Penting Kawal Lepasan Metana Untuk Mitigasi Perubahan Iklim Global

P
akar pengurusan sisa Soon Hun Yang dan pasukannya mempunyai misi tersendiri iaitu untuk membongkar jalan penyelesaian menyekat pelepasan metana dari kilang minyak sawit.

Beliau yang juga ketua pegawai eksekutif Eco-Ideal Consulting Consulting Sdn Bhd, agensi perunding persekitaran yang berpejabat di negara ini baru-baru ini berkongsi swafotonya di hadapan sebuah ladang kelapa sawit di Sarawak.

Langkah yang dibuatnya itu adalah ketika pemimpin dunia berkumpul di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk bagaimana “menangani” perubahan iklim pada Persidangan Negara Ahli ke-28 (Conference of Parties), ringkasnya COP28, berhubung Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perubahan Iklim.

Ketua Pegawai Eksekutif Eco-Ideal Consulting Sdn Bhd, Soon Hun Yang (Gambar kredit Soon Hun Yang)

"Ketika semua pemimpin berkenaan berbincang bagaimana untuk 'melewatkan' perubahan iklim, pasukan saya di lapangan pula mencari langkah untuk mengurangkan pelepasan metana dari ladang kelapa sawit. 

"Mencabar kes untuk justifikasi pelaburan tertentu dan pembiayaan iklim amat membantu (jika pelepasan metana diambil kira)," hantaran beliau ini dikongsi dalam profil linkedlinnya baru-baru ini.

Beliau juga bersetuju bahawa metana adalah pencemar iklim kedua paling kuat dan 60 peratus daripadanya berpunca daripada kegiatan manusia dan sebahagiannya datang daripada pertanian, tenaga dan sisa. 

Selanjutnya, metana adalah salah satu daripada  gas rumah hijau (GHG), pemacu pemanasan global jangka pendek dan antara penyumbangnya adalah minyak dan gas (tenaga), minyak sawit (air sisa), diikuti sektor sisa pepejal sebagai penyumbang ketiga paling besar.

"Malah Malaysia juga memeterai ikrar Global Methane GMP pada COP26 di Glasgow, tetapi setakat ini kami belum mendengar apa-apa daripada kerajaan mengenai usaha mereka untuk mengurangkan pelepasan metana, begitu juga pada COP28 yang sedang berlangsung sekarang," beliau memberitahu Bernama. 

Malaysia adalah antara penandatangan GMP yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) pada tahun 2021 sewaktu COP26 di Glasgow, United Kingdom. Ia bertujuan menjadi pemangkin mengurangkan pelepasan antropogenik metana global iaitu sekurang-kurangnuya 30 peratus menjelang 2030 berbanding paras 2020.

Sehingga November 2022, lebih daripada 150 buah negara memeterai ikrar berkenaan. 

Menurut laporan kemaskini dwitahunan ketiga Malaysia kepada PBB, pelepasan metana menyumbang 17 peratus pelepasan GHG pada tahun 2016, dengan sumber utamanya dari pelepasan ‘tidak disengajakan dan tidak diingini’ oleh industri minyak dan gas.

 

 

'BOLEH DITANGANI DAN DISELESAIKAN' 

Bagaimanapun, beberapa orang ahli sains dan pakar tempatan mengambil maklum bahawa sejak ikrar itu dimeterai dua tahun lalu, implikasi untuk tindakan ke atas pelepasan metana di Malaysia masih tidak jelas. Mereka juga mendakwa masih belum tampak sebarang inisiatif kerajaan yang memberi fokus kepada tindakan metana yang diselia.

Menurut mereka, dalam konteks Malaysia, sebarang usaha untuk menangani perubahan iklim adalah ‘masih boleh ditangani dan diselesaikan’, selaras dengan sasaran negara untuk mencapai pelepasan sifar karbon menjelang tahun 2050.

Pengarah Environmental Defense Fund (EDF) Global Energy Transition, Dr Shareen Yawanarajah berkata, sejak sekian lama metana bukan sebahagian daripada perbincangan iklim, kerana ia sering dikaitkan dengan karbon dioksida (CO2).

Beliau berkata, pelepasan metana adalah sekitar 25 peratus daripada pemanasan global semasa dan ia memerangkap 80 kali lebih banyak haba daripada CO2 dalam tempoh 20 tahun lepas, menyumbang kepada ancaman berkait iklim dengan sumber utamanya dari industri minyak dan gas.

"Banyak laporan pengurangan pelepasan (di kebanyakan negara) lebih bersifat sukarela, kecuali AS, Kanada dan Mexico yang mempunyai peraturan metana mereka sendiri. Kebanyakan negara pengeluar minyak dan gas yang lain tidak mempunyai sebarang dasar atau rangka kerja pengawalan yang menjadikannya mandatori.

"Di EDF, kami percaya pihak industri perlu dan mesti memainkan peranan untuk menyelesaikan masalah ini tetapi kita memerlukan asas pengawalan yang kuat," beliau memberitahu Bernama dalam satu wawancara eksklusif baru-baru ini. 

Beliau menambah, bagi mempercepatkan usaha mengurangkan metana, EDF menubuhkan tindakan kolektif dengan saintis iklim dari universiti awam dan swasta di Malaysia, terdiri daripada CERAH Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Swinburne University Kuching dan University of Nottingham Malaysia. 

(Dari kiri) Dr Shareen Yawanarajah, Prof Madya Dr Matthew Ashfold dan Prof Madya Dr Helena Varkkey (Gambar Ihsan CERAH Malaysia)

 

SATELIT METANA  

Menurut Shareen, salah seorang daripada tujuh pakar yang menulis penerbitan bertajuk Global Methane Pledge (Ikrar Metana Global), sokongan EDF untuk penyelidik di Malaysia menyediakan data penting untuk membolehkan keputusan wajar dibuat mengenai strategi pengurusan metana menerusi pengumpulan data, analisis teknologi mitigasi dan pengiraan kos.

EDF, kata beliau, menjalankan penyelidikan sains bagi menarik perhatian dunia akan kepentingan mengurangkan pelepasan metana.

Hasil penyelidikan berkenaan menunjukkan tindakan bersepadu global menggunakan teknologi yang ada boleh memperlahankan kadar pemanasan sehingga sebanyak 30 peratus menjelang tahun 2030.

"Sudah ada alat untuk mengukur pelepasan metana, dan hakikatnya EDF akan melancarkan satelit, diharap pada suku pertama tahun depan dipanggil 'MethaneSAT' yang membawa alat sensor yang direka bentuk bagi mengesan secara tepat pelepasan metana dalam lebih banyak sektor. 

"Satelit berkenaan yang akan mengelilingi bumi 15 kali sehari, boleh mengenal pasti bukan sahaja betapa besar masalah yang kita hadapi tetapi juga lokasi di mana pelepasan metana itu berlaku. 

"Data berkenaan akan boleh diakses umum di pangkalan data yang kita bangunkan dan ini akan memudahkan pihak pembuat dasar juga orang awam untuk bekerjasama mengurangkan pelepasan metana," katanya.  

 

 

DATA 

Ketua Sekolah Alam Sekitar dan Sains Geografi, Universiti Nottingham Malaysia Profesor Madya Dr Matthew Ashfold berkata, menurut laporan kemaskini dwi tahunan (BUR)4), sektor utama yang melepaskan gas metana di Malaysia adalah minyak dan gas (35 peratus), minyak sawit menerusi air sisa efluen kilang (29 peratus), dan sisa pepejal (23 peratus).

Beliau berkata, terdapat pelbagai pangkalan yang menyediakan maklumat tentang pelepasan metana Malaysia, tetapi masih belum dapat dipastikan bila data berkenaan dibuat perbandingan. 

Mengambil contoh, sektor minyak dan gas Malaysia, data terkini kerajaan melaporkan 57 peratus pelepasan dari pengeluaran minyak tetapi tiada laporan pelepasan daripada pengeluaran gas, sedangkan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) menunjukkan, kedua-dua sektor, masing-masing menyumbang pelepasan sebanyak 27 peratus.

Beliau menjelaskan, perbezaan set data berpunca daripada metodologi serta andaian yang berbeza dalam menyediakan data berkenaan.  

"Dapatan kami menunjukkan lebih banyak kajian saintifik berasaskan ukuran metana dalam atmosfera perlu dijalankan dan lebih banyak perhatian diperlukan bagi meningkatkan ukuran pelepasan metana," katanya.

Ashfold mencadangkan, Pengukuran, Pelaporan dan Verifikasi (MRV) boleh digunakan sebagai alat penting untuk meningkatkan keyakinan dalam pengumpulan data pelepasan metana. 

"Kita memerlukan data untuk tindakan yang lebih kukuh bagi mengurangkan pelepasan metana. Pemahaman yang lemah mengenai paras sebenar pelepasan metana serta pengagihan sumber adalah antara faktor yang menghalang mitigasi atau pengurangan metana," katanya. 

