<
strong>Oleh Muhammad Basir Roslan
MUAR (Bernama) -- "Negara itu ibarat tubuh badan seseorang dan sungai-sungai di dalamnya adalah salur-salur darah yang mengalir dan memberi kehidupan.”
Demikian kiasan Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang yang juga pakar alam sekitar bagi menggambarkan kepentingan sungai buat sosioekonomi sesebuah peradaban.

Peserta Ekspedisi Sumber Air Negara Sungai Muar menaiki bot JPS menelusuri Sungai Muar. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
Di negara ini, antara fungsi utama sungai ialah membekalkan air untuk kegunaan rakyat, sementara di Sabah dan Sarawak ia turut menjadi “jalan utama” di sebahagian besar kawasan, khususnya untuk ke daerah pedalaman.
Namun, pencemaran dan penerokaan hutan demi pembangunan peradaban sejak bertahun-tahun kini mula mengancam sebahagian besar sistem sungai di negara ini, khususnya di Selangor, Johor dan Pulau Pinang.
Sungai Muar juga tidak terkecuali.
SEJARAH SUNGAI MUAR

Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi JPS, Ir Azmi Ibrahim
Lembangan Sungai Muar adalah satu daripada 189 lembangan sungai yang ada di negara ini, dan uniknya jaringan sungai ini ialah sebahagian kecil anak sungai berpunca di Pahang sementara bakinya di sebuah bukit di Kampung Talang, Negeri Sembilan. Muaranya pula di daerah Muar, Johor.
Bercerita mengenainya kepada Bernama, Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia Ir Azmi Ibrahim berkata sungai sepanjang 329 kilometer itu merentasi beberapa bandar utama, antaranya Kuala Pilah dan Bahau di Negeri Sembilan, serta Segamat, Pagoh, Tanjung Agas dan Muar, Johor.
Mengikut sejarah, Parameswara dikisahkan terlebih dahulu cuba mengasaskan kerajaannya di Kota Buruk dan Biawak Busuk tidak jauh dari kuala Sungai Muar sebelum bergerak ke utara dan mengasaskan Melaka.
"Di kuala Sungai Muar iaitu Tanjung Ketapang (kini dikenali Tanjung Emas) dahulunya sangat terkenal sebagai sebuah kota pelabuhan yang begitu sibuk menerima kunjungan pedagang dari seluruh pelosok dunia.
"Sungai Muar juga terkenal dengan pelbagai hasil lautnya seperti ikan dan udang galah. Namun paling unik adalah tiram yang diakui ramai sebagai antara yang berkualiti dan terbaik di dunia.
“Kawasan yang banyak tiram di sini adalah di sepanjang pesisir sungai… dari kuala sungai hingga ke Pangkalan Tiram. Sejak turun-temurun, nelayan di sini akan menyelam untuk mencari tiram," katanya yang ditemui sewaktu Ekspedisi Sumber Air Negara Sungai Muar, baru-baru ini.
PEMBANGUNAN PESAT ANCAM SUNGAI

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air,Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang
Sungai Muar merupakan sungai kedua terpenting di negeri ini selepas Sungai Johor. Justeru, sebarang ancaman, baik diakibatkan oleh pembangunan ataupun alam semula jadi seperti perubahan iklim, berpotensi menggugat sosioekonomi masyarakat setempat.
Mengulas mengenainya, Zaini yang turut menyertai ekspedisi itu berkata Malaysia berdepan situasi yang agak mencabar dari segi purata taburan hujan kerana jumlahnya agak tinggi berbanding negara lain, iaitu sekitar 2,500 mm setahun, jauh melebihi Jepun (1,200 mm) dan kebanyakan negara Eropah yang rata-rata sekitar 1,000 mm.
“Sehubungan itu, kita biasanya akan mengalami situasi banjir yang agak kerap termasuk banjir besar, seperti yang pernah berlaku di Kelantan pada 2014, apabila jumlah hujan sebanyak 940 mm dalam tempoh lapan hari.
“Apabila ini berlaku, kita perlu alirkan air banjir yang banyak ini secepat mungkin ke laut dan ini memerlukan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) yang boleh juga berfungsi sebagai kolam takungan hiliran bagi menghadapi kemarau.
“Bagi Sungai Muar, kita telah mulakan kerja pembinaan TAPS di Sungai Jernih, iaitu antara anak Sungai Linggi di Melaka,” katanya.
Zaini berkata sistem sungai di negara ini juga terdedah kepada ancaman kemasukan air laut yang berlaku apabila paras air laut meningkat dan menerobos jauh ke hulu sungai.

