COP28: Dunia Bersedia Untuk Beralih Daripada Bahan Api Fosil

P
ada 13 Dis lalu, iaitu selepas hampir dua minggu berunding, kira-kira 200 negara pada Persidangan Pihak-pihak (COP) kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Perubahan Iklim yang ke-28 (COP 28) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), menerima guna penilaian global yang menggesa peralihan daripada bahan api fosil.

Penilaian global itu bertujuan membantu negara mensejajarkan pelan iklim mereka dengan Perjanjian Paris 2015 yang menggesa negara pihak mengehadkan kadar kenaikan suhu global kepada 1.5 darjah Celsius.  

COP28 yang berlangsung pada 30 Nov dijadualkan tamat 12 Dis lalu, namun pertelingkahan dalam kalangan negara pihak tentang frasa “menghentikan secara berperingkat” kebergantungan pada bahan api fosil dalam draf perjanjian yang dikeluarkan pada pagi 11 Dis, membuatkan mesyuarat dilanjutkan. 

Terdahulu, lebih 130 negara, saintis dan pertubuhan masyarakat sivil menggesa agar dilaksanakan sama ada  “penghentian beransur-ansur” atau “pengurangan beransur-ansur” penggunaan bahan api fosil, namun hal itu tidak dinyatakan secara jelas dalam draf komitmen. 

Bagaimanapun, perbincangan lanjut  menghasilkan kompromi yang menggesa setiap negara pihak menyumbang kepada usaha global dalam menangani perubahan iklim dengan  melaksanakan “peralihan” daripada penggunaan bahan api fosil, yang perlu dipercepatkan agar dapat mencapai sifar bersih pada 2050.  

Pada pagi 13 Dis, komitmen itu diterima dan dimuktamad oleh Presiden COP28 Dr Sultan Ahmed al-Jaber menerusi ketukan penukul yang disambut dengan tepukan gemuruh perwakilan termasuk Ketua Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Simon Stiell. 

“Kita telah menggubal pelan tindakan yang kukuh bagi memastikan sasaran 1.5 darjah Celsius dapat dicapai. Dalam kata sepakat ini, buat pertama kali ada ‘hitam putih’ tentang bahan api fosil,” kata al-Jaber.

Presiden COP28 Dr Sultan Ahmed al-Jaber

 

REAKSI BERCAMPUR 

 

Dilihat sebagai bersejarah kerana buat julung kali punca utama perubahan iklim - bahan api fosil - dizahirkan dalam dokumen perbincangan PBB tentang iklim sejak 30 tahun lalu, rata-rata menganggap kesepakatan yang dicapai sebagai “permulaan kepada pengakhiran bahan api fosil”.

Bagi Malaysia, perjanjian yang dimuktamadkan di UAE itu adalah titik perubahan dalam usaha menangani  perubahan iklim, dengan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad  berkata negara ini telah melaksanakan pelbagai langkah ke arah memastikan tercapainya sasaran 1.5 darjah Celsius itu.  

“Kami juga akan menjayakan lebih banyak lagi usaha serta bersedia pergi lebih jauh jika mendapat sokongan negara maju,” katanya semasa berucap pada  segmen peringkat tinggi COP28 dan dipetik dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini. 

Di sebalik sokongan kuat terhadap dokumen UAE, sesetengah perwakilan dan pemerhati meluahkan rasa kecewa berikutan perjanjian yang dimuktamadkan tidak menyebut tentang “menghentikan secara beransur-ansur” bahan api fosil yang bertanggungjawab terhadap pemanasan global.  

Malah, selepas dokumen itu diterima pada hari terakhir COP28, timbul sedikit kekecohan di dewan pleno selepas Perikatan Negara-Negara Pulau Kecil yang mewakili 39 negara, berkata ia tidak ada di dalam dewan semasa perjanjian diterima kerana masih menyelaraskan maklum balas daripada negara ahli.

Ketua Perunding kumpulan itu Anne Rasmussen daripada Samoa, tidak membuat bantahan rasmi serta percaya perjanjian tersebut mempunyai elemen yang “bagus”, namun meluahkan rasa kesal kerana “proses tidak melibatkan mereka” serta kandungan perjanjian juga dipenuhi “lompang”.

“Seperti biasa, kita berikan kelebihan besar kepada perniagaan sedangkan apa yang kita perlukan sekarang adalah langkah kritikal dalam tindakan kita,” katanya.

