Lokasi terakhir kami ialah menaiki bot River Cruise, menelusuri sepanjang Sungai Melaka dengan menyaksikan pemandangan sekitar yang cukup indah sambil mendengar penerangan berhubung setiap tempat yang kami lalui disertai latar belakang lagu Dondang Sayang yang cukup popular dalam kalangan penduduk Melaka khususnya masyarakat Melayu dan Cina Peranakan.

 

MENU TRADISI BABA NYONYA

Tidak lengkap misi ke Melaka sekiranya tidak mengambil peluang menikmati menu popular di negeri itu. 

Sungguhpun Melaka cukup sinonim dengan menu asam pedas, tidak kurang hebat ialah  menu ikan bakar serta makanan laut lain seperti ketam, udang, pepahat, sotong dan kepah.

Kami berkesempatan berkunjung ke Medan Ikan Bakar Muara Sungai Duyung di Jalan Padang Temu yang bukan sahaja menawarkan pelbagai menu mengikut cita rasa pelanggan, bahkan turut menikmati suasana menjamu selera sambil melihat pemandangan petang dengan bot yang lalu lalang.

Antara menu lain yang sempat kami cuba dalam tempoh tiga hari itu ialah nasi ayam bebola, iaitu makanan tradisi masyarakat Cina Hainan.

Mengikut cerita orang dulu-dulu, nasi ayam yang dimasak gebu dan lembut seterusnya akan dibentukkan seperti bola kecil bagi memudahkan dan menjimatkan masa mereka yang bekerja untuk menikmati hidangan itu. 

Kini masyarakat pelbagai kaum boleh merasai keunikan dan kelembutan nasi ayam bebola kerana banyak restoran yang menghidangkannya dengan status halal. 

Turut singgah di Bibik House Cendol yang dijalankan secara turun-temurun dengan rasa yang dikekalkan sejak dahulu beserta aneka sajian Baba Nyonya dan Melayu, kami turut menjamu selera di restoran Heritage Flavours.

Restoran ini yang menawarkan menu menarik seperti kuih nyonya berwarna-warni dengan tekstur yang lembut, pai tee, ayam pongteh, cencaluk omelette dan udang lemak nanas turut memukau pengunjung dengan dekorasi dan hiasan dalaman restoran yang mengangkat tema Cina Peranakan. 

 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.