Kurang Pemantauan Program Parahkan Keciciran Pendidikan Orang Asli

&
nbsp;

Masalah keciciran pendidikan masyarakat Orang Asli pedalaman sudah lama berakar umbi walaupun pelbagai usaha dilakukan selepas lebih 60 tahun merdeka, antaranya oleh pihak kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sehingga ke hari ini permasalahan tersebut masih lagi membelenggu masyarakat Orang Asli dan pelbagai faktor dibangkitkan sebagai puncanya termasuklah persoalan akan keberkesanan program, bantuan dan inisiatif yang telah dilaksanakan selama ini.

Apakah ia gagal atau kurang berkesan dan ini yang didedahkan Wartawan Bernama, Kurnia Kamarudin dan Sakini Mohd Said dalam siri akhir daripada lima bahagian.

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kalau diikutkan, memang ramai anak Orang Asli yang berjaya hingga ke menara gading luar negara dan kisah kejayaan Susherrie Suki, 23, yang tular baru-baru ini, satu lagi bukti, tiada yang boleh menghalang kecemerlangan pendidikan jika ada kemahuan, dorongan serta kesungguhan.

Lebih membanggakan kerana Susherrie adalah anak Orang Asli pertama dianugerahkan Ijazah Sarjana  Muda Kelas Pertama dari universiti terkemuka dunia, University College London (UCL), United Kingdom pada Sept 2022.

 Anak gadis suku Semai dari Perak yang menggengam Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Hartanah di Bartlett School of Planning, UCL ini menjadi satu lagi ikon yang boleh membangkitkan semangat dan inspirasi anak-anak Orang Asli yang sering diperlekehkan ‘mundur dalam pelajaran’.

Susherrie Suki, 23. -- Persatuan Mahasiswa Orang Asli Malaysia

Prestasi membanggakan anak Orang Asli yang dianggap masyarakat minoriti adalah dalam pelbagai bidang termasuk perkhidmatan awam, akademik, seni budaya, usahawan, korporat mahupun sukan. Malah sebelum ini ada tujuh Ahli Dewan Negara yang dilantik menjadi senator bagi mewakili masyarakat Orang Asli selain terdapat seorang senator yang dilantik melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang dan seorang lagi dilantik mewakili parti politik.

Biarpun pada dasarnya pencapaian ini sesuatu yang membanggakan, namun realitinya ia tidak menggambarkan ‘wajah keseluruhan’ pendidikan anak Orang Asli. Ini kerana sebahagian besar masih lagi terkebelakang dalam pendidikan dan bergelut dalam kepompong kemiskinan.

Isu keciciran pendidikan Orang Asli yang masih lagi tinggi dengan 42.29 peratus tidak menamatkan persekolahan sehingga Tingkatan 5 bagi tahun 2021 sepertimana didedahkan Bernama pada siri sebelum ini amat membimbangkan walaupun pelbagai usaha dilakukan kerajaan mahupun swasta sejak merdeka lebih 60 tahun lalu.

“Dianggarkan masyarakat Orang Asli adalah seramai 206,777 tetapi data anak Orang Asli yang berjaya kira-kira dua peratus sahaja dan ini jelas menampakkan jurang yang begitu ketara antara mereka yang berjaya dan tercicir,” kata Datuk Isa Ab Hamid yang pernah dilantik sebagai Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Pahang, dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama. 

Beliau juga dilantik sebagai Senator Orang Asli Ahli Dewan Negara untuk dua penggal iaitu 16 April 2016 - 17 April 2019 dan 22 April 2019 - 23 April 2022.

 

TIADA PENILAIAN, PEMANTAUAN

Melihatnya sebagai polemik yang kian membarah khususnya pada pasca COVID-19, Isa berkata kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim memikul tanggungjawab besar dalam menangani isu keciciran pendidikan golongan minoriti ini.

Ia turut menimbulkan persoalan, apakah program dan bantuan yang diberikan dalam usaha ‘mentransformasi’ atau ‘memerdekakan’ komuniti ini melalui pendidikan tidak berjaya berikutan jurang peratusan yang begitu tinggi antara mereka yang berjaya dan tercicir. 

Masyarakat Orang Asli menerima pelbagai bantuan untuk mendapatkan pendidikan namun kadar keciciran masih lagi tinggi disebabkan kurang pemantauan dan penilaian program yang dilaksanakan. --fotoBERNAMA (2022) HAKCIPTA TERPELIHARA

Antara usaha yang dilakukan kerajaan sebelum ini bagi meningkatkan pendidikan Orang Asli ialah Pelan Transformasi Orang Asli 2013-2018 di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, penubuhan Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) sehingga K11, bantuan kewangan, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Kelas Dewasa Ibu Bapa Orang Asli Dan Penan (KEDAP). 

Mengulas mengenainya, Isa berkata program dan inisiatif yang dilakukan selama ini sedikit sebanyak membantu golongan minoriti ini mendapatkan pendidikan, namun kelemahan pelaksanaan dan pemantauan menyebabkan mereka terus jauh dalam pelbagai sektor, berbanding kaum lain.

Hakikatnya, apa yang dibangkitkan oleh Isa ini turut menjadi perhatian pakar sosial dan akademik yang ditemu ramah Bernama apabila majoritinya juga menekankan ‘kegagalan’ agensi atau kementerian berkaitan untuk melakukan pemantauan dan penilaian secara berkala. 

“Progam dan bantuan tidak ada masalah, malah kita tidak menafikan masyarakat Orang Asli banyak menerima bantuan, tidak terpinggir tetapi persoalannya adalah bagaimana ia dilaksanakan, diagihkan, serta pemantauan dan penilaiannya. Ini yang jadi isu sebenarnya. 

“Misalnya, pengusaha pengangkutan yang mendapat tender JAKOA untuk menyediakan pengangkutan anak orang asli pedalaman ke sekolah menggunakan kenderaan pacuan empat roda. Mereka itu mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan mengisi sepadat-padatnya anak-anak di dalam kenderaan, sehingga membahayakan anak-anak ini kerana tidak dipantau agensi berkenaan,” kata Isa. 

PADAT...Beginilah keadaan anak-anak Orang Asli menaiki kenderaan pacuan empat roda ke Sekolah Kebangsaan Tohoi sekali gus merisikokan mereka kepada kemalangan. -- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Penilaian dan pemantauan ini amat penting memandangkan aspek keselamatan juga menjadi antara punca utama keciciran murid dalam pendidikan Orang Asli selain menambahkan lagi masalah defisit kepercayaan antara ibu bapa dan sekolah.

Bernama pada siri sebelum ini turut mendedahkan Orang Asli pedalaman tiada pilihan apabila mereka terpaksa menggadaikan nyawa anak yang berumur seawal tujuh tahun untuk menaiki kenderaan pacuan empat roda yang tiada ciri keselamatan demi mendapatkan pendidikan.

 


“Dianggarkan masyarakat Orang Asli adalah seramai 206,777 tetapi data anak Orang Asli yang berjaya kira-kira dua peratus sahaja dan ini jelas menampakkan jurang yang begitu ketara antara mereka yang berjaya dan tercicir,” -- Datuk Isa Ab Hamid


 

BANTUAN YANG TIDAK RELEVAN

Isa turut menyentuh soal pemberian kadar bantuan kewangan, inisiatif baju sekolah yang bertujuan membantu ibu bapa Orang Asli menghantar anak mereka ke sekolah kerana kadarnya tidak lagi sesuai dengan situasi semasa kos hidup yang kian tinggi. 

Mengenai peratusan kemiskinan yang semakin membarah dalam komuniti itu yang dianggarkan lebih 90 peratus selepas COVID-19, Isa berkata, amat penting bentuk bantuan kewangan, seragam baju sekolah dinilai kembali kerana ia menjadi antara punca utama ibu bapa tidak mampu menghantar anak mereka ke sekolah.

MUSNAH...Serangan gajah liar yang memusnahkan tanaman membuatkan Orang Asli terpaksa mengutamakan makanan daripada pendidikan. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Dengan pendapatan kebanyakan mereka kurang RM500 selain langsung tiada pendapatan ketika musim tengkujuh khususnya bagi mereka yang menoreh getah dan faktor serangan ancaman haiwan liar yang memusnahkan tanaman, membuatkan Orang Asli terpaksa mengutamakan makanan daripada pendidikan. 

“Saya nyarankan bantuan persekolahan diteliti, misalnya bantuan RM80 untuk sekolah rendah dan RM120 untuk sekolah menengah yang diberikan dalam setahun kepada ibu bapa membeli peralatan alat tulis sudah tidak lagi sesuai, relevan dengan situasi semasa. 

“Memang mereka ada terima bantuan lain seperti Bantuan Awal Persekolahan yang telah dinaikkan daripada RM100 ke RM150 yang diberikan awal tahun tetapi ada juga isu kelewatan. Bagaimanapun, jumlahnya tidak mencukupi untuk menyekolahkan anak mereka apabila ada terpaksa berbelanja lebih RM200 untuk beli kelengkapan anak sekolah,” katanya. 

Ini berlaku apabila ibu bapa Orang Asli kawasan pedalaman yang tidak menerima bantuan baju sekolah terpaksa keluar ke bandar berdekatan membelinya, bagaimanapun kosnya menjadi lebih tinggi apabila perlu menyewa kenderaan (bagi yang tiada pengangkutan) dan sekiranya ada, ia berisiko rosak disebabkan melalui jalan balak yang berlopak dan berbahaya. 

Bantuan baju sekolah yang disediakan JAKOA hanya untuk murid Tahun Satu dan Tingkatan Satu, biarpun begitu isu lain pula yang sering kali dibangkitkan ibu bapa yang mendapat kemudahan tersebut apabila saiz diterima tidak bersesuaian menyebabkan mereka terpaksa membeli sendiri. 

Bantuan kewangan persekolahan masyarakat anak Orang Asli perlu diteliti memandangkan jumlah diberikan tidak mencukupi khususnya mereka di kawasan pedalaman. --fotoBERNAMA (2022) HAKCIPTA TERPELIHARA

Dalam hal ini, Isa berpandangan lebih baik konsep bantuan itu ditukarkan dalam bentuk biasiswa bulanan mengikut kadar tertentu yang diberikan kepada ibu bapa setiap bulan dengan kerjasama sekolah.

Dalam masa sama, beliau juga mencadangkan elaun makan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang terlalu rendah juga perlu dinilai kembali. 

Buat masa ini, elaun makan yang diberikan kepada mahasiswa IPTS hanyalah RM150 sebulan dan ia amat tidak mencukupi berdasarkan kajian yang pernah dilakukannya sebelum ini dalam kalangan mereka yang tidak menerima pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Kita tahu kelayakan akademik untuk IPTS agak rendah, namun kesanggupan Orang Asli untuk terus belajar dan meningkatkan kualiti hidup perlu disokong dan diberi galakan kewangan lebih baik. Lagipun, bilangan mereka tidak ramai iaitu tidak pun sampai 500 pelajar. Hanya pendidikan yang boleh mengubah kehidupan hakiki masyarakat minoriti ini ke arah kehidupan lebih baik,” katanya.

 

AKSES JALAN BERKUALITI

Isa juga mengakui hakikat bahawa masyarakat Orang Asli tidak mampu berdikari dan masih memerlukan ‘tongkat’ untuk  menyekolahkan anak-anak terutama yang tinggal jauh di pedalaman.

Kekurangan akses jalan antaranya menjadi punca peraih mengambil kesempatan membayar rendah ketika membeli hasil jualan mereka termasuk getah, buah-buahan dan petai. 

Dalam hal ini, Isa melihat kerajaan perpaduan pimpinan Anwar yang memberi komitmen jitu untuk menangani kos sara hidup tinggi perlu menitikberatkan akses jalan berkualiti sebagai antara usaha untuk menyelesaikan masalah masyarakat Orang Asli.