Ketua Perunding Perikatan Negara-Negara Pulau Kecil, Anne Rasmussen daripada Samoa (Kredit: UNFCCC)

 

DESAKAN KE ARAH TENAGA BOLEH BAHARU 

 

Penganalisis Kanan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Dhana Raj Markandu tidak terkejut akan ketiadaan kenyataan konkrit tentang penghentian kebergantungan pada bahan api fosil dalam dokumen UAE itu. 

“Walaupun mengecewakan, setidak-tidaknya bahan api fosil dinyatakan secara jelas dalam teks dokumen yang boleh disusuli pada COP akan datang untuk menetapkan secara jelas batas serta garis masa bagi mengehadkan kadar peningkatan suhu global kepada 1.5 darjah Celsius.  

“Akan tetapi, impak iklim berlaku lebih pantas berbanding kemajuan yang dicapai pada setiap COP, sekali gus menuntut kesegeraan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Ulas beliau, keseluruhannya perjanjian itu menunjukkan komitmen jelas ke arah meningkatkan tiga kali ganda penggunaan Tenaga Boleh Baharu (TBB) dan menggandakan kecekapan tenaga menjelang 2030 yang melibatkan pengurangan penggunaan arang batu dan mengiktiraf pelepasan metana sebagai elemen penting yang perlu ditangani.

“Dengan mengiktiraf rangkuman teknologi melibatkan pelepasan sifar dan rendah, serta tidak terhad pada TBB semata-mata, akan membuka ruang kepada pelbagai pendekatan bagi mendepani cabaran, bergantung pada kemampuan dan sumber yang ada di negara berkenaan,” katanya yang turut mengesyorkan pelaksanaan subsidi bahan api secara bersasar dalam pelan rasionalisasi subsidi negara.

Loji Tenaga Solar Berskala Besar (LSS) Bukit Selambau

Menurut beliau, bagi menerima guna dokumen COP28 di Malaysia, kerajaan perlu menimbang setiap jenis bahan api fosil secara berasingan.

“Matlamat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga ialah menghentikan secara berperingkat penggunaan arang batu (yang akan menghasilkan impak besar ke atas pelepasan) sambil mengurangkan kebergantungan pada petroleum. 

“(Bagaimanapun) gas akan terus memainkan peranan penting hingga 2050 bagi memastikan kita dapat mengimbangi kelestarian dengan jaminan tenaga dan kemampuan memiliki, sambil memastikan pembangunan ekonomi dan peralihan sama rata bagi semua segmen masyarakat,” katanya. 

Dhana Raj turut menekankan bahawa TBB semata-mata tidak mencukupi bagi menangani isu tenaga, justeru katanya, kerajaan perlu meningkatkan kapasiti TBB menerusi pengukuhan grid selain menambah pelaburan.

“Kita juga perlu bersedia untuk menerima opsyen dan penyelesaian lain yang dapat membantu kita mencapai sasaran,” tambah beliau.

 

TENAGA NUKLEAR? 

 

Bagi menangani jurang tenaga yang bakal wujud ketika dunia bergerak ke arah pelepasan sifar bersih menjelang 2050, banyak pihak yang melihat tenaga nuklear sebagai jawapan, kerana tenaga jenis itu bukan sahaja bersih tetapi juga boleh diharap, sekali gus menyelesaikan masalah gangguan yang membelenggu sumber TBB seperti angin, hidro dan suria. 

Aktivis inovasi dan nuklear Sheriffah Noor Khamseah Al-Idid Syed Ahmad Idid berkata COP28 membuka peluang untuk industri nuklear, mengubah reputasinya selaku sumber tenaga kontroversi menjadi sebahagian penyelesaian utama dalam mencapai sifar bersih.

“Tenaga nuklear yang menjadi subjek larangan untuk dibincangkan kini diiktiraf sebagai penyelesaian segera dalam mitigasi perubahan iklim,” katanya.

Beliau memetik kenyataan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang disokong oleh berdozen negara bahawa dokumen COP28 mengetengahkan hakikat yang dunia ini memerlukan tenaga nuklear bagi menangani perubahan iklim. 

“Sudah tiba masa agar tindakan diambil bagi memperluas penggunaan sumber tenaga bersih ini dan seterusnya membina ‘jambatan rendah karbon’ pada masa akan datang,” katanya.

“Pada COP28, kita menyaksikan pemimpin dunia daripada 22 negara termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, Perancis, United Kingdom dan UAE, berikrar untuk bekerjasama dalam perancangan meningkatkan kapasiti nuklear menjelang 2050,” katanya.

Tenaga Nuklear (Kredit: Freepik)

Menurut ahli Women in Nuclear Global itu lagi, pada masa ini terdapat lebih 400 reaktor tenaga nuklear beroperasi di lebih 30 negara, menyalurkan kira-kira 10 peratus bekalan elektrik dunia dan lebih satu perempat daripada tenaga elektrik rendah karbon.

“Pada asasnya, tanpa kuasa nuklear, pelepasan gas karbon dioksida (CO2) adalah lebih tinggi.

“IAEA menyatakan kuasa nuklear mengelakkan pelepasan sekitar 70 Gt (giga tan) CO2  dalam tempoh lima dekad lalu. Tenaga itu juga mengelakkan pelepasan satu Gt CO2 saban tahun dalam dekad ini,  dan adalah sumber tenaga rendah karbon kedua global di belakang tenaga hidro,” katanya.

Jelas beliau, kadar pelepasan yang dielakkan itu adalah jumlah CO2 yang tidak dibebaskan ke atmosfera sebagai hasil penggunaan tenaga nuklear. 

“Pengurangan CO2 di atmosfera ini penting kerana gas itu menyebabkan perubahan iklim dengan cara memerangkap haba. Gas itu juga menyumbang kepada penyakit respiratori yang berpunca daripada asbut dan pencemaran udara,” kata Sheriffah Noor Khamseah.

Beliau yang percaya tenaga nuklear boleh membantu mencapai sasaran sifar bersih, berkata banyak negara telah memasukkan tenaga nuklear dalam taksonomi masing-masing, antaranya AS dan Korea Selatan.

Di Malaysia, kerajaan tidak menolak penggunaan tenaga nuklear bagi mencapai sasaran peralihan tenaganya.

Pada penghujung Ogos lepas, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata walaupun tenaga nuklear tidak menjadi sebahagian daripada pelan peralihan tenaga Malaysia buat masa ini, sebarang perubahan, khususnya membabitkan tenaga nuklear, akan dilakukan dengan persetujuan rakyat.

  

ADAPTASI TEKNOLOGI SIFAR DAN RENDAH PELEPASAN  

 

Kata sepakat COP28 mengesyorkan negara pihak melabur dalam teknologi yang melibatkan sifar atau rendah pelepasan, antaranya ialah TBB serta penggunaan teknologi  carbon capture, utilisation and storage (CCUS) dan pengeluaran hidrogen rendah karbon.

Bagaimanapun hal itu ditentang oleh pelbagai pihak, terutama penggiat alam sekitar termasuk Climate Action Network International, yang melihat teks perjanjian dipenuhi kelompangan, sekali gus memberi jalan keluar kepada industri bahan api fosil, selain dokumen digubal bersandarkan teknologi yang tidak terbukti dan tidak selamat,

  Senada dengan organisasi itu, Adam Farhan, pengasas bersama yang juga pengarah Rimba Watch, berkata perkara yang amat membimbangkan ialah penilaian global COP28 menggalakkan penggunaan penyelesaian palsu seperti CCUS.   

(Memetik Agensi Tenaga Antarabangsa, CCUS melibatkan “pemerangkapan” CO2, lazimnya daripada sumber besar seperti penjana tenaga atau kemudahan industri yang menggunakan sama ada bahan api fosil atau biojisim sebagai bahan api.

Jika tidak digunakan di tapak, CO2 yang diperangkap dimampat dan diangkut menggunakan saluran paip, kapal, rel atau lori untuk kegunaan lain atau disuntik jauh ke dalam formasi geologi seperti takungan minyak dan gas yang telah habis dilombong atau akuifer masin)

penggunaan teknologi carbon capture, utilisation and storage (CCUS) (Kredit: IEA)

Memetik kajian Institute for Energy Economics and Financial Analysis, Adam berkata tidak ada satupun projek CCUS yang diterajui oleh bahan api fosil sebelum ini berjaya mencapai sasaran.

“Projek CCUS terdahulu didapati membebaskan karbon yang tersimpan kembali ke atmosfera dan sejak 50 tahun kewujudannya, kos CCUS juga tidak berkurangan. Kajian Oxford University merumuskan CCUS sebagai teknologi yang tidak bertambah baik.

“Tambahan pula CCUS hanya memerangkap pelepasan CO2 operasi, iaitu hanya sebahagian kecil daripada keseluruhan pelepasan kitaran hayat industri bahan api fosil.

“Teknologi itu hanya bertujuan memanjangkan jangka hayat kemudahan bahan api fosil dengan menawarkan pengurangan pelepasan yang tidak seberapa, justeru tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian iklim yang berdaya maju,” tegas beliau.

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.