Perlunya Perubahan Budaya, Kesedaran Bagi Tangani Lompang Akta Antigangguan Seksual

K
UALA LUMPUR (Bernama) -- Walaupun sudah lebih dua dekad ia berlaku, Dr Zaireeni Azmi yang ketika itu berusia 17 tahun, masih ingat dengan jelas insiden yang terjadi ke atasnya semasa menaiki bas di Terengganu.

“Pada masa itu bas sarat dengan penumpang dan ada seorang pak cik yang asyik menghimpit saya… saya beranjak dia ikut beranjak,” ceritanya kepada Bernama. 

Apabila beliau akhirnya dapat duduk, lelaki berkenaan berdiri di sebelahnya. Banyak kali juga lelaki itu “bergesel-gesel” dengannya, namun beliau tidak mengendahkan hal tersebut kerana menyangka ia berlaku disebabkan oleh pergerakan bas. 

Dr. Zaireeni Azmi, pensyarah kanan di Unit Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA), Universiti Sains Malaysia. Gambar ihsan

Selepas turun dari bas, beliau menyentuh bahunya dan mendapati tudungnya basah dan melekit. Ketika itu barulah terlintas di fikirannya apa yang berlaku; lelaki tua tersebut beronani dan cecair yang melekat pada tudungnya adalah air mani.

Beliau rasa tercabul, dan lebih malang lagi beliau juga terpaksa terus menggunakan tudung itu selepas ia dibasuh.  

“Saya berasal daripada keluarga B40, jadi tidak mampu beli tudung lain,” jelasnya.

Sekalipun kesan pada tudungnya telah lama hilang, rasa jijik beliau kekal hingga ke hari ini.

Kejadian yang dilalui Zaireeni - kini pensyarah kanan pengajian gender di Universiti Sains Malaysia - dikategorikan sebagai gangguan seksual fizikal. Ada beberapa lagi kategori gangguan seksual, iaitu berbentuk lisan (bahasa dan jenaka lucah serta soalan peribadi), gerak isyarat (merenung dengan niat jahat dan mengulang tayang alat sulit), visual (gambar dan imej lucah), psikologi (ajakan yang berulang) dan dalam talian (ajakan bersifat seksual dan foto).

Namun ramai yang masih tidak faham tentang apa yang dikatakan sebagai gangguan seksual dan kepentingan memahami maksudnya. Justeru, walaupun penguatkuasaan Akta Antigangguan Seksual 2021 merupakan satu langkah ke arah yang betul, kemungkinan besar ia tidak dapat melindungi sepenuhnya mangsa jika budaya tidak diubah.

 

KANDUNGAN SEKSUAL SEBAGAI ‘SENJATA’

Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun ketika mengulas bacaan kali pertama Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual, menyifatkan perbuatan itu sebagai pencabulan hak asasi manusia dan keganasan berasaskan gender.

Persatuan Tindakan Semua Wanita (AWAM) turut merangkumkan keganasan rumah tangga, rogol, perkahwinan paksa kanak-kanak dan pemerdagangan orang sebagai  keganasan berasaskan gender.

Rang undang-undang itu diluluskan oleh Parlimen pada Julai lepas dan diwartakan pada bulan berikutnya.

Gambar hiasan. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menurut Timbalan Naib Presiden Program Wanita Talent Corporation Malaysia Dinatra Mohd Saat, undang-undang itu menangani jurang dalam akta dan garis panduan kawal selia gangguan seksual sedia ada. 

“Ia meliputi banyak perkara berkaitan gangguan seksual di tempat kerja yang sudahpun ditangani. Namun, bagaimana pula dengan gangguan di tempat lain seperti kawasan awam misalnya,” soal beliau. Bekas pegawai di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu terlibat dalam penggubalan peringkat awal undang-undang tersebut. 

Kawasan umum termasuk sekolah dan juga pengangkutan awam.

Akta itu juga memperuntukkan terma-terma yang tidak begitu ketat dalam pembuktian kes, iaitu hanya berdasarkan kewujudan kebarangkalian berbanding keperluan melangkaui keraguan munasabah. Dinatra berharap ini akan menggalakkan lebih ramai mangsa tampil dan membuat aduan, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk semua. 

Aktivis dan pakar berkata keganasan berasaskan gender menghalang wanita daripada menyertai kehidupan bermasyarakat yang mana ini akan menjejaskan komuniti dan kemakmuran negara. Kajian mendapati kadar penyertaan tenaga kerja wanita (LFPR) yang rendah memberi kesan kepada pergerakan gaji untuk semua, sementara penyertaan wanita dalam politik yang rendah pula memperlahan pertumbuhan ekonomi.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan, di Malaysia, sekalipun wanita mengatasi lelaki dalam soal pendidikan serta hampir setara dengan lelaki dari segi akses kepada penjagaan kesihatan, kaum hawa ketinggalan dalam FLPR serta kuasa politik.

Kalangan pakar menyalahkan budaya patriarki serta pembahagian kuasa tidak sama rata sebagai punca kepada isu-isu berasaskan gender yang turut meningkatkan budaya menyalahkan mangsa.  

Zaireeni berkata gangguan seksual antara cara kaum lelaki menggunakan kuasanya ke atas wanita kerana tahu masyarakat tidak akan menghukum mereka dengan mudah.

“Gangguan seksual ini adalah tentang kuasa,” katanya.

Pembahagian kuasa yang tidak setara di antara pelaku dan mangsa merupakan sesuatu yang masih tidak begitu diambil kira oleh organisasi semasa menyiasat kes gangguan seksual. Di tempat kerja, di mana kebanyakan garis panduan dan undang-undang tentang gangguan seksual terkini diterima pakai, tafsiran perlakuan jelik itu sendiri masih sempit

Pakar sumber manusia yang ditemu bual Bernama, berkata mereka akan menyiasat aduan gangguan seksual dan mengambil tindakan jika perlu. Sesetengah perbuatan yang mereka sifatkan sebagai gangguan seksual ialah desakan untuk keluar bersama dan jenaka lucah di pejabat.

Namun apabila melibatkan hubungan peribadi dan ketidakseimbangan kuasa di antara pelaku dan pengadu, proses menjadi rumit.

Rosman Johar Abdullah, pakar tadbir urus korporat. --fotoBERNAMA (2022) HAKCIPTA TERPELIHARA

Pakar tadbir urus Rosman Johar memberitahu Bernama, berdasarkan pengalamannya, aduan tentang gangguan seksual merupakan tindakan balas dendam terhadap ketua yang ada hubungan dengan kakitangan bawahan.

“Berdasarkan pengalaman saya, banyak kali (aduan dibuat) apabila kedua-dua pihak tidak lagi sefahaman. Sebelum itu semuanya bagus. Anda boleh buat lawak lucah. Namun sebaik sahaja ada konflik di antara mereka berdua, maka tanpa membuang masa si pekerja tadi akan buat aduan,” katanya.

Apabila ditanya sama ada organisasi wajar menimbang ketidakseimbangan kuasa di antara ketua dan pekerja sebagai faktor penting dalam gangguan seksual, iaitu si wanita mungkin berasa dipaksa untuk menjalin hubungan dengan ketua yang mempunyai kuasa dalam menentukan trajektori kerjayanya, beliau berkata tidak semestinya, kerana pekerja ada hak untuk menolak permintaan si ketua dan membuat aduan.

“Anda perlu kata ‘tidak’ dari awal. Bukan hanya selepas setahun, apabila anda tidak lagi gembira dengan ketua disebabkan penilaian prestasi, baru rasa menyesal. Jika kami siasat aduan, kami akan ambil kira semua ini,” katanya, menambah syarikat mengambil tindakan terhadap kedua-dua pihak.

Kebanyakan organisasi antarabangsa seperti Bank Dunia, meletakkan prasangka salah laku pada ketua dalam kes hubungan asmara dengan orang bawahan, mengambil kira orang bawahan tidak benar-benar rela berbuat demikian dengan seseorang yang lebih berkuasa daripadanya.

Mahkamah di negara lain memperakui apa yang dilihat sebagai hubungan suka sama suka boleh menjadi gangguan seksual kerana pekerja hanya bersetuju terlibat dalam hubungan asmara atau lain-lain perlakuan kerana takut dikenakan tindakan atau demi jaminan pekerjaan mereka.  

Dr. Lai Suat Yan, pensyarah kanan daripada Rancangan Pengajian Gender, Universiti Malaya. Gambar ihsan.

Pakar pengajian gender Universiti Malaya Dr Lai Suat Yan berkata Malaysia masih ada budaya menyalahkan mangsa, iaitu masyarakat menyifatkan mangsa bertanggungjawab ke atas pencabulan yang berlaku, bukan si pelaku.

Menurut beliau, rakyat Malaysia sudah dipupuk untuk berbuat demikian, iaitu menganggap mangsa telah melakukan sesuatu yang mengundang gangguan seksual tersebut.

“Kita terlalu menumpukan pada wanita, iaitu bagaimana mereka harus bawa diri dalam masyarakat. Juga, sudah jadi kebiasaan untuk kata ‘budak lelaki memang macam tu’, selain banyak kali kita dengar bahawa lelaki tidak boleh mengawal nafsu syahwat mereka, jadi wanita kena berhati-hati,” ujarnya.

