BERITA COVID–19   Kadar penggunaan katil hospital antara faktor Kedah, Johor tidak dapat beralih Fasa PPN | COVID: Pejabat Kerajaan Negeri Sabah dibenar beroperasi kapasiti 80 peratus | Enam PPV di Johor Bahru dibuka untuk walk-in | Kampung Garib di Kudat, Sabah dikenakan PKPD bermula Rabu - MKN | COVID: Negara terus rekod kes sembuh melebihi kes baharu | 
B FOKUS

Hidup Bersama COVID-19 Sebagai Endemik

27/07/2021 09:42 AM

Oleh Nurqalby Mohd Reda

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Bermula di Wuhan, China pada Disember 2019, jangkitan COVID-19 kini menular hampir ke semua negara termasuk Malaysia, dan mendekati dua tahun, “serangan” virus ini tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda dengan angka korban terkini melebihi empat juta orang di seluruh dunia.

Kemunculan varian baharu yang lebih agresif menyukarkan lagi usaha sistem kesihatan negara terjejas menangani pandemik itu, dan di sebalik penemuan vaksin, rekod di seluruh dunia menunjukkan mereka yang divaksinasi masih boleh dijangkiti COVID-19, cuma tanpa simptom yang teruk.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dan dipersetujui majoriti pakar kesihatan, baru-baru ini menyatakan COVID-19 berkemungkinan besar menjadi endemik, iaitu kekal dan menjadi sebahagian daripada kehidupan harian kita sepertimana selesema. Persoalannya, bersediakah kita untuk “hidup” bersama virus yang setakat semalam telah meragut 8,201 nyawa di negara ini?


Patuhi lah SOP (Prosedur Operasi Standard) demi mengelak jangkitan Virus COVID-19.

Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Am Dr Hanafiah Bashirun memberitahu Bernama bahawa mahu tidak mahu perkara itu berkemungkinan besar menjadi hakikat yang perlu diterima rakyat negara ini.

“Kita dapati hanya beberapa negara sahaja yang merekodkan kes sifar dalam tempoh dua minggu berturut-turut mutakhir ini, sekali gus membuktikan negara-negara di seluruh dunia akan menerima COVID-19 sebagai sebahagian kehidupan, sepertimana influenza (H1N1) yang tercetus pada 2009 dan kemudian menjadi endemik,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata apabila bertukar status kepada endemik, kes baharu tidak perlu lagi dimaklumkan kepada orang awam, namun rakyat perlu mengambil langkah berjaga-jaga secara berterusan termasuk mematuhi tiga prosedur operasi standard (SOP), iaitu penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan kerap membasuh tangan.


Minimumkan risiko jangkitan.. Sentiasa patuhi SOP di mana sahaja pada setiap masa. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Paling utama, pastikan diri divaksinasi, katanya yang yakin vaksinasi dan pematuhan tiga SOP tersebut merupakan kunci kepada pembendungan virus itu.

Jelasnya, selepas menjadi endemik, individu yang mempunyai simptom ringan seperti selesema akan dianggap sebagai selesema biasa dan tidak lagi dirujuk ke hospital melainkan pesakit menunjukkan gejala lebih berat seperti sukar bernafas.

Menurutnya pesakit juga tidak lagi akan diasingkan sebaliknya dirawat seperti jangkitan virus biasa.

Bagaimanapun katanya pengisytiharan COVID-19 sebagai endemik bergantung pada keputusan WHO yang akan membuat penelitian selepas suatu tempoh. 


Pemberian vaksin kepada kumpulan sasar seperti warga emas sangat penting. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

‘’Untuk mengisytiharkan COVID-19 ini sebagai endemik sebenarnya tidak bergantung pada kes kematian atau kes harian sesebuah negara selain tidak ada faktor yang betul-betul spesifik untuk meletakkan ia sebagai endemik.

‘’Cuma, apa yang boleh kita harapkan sementara menunggu ia sebagai endemik, program vaksinasi  terus berjalan sebab dengan kadar vaksinasi yang tinggi juga kita dapat menjalani rutin kehidupan harian seperti biasa, selain berharap penemuan ubat antivirus sebagai alternatif rawatan sekiranya dijangkiti,’’ katanya.

Sebelum ini, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood yang merupakan Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, menyarankan pihak berkuasa menjadikan suntikan vaksin COVID-19 sebagai vaksinasi tahunan seperti yang dilakukan di Eropah bagi mengekang flu atau selesema bermusim.

Pada masa ini, penularan COVID-19 masih berstatus pandemik yang diisytiharkan oleh WHO pada 11 Mac 2020.

-- BERNAMA

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan