BFOKUS

ANALISIS: IZINKAN PELARIAN MENYUMBANG KEPADA EKONOMI, BENARKAN MEREKA BEKERJA

29/04/2022 05:35 PM

Oleh Nina Muslim

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Suara menggesa agar rangka kerja perundangan dan dasar berkaitan pelarian, khususnya Rohingya, digubal dan dilaksanakan, kembali bergema susulan insiden tahanan melarikan diri  dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang, minggu lepas.

Enam etnik Rohingya yang mencari suaka termasuk dua kanak-kanak, maut semasa cuba melintas lebuh raya selepas melarikan diri dari depot itu pada 20 April lalu. Polis berkata mereka antara 528 tahanan yang meloloskan diri selepas “satu rusuhan”. Setakat semalam, 61 tahanan lolos masih bebas, sementara yang lain dapat ditahan semula.

Aktivis menggesa agar siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian, mendakwa ada laporan tentang keadaan hidup yang tidak selesa, diburukkan lagi oleh kesesakan akibat terlalu ramai tahanan.  

Kerajaan berusaha menangani masalah kesesakan dengan mengubah fungsi bekas kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) menjadi pusat tahanan imigresen, namun Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) melaporkan mereka melihat terlalu ramai tahanan ditempatkan di dalam satu-satu ruang. 

Setakat 2020, kerajaan melaporkan terdapat 15,626 tahanan di depot imigresen yang sepatutnya memuatkan 12,530 orang. Selain itu, sebanyak  208 kematian dilaporkan di depot antara 2018 hingga 15 Feb 2022. Kebanyakan kematian adalah disebabkan penyakit termasuk batuk kering, radang paru-paru, denggi, diabetes dan COVID-19. Antara bahaya akibat kesesakan di pusat tahanan ialah penularan penyakit.


Tan Sri Syed Hamid Albar, Pengerusi Kumpulan Penasihat Malaysia mengenai Myanmar.

Pengerusi Kumpulan Penasihat Malaysia mengenai Myanmar Tan Sri Syed Hamid Albar memberitahu Bernama insiden Sungai Bakap itu mengetengahkan keperluan terhadap rangka kerja perundangan yang komprehensif bagi menangani isu pelarian yang sudah berlarutan sejak berdekad lamanya. 

“Malaysia mempunyai ramai pelarian dari pelbagai negara, namun tidak ada dasar tentang pelarian. Isu ini bukan semudah sekadar mengisytiharkan yang kita tidak mengiktiraf mana-mana individu tanpa dokumen, (maka) mereka semua adalah pendatang haram,” katanya.

Menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR), terdapat kira-kira 181,000 pelarian dan pencari suaka di Malaysia, kebanyakannya adalah etnik Rohingya dari Myanmar.

Secara rasmi, Malaysia tidak mengiktiraf pelarian kerana negara ini bukan penandatangan Konvensyen Pelarian 1951. Oleh itu, layanan lazim terhadap pencari suaka ialah dengan menahan mereka sebagai pendatang tanpa izin, dan ramai yang ditangkap serta ditahan selama bertahun-tahun. Mereka yang telah menerima kad UNHCR biasanya tidak diganggu dan dibiarkan sehingga mereka dapat ditempatkan semula di negara ketiga.  


Jerald Joseph, Bekas Pesuruhjaya Suhakam.

Bekas Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph memberitahu Bernama beliau telah menemui sebahagian daripada tahanan Sungai Bakap itu semasa mereka ditahan di depot imigresen di Langkawi.

“Mereka berharap dapat dibebaskan, namun selepas lebih dua tahun mereka masih ditahan tanpa ada sebarang dasar jelas mengenai nasib mereka,” katanya.  

Tindakan penahanan secara berpanjangan itu dilihat sebagai langkah yang dirancang, sepertimana kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin baru-baru ini bahawa kerajaan berbuat demikian sebagai amaran kepada pendatang yang cuba memasuki negara ini secara haram.

