BFOKUS

MENGANTARABANGSAKAN BAHASA MELAYU TANGGUNGJAWAB BERSAMA

16/09/2022 11:32 AM

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Pada minggu lepas, Ahli Parlimen Australia Sam Lim mencuri tumpuan, bukan sahaja di negara benua itu tetapi juga negara kelahirannya Malaysia, apabila beliau berbahasa Melayu ketika berucap di persidangan Dewan Perwakilan Australia. 

Bukan seperti kacang lupakan kulit, bekas anggota Polis Diraja Malaysia itu masih fasih bertutur dalam bahasa kebangsaan negara asalnya sekalipun sudah 20 tahun menetap di bumi kanggaru, dan ini turut membanggakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

“Bahasa Melayu bergema di bumi Australia. Saya bangga melihat bahasa Melayu dimartabatkan di pentas dunia oleh Sam Lim ketika menyampaikan ucapan sulung beliau di Parlimen Australia,” kata Ismail Sabri dalam hantaran Twitter beliau.

Perdana menteri wajar berasa bangga kerana beliau mempelopori usaha meningkatkan martabat bahasa Melayu, khususnya di peringkat antarabangsa, apabila mengumumkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam semua urusan rasmi di luar negara termasuk surat-menyurat, ketika ditemui pemberita Malaysia semasa melawat Thailand pada Februari tahun ini.

Perkara itu beliau tegaskan sekali lagi semasa berucap pada Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu, 22 Mei lepas.

 

TANGGUNGJAWAB SEMUA 

Bagi pakar bahasa Melayu, usaha mengangkat bahasa itu menjadi antara bahasa global bukan sesuatu yang mustahil. Namun kata mereka, inisiatif berkenaan menuntut jati diri yang tinggi dalam kalangan rakyat sendiri.

Pandangan mereka berasas kerana sekalipun kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dimaktubkan menerusi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, sering kali tercetus polemik dalam kalangan rakyat tentang penggunaan dan penghayatannya oleh semua kaum yang membentuk “keluarga”  Malaysia ini.

Malah, ada segelintir yang menganggap bahasa Melayu hanya sesuai digunakan di peringkat kebangsaan sahaja.

Pakar Psikologi Bahasa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Prof Madya Dr Jessica Ong berkata tanggungjawab meningkatkan martabat bahasa Melayu bukan terletak di bahu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), universiti atau ilmuan bahasa semata-mata, tetapi dipikul oleh semua pihak.

"Tanggungjawab meningkatkan citra bahasa kebangsaan dalam negara dan antarabangsa memerlukan tekad seluruh rakyat.

"Sekarang bukan masa ‘tepuk dada tanya selera' tetapi bagaimana minda seluruh pentadbir, karyawan dan profesional yang memacu kegemilangan negara dalam pelbagai sektor dan bidang memainkan peranan utama mendaulatkan bahasa kebangsaan," katanya kepada Bernama. 

Katanya penutur bahasa Melayu, sama ada di persidangan antarabangsa ataupun ketika menjalankan tugas rasmi di luar negara, tidak harus berasa bimbang dilabel tidak pandai berbahasa Inggeris atau tidak berpelajaran.

Sebaliknya kata beliau, mereka harus berasa bangga kerana mempunyai keberanian dan keyakinan tinggi untuk mengetengahkan bahasa kebangsaan Malaysia di persada global seperti yang dilakukan oleh Jepun, China dan Jerman yang tidak malu mengangkat bahasa kebangsaan mereka, sekali gus menjadi identiti masing-masing. 

"Sebagai Keluarga Malaysia, kita sewajarnya menghormati Rukun Negara dan penggunaan bahasa kebangsaan bukan sepatutnya hanya berlaku di sektor awam tetapi juga swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," ujarnya. 

 

BAHASA MELAYU, BAHASA EKONOMI

Dalam memperkukuhkan lagi tekad ini, Ong berkata nilai sesuatu bahasa turut berkait rapat dengan nilai ekonomi atau kemajuan sesebuah negara.

"Keunikan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dengan kepelbagaian strata sosial menyediakan peluang ekonomi kepada pelabur dan ahli perniagaan. Negara yang ekonominya berkembang pesat, bahasanya juga turut berkembang dengan pesat.

"Pembangunan ekonomi dengan lebih lestari dan terangkum menjadi daya penarik kepada perniagaan untuk menjadikan negara ini destinasi pelaburan utama, secara tidak langsung mendorong penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi," katanya. 

Sementara itu, Dekan Universiti Kebangsaan Malaysia-Graduate School of Business (UKM-GSB), Prof Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul berkata bahasa Melayu akan terus terpinggir jika tiada usaha serius mengangkatnya sebagai bahasa rasmi dalam urusan ekonomi dan perniagaan.

"Cabaran globalisasi meninggalkan kesan mendalam kepada penguatkuasaan bahasa Melayu.

"Ia semakin memburuk setelah sektor ekonomi negara mula dikuasai bangsa asing. Berikutan perubahan landskap ekonomi dan perniagaan global, kedudukan bahasa Inggeris di Malaysia semakin kuat dan sedikit -sebanyak mempengaruhi kedudukan bahasa Melayu," kata Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2021 itu. 

Walhal katanya bahasa Melayu pernah mencapai tahap kesempurnaan amat tinggi dan digunakan dalam pelbagai domain kehidupan semasa zaman silam, sama ada dalam kehidupan bermasyarakat, pentadbiran negara, mahupun urusan ekonomi dan perniagaan.

Ini dibuktikan menerusi penggunaan bahasa Melayu sebagai lingua franca bagi rantau kepulauan Melayu sejak abad ketujuh Masihi di bawah kerajaan Srivijaya.

“Semasa kesultanan Melayu Melaka abad ke-13 hingga 19, bahasa Melayu mencapai puncak kegemilangan sebagai bahasa tamadun Melayu baharu dengan menjadi bahasa pentadbiran, bahasa diplomasi, bahasa undang-undang, bahasa ilmu dan falsafah, bahasa perdagangan, bahasa ketatanegaraan serta bahasa sastera tinggi.

"Menyorot hakikat ini dengan mata hati dan fikiran terbuka, maka tidak mustahil kegemilangan bahasa Melayu boleh dikembalikan," katanya. 

 

PINDA AKTA

Untuk merealisasikan hasrat itu, beliau berkata perlu ada pindaan dan penguatkuasaan undang-undang yang tegas.

"Sebagai contoh, pindaan dan perluasan (undang-undang) termasuk Akta Pertubuhan, Akta Pendaftaran Perniagaan, Akta Syarikat, Akta Cap Dagang, Akta Industri Pelancongan dan beberapa yang lain perlu disegerakan.

"Akta sedia ada seperti Akta Komunikasi dan Penyiaran serta Undang-Undang Kecil Pengiklanan mestilah dikuatkuasakan pelaksanaannya secara tegas," ujar beliau. 

Selain itu, usaha meningkatkan program pembangunan dan latihan dalam organisasi berkaitan ekonomi serta perniagaan mengenai pentingnya penggunaan bahasa Melayu juga perlu digerakkan.

Dalam pada itu, Ong berkata satu perancangan dan strategi membina perisian atau aplikasi berkaitan bahasa seiring dengan Revolusi Industri 4.0 perlu dilaksanakan bagi mengangkat martabat bahasa kebangsaan.

"Setakat ini, portal Pusat Rujukan Persuratan Melayu oleh DBP adalah inovasi enjin carian bahasa bertaraf dunia yang membantu memajukan pembinaan serta pengembangan bahasa Melayu untuk rujukan seluruh dunia.

"Menurut laporan DBP, terdapat sejumlah 125,846,476 kata dalam data korpus DBP, (justeru) sangat penting bagi menjana enjin carian bertindak lebih cekap dan pantas untuk membantu pelayar mendapatkan maklumat berkaitan bahasa dan kemudahan ini perlu dipromosi secara lebih agresif," katanya. 

Ong turut mengesyorkan agar perisian lebih cekap dibangunkan.

"Selain itu, kempen mendaftarkan perniagaan bercitrakan bahasa kebangsaan oleh perniagaan tempatan juga perlu digalakkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Citra bahasa ini bukan saja diterjemahkan melalui komunikasi dan pengucapan, tetapi turut melalui komunikasi tanpa suara iaitu paparan papan tanda perniagaan dan iklan," katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan