Tanah Runtuh: Penguatkuasaan Undang-undang Tidak Ketat? 

<
span style="font-size:20px">KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Pada tengah hari 11 Dis 1993, negara dikejutkan dengan kejadian blok kondominium tumbang disebabkan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Ulu Kelang dekat sini. Tragedi Highland Tower itu meragut 48 nyawa.

 Awal pagi 6 Dis 2008, kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa menyebabkan empat maut dan 17 cedera. Sebanyak 14 buah kediaman dilaporkan musnah dalam kejadian itu.

 Pada 16 Dis lalu, negara sekali lagi dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh melibatkan nyawa. Tragedi di kawasan perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali, Selangor itu mengorbankan 31 nyawa termasuk 12 kanak-kanak dan seorang bayi.

Tragedi yang dipetik ini hanyalah sebahagian daripada insiden tanah runtuh yang meragut nyawa di negara ini. Sejarah merekodkan kejadian pertama tanah runtuh membabitkan nyawa berlaku pada 17 Dis 1919 di Bukit Tunggal, Ipoh, Perak. Seramai 12 orang maut dalam kejadian yang disebabkan jatuhan blok batu kapur itu.

Menurut pakar alam sekitar, negara akan terus menyaksikan kejadian tanah runtuh berikutan beberapa faktor termasuk perubahan iklim global yang membawa impak besar kepada Malaysia menerusi kadar hujan yang tinggi.

Memetik laporan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, dalam tempoh Monsun Timur Laut dari November 2021 hingga Mac 2022, negara merekodkan 23 kes tanah runtuh. Jabatan itu juga mengenal pasti 31 kawasan berisiko tanah runtuh sepanjang tahun lepas.

Anggota pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia diberi taklimat sebelum memasuki lokasi tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm pada 23 Dis lepas. -- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

 

ANGKARA MANUSIA? 

 

Dalam laporan media pada 16 Dis lalu, pakar alam sekitar, Ketua Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo menjelaskan kebanyakan kejadian tanah runtuh berlaku disebabkan air permukaan meresap ke dalam cerun ketika hujan. 

Menurutnya, apabila keadaan itu berlaku, tanah akan tepu air sekali gus menjejaskan kestabilan tanah.

Dalam pada itu, Pengarah Pemuliharaan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia Dr Henry Chan berkata gangguan di Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) seperti cerun bagi tujuan pembangunan juga menyebabkan ketidakstabilan tanah.

Mengulas lanjut, beliau berkata setiap pembangunan perlu mematuhi KSAS yang dibahagikan kepada tiga peringkat.

"Peringkat satu, sebarang pembangunan, pertanian dan pembalakan tidak dibenarkan sama sekali; peringkat dua tiada pembangunan atau pertanian tetapi pembalakan lestari dan pelancongan semula jadi berimpak rendah dibenarkan, tertakluk pada kekangan tempatan.

“KSAS peringkat tiga ialah pembangunan terkawal dengan jenis dan keamatan hendaklah dikawal ketat bergantung pada sifat kekangan,” katanya kepada Bernama.

Chan berkata amat penting bagi kawasan pergunungan mempunyai hutan sebagai pelindung aliran air semasa musim tengkujuh.

“Hutan boleh mengekalkan lebihan air hujan, mengelakkan aliran air terlampau kuat dan mengurangkan kerosakan akibat banjir. Ia juga boleh membantu mengurangkan kesan kemarau.

“Jika hutan rosak, banjir kilat dan tanah runtuh akan berlaku,” katanya, menambah kerajaan perlu memperkukuh Rancangan Fizikal Negara keempat (RFN) khususnya mengenai KSAS untuk pembangunan mampan tanpa menyebabkan kehilangan biodiversiti.

 

Pengarah Pemuliharaan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia, Dr Henry Chan (kredit gambar: WWF-Malaysia)

 

PERLUAS KUASA KERAJAAN NEGERI 

 

Sementara itu, pakar hutan yang juga bekas Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM)  Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor menyarankan agar penguatkuasaan terhadap pembangunan tanah diberikan kepada kerajaan negeri.

"Kita sudah ada akta dan enakmen yang kukuh dalam mengawal sebarang salah laku tanah dan alam sekitar, cuma kuasa penguatkuasaan dan pelaksanaan akta seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri kerana mereka mempunyai kuasa mutlak terhadap tanah.  

"Perlu ada penguatkuasaan penuh di peringkat negeri bagi memastikan ia lebih berkesan,” tegasnya.

Menurut beliau lagi, sekalipun negara mempunyai undang-undang dan peraturan yang ketat khususnya bagi mengawal aktiviti di kawasan terlarang, tahap pematuhan masih lemah.

Salleh juga tidak menolak unsur rasuah dan penyelewengan turut menyumbang kepada bencana alam seperti tanah runtuh.

"Jika sesuatu pihak ingin mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang, mereka sanggup membayar kepada pihak yang sudi menerima, maka akan lebih banyak pelanggaran peraturan yang melibatkan pembangunan tidak mengikut piawaian. 

"Nak kata kesedaran itu (tiada), bukannya mereka tidak tahu peraturan. Ternyata semua orang tahu, tapi mereka mahu mengambil jalan pintas demi kepentingan masing-masing. 

"Budaya rasuah ini perlu dihentikan, jika tidak maka lebih banyak eksploitasi ke atas kawasan-kawasan terlindung dan bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir kilat akan terus berlaku dan meragut nyawa," katanya. 

Bekas Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor (Kredit: Facebook UKM-YSD Chair for Sustainability)

 

ELAK “JALAN PINTAS”

 

Pengerusi syarikat penanaman pokok Planters International Berhad Prof M Sadruddin berkata sebarang pembangunan melibatkan kawasan berbukit dan cerun haruslah dirancang secara teliti sebelum diluluskan oleh pihak berkuasa. 

Beliau berpendapat tanah runtuh berlaku apabila pengurusan cerun tidak dilaksanakan dengan baik termasuk pembangunan tidak dilakukan seperti yang dirancang dan diluluskan.

"Sebagai contoh, ada pihak pemaju yang bertindak mengambil jalan pintas dengan membina sebuah tembok tidak mengikut piawaian terlebih dahulu sebelum ia diluluskan, menjalankan pembangunan tidak mengikut jadual ataupun menebang pokok terlebih dahulu sebelum mendapatkan kelulusan. 

"Semua ini akan mengundang kegagalan cerun akibat pembangunan tidak dirancang yang menyebabkan tanah runtuh, pergerakan air bawah tanah serta pokok tumbang ketika hujan yang turut  mengancam nyawa sekiranya ada  petempatan," katanya. 

Pengerusi syarikat penanaman pokok Planters International Berhad Prof M Sadruddin

Beliau turut menyarankan sebarang bentuk pembangunan terutamanya melibatkan KSAS, diaudit oleh pihak ketiga agar tidak berlaku penyelewangan dan konflik kepentingan. 

"Kerajaan negeri boleh melantik syarikat audit swasta dalam menjalankan audit daripada perancangan, penyediaan EIA (Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar), kelulusan dan ketika sesuatu projek pembangunan dijalankan dengan melakukan lawatan ke tapak bagi memastikan mereka mematuhi piawaian yang ditetapkan. 

"Jika sebarang kemalangan disebabkan tanah runtuh, pihak berkenaan perlu diambil tindakan sewajarnya," katanya. 

 

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.