03-2631 1527 | bfocusbernama@gmail.com

Kemalangan Kenderaan Berat, Wajarkah PUSPAKOM Dipersalah?

7 Oktober 2022

Oleh Lucia Terey John & Muhammad Adil Muzaffar Mohd Fisol

Kebelakangan ini, kemalangan membabitkan kenderaan berat dilaporkan kerap berlaku dan ini mengundang kebimbangan masyarakat. Apatah lagi apabila masalah kegagalan sistem brek sering kali dijadikan alasan, menyebabkan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) didakwa gagal menjalankan tugas. Apakah ini benar? Isu ini dikupas dalam artikel akhir laporan khas tiga bahagian. 

 

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Isu kemalangan kenderaan berat yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini menyebabkan ada pihak menuding jari kepada Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) kerana dikatakan gagal menjalankan tugas dengan baik.

Ini disebabkan antara alasan yang diberikan oleh pemandu atau syarikat logistik terlibat ialah kemalangan berpunca daripada kegagalan brek kenderaan berat yang menurut mereka tidak akan timbul jika PUSPAKOM memberikan perkhidmatan berkualiti semasa pemeriksaan berkala kenderaan terbabit.   

Susulan itu juga ada yang mendesak agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat PUSPAKOM lantaran ada dakwaan wujud unsur “kawtim” (komplot) di antara warga agensi itu dan operator logistik yang memastikan kenderaan perdagangan milik mereka lulus pemeriksaan sekalipun hakikatnya tidak memenuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.


--fotoBERNAMA (2012) HAKCIPTA TERPELIHARA

Ketika diaju pertanyaan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM Sdn Bhd Mohammed Shukor Ismail mengakui mereka sering dipersalahkan oleh masyarakat apabila berlaku kemalangan membabitkan kenderaan perdagangan, khususnya yang melibatkan kehilangan nyawa.  

“Ini kerana setiap kenderaan perdagangan perlu menjalani pemeriksaan berkala di sini setiap enam bulan seperti yang diperuntukkan dalam Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Adalah tidak berasas untuk menyalahkan PUSPAKOM dalam hal ini kerana pemeriksaan hanyalah sekali dalam tempoh enam bulan dan laporan yang dikeluarkan bergantung pada keadaan kenderaan itu semasa pemeriksaan dilakukan,” tegasnya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini. 

 

KERAP GUNA, KERAP SELENGGARA

Mengulas lanjut, beliau berkata pemeriksaan mandatori setiap enam bulan itu merupakan komitmen kerajaan dalam memastikan kenderaan selamat dipandu, tidak membahayakan pemandunya serta pengguna jalan raya lain. 

Tegasnya, PUSPAKOM tidak berkompromi dalam kualiti perkhidmatan dan pemeriksaan dilakukan menurut piawaian yang ditetapkan oleh APJ serta setanding piawaian antarabangsa seperti Suruhanjaya Ekonomi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Eropah (UNECE).


-- fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Tahap penggunaan sesebuah kenderaan berat berbeza antara satu sama lain dan memerlukan kekerapan penyelenggaraan yang berbeza. Contohnya, bas persiaran yang perjalanannya jauh dari selatan ke utara (Semenanjung Malaysia), penyelenggaraannya perlu lebih kerap berbanding dengan yang dekat perjalanannya.  

“Malangnya, terdapat segelintir pemilik kenderaan berat yang hanya menjalankan penyelenggaraan ketika hendak menjalani pemeriksaan ketika hendak menjalani pemeriksaan (mandatori) di PUSPAKOM, sedangkan tahap penggunaannya adalah tinggi sekali gus memerlukan penyelenggaraan lebih kerap,” katanya.

Justeru kata beliau, sesebuah kenderaan mungkin dinilai selamat semasa pemeriksaan namun pengabaian penyenggaraan menyebabkan kenderaan berisiko mengalami kerosakan di tengah jalan dan terbabit dalam kemalangan. 

Bagaimanapun katanya ada syarikat yang amat mengutamakan keselamatan dengan menghantar kenderaan mereka lebih kerap ke PUSPAKOM dan tidak terikat pada pemeriksaan mandatori enam bulan sekali.

 

ASPEK KOSMETIK TIDAK RELEVAN

Dalam bahagian kedua sebelum ini, Bernama mendedahkan ada segelintir pengusaha logistik dan pemandu kenderaan perdagangan cuba mengelat dalam pemeriksaan mandatori PUSPAKOM dengan mengecat baharu kenderaan selain menukar sementara tayar lama kepada tayar baharu yang kemudian ditukar semula kepada tayar lama selepas selesai pemeriksaan. https://bernama.com/bm/b_fokus/v2/news.php?id=2126577 & https://bernama.com/bm/b_fokus/v2/news.php?id=2126251

Mohammed Shukor tidak menafikan kewujudan taktik sedemikian yang bertujuan mengaburi mata penguat kuasa. 


-- fotoBERNAMA (2013) HAKCIPTA TERPELIHARA

“Memang ada segelintir pemilik kenderaan perdagangan yang dikesan melakukan pelbagai perkara tidak bertanggungjawab seperti meminjam sementara tayar mengikut spesifikasi ditetapkan semata-mata untuk lulus pemeriksaan PUSPAKOM kerana pemeriksaan hanya bergantung pada keadaan kenderaan ketika itu.

“Perkara yang berlaku ini di luar bidang kuasa PUSPAKOM, dan kerana itu kami sedang bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan situasi sebegini dapat dibendung daripada berleluasa,” katanya. 