Purata taburan hujang yang tinggi di Malaysia iaitu 2,500 mm setahun menjadi antara punca sering berlakunya banjir. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
"Oleh itu, kita akan membina empangan jajar dengan anggaran kos sekitar RM100 juta di muara Sungai Muar bagi menangani isu ini. Pernah berlaku kes kemasukan air masin di Sungai Muar sebelum ini yang naik lebih 40 kilometer ke hulu sungai sehingga menjejaskan banyak akaun pengguna.
"Selain berfungsi sebagai ejen menghalang kemasukan air laut ke dalam sungai di bahagian hilir, kita juga boleh mengawal aliran keluar air yang diempang ke dalam empangan jajar ini supaya ia tidak disalur sewenang-sewenangnya ke laut... langkah ini juga mampu mengatasi isu kekurangan bekalan sumber air jika berlaku kemarau," jelasnya.
TANGANI PENCEMARAN SUNGAI

Pengarah Operasi Ranhill SAJ Anuar Abdul Ghani
Sementara itu, usaha menangani ancaman pencemaran bahan kimia seperti ammonia di Sungai Muar kekal sebagai fokus utama syarikat bekalan air bersepadu Johor, Ranhill SAJ Sdn Bhd.
Pengarah Operasi Ranhil SAJ Anuar Abdul Ghani berkata pemantauan dilakukan oleh pasukan Pelan Keselamatan Air (WSP) yang ditubuhkan pada 2014, selain kerjasama dengan Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ), Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan Jabatan Alam Sekitar.
"Johor merupakan antara negeri pertama yang menubuhkan WSP bagi memastikan air yang selamat dibekalkan kepada pengguna. Pasukan WSP memantau kualiti air serta risiko pencemaran bagi sumber air mentah (sungai/empangan), pengeluaran air terawat oleh 44 loji di Johor, bahan kimia untuk proses rawatan air dan air terawat dalam sistem agihan,” ujarnya.
Katanya, WSP dibekalkan aset canggih termasuk dron bagi memantau pencemaran termasuk mengenal pasti pihak yang melepaskan bahan cemar ke dalam sungai.
Jelasnya, jika berlaku pencemaran ammonia, jumlah klorin yang digunakan di Loji Rawatan Air (LRA) akan ditingkatkan bagi menyingkirkan bahan cemar tersebut.

Penulis turut berkesempatan melawat LRA Pagoh bagi melihat sendiri bagaimana proses rawatan air sungai dilakukan bagi kegunaan penduduk setempat. Kredit gambar Muhammad Basir Roslan.
“Paling penting kita perlu pastikan baki klorin di dalam air (selepas proses penyingkiran ammonia) mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, iaitu tidak kurang daripada 0.2 mg setiap liter (mg/L),” katanya.
Beliau menambah air Sungai Muar disalurkan ke LRA Pagoh dan dimanfaatkan oleh lebih 100,000 pengguna membabitkan 20,800 akaun berdaftar, merangkumi pengguna domestik, komersial dan bandar universiti Pagoh.
SISIPAN
Ekspedisi selama empat hari bermula 22 hingga 25 Ogos lepas itu dianjurkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran serta Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan beberapa agensi lain yang terlibat dalam pengurusan sumber air negara serta sektor pelancongan.
Antara objektif utamanya ialah meningkatkan pengetahuan dan teknik mengurus air sungai dan kawasan tadahan dalam kalangan agensi terlibat di samping meneroka ciri-ciri sungai dan tempat bersejarah yang terdapat di lembangan Sungai Muar.
Program melibatkan 90 peserta yang turut dibawa mengunjungi tapak-tapak bersejarah dan mempunyai hubung kait dengan Sungai Muar.
Bermula di hulu Sungai Muar, peserta dibawa ke Empangan Talang di Kuala Pilah, Laman Budaya Terachi serta Hutan Lipur Ulu Bendul di Negeri Sembilan, dan seterusnya ke Laman Tiga Budaya di Asahan di Melaka.
Lawatan terakhir pula di bahagian hilir sungai di Johor dengan berkunjung ke Galeri Darurat Bukit Kepong serta menaiki bot dari Jeti Laman Tepian Sungai Grisek menuju ke Jeti Tanjung Emas di Muar.
BERNAMA