 

 

PERSPEKTIF UMUM

Timbalan Dekan (Penyelidikan) Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Helena Varkkey berkata, projek GMP yang dikendalikan sejak Julai 2022, menilai status serta prospek pelepasan metana di Malaysia menerusi kajian literatur, tinjauan awam dan perbincangan kumpulan fokus. 

Menurut beliau, daripada 427 respons soal selidik yang dijalankan pada April dan Mei, menunjukkan kesedaran yang rendah dalam kalangan orang ramai mengenai potensi metana sebagai GHG. 

"Lebih separuh responden (58 peratus) tidak tahu tentang metana dalam konteks perubahan iklim. Tambahan, kesedaran umum mengenai sektor yang menyebabkan pelepasan tinggi di Malaysia juga kurang. 

"Dalam tinjauan kami, penjanaan elektrik secara silap difikirkan melepaskan lebih banyak metana berbanding kebocoran dalam jaringan bekalan minyak dan gas," katanya. 

Kenderaan yang menggunakan minyak petrol juga merupakan salah satu sumber pengeluaran gas metana

Beliau berkata, di samping memeterai GMP sebagai satu langkah pentng, Malaysia boleh melakukan lebih banyak lagi usaha untuk memenuhi komitmen berkait dengan ikrar berkenaan.

“Kami ada tiga cadangan - kerajaan perlu menjelaskan hala tuju negara untuk tindakan metana; pihak perbadanan pula mesti memperbaiki pengukuran serta ketelusan pelepasan metana yang mana menunjukkan kemajuan serta menyokong komitmen kerajaan. 

“Bagi meningkatkan keprihatinan umum mengenai sasaran GMP, Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) perlu memaparkan kualiti udara serta manfaat bersama kesihatan hasil daripada tindakan metana, ” katanya.

 

 

COP28 VS METANA

Pada hari ketiga (2 Disember) COP28, pemimpin dunia membentang deraf pengumuman baharu mengenai metana.

Sewaktu sidang kemuncak mengenai metana dan gas rumah hijau bukan-CO2, UAE menyeru pihak yang menyertai Perjanjian Paris mengemukakan sasar iklim kebangsaan (sumbangan sasaran negara atau NDC), untuk tahun 2035 yang meliputi semua gas rumah hijau, bukan sahaja CO2 – yang mengulangi komitmen dibuat baru-baru ini oleh AS dan China di bawah perjanjian iklim dua hala yang baharu.

Menurut Helena, meskipun tidak ada hari tertentu yang ditetapkan untuk memberi tumpuan kepada  metana sewaktu COP28, tetapi akan ada perbincangan tentang GHG kedua terbesar selepas CO2 dalam acara sampingan pada sidang kemuncak iklim itu.

“Apa yang Malaysia (perwakilan) boleh lakukan dalam soal metana.. saya fikir ada masih banyak perlu dilakukan untuk mengetengahkan kepentingan metana dalam kalangan pembuat dasar dan ianya akan menjadi antara isu utama kami untuk dibentangkan pada COP akan datang. 

“Jadi projek ini akan menjadi titik permulaan dan diharapkan suatu hari nanti Malaysia akan lebih berkeyakinan untuk memaparkan usaha kita dalam mengurangkan pelepasan metana,” katanya. 

COP28 ( Gambar Ihsan UNFCCC)

Bagi Ashfold, Global Stocktake yang dijangka diputuskan pada COP28 akan menyaksikan metana dimasukkan sebagai sebahagian daripada penilaian pelepasan GHG, dari setiap negara dan sama ada semua pihak berada dalam kedudukan untuk mengehadkan pemanasan global. 

“Semua negara melaporkan pelepasan metane, tetapi soal penting ialah sama ada kita mendapat laporan yang betul? Apakah kita yakin kita tahu berapa banyak yang kita lepaskan dan sama ada kita mengurangkan pelepasan seperti yang dijangkakan oleh Ikrar Metana Global?” katanya. 

Sebagai mekanisme di bawah Perjanjian Paris yang ditandatangani pada tahun 2015, Global Stocktake adalah penilaian kemajuan kolektif dalam mencapai sasaran jangka panjang di bawah perjanjian berkenaan, yakni mengehadkan pemanasan global kepada tidak lebih daripada dua darjah Celcius di atas paras pra-perindustrian, dan menyasarkan peningkatan hanya 1.5 darjah Celcius sewaktu COP28. 

 

(Artikel ini dihasilkan dengan sokongan Climate Tracker’s COP28 Climate Justice Journalism Fellowship)

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.