+603-2631 1527 | bfocusbernama@gmail.com

Perspektif: Teladani Kejayaan Konservasi Panda Gergasi Di China

29 September 2022

BEIJING  (Bernama) -- Berdasarkan falsafah, budaya dan aspirasi tempatan, banyak negara di dunia memilih haiwan tertentu bagi menggambarkan imej nasional masing-masing.

Harimau Malaya atau lebih dikenali Harimau Belang, simbol keberanian, kegagahan dan kekuatan menghiasi Jata Negara adalah lambang rasmi kerajaan Malaysia.

Panda Gergasi pula sinonim dengan Republik Rakyat China, yang menjadi simbol keharmonian, persahabatan dan keamanan. Haiwan berwarna putih dan hitam itu juga sering dijadikan sebagai ‘duta’, secara simboliknya menggambarkan hubungan akrab dengan negara luar.

Bagaimanapun kedua-dua haiwan ini, Harimau Belang mahupun Panda Gergasi dibimbangi pupus akibat kegiatan berleluasa penerokaan hutan, pemburuan dan pemerdagangan haram, justeru kedua-dua negara dilaporkan mengambil langkah serius termasuk usaha konservasi atau pemuliharaan habitat haiwan berkenaan.

 

PANDA DI ZOO BEIJING


Antara gelagat Panda Gergasi di Zoo Beijing yang menjadi tumpuan pelancong. -- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Penulis yang  sedang mengikuti kursus di Beijing sejak Julai lepas tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke Zoo Beijing baru-baru ini untuk melihat sendiri kecomelan Panda Gergasi di tanah air kelahiran haiwan ini.

Walaupun  pernah menyaksikan Panda Gergasi atau nama saintifiknya Ailuropada Melanoleuca di Pusat Konservasi Panda Gergasi Zoo Negara (GPCC), di Kuala Lumpur, sekitar Mei lepas namun perasaan teruja tetap ada  terutama saat melihat aksi jinak  ‘Gu Gu’ salah seekor Panda Gergasi di sini. Gu Gu, panda  jantan yang dilahirkan pada 25 Sept 1999, kini berusia 23 tahun.

Paling mencuri tumpuan telatah Meng Er,  juga panda jantan berusia sembilan tahun yang kelihatan cukup mesra dengan memberikan interaksi apabila berhadapan kamera bersama pengunjung.

“Kamu sangat bertuah, kerana panda keluar dari rumahnya. Selalunya panda ini agak ‘malas’ dan selalu tidur,”  seloroh pembantu program  kursus yang bersama penulis  dalam lawatan tersebut.

 

DIPLOMAT UNIK

Di sebalik kecomelan mamalia yang menjadikan buluh sebagai makanan utamanya ini, Panda Gergasi adalah khazanah berharga China yang mempunyai kuasa, pengaruh dan fungsi yang sangat kuat dalam pelbagai aspek.

Sejak tahun 1949, panda gergasi diangkat sebagai diplomat unik secara meluas di negara seperti Kesatuan Soviet, Korea Utara, Jepun, dan Amerika Syarikat. 


Pengunjung mengambil kesempatan berswafoto bersama seekor Panda Gergasi di Zoo Beijing. -- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Panda gergasi berkhidmat sebagai duta diplomatik untuk China selama berabad-abad, melalui konsep "diplomasi panda", seperti yang paling awal direkodkan ketika pemerintahan Dinasti Tang, apabila Permaisuri Wu Zetian menghantar sepasang panda kepada maharaja Jepun sebagai tanda persahabatan. 

Bagaimanapun China beransur-ansur menghentikan pemberian panda pada 1980-an dan kemudiannya menghantarnya ke luar negara dengan pinjaman jangka panjang atas dasar "penyelidikan saintifik".

Presiden Xi Jinping juga turut menghantar dua panda muda Ru Yi dan Ding Ding untuk menyampaikan "penghormatan dan kepercayaan" beliau kepada Rusia pada tahun 2019. 

Dengan daya tarikannya yang istimewa dan unik, panda gergasi dipilih sebagai satu daripada lima maskot olimpik Sukan Olimpik 2008 apabila China menjadi tuan rumah temasya sukan berprestij itu.

 

KONSERVASI PANDA

Kerajaan China begitu komited dalam agenda pemuliharaan panda seperti memperkenal dan menguatkuasakan larangan pembalakan hutan serta penyeludupan panda yang ketat di samping melaburkan sejumlah wang yang besar untuk program galakan membaik pulih hutan.

Antara langkah yang diambil  bagi  melindungi Panda Gergasi daripada terus diancam kepupusan termasuk mewujudkan rizab alam semula jadi bagi melindungi haiwan tersebut di  enam banjaran gunung Qinling, Minshan, Qionglai, Liangshan, Da Xiangling dan Xiao Xiangling sejak tahun 1963.

Menurut laporan media tempatan, China Daily, Taman Negara Panda Gergasi di wilayah Sichuan, Shaanxi dan Gansu menghubungkan habitat Panda Gergasi yang pada asalnya dimiliki oleh 73 rizab alam semula jadi.  Kira-kira 72 peratus daripada panda gergasi liar di China berada di bawah perlindungan taman berkenaan.


-- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

China juga turut mewujudkan ladang pertanian secara semula jadi dengan membiarkan pokok buluh yang menjadi makanan utama panda tumbuh subur, menjadikan habitat haiwan tersebut semakin pulih.

Ekoran daripada usaha gigih memulihara spesies ikonik China berkenaan, pada Julai tahun 2021, status Panda Gergasi  yang sebelum ini dalam Senarai Merah IUCN berubah daripada Terancam (EN) kepada Terdedah Kepada Ancaman (VU).

Ini berikutan peningkatan bilangan spesies haiwan berkenaan yang sudah melebihi 1,800 ekor selepas bertahun-tahun perlaksanaan perlindungan biodiversiti dan pemulihan ekologi. 

 

KEJUTAN TIGA ANAK

Tidak keterlaluan jika dikatakan Malaysia turut membantu menyumbang kepada peningkatan jumlah populasi panda di China apabila  pasangan Panda Gergasi, Fu Wa dan Feng Yi dipinjamkan kepada kerajaan Malaysia pada tahun 2014 untuk tempoh 10 tahun, sempena ulang tahun ke-40 terjalinnya hubungan diplomatik Malaysia dan China. 

Program pinjaman di bawah Perjanjian Kerjasama Pemuliharaan Panda Gergasi Antarabangsa itu, membolehkan Malaysia berpeluang menjalankan penyelidikan mengenai pemuliharaan Panda Gergasi, selain membangun dan melatih kepakaran tempatan.

Sehingga kini, pasangan panda berkenaan yang dinamakan semula sebagai Xing Xing dan Liang Liang, melahirkan tiga ekor anak panda, iaitu Nuan Nuan yang dilahirkan 18 Ogos 2015, Yi Yi (14 Jan 2018) dan Sheng Yi pada 30 Mei 2021. 


Kelihatan tarikan utama Zoo Negara iaitu panda menikmati makanan. -- fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kelahiran anak ketiga panda ini sebenarnya memberi kejutan kepada banyak pihak termasuk China sendiri memandangkan agak sukar untuk panda membiak dalam kurungan, dan dengan tiga ekor anak panda dalam tempoh tujuh tahun, ia merupakan satu kejayaan yang jarang berlaku.

“Kami pun tidak sangka panda gergasi di Malaysia begitu produktif,” kata seorang rakan penulis di sini.

Walaupun projek GPCC di Zoo Negara yang berkeluasan 1.6 hektar pernah terpalit dengan kontroversi pada awal pembukaannya kerana kos pembinaan kompleks Panda Gergasi itu yang menelan kos tinggi sebanyak RM24.9 juta, namun pihak Zoo Negara memaklumkan kehadiran panda berkenaan menjadi tarikan baharu yang  secara tidak langsung  membawa kepada peningkatan jumlah pengunjung.

Selain kos tersebut,  Zoo Negara juga perlu  menanggung RM1.5 juta setahun untuk kos operasi  dan makanan haiwan tersebut serta bayaran AS$1 juta setahun kepada kerajaan China.

 

BELAJAR DARI CHINA

Melihat kepada kejayaan China dalam usaha konservasi Panda Gergasi, penulis yakin Malaysia juga mampu memastikan populasi Harimau Malaya tidak pupus, menerusi inisiatif Kempen Selamatkan Harimau Malaya di bawah Kementerian Tenaga dan Alam Sekitar.

Menurut laman rasmi kempen berkenaan iaitu harimau.my, hasil cerapan yang dijalankan melalui Survei Harimau Kebangsaan Pertama di hampir 75 peratus plot kajian habitat harimau bermula tahun 2016-2018 menunjukkan bilangan Harimau Malaya yang direkodkan adalah kurang daripada 200 ekor.

Jika tiada tindakan drastik yang dijalankan bagi mengatasi masalah penurunan populasi Harimau Malaya ini, jangkaan dalam tempoh lima hingga 10 tahun,  Malaysia akan kehilangan spesies ini buat selama-lamanya.


--fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

"Jika tindakan segera tidak dilakukan, Malaysia berhadapan dengan risiko kepupusan Harimau Malaya yang menjadi simbol Jata Negara, lambang negeri-negeri serta pelbagai kementerian, jabatan dan agensi," kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri sebelum ini. 

Pasukan Petugas Kebangsaan Bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTTF) juga turut bersetuju dengan Tindakan-Tindakan Strategik Bagi Konservasi Harimau Malaya bagi tempoh 10 tahun (2021 hingga 2030) melalui enam pendekatan.

Antara pendekatan tersebut ialah rondaan penguatkuasaan dan pengawalan, pengekalan dan pengukuhan habitat melalui pengurusan guna tanah yang mampan dan meningkatkan kawasan berhutan sedia ada di Semenanjung Malaysia daripada 43.41 peratus kepada 50 peratus menjelang tahun 2040.

Rang Undang-undang Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021 juga diluluskan di Dewan Negara pada 21 Dis l2021 bagi menambah baik akta berkenaan dalam meningkatkan keberkesanan perundangan konservasi hidupan liar.

Ia antara lain menyaksikan hukuman denda maksimum dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta bagi pesalah di bawah akta itu dan hukuman penjara maksimum daripada 10 kepada 15 tahun.

 

(Penulis  berada di Beijing sebagai peserta program China Asia Pacific Press Centre 2022 (CAPCC) atas jemputan China Public Diplomacy Association. Program bermula 20 Jun 2022 dan dijadualkan tamat pada pertengahan November depan.

Dianjurkan oleh China International Press Communication Center (CIPCC), program ini melibatkan lebih 70 pengamal media antarabangsa dari pelbagai negara, dan sepanjang tempoh program, peserta akan didedahkan kepada aktiviti-aktiviti termasuk syarahan mengenai pembangunan sosioekonomi, diplomasi, kebudayaan, sains dan teknologi,  latihan kewartawanan dan latihan amali dengan media China serta lawatan ke wilayah-wilayah terpilih. Peserta juga berpeluang membuat liputan acara utama domestik dan diplomatik di China).

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

© BFokus. Hakcipta Terpelihara.