Subsidi Bersasar Perlu Penelitian Tuntas, Rangkumi Semua Pihak - Pemerhati

<
span style="font-size:22px">KUALA LUMPUR (Bernama) -- Pada hari keempat menerajui negara, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tempoh dua minggu kepada agensi kerajaan untuk menggubal pelaksanaan subsidi bersasar, dalam usaha Perdana Menteri ke-10 itu mengotakan janji mengurangkan beban kos sara hidup yang kini menekan rakyat.

Menyifatkannya sebagai pendekatan positif yang amat diperlukan oleh negara ketika ini, terutama jika mengambil kira kedudukan kewangan semasa negara, penganalisis melihat usaha itu yang pernah dirancang oleh kerajaan sebelum ini, mampu direalisasikan oleh kerajaan yang bakal dibentuk oleh Anwar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. -- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Mengulas lanjut,  penganalisis politik Prof Madya Dr Faizal Kasmani berkata Malaysia boleh mencontohi pendekatan serupa yang pernah dilaksanakan oleh beberapa negara, antaranya Indonesia dan Jordan, menerusi inisiatif seperti pemindahan tunai yang menjamin bantuan sampai kepada yang benar-benar layak.

“Pengagihan subsidi bersasar dengan pelaksanaan sistem pemindahan tunai, jika direka dengan baik, biasanya boleh terus sampai kepada golongan yang memerlukan berbanding ketika ini yang mana (subsidi) turut dinikmati golongan kaya dan juga industri. 

“Namun, inisiatif ini perlu didatangkan dengan kempen-kempen komunikasi yang berkesan kepada rakyat bagi menjelaskan akan keperluan pelaksanaan subsidi secara bersasar untuk jangka masa panjang,” katanya kepada Bernama. 

 

KEMAS KINI DATA 

Gambar hiasan. -- https://www.urusinsan.info

Sistem pemindahan wang tunai pernah dilaksanakan kerajaan sebelum ini, namun pelaksanaannya lebih tertumpu pada bantuan membeli barang keperluan melalui pemberian Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), bukan berbentuk agihan subsidi.

Justeru kata Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia itu, apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan sekarang ialah memanfaatkan data penerima BKM bagi melaksanakan subsidi bersasar tersebut.

Sebelum ini, pendekatan itu sukar dilaksanakan kerana  negara tidak mempunyai data terperinci isi rumah setiap individu meliputi maklumat seperti pekerjaan dan lokasi tempat tinggal, sekali gus menyebabkan keistimewaan itu dinikmati oleh semua golongan secara sama rata.

Pada masa sama, Faizal berkata data penerima tersebut juga perlu dikemas kini dari semasa ke semasa bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja menerima subsidi.

Setakat ini, dilaporkan terdapat kira-kira 8.7 juta menerima manfaat BKM.

Pakar melihat subsidi bersasar seperti yang dicadangkan Perdana Menteri merupakan langkah perlu diambil dalam jangka masa panjang bagi memastikan tiada ketirisan terhadap subsidi yang diberikan. -- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kementerian Kewangan sebelum ini dipetik berkata perbelanjaan subsidi kepenggunaan bagi 2022 setakat ini diunjur berjumlah RM77.3 bilion, yang diakui sebagai jumlah terbesar dalam sejarah mana-mana kerajaan.

Unjuran itu meliputi subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) berjumlah RM37.3 bilion; minyak masak (RM4 bilion); tepung dan elektrik bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat, serta bil subsidi (RM9.7 bilion), tidak termasuk bantuan kebajikan lain.

 


“Pengagihan subsidi bersasar dengan pelaksanaan sistem pemindahan tunai, jika direka dengan baik, biasanya boleh terus sampai kepada golongan yang memerlukan berbanding ketika ini yang mana (subsidi) turut dinikmati golongan kaya dan juga industry -- penganalisis politik Prof Madya Dr Faizal Kasmani


 

 

PERLU HOLISTIK

Bagaimanapun, Faizal berkata penstrukturan semula subsidi bersasar ini perlu dilihat secara holistik iaitu turut merangkumi pengusaha industri.

Jelas beliau, apabila subsidi ditarik balik, pengusaha makanan seperti penternak ayam akan menjadi antara pihak yang terkesan oleh kenaikan kos operasi, sekali gus mewajarkan mereka menerima bantuan.

 “Adalah penting pemberian subsidi secara bersasar ini meliputi ekosistem pengeluar dan pengguna bagi mengelakkan kenaikan harga barang yang sangat mendadak dalam konteks inflasi yang tinggi di seluruh dunia, sehingga akhirnya akan turut menyukarkan lagi pengguna,” ujar beliau.

Gambar hiasan. -- fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Bank Dunia dalam satu kajian terbaharunya memberi amaran  bahawa dunia mungkin terjerumus ke dalam kemelesetan pada 2023 tatkala banyak bank pusat menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) masing-masing dalam usaha menangani inflasi.

