Mikroplastik: Sampah Kini Jadi Sebahagian Daripada Tubuh Kita

T
inggi hampir separas tebing akibat hujan lebat baru-baru ini, air Sungai Selangor berhampiran sebuah empangan di Kuala Kubu Bharu, Selangor, mengalir deras.  

Sambil mengimbangi badannya di tepi pagar dawai, Saraswathy Nalatambi, penuntut ijazah kedoktoran dalam bidang pembangunan mampan di Sunway University, memegang erat tali berwarna jingga yang di hujungnya terikat sebuah baldi besi. Wanita itu kemudian mencampak baldi tersebut ke dalam sungai.

Tersilap langkah beliau boleh terjatuh ke dalam sungai itu. Sekalipun tidak pandai berenang, beliau nekad mahu mencedok lapisan teratas air sungai tersebut. Dalam tempoh beberapa bulan lalu, beliau telah ke 22 lokasi di sepanjang Sungai Selangor bagi mengambil sampel.

Jika tidak mengambil air di sungai, wanita ini akan berada di makmal, membedah ikan dan kerang serta melarutkan isi hidupan air terbabit. Beliau akan menapis kesemua sampel yang diambil dengan harapan menemukan mikroplastik.

Saraswathy Nalatambi, penuntut ijazah kedoktoran di Sunway University mengambil sampel air di Sungai Selangor bagi kegunaan kajian tesisnya berkaitan mikroplastik. --fotoBERNAMA (2023) HAKCIPTA TERPELIHARA

Mikroplastik, kepingan halus plastik bersaiz kurang daripada lima milimeter yang hampir-hampir tidak dapat dilihat dengan mata kasar, ada di mana-mana sahaja. Kajian menemukan bahan ini di dalam awan, serta di bahagian paling dalam di lautan.

Saraswathy ingin tahu sejauh mana sebaran mikroplastik dan sama ada aktiviti manusia mempunyai sebarang kesan ke atas jumlah bahan itu.  Melalui mikroskop di makmalnya, beliau menunjukkan kepingan mikroplastik yang terdapat dalam sampel pada skrin.

“Ini adalah tisu ikan. Otot ikan. Ini yang dimakan oleh manusia,” katanya kepada Bernama.

Hakikat beliau menemukan mikroplastik dalam hidupan marin atau di dalam sungai bukanlah sesuatu yang ganjil. Yang membimbangkan ialah penyelidikan mendapati mikroplastik ini boleh memberi kesan ke atas kelakuan haiwan selain memendekkan jangka hayatnya. Justeru, timbul persoalan sama ada manusia juga mengalami kesan serupa.

Sekalipun data semasa tidak muktamad, para saintis tetap memberikan amaran, menjangkakan kaitan antara penyakit dan mikroplastik dapat ditemukan dalam tempoh beberapa tahun akan datang. 

 

MIKROPLASTIK DALAM TUBUH KITA

Mikroplastik adalah kepingan halus plastik yang terhasil daripada bahan api fosil. Penciptaan plastik mengubah cara hidup kita memandangkan bahan ini mudah dihasilkan, ringan, kalis air serta amnya tidak mudah pecah. Plastik juga boleh dikatakan hampir-hampir kekal abadi kerana mengambil masa beratus ribu tahun untuk terurai.

Namun, sifat ini jugalah yang menimbulkan masalah bagi dunia sekarang.

Menurut Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), pada 2019, kira-kira 6.1 juta tan sisa plastik memasuki persekitaran akuatik dan 1.7 juta tan “terlepas” ke lautan. Pada 2021, kajian oleh  Meijer et al.  menyenaraikan Malaysia sebagai penyumbang kedua terbesar kepada pencemaran lautan, sekalipun penemuan itu dipertikaikan.

Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pengurusan Awam (SWCorp) merekodkan sejumlah 101,949 tan atau 13 peratus daripada sampah yang dihasilkan oleh penduduk Kuala Lumpur dan Putrajaya pada 2021 adalah plastik. Keseluruhannya, penduduk menghasilkan 772,349 tan sampah pada tahun berkenaan.

Sisa plastik terurai menjadi mikroplastik atau nanoplastik, iaitu kepingan plastik yang lebih halus, dikategorikan sebagai zarah sekunder. Zarah primer adalah plastik yang dihasilkan dalam bentuk kecil, biasanya untuk kegunaan domestik seperti “manik-manik yang kita guna seperti pencuci muka, ubat gigi,” kata Prof Dr Yusof Shuaib Ibrahim, pakar biologi marin daripada Universiti Malaysia Terengganu.  Seperti dalam ekosistem, di mana plastik dapat ditemukan di mana-mana sahaja, mikroplastik dalam tubuh manusia juga begitu. Kajian menemukan mikroplastik antaranya dalam paru-paru, jantung dan plasenta manusia.

Sampel mikroplastik di bawah mikroskop. --fotoBERNAMA (2023) COPYRIGHT RESERVED

Prof Dr Yusof Shuaib Ibrahim, pakar biologi marin daripada Universiti Malaysia Terengganu. Kajian beliau dan Prof Dr Lee Yeong Yeh, pakar perunding gastroenterologi di Universiti Sains Malaysia Kelantan, menemui mikroplastik dalam sampel usus. --fotoBERNAMA (2023) HAKCIPTA TERPELIHARA

Satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal oleh American Chemical Society, saintis dari Kanada menganggarkan manusia menelan 39,000 hingga 52,000 zarah mikroplastik setahun, bergantung pada usia dan gender. Kata mereka, orang yang mengambil jumlah air yang disyorkan hanya daripada sumber dibotolkan, mungkin menelan tambahan 90,000 mikroplastik setahun berbanding 4,000 mikroplastik yang ditelan oleh mereka yang hanya minum air paip. Saintis juga berpendapat angka sebenar mungkin lebih besar.

“Mikroplastik wujud dalam persekitaran. Kita sedut hari-hari kerana bahan ini ada dalam udara. Mikroplastik juga ada dalam air yang kita minum,” kata Prof Ting Kang Nee, ahli farmakologi daripada University of Nottingham Malaysia. 

Pakar perunding gastroenterologi di Universiti Sains Malaysia Kelantan Prof Dr Lee Yeong Yeh menemukan sendiri betapa berleluasanya mikroplastik ini.

Pada 2017, Yusof yang merupakan pesakit Dr Lee, bertanya kepada pakar gastroenterologi itu sama ada beliau nampak mikroplastik di dalam tubuhnya semasa pemeriksaan. Dr Lee tidak nampak namun hal itu cukup untuk membuatkan beliau tertanya-tanya sama ada bahan tersebut hadir tanpa dapat dilihat oleh mata kasar.

Beliau dan Yusof kemudian memulakan penyelidikan, mengkaji 11 spesimen pembedahan kolon pesakit bagi mengesan mikroplastik. Kesemua sampel, kecuali dua, adalah daripada pesakit kanser.  

“Kami benar-benar terperanjat kerana kami menemukan mikroplastik dalam semua spesimen yang kami kumpul,” kata Dr Lee, menambah kajian itu tidak membuktikan hubungan antara kanser dan mikroplastik.

Beliau berkata mereka kini sedang mengenal pasti  sumber asal mikroplastik di dalam usus, sama ada daripada makanan atau air, serta kesannya kepada tubuh manusia.

Yusof berkata amat mudah untuk menemukan mikroplastik dalam makanan laut, dan menyifatkan situasi itu sebagai “membimbangkan” jika berterusan.

“Bayangkan kalau organisma seperti kerang, ikan dan sebagainya ini makan mikroplastik. Bagi penggemar makanan laut, kita akan makan kerang itu begitu sahaja,” katanya.

Kerang dari Sungai Buloh, berdekatan dengan Sungai Selangor. Gambar hiasan. --fotoBERNAMA (2023) HAKCIPTA TERPELIHARA

 

BAHAYA KEPADA DUNIA DAN KITA

Kajian menunjukkan kehadiran mikroplastik dalam haiwan menjejaskan kesuburan serta memperlahan pertumbuhan. Dalam kajian yang diterbitkan dalam Neuro Toxicology, edisi November 2023, A. Sharma melaporkan bahawa zarah nano polisterina mampu melepasi sekatan darah otak (blood-brain barrier) pada tikus, menyebabkan ketidakupayaan pembelajaran dan kebimbangan.  

Kehadiran bahan sama dalam burung laut pula menyebabkan penyakit baharu dikenali sebagai “plasticosis”, iaitu kewujudan tisu parut dalam sistem pencernaan disebabkan oleh pengingesan zarah plastik yang membuatkan haiwan terbabit cenderung terkena jangkitan dan mati lebih awal.

Selain kesan kesihatan, Yusof berkata satu lagi bahaya bahan itu ialah haiwan mungkin memakan mikroplastik, menyangkakan bahan tersebut adalah makanan, sama seperti plankton, serta berasa kenyang sekalipun tidak menerima makanan yang mencukupi.

“Apabila rasa kenyang (kerana memakan mikroplastik), ini akan menyebabkan kematian dan juga keradangan serta banyak lagi kesan lain,” katanya.

Bagaimanapun, kesan terhadap manusia masih belum diketahui memandangkan ada batasan dalam penyelidikan. Misalnya, para saintis tidak boleh memberi manusia yang dijadikan subjek kajian, makan plastik bagi melihat kesannya.

