Analisis: Pekerja Malaysia Perlu Pengaruh Untuk Tuntut Gaji dan Keadaan Kerja Lebih Baik

K
UALA LUMPUR (Bernama) -- Dua isu yang lantang disuarakan golongan pekerja pada sambutan Hari Pekerja tahun ini sudah tentunya kenaikan kos sara hidup serta kekurangan tenaga kerja ketika dunia terus bergelut untuk pulih daripada krisis ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Malah Malaysia berdepan dengan isu gaji yang stagnant atau tidak berubah sebelum berlaku pandemik lagi dan apabila kadar inflasi meningkat tanpa kenaikan gaji, bermakna pekerja kehilangan kuasa membeli. Kadar inflasi semasa di Malaysia ialah 3.4 peratus.

Meskipun Malaysia menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 sebulan daripada RM1,200 bermula 1 Mei, 2022, pelaksanaannya dilaporkan amat perlahan. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin lepas mengumumkan “Jemaah Menteri tidak lama lagi akan membincangkan bagaimana untuk menyelesaikan isu gaji itu sehingga tuntas." 

Lagi pun, gaji RM1,500 sememangnya tidak mencukupi untuk menyara kehidupan. Tanyalah kepada sesiapa di Lembah Klang dan mereka pasti mengeluh dan menyatakan bagi orang bujang, jumlah itu setakat cukup-cukup makan yakni untuk bayar sewa, beli makanan dan keperluan lain, apatah lagi untuk sebuah keluarga. Bank Negara Malaysia sebelum ini dilaporkan berkata, gaji yang cukup pada masa ini untuk menyara hidup pasangan suami isteri dengan dua orang anak di Kuala Lumpur adalah RM6,500 sebulan berbanding RM2,700 pada tahun 2016.  

Para pekerja pelbagai sektor semasa Sambutan Hari Pekerja 2023 yang bertemakan Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). --fotoBERNAMA (2023) HAKCIPTA TERPELIHARA

“Kos sara hidup kita adalah amat tinggi. Untuk seseorang yang mempunyai gaji minimum RM1,500 dan mempunyai lima orang anak, sudah tentu wang sebanyak itu tidak cukup untuk membeli makanan untuk anak-anak yang masih bersekolah. Jadi keluarga itu memerlukan gaji yang agak besar untuk kelangsungan hidup, ” kata E. Parameiswary, ahli Parti Sosialis Malaysia dan penyelaras Program Media, Pasukan Petugas Hari Pekerja (Mei 2023).

Beliau menambah, meskipun rakyat Malaysia beroleh pendapatan yang kurang pada masa dahulu, ketika itu, kos sara hidup adalah rendah dan mereka masih mampu membeli kebanyakan barangan keperluan.

Banyak pihak berhujah bahawa kenaikan gaji minimum RM1,500 yang dibuat baru-baru ini masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan kehidupan dan menuntut kadar gaji yang lebih berpatutan. Bank Dunia dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) meletakkan garis kemiskinan pada paras RM2,208 untuk empat anggota isi rumah. 

Di sebalik hakikat ini, peluang adalah tipis untuk golongan pekerja menerima gaji yang lebih tinggi untuk menampung peningkatan kos sara hidup serta keadaaan kehidupan yang lebih baik. Pihak pakar memberi pandangan itu kerana pekerja Malaysia “semakin kehilangan suara.”

 

PERLU KADAR GAJI LEBIH BAIK

Gaji minimum di Malaysia adalah suatu perkara baharu, diperkenalkan pada tahun 2012 dan dilaksanakan pada tahun berikutnya. Gaji minimum sebelum itu adalah RM900 di Semenanjung Malaysia dan RM800 di Sabah dan Sarawak.

Salah satu alasan yang sering dilontarkan untuk menentang kenaikan gaji minimum adalah ia akan turut menyebabkan kos tambahan kepada perniagaan dan membuatkan kehilangan pekerjaan, terutama dalam kalangan syarikat kecil. Di Malaysia, pelaksanaan gaji minimum RM1,500 untuk majikan dengan kurang daripada lima pekerja ditangguhkan kepada 1 Julai tahun ini (2023).  Hujah lain ialah menaikkan gaji minimum untuk semua orang mungkin akan mendatangkan kesan kepada kawasan yang gaji pekerja masih rendah dan mungkin menyebabkan pemberhentian pekerja serta keuntungan yang lebih rendah.

“Sukar untuk kerajaan secara tiba-tiba memutuskan ‘Ok semua, gaji untuk sara hidup, paras tertentu’. Sekiranya itu dilakukan, ia akan menjejaskan perniagaan,” kata Mohd Afzanizam Abdul Rashid, ketua ekonomi dan kewangan sosial Bank Muamalat Malaysia.

Bagaimanapun, terdapat jalan tengah untuk menaikkan gaji minimum. Kajian menunjukkan dan ahli ekonomi turut berpandangan bahawa, sebarang kenaikan perlu dibuat dalam lingkungan tertentu agar tidak menjejaskan kawasan yang masih ada pekerja bergaji rendah dan kawasan kos rendah tetapi mencukupi untuk kawasan kos tinggi.

Sekiranya jumlah kenaikan tidak berapa besar untuk kawasan berkenaan, gaji yang lebih tinggi mampu membantu perniagaan. Satu kajian 2023 University of California Berkeley mendapati, perniagaan seumpama ini boleh melepaskan kos kepada pengguna tanpa banyak impak negatif.

Penulis bersama kajian berkenaan, Michael Reich, yang juga pengerusi UC Berkeley Centre of Wage and Employment Dynamics, dipetik berkata, kajian itu turut mendapati gaji yang tinggi memudahkan pengambilan pekerja dan mengekalkan mereka, serta mengurangkan kadar pekerja yang berhenti. Penyelidikan lain menunjukkan pekerja berkenaan berkemungkinan lebih sedikit produktiviti.

Menurut Mohd Afzanizam, perlu ada penanda aras untuk memutuskan tentang jumlah gaji yang diperlukan bagi menampung sara hidup dalam kawasan tertentu.

“Untuk menentukan paras gaji, ia perlu menggambarkan aspek geografi, maksud saya kawasan bandar dan desa,” katanya.

Gambar hiasan. --fotoBERNAMA (2023) HAKCIPTA TERPELIHARA

Ramai aktivis hak pekerja berpendapat bahawa gaji minimum adalah masih terlalu rendah, walau di mana ia dilaksanakan. Bagaimanapun, sebarang perubahan atau kenaikan kepada gaji minimum, yang mereka percaya, amat diperlukan, tidak mungkin berlaku.

“Ia tidak seharusnya (dirujuk sebagai) gaji minimum. Anda kata minimum, semua akan ikut minimum,” kata bekas penolong setiausaha (pendidikan) Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC),  K. Somasundram.

Beliau menambah, kesulitan dalam berunding tentang gaji serta keadaan kerja yang lebih baik disebabkan kesatuan sekerja yang kehilangan kuasa.

 

PERKUKUH KESATUAN SEKERJA

Kesatuan sekerja di Malaysia tidak berapa kuat di sebalik adanya undang-undang yang membenarkan pembentukan kesatuan sekerja. Satu isu ialah ‘pencairan kuasa’.

Somasundram memberitahu Bernama, pada pengiraan terakhir, terdapat sebanyak 770 kesatuan sekerja di Malaysia dengan 993,000 ahli dan beliau menambah, bilangan keahlian semakin berkurangan. Pada Isnin lepas, setiausaha agung MTUC Kamarul Baharin Mansor memberitahu Bernama, jumlah ahli kini antara 500,000 dan 800,000, daripada 15 juta keseluruhan pekerja di negara ini.

Dengan begitu banyak kesatuan sekerja dan jumlah ahli yang kecil, suara kolektif untuk membuat tawaran dan rundingan bagi gaji dan keadaan bekerja yang lebih baik, hampir lenyap.

“Kebanyakan kesatuan sekerja mempunyai kurang daripada 500 ahli, sesuatu yang tidak bagus. Sekiranya mahu suara anda didengari, mesti ada kurang kesatuan sekerja dengan jumlah keahlian yang besar. Baharulah suara anda boleh jadi lantang,” katanya.

Pakar memberitahu Bernama, undang-undang berkaitan dengan kesatuan sekerja di Malaysia perlu juga dikemas kini bagi menutup sebarang kelompongan dan memperkukuhkan kesatuan sekerja. Salah satu sebab adalah untuk menunjukkan perubahan dalam ekonomi seperti kemunculan ekonomi gig. Pemandu E-hailing dan penghantar makanan tidak boleh mempunyai kesatuan sekerja untuk menuntut keadaan bekerja yang lebih baik kerana mereka tidak dianggap pekerja.

Pengerusi Institut Pemberdayaan Pekerja Selangor Syed Syahir Syed Mohamud memberitahu Bernama, pemandu dan penunggang Grab dan FoodPanda, sebagai contoh, tidak boleh menubuhkan kesatuan sekerja untuk berunding bagi mendapatkan gaji, keadaan bekerja serta perlindungan yang lebih baik.

Menurut beliau, pekerja gig dianggap sebagai kontraktor kerana mereka menyediakan servis, menggunakan bahan daripada pihak lain, dan bukan pekerja pangkalan yang terlibat.

“Di bawah undang-undang negara ini, untuk anda menubuhkan kesatuan sekerja, anda perlu diiktiraf oleh majikan - itu perkara asas kesatuan sekerja, Jadi siapa majikan? Siapa yang akan mengiktiraf anda? Dengan siapa anda mahu berunding? Mereka berkata, ‘Tidak, anda adalah kontraktor. Tiada yang mahu berunding dengan anda. Anda perlu berunding dengan diri anda sendiri’,” katanya.

”Itu tak masuk akal,” tambahnya.

Terdapat kelompongan lain yang digunakan majikan untuk ‘memperdaya’ kesatuan sekerja. Meskipun undang-undang menghalang majikan daripada melarang atau menghukum pekerja - termasuk pekerja asing - daripada menyertai kesatuan sekerja, terdapat cara untuk berbuat demikian.

Gambar hiasan. --fotoBERNAMA (2023) HAKCIPTA TERPELIHARA

Michael Cheah, pengamal undang-undang buruh sejak lima tahun lepas berkata, sesetengah majikan menggunakan helah untuk tidak memenuhi tuntutan kesatuan sekerja dengan menaikkan pangkat pekerja agar mereka kehilangan hak untuk menyertai kesatuan sekerja.

“Majikan cuba melakukan perkara ini secara halus. Adakala mereka lakukan union-busting. Satu contohdengan menukar gred atau status pekerja kepada jawatan lebih kanan, jadi mereka dikeluarkan daripada skop mereka yang berhak menyertai kesatuan sekerja. Mereka naikkan pangkat tetapi pekerja itu masih mempunyai fungsi kerja yang sama,” katanya.

Dalam perkataan lain, mereka tidak boleh lagi menjadi ahli kesatuan sekerja kerana mereka kini sebahagian daripada pengurusan dan bukan lagi pekerja.

Beliau menambah, kesatuan sekerja perlu meningkatkan usaha untuk menarik lebih ramai pekerja menjadi ahli. Pekerja juga, kata beliau, perlu peka dengan hak mereka dan mengambil tindakan yang wajar.

Perkara lain yang perlu dikemas kini termasuk membenarkan perlindungan yang lebih baik di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) - program keselamatan sosial Malaysia yang menyediakan dana serta faedah sekiranya berlaku kecederaan di tempat kerja, kecemasan, penyakit pekerjaan dan kematian.

Para pakar mengiktiraf bahawa proses untuk mengemas kini undang-undang berkaitan mungkin memakan masa yang panjang, meskipun mereka menaruh harapan ia boleh dipercepatkan.

Sementara itu, Parameiswary berkata, tidak ada yang menyekat majikan untuk menjadi proaktif dan menyediakan program untuk kesejahteraan pekerja mereka, dan menekankan bahawa ianya adalah untuk kepentingan mereka juga.

Tanpa pekerja, mereka tidak akan buat wang. Mereka memerlukan pekerja untuk memperolehi keuntungan dan untuk itu, perlu melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

 

--BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.