Justeru katanya, pegawai yang bertanggungjawab menyiasat aduan gangguan seksual di setiap organisasi harus menjalani latihan kepekaan agar tidak terlibat dalam budaya menyalahkan mangsa yang mungkin menyebabkan mangsa berasa takut untuk mengadu.

 

MEMBISU BERMAKNA LINDUNGI PELAKU

Dalam pada itu, berdasarkan jumlah kes gangguan seksual yang diterima oleh polis, tahap kesedaran didapati semakin meningkat dan mangsa mula berani bersuara. Pada 2019, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada ketika itu Hannah Yeoh memberitahu pemberita lebih 1,200 kes gangguan seksual dilaporkan kepada polis dalam tempoh 2013 hingga 2017.

Bagaimanapun kes yang dilaporkan adalah kes serius membabitkan gangguan fizikal seperti serangan seksual.

Berdasarkan tinjauan YouGov pada 2019 membabitkan 1,002 responden, sebanyak 36 peratus wanita Malaysia melaporkan mereka telah menerima gangguan seksual berbanding lelaki sebanyak 17 peratus. Daripada jumlah itu pula hanya kira-kira separuh mangsa membuat laporan atau memberitahu rakan mereka. Kajian mendapati rata-rata wanita mengambil langkah pencegahan bagi melindungi diri daripada gangguan seksual, seperti mengelak daripada melalui kawasan tertentu, tidak berinteraksi dengan orang tidak dikenali serta memastikan diri tidak bersendirian. 

Kalangan pakar percaya angka sebenar kes gangguan seksual adalan lebih tinggi dengan kes tidak serius atau kes yang jelas lazimnya tidak dilaporkan.

“Bagi setiap kes, ada 10 lagi yang tidak dilaporkan,” kata Zaireeni, memetik pengalamannya bekerja bersama kumpulan hak wanita dan talian gangguan seksual mereka.

Menurutnya, ramai wanita tidak faham apa yang dikatakan gangguan seksual, sekali gus menyukarkan mereka membuat laporan. Tambah beliau, sesetengah gangguan adalah secara halus, sehinggakan mangsa - kebanyakannya wanita - berasa ragu-ragu dan seterusnya mengabaikan insiden tersebut.

Kata kuncinya ialah “tidak diingini”. Beliau berkata setiap orang harus menganggap sebarang perhatian bersifat seksual yang tidak diingini atau kandungan yang membuatkan seseorang berasa tidak selesa sebagai satu bentuk gangguan seksual.

Rosman Johar Abdullah, pakar tadbir urus korporat. --fotoBERNAMA (2022) HAKCIPTA TERPELIHARA

Lai bersetuju, dan berkata perlu ada usaha untuk mendidik orang ramai melalui perkhidmatan pengumuman awam di tempat terbuka, berkenaan ruang peribadi, kerelaan dan kelakuan yang disifatkan gangguan seksual.

“Apabiila kita bercakap tentang akta gangguan seksual yang menyeluruh, ia bukan setakat ada prosedur, bukan sekadar buat laporan tetapi juga tentang pencegahan. Takkanlah kita cuma akan cuba tangani isu selepas ia berlaku,” katanya.

Sekali gus ini diharapkan dapat mencegah isu daripada membarah, iaitu daripada gangguan seksual yang ‘ringan’ seperti jenaka lucah, menjadi lebih serius dan ganas termasuk menghendap, rogol dan bunuh. 

Bagaimanapun, undang-undang baharu ini tidak menyentuh pasal pendidikan dan kesedaran awam atau menyediakan perlindungan kepada mangsa.

Dinatra berharap undang-undang itu akan diperluas dengan memasukkan perlindungan kepada pengadu seperti ketanpanamaan, mengambil kira potensi tindakan balas dendam pelaku.

“Kita terdedah untuk terus menjadi mangsa selepas buat laporan. Jika saya diganggu secara seksual di pejabat dan buat laporan, dan kemudian si pelaku dapat tahu mengenainya, jadi dia calarkan kereta saya… ini akan menyebabkan saya takut untuk pergi bekerja. Akhirnya saya secara sukarela berhenti kerja,” katanya.

Sekalipun berdepan cabaran, Zaireeni berkata amat penting untuk mangsa bersuara.

“Nasihat saya ialah bercakap secara terbuka dan ambil tindakan tanganinya. Saya tahu ia sukar, tapi anda kena buat bagi mengembalikan keyakinan diri.

“(Kalau tidak) pelaku itu akan meneruskan perbuatannya kepada orang lain kerana berasa tidak ada salahnya dia berbuat demikian,” ujar beliau.

-- BERNAMA


 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.