K
UALA LUMPUR (Bernama) -- Diisi dalam sampul kecil pelbagai warna beraneka corak, “duit raya” antara tradisi yang barangkali amat ditunggu-tunggu oleh kanak-kanak, tidak ketinggalan sebahagian remaja, setiap kali tiba Aidilfitri.
Sambil bersalam mencium tangan dan memohon maaf, hati mereka pasti teruja menunggu peket kecil itu yang akan dihulur oleh ibu ayah atau saudara mara.

Sampul negeri Johor merupakan antara yang paling laris terjual. Gambar oleh Fresh Print Trading.
Seiring peredaran masa, pemberian duit raya juga boleh dilakukan secara dalam talian, namun peranan sampul kecil ini tidak terpinggir, dan bagi sebuah syarikat bumiputera, Fresh Print Trading, mereka memanfaatkan wahana duit raya itu bagi mengetengahkan ikon dan mercu tanda sesebuah negeri di Malaysia.
Tahun ini, syarikat itu mengangkat negeri Johor sebagai tema sampul duit raya mereka, mempamerkan bangunan Stadium Sultan Ibrahim, bandar seramik Ayer Hitam serta alat muzik tradisional gambus yang sinonim dengan negeri di selatan Semenanjung tersebut.
SENTIASA LAKUKAN R&D

Aziz Ahamed Mohamed Ismail (baju biru) berkata idea mencetak sampul duit raya dengan imej negeri-negeri itu timbul susulan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2020. Gambar Muhammad Basir Roslan.
Menurut pengasas syarikat, Aziz Ahamed Mohamed Ismail, 33, idea mencetak sampul duit raya dengan imej ikon dan mercu tanda negeri-negeri itu timbul susulan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2020.
Beliau berkata usaha itu seiring dengan seruan kerajaan yang mahu setiap pihak memainkan peranan mempromosikan negara dan setiap negeri di Malaysia kepada rakyat sendiri dan juga pelawat asing.
"Kami merancang untuk mengeluarkan sampul yang boleh dijadikan koleksi pengumpul. Untuk itu, kami berbincang dan mengenal pasti bangunan dan ikon budaya masyarakat setempat yang boleh kami ketengahkan.
"Antara cabaran dalam usaha kami ialah kami kena pastikan bangunan ikon terbabit masih wujud, sebab, contohnya di Kuala Lumpur ini, dulu ada Penjara Pudu tapi sudah dirobohkan dan di atas tapaknya didirikan pasar raya LalaPort,” katanya ketika ditemui Bernama di pejabat syarikat itu di Desa Pandan, di sini.

Fresh Print Trading juga menawarkan pelbagai servis percetakan yang lain, antaranya kotak produk, sepanduk, dan sebagainya. Gambar Muhammad Basir Roslan.
Jelasnya, mereka sentiasa mengemas kini imej pada sampul terbabit agar turut merangkumi bangunan baharu yang siap selepas 2020.
Beliau menyifatkan sampul kecil itu sebagai sentiasa relevan dan boleh digunakan pada bila-bila masa, tidak terhad hanya pada musim perayaan.
“Sampul ini tidak terhad untuk kita guna pada hari raya sahaja… kita boleh guna untuk letak duit di dalamnya dan diberikan ketika kita menghadiri kenduri kahwin, akikah dan sebagainya.
“Produk yang malar hijau dan sentiasa boleh digunakan,” katanya, menambah antara sampul negeri yang popular dan sering diulang cetak ialah Johor, Selangor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
PANDEMIK HAMPIR "LUMPUHKAN” SYARIKAT

sampul kecil akan sentiasa relevan dan boleh digunakan pada bila-bila masa, tidak terhad hanya pada musim perayaan.
Bercerita lanjut, lulusan Kejuruteraan Perisian Komputer daripada Universiti Multimedia di Cyberjaya itu berkata syarikatnya hampir-hampir "lumpuh” disebabkan oleh penularan pandemik COVID-19.
"Kami baru lancarkan produk, namun berlaku COVID-19, menyebabkan kerajaan melaksanakan sekatan pergerakan dan sambutan raya pada tahun itu hanya diraikan di rumah masing-masing.
"Bayangkan, ketika itu kami sudahpun mencetak kira-kira 200,000 keping sampul duit raya bertemakan negeri-negeri untuk dijual dan diedarkan. Namun akibat pandemik, penat lelah kami hanya sia-sia sahaja. Kami cuba menjual menerusi platform dalam talian, tapi kurang sambutan.
"Mujurlah kami mengambil langkah berhati-hati dengan menggunakan bahan jenis tidak mudah berkulat iaitu kertas ‘matte art’. Bahan ini dijamin tahan lama, tidak pudar dan tahan kulat," katanya, menambah syarikat itu bertungkus-lumus menjual kembali sampul berkenaan selepas keadaan pandemik semakin baik.
“Alhamdulillah, produk kami dapat sambutan menggalakkan,” ujarnya.
KONGSI REZEKI

Syarikat tersebut sering mengambil ejen jualan dan pekerja separuh masa daripada golongan muda dan ibu tunggal untuk sama-sama berkongsi rezeki. Gambar Muhammad Basir Roslan.
Berpegang pada konsep “rezeki untuk semua", Aziz Ahamed berkata syarikatnya mengambil ejen jualan dan pekerja separuh masa daripada golongan muda dan ibu tunggal.
Menurutnya, buat masa ini terdapat hampir 200 ejen dan pekerja separuh masa di syarikatnya yang masing-masing menerima laba lumayan, termasuk ada yang mampu mencapai jualan bernilai RM1,000 sehari.
"Mudah sahaja untuk mempromosikan sampul ini, cuma perlu ada platform media sosial sendiri seperti TikTok, disebabkan orang sekarang lebih berminat untuk melakukan transaksi pembelian secara 'online'.
“Berdasarkan maklumat dikongsikan ejen terbesar kami Qamelia Store, hampir 80 peratus penjualan sampul ini adalah hasil iklan di media sosial yang dilakukan oleh ejen-ejen jualan. Jadi, sebenarnya memang mudah untuk kita jana pendapatan daripada sampul ini,” katanya yang menjangka jualan sampul meningkat kepada lebih sejuta keping menjelang Aidilfitri pada hujung bulan ini.
Setiap pek mengandungi 10 keping sampul dijual pada harga RM5.90.
Menurut beliau, kejayaan syarikat percetakan itu juga disumbangkan oleh penggunaan mesin cetak berteknologi tinggi termasuk keluaran Komori.
“Dengan adanya mesin berprestasi tinggi sebegini, Fresh Print Trading berharap dapat menjalin kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi menyediakan cenderamata berbentuk sampul dan kalendar untuk Tahun Melawat Malaysia 2025.
“Kami juga bakal bekerjasama dengan beberapa negara luar termasuk Singapura dan Brunei bagi meluaskan pasaran produk di sana. Antara servis lain yang ditawarkan ialah percetakan buku dan majalah, kad jemputan, lencana butang dan kotak pembungkusan,” katanya, menambah maklumat lanjut boleh didapati di laman Facebook freshprintmy dan TikTok @freshprintmy.
BERNAMA