Menurut beliau, keberkesanan pembangunan jalan perhubungan luar bandar dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli terbukti di kampung-kampung yang sebelum ini tidak ada jalan tar seperti di Pos Kuala Mu, Perak yang kini semakin terkenal dengan ekopelancongan suku Temiar selepas adanya jalan raya.

Jalan balak yang rosak bertambah teruk selepas hujan turut diambil kesempatan peraih membeli hasil tanaman, getah Orang Asli pedalaman dengan harga rendah. -- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Ada kampung lain yang mempunyai akses jalan baik dan ini membantu mereka menjual hasil sawit, getah, durian, petai dengan harga lebih baik daripada sebelumnya. Jika dulu, peraih sering memberi alasan pedalaman, kos minyak untuk membeli durian dengan harga sebiji 50 sen atau seringgit, pisang sekilogram dibeli RM1, sekarang tidak lagi. 

“Mereka dibayar RM3 sekilogram pisang selain dengan adanya jalan dapat memudahkan membeli barangan keperluan  dengan harga sewajarnya, tidak seperti yang berlaku di Pos Simpor, (Gua Musang, Kelantan) yang mana harga satu tong gas untuk masak (tong gas petroleum cecair) dijual RM50 sedangkan harga pasaran sekitar RM30 ke bawah,” katanya.

Dengan pendapatan yang lebih baik selain dapat membeli barangan keperluan harian pada harga pasaran, masyarakat Orang Asli boleh menghantar anak mereka ke sekolah untuk mendapatkan pendidikan berkualiti. 

Selain itu, terdapat juga keperluan menambah Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) (murid Tahun Satu mengikuti pendidikan selama sembilan tahun sehingga Tingkatan 3 dalam sekolah sama) dan K11 (murid Tahun Satu mengikuti pendidikan selama sebelas tahun, enam tahun peringkat rendah dan lima tahun hingga Tingkatan 5 dalam sekolah sama) yang mempunyai kemudahan asrama. 

Ini memandangkan inisiatif pelaksanaan sekolah tersebut dilihat berjaya menangani masalah kadar keciciran pelajar yang tinggi semasa transisi dari Tahun Enam ke Tingkatan 1 berikutan sekolah menengah biasanya terletak di bandar  yang lebih jauh dari sekolah rendah dan perkampungan mereka.

Beliau menegaskan, sekolah K9 dan K11 amat penting  bagi penempatan masyarakat Orang Asli yang jauh di pedalaman atau pun yang boleh diakses dengan jalan raya tetapi perlu menempuh perjalanan yang jauh ke sekolah serta mempunyai jumlah penduduk lebih 1,000 orang seperti di Rancangan Penempatan Semula (RPS)  Bukit Serok, Pahang.

 

MASALAH SIKAP

“Buat masa ini ada sembilan Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) dan dua K11.  Pusat Intelek Pelajar Orang Asli Cemerlang (PIPOA) yang terbukti berjaya meningkatkan mutu dan pencapaian pendidikan masyarakat Orang Asli juga perlu segera ditambah.

“Buat masa ini kita hanya ada dua sahaja iaitu di Pahang dan Terengganu. Saya juga melihat akan keperluan menambah kuota pengambilan pelajar Orang Asli sebagai bakal guru di sekolah kaum pribumi itu di IPG (Institut Pendidikan Guru) Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Pahang,” katanya. 

IPG tersebut merupakan satu-satunya institusi pendidikan yang membuat pengambilan khas pelatih Orang Asli sebagai pendidik dan melengkapkan mereka dengan keperluan kemahiran pengajaran kaum pribumi itu tetapi dalam setahun hanya melahirkan sekitar 20 hingga 25 bakal guru. 

Guru perlu dilengkapkan dengan kemahiran mengajar anak Orang Asli. -- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kepentingan guru untuk mendapat latihan kemahiran bersesuaian mengajar anak pedalaman Orang Asli biarpun mereka merupakan anak pribumi itu adalah disebabkan budaya setiap daripada tiga kumpulan etnik masyarakat minoriti ini, Senoi, Melayu Proto dan Negrito adalah berbeza antara satu sama lain. 

Malah, ini juga yang turut ditekankan hasil penyelidikan pensyarah kanan Fakulti Sastera dan Sosial Sains, Universiti Malaya (UM) Dr Rusaslina Idrus bersama rakan penyelidiknya, Wan Ya Shin dalam kajian terbaharu mereka berkaitan pribumi itu bertajuk ‘Contextualising Education Policy to Empower Orang Asli Children’ yang dikelolakan oleh Institusi bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).

Dalam kajian selama sembilan bulan pada 2021 di lima buah negeri, Selangor, Johor, Perak, Kelantan dan Pahang, mereka mencadangkan 12 perkara yang perlu diambil perhatian kerajaan dalam menangani isu keciciran pendidikan Orang Asli, antaranya termasuklah melengkapkan guru dengan kemahiran mengajar mereka. 

“Kami juga melihat kepentingan menyediakan prasekolah berkualiti kerana anak-anak ini akan ketinggalan sekiranya mereka terus masuk Tahun Satu tanpa didedahkan asas membaca, mengira dan menulis sejak awal, tambahan pula bahasa Melayu bukanlah bahasa percakapan mereka,” kata Rusaslina.

Isu keciciran pendidikan anak Orang Asli semakin parah dan tidak boleh dipandang remeh. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Di samping menyediakan pelajaran prasekolah berkualiti, antara usaha lain, mereka juga mencadangkan kebudayaan serta sejarah masyarakat Orang Asli perlu diintegrasikan ke dalam kurikulum arus perdana.

Turut juga dicadangkan adalah kerjasama antara sekolah dan masyarakat Orang Asli dan masyarakat Orang Asli itu sendiri perlu diperkasa sebagai ejen perubah serta mengambil bahagian dalam proses pembuatan dasar untuk Orang Asli.

 

BERI PANCING DARIPADA IKAN

Bagi Ketua Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohd Roslan Rosnon pula, beliau melihat kepentingan kesedaran mengenai pentingnya pendidikan perlu diberikan kepada anak Orang Asli dan juga ibu bapa mereka. 

“Kita sering memberi ikan daripada kita memberi pancing. Kebergantungan yang tinggi sangat menggusarkan dan kerana itu pemikiran mereka perlu diubah termasuklah pendekatan pemegang taruh juga perlu berubah sama ke arah pemupukan daya usaha atau jati diri komuniti itu untuk berusaha membangun seiring dengan pembentukan sikap dan pemikiran. 

“Pelaburan besar perlu diperuntukan kepada perkembangan modal insan ke arah pembentukan kapasiti komuniti daripada segi latihan dan pendidikan yang memberi nilai tambah terhadap modal insan dan sosial mereka,” katanya. 

pic-10

Selain itu, beliau berharap cadangannya mengenai penubuhan Kumpulan Perundingan Orang Asli atau Konsortium Pendidikan Tinggi melalui Jawatankuasa Pendidikan Orang Asli Kebangsaan (NOAEC)  dapat diberi perhatian.

Ini berikutan banyak negara yang mempunyai Orang Asli telah menubuhkan konsortium pendidikan dan mendapat akreditasi daripada The World Indigenous Nations Higher Education Consortium (WINHEC) yang mana tujuan WINHEC adalah membawa profesional Orang Asli bersama-sama mencapai matlamat terhadap hak dan akses pendidikan berasaskan ekuiti serta pendidikan berkualiti.

“Saya juga melihat ada keperluan menyemak semula semua dokumen pendidikan Orang Asli dan melaksanakannya secara komprehensif dan bersepadu. Ini kerana hak mendapat pendidikan berkualiti adalah sama tidak kira apa bangsa sekali pun termasuklah Orang Asli dan jurang itu perlu ditangani segera,” katanya. 

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.