BFOKUS

RMK12: PASTIKAN PEMBANGUNAN VAKSIN NEGARA BUKAN PROJEK HANGAT-HANGAT TAHI AYAM- PAKAR

04/10/2021 05:05 AM

Oleh Nurqalby Mohd Reda

KUALA  LUMPUR (Bernama) -- Langkah kerajaan menggubal Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara bagi menjadikan Malaysia sebagai antara negara pengeluar vaksin di dunia, merupakan satu inisiatif yang wajar dipuji dan disokong.

Namun, menurut pakar, bagi merealisasikan hasrat itu kerajaan perlu mempunyai tekad dan komitmen yang tinggi agar perancangan tersebut tidak gagal separuh jalan.

“Kita tidak mahu projek 'hangat-hangat tahi ayam' yang kemudian berhenti sekerat jalan dan gagal tanpa justifikasi yang jelas sepertimana projek-projek kerajaan  sebelum ini,” kata Dr Nurul Yuziana Mohd Yusof, pensyarah kanan di Kluster Kesihatan Persekitaran, Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia.


Pensyarah Kanan di Kluster Kesihatan Persekitaran, Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, UKM, Dr Nurul Yuziana Mohd Yusof. - Gambar ihsan Dr Nurul Yuziana Mohd Yusof

Merujuk kepada dua projek sebelum ini, iaitu Projek BioValley dan Nine Bio Sdn Bhd, Nurul Yuziana berkata hingga kini, tiada usaha diambil pihak berwajib bagi mengenal pasti punca kegagalan projek berkenaan.

"… Projek BioValley dan Nine Bio Sdn Bhd yang dibangunkan kerajaan sebelum ini adalah untuk pembangunan vaksin halal di Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Malaysia juga harus bijak mengambil langkah realistik bagi menjayakan pelan tersebut agar selari dengan kemampuan serta keupayaan sebenar bidang bioperubatan dan bioteknologi negara.

Katanya adalah penting untuk mengenal pasti secara teliti keperluan sedia ada dan keperluan yang perlu diadakan bagi memastikan proses pembangunan vaksin negara berterusan dan tidak hanya bersifat ‘one-off’.


Gambar hiasan. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Mengulas lanjut, Nurul Yuziana berkata antara faktor yang perlu diberi penekanan dalam pembangunan vaksin ialah penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang lebih spesifik terhadap vaksin.

Ini penting bagi memastikan kelangsungan pembangunan vaksin di peringkat pembuatan berskala besar, terutama dengan kerjasama  institusi penyelidikan, kumpulan pakar perubatan dan industri farmaseutikal negara, bagi mempercepat serta memantapkan lagi proses ujian klinikal terhadap vaksin berkenaan.

“Pihak industri pembuatan juga harus dilibatkan selain negara juga perlu mengimport khidmat kepakaran teknikal daripada pihak industri vaksin sedia ada yang telah  kukuh  untuk memberi latihan kepada tenaga pakar tempatan,’’ katanya.

Selain itu, beliau berkata tenaga pakar tempatan daripada pelbagai lapangan termasuk industri bioteknologi, bioteknologi dengan pengurusan, kejuruteraan, fizik dan kimia, perlu menjalani latihan spesifik bagi memastikan kelangsungan pelan pembangunan vaksin negara tersebut.


Gambar hiasan. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Pada Isnin lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, mengumumkan kerajaan sedang memuktamadkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara bagi memastikan Malaysia mampu menghasilkan vaksin sendiri.

Ismail Sabri berkata pelan itu bagi membolehkan negara bersedia menghadapi sebarang pandemik pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut berkata kerajaan akan membina Institut Penyakit Berjangkit Malaysia di Bandar Enstek, Negeri Sembilan pada tahun depan yang bertujuan mencegah penyakit, ketidakupayaan dan kematian yang disebabkan oleh penyakit berjangkit.


Dr Rosnida Mohd Noh, Ketua Unit Penyakit Berjangkit, Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Buloh.

Mengulas mengenai institut itu,  Ketua Unit Penyakit Berjangkit, Fakulti Perubatan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sungai Buloh, Dr Rosnida Mohd Noh berkata cadangan tersebut merupakan langkah tepat dalam menangani penyakit berjangkit dengan lebih berkesan.  

 “Institut penyakit berjangkit telah lama ditubuhkan di banyak negara lain, maka dengan penubuhan institusi seperti itu di Malaysia, ia akan berfungsi bagi mengawasi dan membantu menghadapi cabaran yang dihasilkan oleh ‘emerging’ dan 'reemerging infectious diseases'.

“Ini termasuk pengawasan virus novel yang boleh membawa kepada wabak selain meningkatkan kapasiti untuk membaiki polisi serta strategi bagi mengawal dan mencegah penyakit berjangkit di negara ini,’’ katanya.

--BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan