Nahas Babit Kenderaan Berat, Benarkah Brek Puncanya?

<
strong>Kebelakangan ini, kemalangan membabitkan kenderaan berat begitu kerap dilaporkan, sekali gus mengundang kebimbangan masyarakat, lebih-lebih lagi kegagalan sistem brek sering kali dikatakan penyebab. Namun, benarkah begitu? Isu ini dikupas dalam artikel pertama daripada tiga bahagian. 

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kes 1: Seorang wanita maut tersepit di dalam kereta selepas kenderaannya dihempap sebuah lori simen yang dipercayai mengalami kerosakan brek di persimpangan lampu isyarat Jalan Cemerlang, Kota Bharu, Kelantan pada Januari lepas.

Kes 2: Lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah maut selepas kereta dinaiki mereka dirempuh treler membawa muatan jubin, dalam kejadian di Km245.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Kuala Kangsar, Perak pada Mei lepas.

Kes 3: Empat sekeluarga terkorban dalam nahas membabitkan tujuh kenderaan termasuk treler di Km277.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di Ipoh, Perak, pada Julai lalu.

-- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kesemua kes di atas dikatakan berpunca daripada masalah sistem brek lori dan treler.

Hakikatnya, dalam tempoh 7 Julai hingga 17 Ogos lepas, kira-kira 10 kemalangan maut membabitkan kenderaan berat dilaporkan dengan kegagalan sistem brek dinyatakan sebagai alasan.

Sama ada benar atau tidak, isu kerosakan brek yang terlalu kerap dijadikan alasan menimbulkan wasangka dalam kalangan masyarakat bahawa itu hanya untuk menutup kesalahan sebenar, antaranya memandu laju.

 

DI MANA PENGUATKUASAAN? 

Di Kampung Haji Mohd Shariff, Meru, Klang, penduduk mendakwa saban hari mereka melihat lori bermuatan pasir dipandu laju merentasi kawasan petempatan tanpa mempedulikan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Pekerja swasta Hamizah Badiran, 36, mendakwa perkara itu adalah kelaziman di Jalan Paip yang merupakan jalan utama menghubungkan pengguna jalan raya kepada beberapa lebuh raya.

--fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Kedudukan rumah keluarga saya hanya kira-kira 300 meter dari Jalan Paip yang digunakan oleh pengguna untuk ke Setia Alam, Puncak Alam, Sungai Buloh, Subang, Puncak Perdana dan Shah Alam.

“Jalan ini juga digunakan ibu bapa dan penjaga untuk menghantar dan mengambil anak yang belajar di Sekolah Kebangsaan Meru 2. Jadi, situasi sebegini sangat berbahaya,” kongsi ibu kepada seorang anak itu.

Hakikatnya, pemerhatian Bernama mendapati bukan isu pandu laju sahaja yang berlaku tetapi juga kedegilan pemandu kenderaan berat dalam mematuhi larangan memasuki jalan-jalan tertentu pada waktu puncak.

Pada masa sama, penguatkuasaan juga didapati tidak ketat seperti yang sepatutnya.

 

BUKAN PENYUMBANG UTAMA 

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 19,888 kenderaan berat terlibat dalam kemalangan jalan raya di seluruh negara, iaitu peningkatan sebanyak 28 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Selain itu, PDRM juga melaporkan sejak 2009, lebih 1,000 kematian dan 700 kes kecederaan termasuk parah disebabkan nahas dengan lori dan treler berlaku saban tahun.

Malah, Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Supt Dr Bakri Zainal Abidin ketika ditemu ramah Bernama, berkata 80 peratus kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan berat berpunca daripada kecuaian pemandu.

Menurut Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) pula, pemeriksaan ke atas 270,385 kenderaan berat dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini mendapati 15.8 peratus atau 42,772 gagal mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan 4.6 peratus atau 12,339 gagal ujian kecekapan brek.

Data PUSPAKOM itu mencerminkan masalah brek bukan satu-satunya punca dalam kebanyakan nahas jalan raya membabitkan kenderaan berat, kata Ketua Pusat Penyelidikan Pengangkutan, Universiti Malaya (UM)  Dr Yuen Choon Wah.  

Menurut pensyarah kanan di Fakulti Kejuruteraan Sivil UM itu, ada faktor lain yang menyumbang kepada kemalangan membabitkan kenderaan berat, antaranya keadaan jalan, kelajuan kenderaan dan keadaan pemandu. 

“Jika berlakunya satu kemalangan dan terus memberi alasan masalah brek, ia adalah tidak wajar dan hanya untuk mengetepikan tanggungjawab mereka (pemandu) semata-mata.

“Saya berpandangan cara pemanduan dan sikap pemandu merupakan punca utama. Contohnya, jika kenderaan dipandu dalam kelajuan rendah, ia (kenderaan) dapat dihentikan dengan jarak yang lebih pendek dan mungkin boleh mengelakkan berlakunya kemalangan,” katanya.

 

JUMLAH KECIL 

Mengulas lanjut, beliau berkata dengan had laju di kawasan bandar bagi kenderaan berat yang ditetapkan pada 60 km/j, jarak berhenti yang diperlukan oleh sesebuah kenderaan biasa ialah 45 meter, manakala kenderaan berat pula memerlukan jarak yang lebih panjang untuk berhenti sepenuhnya.

Tekanan tayar juga aspek penting yang harus dititikberatkan oleh pemandu kenderaan berat kerana tekanan tayar yang baik dapat memaksimumkan kecekapan brek.

“Pemeriksaan lebih kerap perlu dijalankan ke atas kenderaan berat dan ia harus ditetapkan berdasarkan jarak pemanduan kerana, pada pandangan saya, pemeriksaan setiap enam bulan sekali pada ketika ini adalah tidak mencukupi. 

“Bagi penentuan jarak pemanduan yang sepatutnya, pakar-pakar logistik dan para penyelidik automotif boleh memberikan cadangan sewajarnya,” katanya, menambah lori yang membawa muatan berlebihan lagi berisiko mengalami masalah brek. 

-- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM Mohammed Shukor Ismail turut bersetuju bahawa masalah brek bukan punca kekerapan kemalangan melibatkan kenderaan berat kebelakangan ini.

Berdasarkan statistik PUSPAKOM bagi tempoh Januari 2021 hingga Jun 2022, hanya 8.5 peratus kenderaan berat yang hadir pemeriksaan berkala di pusat itu tidak mematuhi piawaian kecekapan brek.

“Ini bermakna cuma dua atau tiga kenderaan sahaja daripada setiap 100 kenderaan berat yang hadir pemeriksaan berkala mempunyai masalah kecekapan brek atau masalah penggunaan tayar yang tidak mematuhi piawaian,” katanya.

Jelasnya, kegagalan sistem brek boleh berlaku akibat beberapa situasi termasuk tiada penyenggaraan atau penyenggaraan tidak mengikut spesifikasi yang disarankan oleh pengeluar kenderaan.

Ketidakcekapan pemandu juga boleh menyebabkan kerosakan brek iaitu kerap membrek secara mengejut selain keadaan jalan.  

Berdasarkan statistik serta pandangan pakar, jelas kerosakan brek bukan punca sebenar dalam kebanyakan nahas membabitkan kenderaan berat. Justeru, sampai bila pihak yang berkenaan mahu memejamkan mata dan terus membiarkan brek “dipersalahkan” setiap kali ada kemalangan, khususnya yang mengorbankan nyawa?  

 

Penulis

Lucia Terey Anak John
7 October 2022
Artikel berkaitan

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.