Mengambil kira permasalahan berbangkit, Faizal berkata agensi berkenaan sewajarnya diberi masa lebih lama bagi mencerakin pelaksanaan subsidi bersasar itu.

“… tempoh dua minggu memang sangat singkat sedangkan penelitian menyeluruh perlu dilakukan dan perbincangan juga harus melibatkan pelbagai pihak.

“Bagaimanapun, disebabkan pelan untuk subsidi bersasar ini sudah dicadangkan oleh pemerintahan sebelum ini, sepatutnya telah ada rangka yang dibina,” kata beliau.

Pada masa sama, beliau menyarankan kerajaan bekerjasama dengan lebih banyak negara dalam mengimport makanan dan tidak tertumpu pada satu negara seperti yang diamalkan sekarang, misalnya membeli cili hanya dari India.

"Setakat ini, kita banyak bergantung pada mekanisme subsidi yang bersifat sementara dan dengan itu kita perlu memikirkan cara lain menangani isu bekalan makanan kerana kita masih lagi pada tahap negara pengguna dan bukannya negara pengeluar makanan," katanya.

 

KERJASAMA SEMUA MESTI DIGERAKKAN

Profesor di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia Prof Dr Muhammad Fuad Othman turut senada dengan Faizal dalam aspek kos sara hidup, namun beliau mahu kerajaan perpaduan pimpinan Anwar memastikan kadar inflasi turun pada kadar yang munasabah.

"Selain itu, perlu ada pelan dan dasar yang jelas untuk merancakkan kembali ekonomi negara bagi menarik lebih ramai pelabur luar, dan saya melihat ada keperluan mewujudkan suntikan dana-dana baharu untuk pemain industri yang memerlukannya,” kata beliau. 

Beliau berkata negara memerlukan bantuan negara luar untuk memulihkan ekonomi dan kerana itu pentingnya hubungan diplomatik yang lebih baik dalam usaha menarik pelaburan langsung asing, sekali gus memberi kesan positif dan mengembangkan potensi Keluaran Dalam Negara Kasar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada sidang media pertama setelah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10. -- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Pengalaman Anwar yang pernah menjadi timbalan perdana menteri dan beberapa jawatan menteri sebelum ini serta PH yang pernah menjadi memegang tampuk kerajaan selama 22 bulan, Barisan Nasional (BN) lebih 60 tahun, saya berpandangan kerajaan baharu ini cukup kompeten. 

“Cuma, paling penting adalah bagaimana kerjasama sesama mereka dalam berkongsi kemahiran pentadbiran dan menggerakkan ekonomi negara dapat dilakukan, dan ini sebenarnya patut dilihat sebagai kekuatan, bukannya kelemahan,” katanya. 

Kerajaan pimpinan Anwar ketika ini dilaporkan telah mencapai majoriti dua pertiga dengan penyertaan terkini Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Selain GRS, tiga komponen terbesar yang membentuk kerajaan perpaduan ialah PH, BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta turut disokong Warisan, Muda dan Parti Bangsa Malaysia.

Perikatan Nasional (PN) bagaimanapun mengambil pendekatan sebaliknya biarpun mempunyai kerusi Parlimen kedua terbanyak selepas PH, dan Muhammad Fuad melihat PN berpotensi menjadi pembangkang yang berwibawa.

 

PERLU PEMBANGKANG BERWIBAWA

Pengalaman Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa bekas menteri PN dalam pentadbiran kerajaan terdahulu membolehkan mereka menjalankan fungsi semak dan imbang  dengan berkesan.

Ulas beliau, ada pihak yang bersetuju PN tidak menyertai kerajaan kerana langkah sedemikian boleh menyebabkan kerajaan berada dalam keadaan “selesa” kerana tidak ada pihak yang membantah dalam penggubalan dasar termasuk belanjawan. 

"Lagipun tugas semak dan imbang amat penting bagi memastikan tiada ketirisan dan kerajaan perlu cuba sebaik mungkin memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pihak berkepentingan,” katanya.

Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin
 

Sementara itu, Faizal ketika mengulas kepentingan kewujudan pembangkang dalam kerajaan perpaduan, berkata sistem pentadbiran Parlimen dengan acuan Westminster memerlukan pihak kerajaan dan pembangkang dalam membincangkan dasar-dasar yang digubal.

“Saya lebih suka jika ada pihak pembangkang kerana mereka boleh menilai kembali pemberian subsidi sedia ada yang perlu diteliti dan didebatkan lebih tuntas dalam sidang Parlimen agar dasar tersebut tidak bersifat sementara tetapi lebih menyeluruh. 

“Apatah lagi pihak pembangkang secara tidak langsung boleh juga dianggap sebagai ‘shadow government’ (kerajaan bayangan yang bertindak sebagai pemantau) sepertimana pembangkang di United Kingdom yang mana mereka mempunyai dasar dan pembentangan belanjawan sendiri,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.