Menurutnya lagi, pemeriksaan yang dijalankan menggunakan sistem komputer meliputi pelbagai sudut dan tidak bergantung pada aspek kosmetik luaran, sebaliknya lebih kepada ciri-ciri keselamatan seperti sistem brek, tayar dan lain-lain yang lazimnya mengambil masa 30 minit hingga satu jam mengikut jenis kenderaan.

  

ISU INTEGRITI

Bagi meningkatkan lagi integriti pemeriksaan, PUSPAKOM juga bersedia bekerjasama dengan JPJ untuk menyemak semula kaedah pemeriksaan.

Pada Ogos lepas, Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Datuk Zailani Hashim dilaporkan berkata antara tindakan yang bakal diambil bagi mengurangkan risiko kemalangan, terutama membabitkan kenderaan perdagangan, ialah menambah baik prosedur pemeriksaan di PUSPAKOM. 

Dalam pada itu, Mohammed Shukor menyangkal dakwaan ada warga PUSPAKOM berkomplot dengan pengusaha logistik bagi memastikan kenderaan perdagangan yang berkenaan lulus pemeriksaan sekalipun tidak memenuhi spesifikasi keselamatan yang ditetapkan.

Ini kerana katanya pemeriksaan PUSPAKOM menggunakan teknologi komputer dan sistem automasi, sekali gus mengelakkan ia daripada dimanipulasi. 


--fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Agensi ini telah beralih kepada digitalisasi dalam operasi dan pemeriksaan pada 2013 bagi meningkatkan ketelusan dan produktiviti selain memperkasa integriti PUSPAKOM. Jadi, tuduhan PUSPAKOM kawtim dengan pengusaha lori ini tidak berasas,” tegasnya.

Tambahan pula kata beliau, teknologi automasi berkomputer yang diguna pakai itu juga sentiasa dinaik taraf seiring kehendak piawaian antarabangsa.

Menurutnya lagi, PUSPAKOM juga antara agensi terawal yang menandatangani Ikrar Integriti Korporat bersama SPRM selain memperoleh pensijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah ISO 37001:1 bagi meningkatkan integriti dan profesionalisme warga kerjanya.

 

JUMLAH STAF 

Menurut Mohammed Shukor, agensi itu juga sentiasa menambah baik Rangka Kerja Pematuhan Integriti PUSPAKOM (PICF) sedia ada dengan memfokuskan pada tiga aspek, iaitu berkaitan polisi dan prosedur; sistem, proses dan teknologi serta kakitangan; dan budaya kerja berintegriti. 

Selain itu, PUSPAKOM juga telah dan sedang melaksanakan pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang yang komprehensif bagi memastikan isu penyelewengan ditangani secara berkesan, sekali gus membuktikan komitmen tingginya dalam menjamin integriti petugas.


--fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Buat masa ini, Mohammed Shukor berkata agensi itu, secara purata, memeriksa 45,000 buah kenderaan berat sebulan merentasi pelbagai kategori seperti penggerak utama (prime mover), treler, bas persiaran, bas pekerja dan lain-lain.

Katanya jumlah semasa kakitangan iaitu kira-kira 900 orang juga mencukupi untuk menampung permintaan pemeriksaan kenderaan di seluruh negara. 

Malah, penambahan staf terlatih juga sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa  bagi memastikan ketersediaan kakitangan terlatih adalah cukup pada setiap masa. 

 

PENGUATKUASAAN KURANG “TARING”

Sementara itu, pakar keselamatan jalan raya Prof Dr Kulanthayan KC Mani berpandangan penguatkuasaan yang lebih tegas perlu dilaksanakan bagi menangani isu kemalangan membabitkan kenderaan berat.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) sedia ada ditambah baik, khususnya bagi mengesan pemandu yang melakukan kesalahan berulang.

“Ketika ini, sistem itu mengesan pemandu hanya selepas mereka melakukan kesalahan.

“Untuk jadikan sistem ini lebih efektif, ia seharusnya berkemampuan untuk ‘flag’ kes (mengesan pada masa sebenar kejadian), sekali gus boleh mencegah risiko berlaku kemalangan pada masa akan datang,” syor beliau.


-- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sistem Kejara membolehkan lesen seseorang pemandu digantung dan seterusnya dibatalkan apabila dia dikenakan sejumlah mata demerit selepas melakukan kesalahan jalan raya.

 Biarpun begitu, beliau berkata isu ini tidak boleh dibebankan kepada agensi penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya semua pihak, sama ada industri, masyarakat serta pengguna jalan raya, perlu turut memainkan peranan mereka. 

Pihak industri misalnya, perlu menitikberatkan aspek keselamatan jalan raya dalam operasi perniagaan sementara pengguna jalan raya pula perlu lebih peka apabila memandu berdekatan kenderaan berat.

Pemandu kenderaan biasa harus sedar kenderaan berat memerlukan jarak yang lebih jauh untuk memperlahankan kelajuan selain mempunyai banyak titik buta.   

Sehubungan itu katanya, pengguna lain harus memberikan ruang yang cukup apabila memandu berdekatan sesebuah kenderaan berat.

“Keselamatan jalan raya adalah isu kesihatan awam dan memerlukan semua pihak bekerjasama serta saling bertanggungjawab bagi menangani ‘barah’ di jalan raya ini,” ujarnya.

© BFokus. Hakcipta Terpelihara.