Ada kemungkinanan kehadiran plastik dalam tubuh tidak membawa sebarang kesan kepada manusia, namun para saintis menolak kemungkinan itu. 

“Mikroplastik berbahaya kerana bahan itu adalah buatan manusia. Asalnya adalah plastik. Bahan ini berada lama dalam tubuh kita dan kita tidak tahu apa yang bahan ini lakukan terhadap tubuh kita,” kata Sarawasthy yang juga penolong pensyarah di Heriot-Watt Global College Malaysia.

Burung memkan sampah di pantai. Pakar sains menjumpai penyakit baru "plasticosis" yang membuat burung-burung yang memakan plastik cenderung jakitan dan mati lebih awal. Gambar hiasan. --fotoBERNAMA (2023) HAKCIPTA TERPELIHARA

Bagaimanapun, mengambil kira kesan toksik plastik ke atas alam sekitar - leachate, iaitu bahan larut lesap daripada plastik, dan gas penyebab kanser yang terhasil daripada pembakaran plastik - tidak menghairankan jika kesan sama berlaku dalam tubuh manusia.

Ting yang juga Ketua Pusat Pengajian Farmasi di University of Nottingham Malaysia, memberitahu Bernama bahawa kemungkinan manusia juga akan mengalami reaksi keradangan yang serupa akibat mikroplastik.

"Saya fikir dalam semua postulasi oleh saintis, zarah asing dalam badan kita akan menyebabkan keradangan, dan keradangan ini akan membawa kepada parut dan perubahan dalam morfologi (struktur)," katanya melalui aplikasi Zoom.

Pada 2022, E. Danopoulos et al melaporkan dalam Journal of Hazardous Material bahawa mikroplastik boleh menyebabkan kerosakan pada sel manusia dalam makmal, merangkumi alahan hinggalah kematian sel. Satu lagi kajian yang diterbitkan pada 2021 oleh  Z. Yan dalam jurnal Environmental Science and Technology, mendapati jumlah mikroplastik adalah lebih tinggi dalam najis manusia yang menghidap Irritable Bowel Syndrome  sekalipun kaitannya tidak dibuktikan.  

 

CARA-CARA MENANGANI

Semua saintis yang ditemu bual bersetuju bahawa langkah menangani harus bermula dari sekarang sekalipun kaitan kukuh antara mikroplastik dan penyakit tidak dapat dibuktikan hinggalah 10 tahun akan datang. Perlu ada perubahan dasar dan juga di peringkat masyarakat.

“Jika saya betul (iaitu kegiatan manusia meningkatkan jumlah mikroplastik di tapak), bermakna kita perlu mengubah sistem pengurusan sisa, dan kemudian menambah baik kelakuan manusia,” kata Saraswathy.

Saraswathy menunjuk mikroplastik yang didapati dalam sampel dari ikan dari Sungai Selangor. --fotoBERNAMA (2023) HAKCIPTA TERPELIHARA

Sekalipun perubahan dasar kini ke arah yang betul dengan kerajaan menumpukan pada penghapusan penggunaan plastik sekali guna menjelang 2030, bukan mudah untuk mengubah pemikiran manusia. Plastik mudah diperoleh, murah untuk dihasilkan dan boleh disesuaikan kegunaan mengikut keperluan seseorang. Usaha kitar semula plastik di negara ini boleh dikatakan gagal kerana hanya pada kadar 33 peratus setakat 2022, berbanding sasaran 40 peratus menjelang 2025. 

Ting berkata sekalipun “sudah terlambat” untuk berasa bimbang tentang percambahan plastik, ini tidak bermakna sudah tidak ada apa-apa lagi yang boleh dilakukan bagi mencegah kesannya.

“(Orang ramai) perlu fikir tentang cara untuk mengubah sikap kita, bermula dengan mengurangkan kebergantungan pada plastik sekali guna,” katanya, mengesyorkan penggunaan plastik terbiodegradasikan sebagai ganti plastik sekali guna.

Sejak sekian lama, pakar alam sekitar berkata kitar semula seharusnya menjadi perkara terakhir dalam strategi pengurusan sisa Malaysia. Tumpuan sepatutnya diberikan kepada pengurangan dan penggunaan semula, serta menggalakkan orang ramai menerima guna gaya hidup sifar sisa sebaik mungkin. Fenomena itu merupakan opsyen yang semakin berkembang di Malaysia sejak tahun-tahun belakangan ini.

(Ini adalah artikel pertama daripada laporan tiga bahagian tentang plastik dan cara untuk hidup bersama atau tanpa bahan itu)

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.