Selepas dikritik keras oleh organisasi hak asasi manusia di dalam dan luar negara berhubung insiden lolos dan juga layanan terhadap tahanan Rohingya itu, Hamzah membidas dengan meminta etnik Rohingya kembali ke Myanmar jika tidak berpuas hati dengan layanan terhadap mereka di Malaysia.

Sesetengah rakyat Malaysia bersetuju dengan kenyataan Hamzah, menyatakan mereka yang mengkritik Malaysia berhubung insiden lolos itu wajar mengambil kira kesediaan negara ini menyediakan makanan dan perlindungan kepada pelarian. Ada juga yang bertanya mengapa pelarian terbabit, khususnya Rohingya, tidak boleh dihantar balik ke negara asal.

 

TIADA JALAN PULANG


Beberapa buah lori Jabatan Imigresen Malaysia yang membawa sebahagian tahanan etnik Rohingya meninggalkan Depot Imigresen Sementara Relau Bandar Baharu, Kedah. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Jawapan kepada soalan itu agak rumit. Pelarian merupakan mereka yang melarikan diri daripada penindasan, keganasan, seksaan dan kematian di negara asal mereka.

Umumnya, sesebuah negara tidak boleh sewenang-wenangnya menghantar pulang pelarian atau pencari suaka tanpa melanggar undang-undang antarabangsa. Menurut undang-undang antarabangsa, apabila mereka berjaya memasuki sesebuah negara, pelarian tidak boleh dihantar pulang ke negara asal di mana mereka akan berdepan bahaya termasuk hilang kebebasan malah nyawa.

Dikenali sebagai prinsip non-refoulement (tiada penghantaran pulang paksa), UNHCR memberitahu Bernama menerusi e-mel bahawa “prinsip itu diiktiraf sebagai undang-undang antarabangsa adat yang terpakai ke atas semua negara, tidak kira sama ada ia menandatangani Kovensyen berkenaan Status Pelarian 1951 ataupun tidak.”

Lebih-lebih lagi pelarian Rohingya yang berbeza dengan pelarian lain.

Sejak sekian lama Malaysia menjadi tuan rumah kepada pelarian, dan pada masa lalu negara ini amat mengalu-alukan kedatangan pelarian, antaranya pelarian Perang Vietnam dan Perang Bosnia. Bagaimanapun pelarian Rohingya merupakan warga tidak bernegara, melainkan komuniti antarabangsa dapat meyakinkan Myanmar yang merujuk Rohingya sebagai pendatang haram walaupun leluhur mereka telah tinggal di negara itu selama beratus tahun, mengiktiraf dan menerima etnik tersebut sebagai rakyatnya.

“(Rohingya) tidak boleh dihantar pulang ke Myanmar kerana Myanmar tidak mengiktiraf mereka. Mereka juga tidak boleh dihantar ke (kem pelarian) Cox’s Bazaar kerana mereka bukan warga Bangladesh. Tidak wujud konsep ‘hantar balik’ seseorang ke kem pelarian,” kata Joseph.

Ini bermakna Rohingya, tidak seperti warga Vietnam, Bosnia dan lain-lain yang balik ke negara asal mereka apabila keadaan kembali aman, berkemungkinan besar tinggal di Malaysia untuk jangka masa yang lama. Berdasarkan hantaran media sosial dan retorik sesetengah pegawai pihak berkuasa, rasa benci kebanyakan rakyat Malaysia terhadap etnik Rohingya di sini dikatakan berpunca daripada angkanya yang semakin bertambah memandangkan negara mereka terus berkonflik.


Sebuah bot kayu yang membawa sebahagian daripada 56 orang pelarian Rohingya diiringi Polis Marin tiba di Terminal Feri Kuala Kedah. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Malaysia berusaha mengetengahkan krisis pelarian Rohingya ini di peringkat rantau dan antarabangsa.

“Paling ideal ialah mengadakan perjanjian dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara tentang negara mana yang akan ambil siapa, (dan) bagaimana untuk melakukan pengesahan dengan UNHCR. Semua ini harus dibuat secara rasmi,” kata Edmund Bon, bekas perwakilan Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN tentang Hak Asasi Manusia (AICHR).

Tambah beliau, usaha untuk mencari penyelesaian dalam kalangan negara ASEAN berhubung krisis pelarian itu gagal mencapai matlamatnya.

Oleh itu, pakar berkata cara terbaik untuk menyelesaikan isu Rohingya di Malaysia ialah mencari negara ketiga untuk mereka. Namun tidak banyak kekosongan yang ada sedangkan permintaan adalah tinggi.

Pilihan lain yang lebih praktikal tapi berkemungkinan besar kurang popular ialah integrasi.

 

INTEGRASI

Kerajaan dilaporkan berkata kos yang besar diperlukan untuk menyediakan makanan dan perlindungan bagi pelarian dan pencari suaka. Ramai rakyat negara ini  tidak berpuas hati dengan jumlah dana yang disalurkan bagi penempatan dan penyediaan makanan untuk pelarian terbabit, kerana berasakan lebih baik wang itu diguna untuk membantu rakyat sendiri pulih daripada masalah ekonomi akibat pandemik.

Pada masa sama, pelarian dan pencari suaka tidak mahu terus berada dalam tahanan, sebaliknya mereka mahu keluar dan bekerja.

Justeru, mengapa tidak digubal dasar yang mengiktiraf kehadiran pelarian di negara ini, integrasikan mereka ke dalam masyarakat setempat serta benarkan mereka bekerja secara rasmi dengan mengisi peluang pekerjaan yang tidak ingin dilakukan oleh rakyat tempatan, saran aktivis dan ahli politik.

Menurut mereka, daripada mengambil pekerja asing melakukan kerja-kerja tanpa kemahiran seperti membersih longkang dan menjadi buruh pasar basah, adalah lebih baik pekerjaan terbabit diberikan kepada pelarian. 

“Malaysia sangat memerlukan pekerja. Kita sudah ada tenaga kerja berpotensi di sini, kita kenal mereka, kerajaan kenal (pemegang) kad UNHCR. Lebih baik kita manfaatkan kehadiran mereka sebagai penyumbang kepada ekonomi sambil mereka menunggu keadaan di negara mereka bertambah baik,” kata Joseph.


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin (kanan) mengadakan sidang media khas mengenai Pelaksanaan Pelan Rekalibrasi Pendatang Tanpa Izin (PTI) di Kementerian Dalam Negeri bersama Datuk Seri M. Saravananelan. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Selama bertahun-tahun kerajaan menimbang untuk membenarkan mereka bekerja, bermula dengan projek rintis yang mengupah pelarian dalam sektor pembuatan dan pertanian pada 2016. Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan baru-baru ini berkata mereka sedang melakukan kajian mendalam tentang hal itu bagi mengelakkan berlaku limpahan pelarian yang datang mencari kerja di Malaysia.

Sebahagian rakyat Malaysia bimbang pelaksanaan langkah itu bermakna pelarian akan merampas peluang pekerjaan daripada rakyat tempatan atau menikmati semua faedah tapi tidak membayar cukai. Aktivis melihat kebimbangan itu sebagai tidak berasas.

Ini kerana kata mereka, kerja yang akan dilakukan oleh pelarian adalah kerja bergaji rendah yang tidak diingini oleh rakyat tempatan. Selain itu, pekerja yang bergaji rendah dan tidak perlu membayar cukai, masih menyumbang kepada ekonomi. 

“Hakikat bahawa anda bekerja walaupun anda tidak membayar cukai, tetap bermakna anda menyumbang kepada penjanaan aktiviti ekonomi,” kata Syed Hamid. 

 

Diterjemah dan disunting oleh Noor Hayati Muda

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan