Cabaran Banteras Penceroboh Tanah Hutan Simpanan Kekal

L
ama lelaki berusia 45 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Awang itu melemparkan pandangan ke arah tanaman kelapa sawit yang menjadi sumber rezeki utama penduduk Orang Asli suku Mah Meri Kampung Bukit Bangkong, Sepang, Selangor.

Tanaman yang diusahakan sejak 12 tahun itu meliputi kawasan tanah paya bakau seluas 20 hektar, terletak kira-kira satu kilometer daripada perkampungan berkenaan yang sudah wujud sejak puluhan tahun lalu. 

Wajah Awang begitu sayu kerana sejak sekian lama mengusahakan ladang kelapa sawit itu dengan rakannya, mereka diberitahu bahawa kawasan ladang itu adalah sebahagian daripada tanah kerajaan Negeri Selangor yang digazetkan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) Sepang Kechil Tambahan. 

Mereka mendapat tahu perkara itu hasil perjumpaan dengan Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian pada tahun 2018, namun Awang dan rakannya serta Tok Batin Taha Akhir, nekad mengambil keputusan memohon nasihat Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) bagi menyelesaikan kekeliruan yang tercetus. 

“Mungkin ada beranggapan kami  ‘menceroboh’ tanah HSK...namun, bagi kami ia adalah tanah adat Orang Asli dan lagi pun Orang Asli adalah penduduk paling awal wujud di Semenanjung Malaysia, dan kami berasa berhak ke atas tanah yang wujud di kawasan kami menetap untuk diusahakan sebagai tanah pertanian.

“Kerana itu, kami rasa terpanggil mengusahakan tanah pertanian ini mengikut undang-undang dan pada tahun 2019 saya dengan 32 pengusaha ladang kelapa sawit berjumpa Pengarah JPNS untuk proses pemutihan tanah serta mendapatkan Permit Penggunaan...pelbagai prosedur dilakukan termasuklah upah juruukur tanah bagi mengukur persempadanan lot tanah masing-masing,” kata Awang kepada Bernama. 

Namun begitu, selepas hampir empat tahun permohonan dikemukakan (permit penggunaan adalah tertakluk di bawah peruntukan-peruntukan tertentu dalam Akta 313 untuk membenarkan aktiviti pertanian dijalankan membabitkan tanah HSK tanpa melibatkan pewartaan keluar tanah daripada HSK), masih belum ada berita tentang permohonan berkenaan.

 

 

DIGANGGU ORANG LUAR?

Seorang penduduk Kampung Bukit Bangkong, Sepang menunjukkan salah satu papan tanda larangan Hutan Simpan Kekal (HSK) Sepang Kechil yang ada di sekitar situ. Kredit gambar Muhammad Basir Roslan.

Dalam ketika permohonan mereka masih lagi menjadi tanda tanya, Awang yang juga generasi keempat penduduk Kampung Bukit Bangkong berkata, timbul pula masalah lain dan beliau mendakwa ada individu lain menceroboh tanah ladang kelapa sawit itu.

Tok Batin Taha mendakwa, penceroboh terbabit sejak akhir-akhir ini semakin berani meneroka ladang kelapa sawit itu dengan menyatakan mereka mempunyai Permit Penggunaan dan ini menyebabkan penduduk kampung Orang Asli tidak berani lagi ke ladang sawit itu.

Keadaan ini menyebabkan hasil pendapatan jualan biji kelapa sawit yang sebelum ini lebih kurang RM1,300 untuk dua tan merosot kepada sekitar RM650 untuk jualan satu tan kerana masing-masing takut masuk ke ladang.

Kelihatan sebuah jengkaut sedang meratakan tapak ladang tanaman kelapa sawit yang menjadi sumber rezeki utama penduduk Orang Asli Mah Meri Kampung Bukit Bangkong. --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Apabila kami tidak dapat pergi ke ladang, terpaksalah buat kerja kebun dan hasil kebun tidaklah banyak mana seperti sawit. Bimbangkan bertambah parah, kami sudah cuba minta bantuan YB Hee, tapi sehingga saat ini masih tiada tindakan.

“Lama kami usahakan ladang, kami ikut semua syarat ditetapkan JPNS. Bila kami bersemuka dengan yang menceroboh ladang kami, mereka mendakwa mereka pekerja upahan yang sudah dibayar dan baru-baru ini, mereka turut berani membawa jengkaut tanah untuk meratakan tanaman kami,” kata Taha.

Bimbang akan nasib dan masa depan penduduk Kampung Bukit Bangkong, Taha berharap JPNS negeri tampil berbincang dengan pihaknya termasuk status permohonan permit dan situasi yang berlaku memandangkan ia melibatkan sumber rezeki utama Orang Asli di situ. 

Bernama cuba untuk mendapatkan respons daripada Pengarah JPNS Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid sejak Disember tahun lepas mengenai situasi itu, namun, sehingga rencana ini ditulis, pihak jabatan masih belum memberi apa-apa penjelasan berhubung isu yang dibangkitkan.

 

 

PENEROKAAN TIDAK HANYA SELANGOR

Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).

Hakikatnya, isu penerokaan/pencerobohan HSK bukanlah polemik baharu, malah situasi ini bukan sahaja berlaku di Selangor tetapi juga di seluruh negara, justeru, ia menjadi cabaran hebat bagi Jabatan Perhutanan selaku pihak yang bertanggungjawab ke atas hutan simpanan. 

Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) Datuk Mohd Ridza Awang ketika ditemu ramah Bernama berkata, penerokaan tanah HSK kebanyakannya berlaku di kawasan yang bersempadan dengan HSK, kawasan yang mempunyai projek pembangunan atau mendapat kelulusan Permit Penggunaan dalam kawasan HSK.

Merujuk pada data sedia ada, sebanyak 31 kes dikesan di seluruh Semenanjung Malaysia pada tahun 2022 di bawah Seksyen 32, Akta Perhutanan Negara 1984 iaitu pendudukan, atau penjalanan aktiviti di atas tanah HSK.

Daripada 31, 10 kes daripadanya dikesan berlaku di kawasan berhampiran sempadan HSK.

Penerokaan tanah HSK kebanyakannya berlaku di kawasan yang bersempadan dengan HSK, kawasan yang mempunyai projek pembangunan atau mendapat kelulusan Permit Penggunaan dalam kawasan HSK.

Manakala kes pencerobohan membabitkan kawasan bersempadan dengan tanah HSK yang diberi Permit Penggunaan bagi sepanjang tahun 2022, terdapat tiga kes yang dikesan melibatkan kesalahan pelanggaran syarat permit penggunaan iaitu menceroboh di luar sempadan kawasan permit penggunaan. 

Setakat tahun 2022, sebanyak 37 tangkapan dibuat ke atas individu yang terbabit dalam kes pencerobohan dan sehingga ini,  empat individu didakwa melalui prosiding mahkamah dan dikenakan denda.

“Sebenarnya aktiviti semakan dan rondaan pasukan penguatkuasaan hutan secara berkala digiatkan sejak akhir-akhir ini khususnya di kawasan yang berisiko berlakunya pencerobohan seperti kawasan sempadan HSK.

“Namun begitu, aktiviti pencerobohan yang berlaku ini sering dikaburi dengan aktiviti yang dijalankan oleh pihak yang berada di sempadan kawasan atau terlibat dengan projek pembangunan ataupun pertanian,” katanya. 

Disebabkan faktor berkenaan, Mohd Ridza berkata, terdapat kes agak sukar dikesan oleh pasukan penguatkuasaan hutan dan JPSM berpandangan sikap tidak bertanggungjawab individu tertentu yang sengaja membelakangi undang-undang menjadi penyebab utama isu pencerobohan HSK masih lagi berlaku biarpun banyak papan tanda larangan masuk HSK dipasang jabatan.

Penyediaan dan pemasangan papan tanda di HSK adalah strategi pengurusan hutan bagi memaklum dan memberi peringatan kepada orang awam mengenai kedudukan dan sempadan kawasan HSK.

 

 

PERINGATAN DAN LARANGAN

 

“Papan tanda ini biasanya diletakkan pada jarak tidak melebihi setiap 500 meter di sepanjang sempadan kawasan HSK. Manakala bagi kawasan yang bersempadan dengan tanah beri milik, kawasan penempatan, kawasan yang berisiko tinggi atau yang terdedah kepada aktiviti pencerobohan, papan tanda larangan memasuki HSK dan plat sempadan HSK akan dipasang dengan jarak setiap 100 meter atau pada setiap penjuru sempadan.

“Dengan adanya papan tanda yang diletakkan di sempadan kawasan HSK, jelas dapat memberi peringatan dan larangan kepada orang awam daripada memasuki HSK tanpa kebenaran,” jelasnya.

Setakat ini, sejumlah 4,848,448 hektar kawasan berhutan diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK)  di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 di Semenanjung Malaysia.

JPSM juga sentiasa proaktif dalam mengenalpasti kawasan baru hutan yang ada untuk diwartakan sebagai HSK di bawah Akta 313.

Sehingga kini, sejumlah 90,066 hektar kawasan hutan yang melibatkan tujuh buah negeri iaitu Johor, Kedah, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Selangor dikenalpasti untuk diwartakan sebagai HSK. Apabila selesai proses pewartaan, keluasan kawasan HSK dijangka akan meningkat.

Mohd Ridza menegaskan, JPSM akan terus memandang serius dan bertindak balas segera terhadap sebarang aktiviti pencerobohan serta kesalahan hutan yang berlaku dalam HSK.

Menurut beliau, pelbagai kaedah serta pendekatan lebih proaktif selari teknologi dijalankan bagi memperkasa aktiviti penguatkuasaan hutan. 

Antara strategi dilakukan ialah pemantauan udara menggunakan imej satelit menerusi sistem Forest Monitoring Using Remote Sensing (FMRS), pemantauan menggunakan teknologi dron, rondaan kakitangan lapangan ke kawasan hutan serta pelaksanaan operasi bersepadu dengan melibatkan pelbagai pihak/agensi penguatkuasa.

“Penggunaan sistem FMRS juga dapat membantu mengesan perubahan litupan kawasan berhutan di dalam HSK dan ia membawa kepada beberapa siri kejayaan pelaksanaan operasi penguatkuasaan ke atas kawasan penerokaan pada peringkat awal seterusnya menurunkan trend penerokaan dan pencerobohan kawasan HSK)

“Sistem FMRS menggunakan teknologi Geographic Information System (GIS) dan penderiaan jarak jauh yang boleh mengesan sebarang perubahan litupan hutan dalam kawasan HSK,” jelasnya.

Antara maklumat yang terdapat dalam sistem FMRS adalah kelas fungsi hutan, sempadan HSK, imej satelit beresolusi tinggi, maklumat koordinat, lesen pembalakan dan Permit Penggunaan.

Maklumat berkenaan dibekalkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri (JPN) dan dikemaskini serta diselaraskan ibu pejabat JPSM dari semasa ke semasa.

 

 

 

PINDAAN AKTA

 

Ibu pejabat JPSM dan JPN memiliki sejumlah 67 dron yang digunakan untuk tujuan pemantauan dan penguatkuasaan HSK di seluruh Semenanjung Malaysia.

Penggunaan dron membantu JPSM mengesan pencerobohan kawasan HSK di lapangan apabila berlaku perubahan kawasan litupan berhutan di dalam HSK yang dikesan melalui sistem FMRS.

Menurut Mohd Ridza, sebahagian besar kes kesalahan hutan yang dikesan sepanjang tahun 2022 adalah dengan menggunakan dron sebagai peralatan risikan dan semakan kawasan kes membabitkan jenayah hutan berkenaan.

Ketika diminta mengulas mengenai tindakan tegas terhadap setiap kes tangkapan, beliau berkata, pendakwaan kes di mahkamah akan dilaksanakan atau dikenakan kompaun bagi kesalahan yang dilakukan tertakluk kepada arahan timbalan pendakwa raya.

“Bagi memberi lebih pengajaran dan iktibar kepada penjenayah alam sekitar, denda bagi pesalah yang melakukan jenayah ini ditingkatkan. Melalui pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perhutanan Negara (pindaan) 2022 yang lulus di Dewan Negara semasa mesyuarat kedua, penggal kelima, Parlimen ke-14 pada 8 Ogos 2022, kenaikan denda bagi kesalahan tersebut telah dipinda kepada nilai yang lebih tinggi.

“Menerusi pindaan akta berkenaan, denda maksimum atas kesalahan hutan tertentu boleh melibatkan penjara tidak lebih 20 tahun dan denda sehingga RM5 juta,” jelasnya, menambah menerusi langkah penguatkuasaan yang diambil, kawasan hutan yang ada akan kekal terpelihara sekali gus membantu mengekalkan 50 peratus daripada kawasan tanah negara dilitupi kawasan berhutan dan litupan pokok.

Orang awam turut digalakkan menyalurkan sebarang maklumat kesalahan dan pencerobohan hutan kepada JPN berkaitan atau melalui talian hotline JPSM, 1-800-88-5776.

 

 

HUKUMAN PENJARA, WAJAR ATAU TIDAK?

Pakar kelestarian alam sekitar, Dr Haliza Abdul Rahman.

Sementara itu, pakar kelestarian alam sekitar Dr Haliza Abdul Rahman turut bersetuju dengan tindakan tegas JPSM dan berpandangan hukuman lebih keras seperti penjara wajar dikenakan selain denda bagi menimbulkan ketakutan dalam kalangan penceroboh. 

Malah tindakan ini juga dijangka memberikan satu isyarat jelas bahawa Malaysia amat tegas dalam melindungi serta memelihara khazanah negara selain menunjukkan undang-undang Malaysia tidak sewenang-wenangnya boleh diperlekehkan.

“Mengapa hukuman penjara ini saya rasa perlu? Perompak khazanah alam ini bukan calang-calang kerana mereka cukup ganas, rakus dan berani mati selain mampu menyerang anggota penguatkuasaan dengan senjata berbahaya sehingga mengancam nyawa mereka.

“Oleh itu, saya ingin cadangkan agar jabatan hutan mahupun perhilitan boleh diberi kebenaran menembak penceroboh hutan sekiranya keadaan mendesak,” katanya. 

Beliau turut mencadangkan pasukan bertindak khas yang ditubuhkan sebelum ini oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan dianggotai Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan beberapa agensi penguatkuasa lain bagi menangani kejadian pencerobohan hutan dan tanah secara haram di Cameron Highlands, Pahang juga wajar diperluaskan.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.