Norida Hasil Kek Jalur Gemilang, Terjemah Rasa Cinta Pada Negara

B
agi usahawan kek, Norida Ismail, 66, setiap kali menjelang bulan Ogos, beliau begitu teruja untuk menghasilkan pelbagai jenis kek yang bertemakan merdeka dan bendera negara, Jalur Gemilang.

Tanda cinta anak kelahiran Kangar, Perlis ini kepada tanah air diterjemahkan menerusi hasil kreativiti seni ukiran kek merdeka yang pertama kali diperkenalkan kepada pelanggannya pada bulan Ogos 2015.

Menurut pemilik Mama Nory Bakery ini, semangat merdeka seolah-olah meresap ke dalam jiwanya setiap kali menghasilkan kek bertema Jalur Gemilang, lebih-lebih lagi menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.

"Setiap kali menghasilkan kek dengan tema ini, rasa sayang pada negara semakin menebal dan saya bangga menjadi rakyat Malaysia. Biarpun penghasilan sebuah kek itu memakan masa, namun seronok dan teruja apabila mengukir lambang bendera negara tercinta di atas kek selain tidak sabar melihat hasilnya.

Kek Jalur Gemilang mendapat sambutan menggalakkan menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos. Gambar oleh : Norida Ismail

"Menghias sebuah kek dengan tema begini adalah satu seni yang indah. Antaranya mengukir corak bendera Malaysia dengan jalur berwarna merah putih berselang-seli diikuti lambang bulan sabit dan bintang pecah 14 yang menjadi penyeri di sudut atas," katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini dan menambah, beliau mempelajari pembuatan dan dekorasi kek pelbagai bentuk daripada beberapa orang guru luar serta mendapat bimbingan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Bahan yang digunakan untuk membuat kek dengan corak bendera Malaysia termasuk ‘krimwell’ serta pewarna manakala bagi dekorasi berunsurkan patriotik, ada tambahan, antaranya objek trak bendera Malaysia dan patung kecil askar, sebagai hiasan.

Norida membuka perniagaan bakeri pada bulan Januari 2015, selepas bersara sebagai penjawat awam, dengan modal permulaan sendiri serta mendapat bantuan daripada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA). Sebelum bersara, beliau banyak menyertai bengkel serta kursus membuat roti dan kek kerana sudah menyimpan cita-cita untuk menceburi bidang perniagaam itu selepas bersara kelak. 

"Pada mulanya saya membuka bengkel roti terlebih dahulu dengan duit sendiri serta bantuan daripada MADA. Roti yang saya jual ialah roti Arab, roti bun dan roti buku. Kemudian saya buka kedai kek,  menggunakan duit persaraan selain sokongan ahli keluarga.

“Anggaran modal membuka bakeri ini adalah sekitar RM100,000 hingga RM150,000. Saya turut melatih dua orang suri rumah membuat pelbagai roti, biskut semasa di awal pembukaan bakeri,” katanya. Norida kini turut dibantu dua orang anaknya iaitu Najwa Azhar, 30, dan Ainun Mardiah Azhar, 28.

 

PERLU KETELITIAN

Selain kek bertemakan hari kebangsaan, pelbagai jenis kek lain boleh didapati di kedai kek Norida yang terletak di Jalan Kampung Bakau, Kangar.  Sebelum berpindah ke lokasi kedai yang disewa ini, beliau mengusahakan perniagaan roti di Kampung Sena.

Antara kek yang dihasilkan ialah kek cawan (cup cake),  fresh cream blueberry, fresh cream oreo, coklat indulgence, kek moist, kek buttercream, kek hantaran perkahwinan, kek hari lahir, roti bun, roti arab, biskut moden serta pelbagai kuih tradisional dan kerepek.

Usahawan kek, Norida Ismail (tengah) . Gambar oleh Norida

Harga bagi sebiji kek terutamanya kek merdeka dijual dari RM40 hingga RM150 bergantung kepada saiz, jenis serta dekorasinya manakala bagi kek cawan pula harga RM4 sebiji.

Kesemua kek yang dihasilkan adalah dengan bantuan tiga orang pekerja tetap serta dua pekerja sambilan dengan bentuk kek direka sendiri atau dekorasinya ditentukan oleh pelanggan.

Norida menambah, tempahan pelanggan kebanyakan dari Perlis namun terdapat juga pelanggan luar yang menempah untuk diberikan kepada kenalan mereka yang tinggal di negeri ini.

Menghasilkan kek Jalur Gemilang memerlukan fokus tinggi. Gambar oleh : Norida Ismail

Menyifatkan penghasilan kek terutama proses mengukir memerlukan ketelitian bagi memastikan corak yang diukir di atas kek terserlah serta menepati tema, Norida berkata, tempoh penghasilan sesebuah kek pula bergantung pada bentuk dan saiz yang ditempah pelanggan.

"Kek bertemakan hari merdeka atau bendera Malaysia yang bersaiz kira-kira 18 sentimeter (7 inci) atau 13 sentimeter (5 inci) hanya memakan masa 15 hingga 20 minit untuk dibentuk menggunakan acuan ising, mengikut warna yang disediakan. Kek biasanya sudah dimasak awal. Namun bagi kek yang lebih besar atau lebar ia memerlukan lebih masa untuk menghiasnya.

"Setakat ini kek merdeka yang paling besar pernah dihasilkan ialah sewaktu program kemerdekaan anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) beberapa tahun lepas berukuran  76.2 sentimeter x 91.44 sentimeter" katanya sambil menjelaskan, kek merdeka khusus dibuat sepanjang bulan Ogos, namun jika ada permintaan di luar bulan kemerdekaan itu, pihaknya bersedia membuatnya.

 

SAMBUTAN MENGGALAKKAN

Hampir memasuki lapan tahun mengendalikan perniagaan kek, Norida berkata, sambutan daripada pelanggan amat mengalakkan termasuk kek yang bertemakan Hari Kebangsaan. "Sambutan setiap tahun amat memberangsangkan. Biasanya dalam seminggu sebelum 31 Ogos, memang tidak menang tangan melayan permintaan dan tempahan pelanggan.

“Dalam sehari kira-kira 30 hingga 40 biji  kek kemerdekaan perlu disiapkan dan ia akan bertambah dari hari ke hari sehinggalah menghampiri tarikh sambutan," katanya menambah, antara cabaran membuat kek merdeka khususnya Jalur Gemilang ialah memerlukan fokus yang tinggi pada bahagian bucu kek bagi membuat lambang bintang.

Norida pada masa sama berkata, sokongan pelanggan menjadi pendorong untuk dirinya terus mengorak langkah dalam perniagaan sekali gus menarik lebih ramai pelanggan untuk menempah dan merasai sendiri kek yang dihasilkannya.

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.