Rabu, 27 Mei 2020
WAWASAN KEMAKMURAN BERSAMA 2030
06/04/2020 08:18 PM

KUALA LUMPUR, 6 April --  Hari ke-20 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, menyaksikan 68 individu didakwa di mahkamah di beberapa negeri hari ini kerana melanggar PKP antaranya berkumpul untuk membeli nasi lemak, bermain game serta menunjukkan isyarat lucah kepada anggota polis.

Mereka antaranya didakwa gagal mematuhi PKP dengan bergerak dari satu tempat ke tempat lain dalam mana-mana kawasan jangkitan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Ada juga menghadapi pertuduhan menghalang tugas penjawat awam dalam menjalankan fungsi mereka semasa tempoh PKP mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Di PULAU PINANG, 24 individu termasuk tujuh remaja dan seorang penjual nasi lemak dihadapkan ke Mahkamah Majistret George Town kerana berkumpul untuk membeli nasi lemak bungkus  di sebuah rumah di Balik Pulau, dekat sini yang berada dalam kawasan wabak COVID-19 pada 2 pagi, semalam.

Kesemua tertuduh yang berusia 16 hingga 40 tahun itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati.

Nur Azzuin memerintahkan 17 individu termasuk dua wanita dikenakan hukuman khidmat masyarakat selama tiga jam setiap hari dalam tempoh tiga bulan. 

Bagi kes tujuh remaja lelaki, mahkamah menetapkan 18 Jun untuk sebutan bagi penyerahan laporan akhlak sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman dan mereka dibebaskan dengan ikat jamin RM1,000 berserta seorang penjamin setiap seorang. 

Di mahkamah berasingan, ahli perniagaan M. Mathialagan, 40, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu memandu melawan arus, menunjuk isyarat lucah kepada polis, menghalang penjawat awam ketika menjalankan tugas dan ingkar PKP.

Mengikut pertuduhan pertama, Mathialagan didakwa menunggang motosikal dengan cara melulu dan mendatangkan bahaya kepada orang ramai apabila jalan yang digunakan itu tidak sesuai dan banyak lalu lintas di Lebuhraya Dr Lim Chong Eu, di sini pada 12.15 tengah malam, 3 April lepas.

Mahkamah membenarkan Mathialagan diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 16 Jun untuk sebutan semula kes.

Di KUALA LUMPUR, 22 individu dihadapkan di  mahkamah  di sini kerana melanggar PKP. Di Mahkamah Majistret Selayang, 12 lelaki didenda RM1,000 atau penjara tiga bulan selepas mengaku bersalah dengan sengaja berada dalam kawasan tempat jangkitan tanpa alasan munasabah.

Kesemua tertuduh, berusia 20 hingga 58 tahun ditahan di lokasi berasingan di Bandar Baru Rawang, Rawang, Bandar Tasik Puteri, Gombak dan Batu Caves antara 3.44 pagi dan 6.20 petang, pada 31 Mac dan 2 April lepas.

Di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, seramai lapan lelaki dan seorang wanita  berumur 22 hingga 37 tahun didakwa.

Tiga individu dipenjara antara tiga dan empat hari selepas mengaku salah dengan sengaja  gagal mematuhi  PKP dengan bergerak dari satu tempat ke tempat lain dalam mana-mana tempat jangkitan di sekitar Kuala Lumpur pada 2 hingga 4 April lepas.

 Lima warganegara asing daripada Indonesia, Myanmar dan Nepal didenda RM1,000 atau penjara tujuh hari selepas mengaku bersalah atas kesalahan sama.

Seorang lelaki berumur 31 tahun dipenjara tiga hari dan denda RM500 atau penjara sebulan selepas mengaku bersalah gagal memberhentikan kenderaan ketika sekatan jalan raya oleh polis.

Dia didakwa mengkut Seksyen 26(2) Akta Polis yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 12 bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-dunya.

Seorang warga Indonesia Pathor Rahman, 40, dihukum penjara tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Kajang selepas mengaku bersalah keluar rumah tanpa alasan munasabah pada 1.30 pagi, 29 Mac lalu.    

Di KEDAH, empat lelaki  termasuk seorang remaja berumur 17 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Petani di sini atas pertuduhan melanggar PKP di Bedong dekat sini pada 31 Mac dan 1 April lepas.

Majistret Nurul Ainna Ahmad menjatuhkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tiga bulan jika gagal bayar denda terhadap Jefri Tan Abdullah, 41,  N. Gandhi, 22, dan A. Jiwanesan, 21, manakala kes remaja lelaki itu akan disebut  semula pada 6 Mei sementara menunggu laporan akhlak sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman.

Di PAHANG, 10 lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan di sini.

Empat termasuk tiga remaja bawah umur didakwa kerana melanggar PKP dengan menaiki kereta di kawasan bandar tanpa alasan yang munasabah pada 3 pagi, 2 April lalu

Jurukimpal G. Navin Kumar, 20, dan tiga lagi yang berusia antara 17 dan 18 tahun mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Nurul Farahah Mohd Suah. 

Navin Kumar didenda RM500 manakala tiga lagi rakannya dibenarkan jaminan RM500 sementara sebutan semula pada 20 Mei bagi mendapatkan laporan akhlak sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman.

Enam lagi tertuduh termasuk dua remaja di bawah umur mengaku bersalah atas tuduhan melanggar PKP yang didakwa dilakukan di sekitar daerah ini, antara 1 dan 2 April lalu. 

Empat tertuduh berusia antara 20 hingga 26 tahun dipenjara tiga hari dan didenda antara RM300 dan RM600 atau dipenjara antara sebulan ke dua bulan manakala dua lagi tertuduh berusia 16 dan 18 tahun dibebaskan dengan ikat jamin RM500 setiap seorang sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman pada 20 Mei.

Di TERENGGANU, tujuh lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Dungun. Empat lelaki termasuk seorang remaja didakwa kerana melanggar PKP dengan berkumpul atas alasan melepak dan bermain game.

Tertuduh yang berumur lingkungan 17 hingga 34 tahun itu mengaku bersalah atas kesalahan tersebut di  dalam sebuah bilik stor rumah di Kampung Sura Hujung, di sini pada 11.30 malam, 4 April lepas.

 Majistret Hazwanie Husain Bustari membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM900 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Mei untuk menjatuhkan hukuman.

Tiga lagi lelaki berumur 21 hingga 27 tahun turut mengaku bersalah melanggar perintah PKP di Jalan Lampu Isyarat Pasar Buah, di sini pada 11.45 malam, 3 April lepas.

Mereka yang menunggang motosikal didakwa melarikan diri semasa diarahkan berhenti hingga pihak polis terpaksa mengejar tertuduh dan ketika ditahan kesemua mereka bertindak agresif serta cuba melarikan diri dan mereka masing-masing diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin sementara menunggu hukuman dijatuhkan pada 6 Mei.

-- BERNAMA

 

 

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan