Antara Sengaja Abai Atau Tidak, Tujuan Undang-Undang Lindungi Anak - Pakar

D
ewasa ini, laporan tentang pengabaian dan penderaan anak termasuk sehingga meninggal dunia, bukan lagi sesuatu yang luar biasa. Namun, setiap kali ia berlaku, masyarakat tidak mangli dan menuntut pelaku dihukum seberat-beratnya.

Tidak sukar memahami kehendak masyarakat itu, sementelah ia melibatkan darah daging pelaku sendiri. Malah, ada kes membabitkan ibu kandung, sekali gus menimbulkan persoalan di mana naluri keibuan pelaku?

Bagi menangani isu yang dilihat semakin membarah  itu, kerajaan  memperkenalkan Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611)  dan dipinda pada 2016 yang antara lain menyaksikan Seksyen 31(1) (a) ditambah baik dengan hukuman dipertingkat kepada denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Peruntukan asal menetapkan denda maksimum RM20,000 atau penjara hingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Bagaimanapun beberapa kes mahkamah membabitkan antaranya ibu tunggal serta wanita sarat hamil yang didakwa membiarkan anak tanpa pengawasan di rumah, mengundang simpati orang ramai kerana percaya si ibu tidak berniat berbuat demikian.

Gambar hiasan. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Mengambil kira peningkatan kos sara hidup yang menuntut golongan ibu turut keluar bekerja, ahli masyarakat berkongsi empati dilema kelompok ini yang diibaratkan ditelan mati emak, diluah mati bapa. Lebih-lebih lagi ramai yang tidak mampu menanggung kos pusat asuhan yang melangit sekarang, sementara pengasuh tidak berdaftar pula ada risikonya sendiri.

 Justeru, haruskah mereka ini didakwa dan dihukum menurut Seksyen 31(1)(a) itu? 

 

LIHAT KESELURUHAN

Peguam Muhammad Hariz Md Yusoff semasa mengulas kewajaran pendakwaan terhadap ibu bapa atau penjaga yang dikatakan tidak berniat mengabaikan anak, berkata lazimnya dalam konteks undang-undang, sesebuah kes dilihat berdasarkan fakta kejadian.

“Ia memerlukan siasatan menyeluruh pihak polis dan kemudian bergantung pada arahan pihak pendakwa raya sama ada perlu atau tidak pertuduhan jenayah dibuat ke atas penjaga terbabit,” jelasnya kepada Bernama.

Malah katanya, ada sesetengah kes yang mana bagi pendakwa raya tidak perlu dituduh di mahkamah.

“… (ia adalah) budi bicara pendakwa raya untuk mulakan pendakwaan itu, atau ada juga pada peringkat siasatan, polis mendapati elemen yang ada tidak memenuhi kriteria kesalahan menurut peruntukan tersebut,” tambah beliau.

Ulas Muhammad Hariz, dalam konteks undang-undang jenayah, sesuatu pertuduhan ke atas tertuduh perlu memenuhi memenuhi elemen-elemen asas iaitu actus reus (perbuatan) dan mens rea (niat melakukan jenayah).

Gambar hiasan. -- vannormanlaw.com

“Bagi peruntukan dalam Akta 611 ini, ia menyatakan tidak semestinya berlaku kecederaan atau kemalangan terhadap fizikal atau emosi kanak-kanak (mangsa), tetapi jika wujud kebarangkalian risiko yang bakal mendatangkan kecederaan kepada kanak-kanak tersebut sudah mencukupi untuk seseorang penjaga dikatakan berlaku cuai atau abai,” jelasnya.

Menurutnya lagi, undang-undang digubal bagi melindungi semua pihak secara adil, justeru memang wajar dan perlu ibu bapa atau penjaga didakwa di mahkamah sekiranya melakukan perbuatan yang digariskan dalam Akta 611.

"Berdasarkan trend kes-kes yang dibawa ke mahkamah, kebanyakan kes pengabaian dan kecuaian terhadap kanak-kanak melibatkan kematian atau kecederaan kepada kanak-kanak tersebut,” katanya yang berpendapat kanak-kanak sama sekali tidak harus ditinggalkan tanpa pengawasan walaupun di dalam rumah.

 

UNDANG-UNDANG MENCUKUPI

Mengulas mengenai hukuman yang dilihat agak keras berbanding negara lain, peguam itu berkata setiap negara mempunyai penggubal undang-undang yang akan melihat kesesuaian undang-undang yang bakal digubal dengan masyarakat di negaranya.

“Di Malaysia, undang-undang digubal di Parlimen, dan dari semasa ke semasa, pindaan atau gubalan undang-undang baharu akan dibuat berdasarkan kajian jawatankuasa berkaitan,” katanya.

Memetik undang-undang berhubung kebajikan kanak-kanak di United Kingdom, beliau berkata seseorang anak yang dibiarkan tanpa pengawasan untuk tempoh singkat akan dipantau sementara oleh pihak berkuasa.

"Pada masa sama, pihak berkuasa akan cuba menghubungi dan mendapatkan penjaga anak terbabit. Jika ia berlaku dalam tempoh yang lama, maka pihak berkuasa akan menempatkan anak itu di rumah kebajikan sekiranya tidak diketahui keberadaan penjaga atau keluarga terdekat anak terbabit.

 "Hukuman di negara itu adalah denda atau tambahan denda dan penjara maksimum 14 tahun. Di Algeria pula, sekiranya disabitkan kesalahan sama, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara satu hingga tiga tahun. Namun, jika pelaku adalah ibu bapa atau penjaga sah, maka hukuman diberatkan kepada penjara dari dua hingga lima tahun," katanya, menambah India pula mengenakan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Gambar hiasan. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Mengulas lanjut, beliau berpandangan hukuman sedia ada harus dipertingkatkan lagi termasuk sebatan bagi kesalahan pengabaian dengan niat yang melibatkan kecederaan serius atau kematian.

“Bagi kesalahan pengabaian yang tidak melibatkan kematian atau kecederaan serius atau kecederaan, mungkin boleh dilaksanakan hukuman pemantauan dua tahun oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sesi kaunseling sebulan sekali,” saran Muhammad Hariz.

"(Dalam konteks jenayah pengabaian terhadap kanak-kanak) kepentingan awam menjadi faktor utama demi mengekang kejadian buruk atau tragedi seumpamanya diulangi oleh penjaga lain,” tegas beliau.

 

 HUKUMAN BUKAN JALAN PENYELESAIAN

Pakar kaunseling bagaimanapun mempunyai pandangan berbeza.

Pensyarah Kanan Kaunseling (Keluarga & Perkahwinan), Pusat Pendidikan dan Kepelbagaian, Fakulti Pendidikan Universiti kebangsaan Malaysia Dr Norhayati Mohd Noor berpendapat hukuman bukan satu penyelesaian tuntas untuk permasalahan itu.

Beliau melihat isu pengabaian anak yang dikatakan berlaku tanpa niat mempunyai kaitan dengan faktor kewangan sesebuah keluarga selain ketiadaan kemudahan pusat penjagaan.

Ujarnya, walaupun kerajaan telah mewujudkan dasar penubuhan pusat penjagaan di tempat kerja, tidak semua majikan berkemampuan mengadakan kemudahan itu.

Selain itu, masih ada isu lain seperti kekangan masa, waktu kerja yang tidak fleksibel dan kapasiti pusat penjagaan yang terhad, tambahnya.

Beliau memberi contoh kes yang sedang dikendalikannya menerusi program anjuran Anjung Kaunseling Keluarga, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Kajang, Selangor.

“Ia melibatkan peniaga gerai di tepi jalan yang terpaksa membawa enam anaknya ke tapak berniaga kerana tidak ada orang dewasa di rumah. Jika tinggal di rumah, anak-anak berdepan isu keselamatan kerana rumah yang disewa tidak ada jeriji tingkap dan pintu.

"Empat anak bersekolah menengah dan rendah, manakala dua lagi masih kecil. Jika dilihat dari segi keselamatan,  adalah tidak selamat termasuk di tapak gerai. Semasa program kaunseling, kanak-kanak itu mengeluh kepenatan dan keletihan kerana tidak cukup tidur dan rehat akibat terpaksa mengikut ibu bapa ke tapak berniaga dalam tempoh lama hingga 1 pagi setiap hari,” ceritanya.

Sehubungan itu, Norhayati mengesyorkan agar ibu bapa yang telah didakwa atas kesalahan pengabaian anak diberikan kaunseling keluarga bersama anak-anak yang telah diabaikan kerana kaedah itu dapat memberi peluang mereka  berkongsi perasaan serta mampu membina ikatan kekeluargaan. 

"Peluang meluahkan perasaan juga mampu mengurangkan rasa marah, sedih dan kecewa di antara anak-anak dan ibu bapa. Malah daripada proses kaunseling ini kita boleh mendapat resolusi, iaitu tindakan yang boleh diambil oleh ibu bapa selepas berbincang dengan semua ahli keluarga, terutama anak-anak,” katanya.

 


“Bagi peruntukan dalam Akta 611 ini, ia menyatakan tidak semestinya berlaku kecederaan atau kemalangan terhadap fizikal atau emosi kanak-kanak (mangsa), tetapi jika wujud kebarangkalian risiko yang bakal mendatangkan kecederaan kepada kanak-kanak tersebut sudah mencukupi untuk seseorang penjaga dikatakan berlaku cuai atau abai,” -- Muhammad Hariz Md Yusoff

 

PERLU ADA MEKANISME 

Sementara itu, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO) mencadangkan agar kerajaan mewujudkan garis panduan untuk majikan bagi menyediakan kemudahan pusat penjagaan di tempat kerja.

Setiausaha Agungnya Datuk Hishamuddin Hashim berkata bagi majikan yang tidak mempunyai kemampuan untuk menubuhkan pusat sedemikian, mereka  boleh memberikan elaun khas kepada pekerja yang meninggalkan anak di pusat penjagaan.

“Majikan perlu bersifat lebih mesra pekerja dengan tidak meletakkan segala komitmen ke atas pekerja. Sebaliknya perlu bersama-sama menyelesaikan masalah yang dihadapi pekerja termasuk soal penjagaan anak semasa bekerja,” katanya kepada Bernama.

Bagi menghargai inisiatif majikan, beliau berkata kerajaan boleh memberikan insentif kepada pihak terbabit seperti pengurangan kadar cukai korporat.

Ini katanya secara tidak langsung dapat menggalakkan lebih ramai majikan berasa terpanggil untuk bersama-sama membantu menyelesaikan isu penjagaan anak pekerja mereka memandangkan peningkatan kos sara hidup yang semakin mencengkam sekarang.

"Bayangkan golongan B40 berpendapatan bawah RM2,000 sebulan. Jika letakkan anak di taska, kosnya mahal. Ini belum lagi kos makan, penginapan dan pengangkutan,” katanya yang turut berpandangan setiap kes pengabaian anak perlu dilihat berdasarkan situasi, bukan pukul rata.

Selain itu, Hishamuddin juga melihat pendekatan Bekerja Dari Rumah (BDR) sebagai antara jalan terbaik selain waktu bekerja anjal. 

"Di zaman serba moden ini, waktu anjal adalah langkah terbaik. Dalam konteks ini kita lihat sama ada sasaran tugasan dapat disiapkan atau tidak, bukan hanya melihat kepada jumlah masa bekerja,” katanya, menambah jika sasaran kerja dapat disiapkan lebih awal, maka pekerja boleh dibenarkan pulang sebelum habis waktu bekerja.

Bagi Norhayati pula, beliau menekankan pada kerjasama pelbagai kementerian dan NGO dalam membantu keluarga miskin terutama di bandar, menerusi penyediaan kemudahan penjagaan anak.

"NGO seperti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di taman perumahan atau ahli jawatankuasa  kampung sewajarnya memainkan peranan membantu keluarga yang memerlukan sokongan menjaga anak-anak terutama yang masih kecil dan memerlukan pengawasan orang dewasa.

“Pusat transit juga boleh dibina oleh pusat zakat setempat dengan tujuan menjaga kesejahteraan ummah generasi muda," katanya.

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.