Selasa, 07 April 2020
WAWASAN KEMAKMURAN BERSAMA 2030
07/11/2019 08:15 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov -- Rangka Kerja Asas Aset Terkawal Selia (RAB) yang diusulkan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) tidak sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 kerajaan yang bertujuan mewujudkan negara berpendapatan tinggi dan saksama, menurut AirAsia hari ini.

Presiden Kumpulan AirAsia (Penerbangan) Bo Lingam berkata desakan pengawal selia itu untuk meneruskan elemen punitif tertentu dalam rangka kerjanya bertentangan dengan semangat WKB2030 untuk mencipta kekayaan dan meningkatkan kuasa beli seluruh rakyat Malaysia.

Beliau berkata RAB yang dirangka Mavcom sepatutnya menawarkan lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia dan mengurangkan kos penerbangan namun ia sebaliknya akan menjauhkan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan penerbangan, sekali gus bertentangan dengan apa yang ingin dicapai kerajaan.

“Mavcom secara konsisten menekankan mengenai Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) yang sama bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 kerana kedua-dua terminal dianggap lapangan terbang tunggal.

“RAB sepatutnya menjadi rangka kerja yang adil jika dilaksanakan dengan niat dan tujuan yang betul tapi malangnya, kita menjangka pengagihan subsidi antara lapangan terbang yang mencatatkan keuntungan dan yang rugi akan terus diamalkan mengikut kertas cadangan RAB ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dilaporkan merancang untuk membelanjakan sebanyak RM5.2 bilion dari 2020 hingga 2022, dan sebahagian jumlah ini adalah untuk sistem pengendalian bagasi dan aerotren baharu di KLIA.

Lingam berkata MAHB juga tidak pernah melibatkan syarikat penerbangan dalam hal pembangunan lapangan terbang termasuk rancangan untuk menyediakan perkhidmatan pemindahan antara KLIA dan klia2.

“Kita sangat ragu dengan keupayaan pengendali lapangan terbang ini untuk melaksanakan perbelanjaan modal yang besar ini secara cekap dalam masa yang singkat,” katanya.

Berdasarkan ketiadaan maklumat terperinci perniagaan untuk mewajarkan setiap perbelanjaan modal tersebut selain rekod perbelanjaan modal MAHB sebelum ini yang berjumlah RM200 juta hingga RM300 juta setahun, maka kemampuan mereka untuk melaksanakan pelaburan sebesar ini menimbulkan persoalan, katanya.

“Sebagai badan kawal selia, Mavcom bertanggungjawab mempertahankan dan melindungi hak penumpang awam bagi memastikan mereka menerima perkhidmatan setara dengan caj yang dikenakan kepada mereka namun menerusi pelaksanaan RAB ini, mereka menjadi seakan-akan terpisah daripada semangat dan visi negara,” katanya.

-- BERNAMA


 

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Lain-lain

Laman Korporat
Hubungi Kami
Sebutharga / Tender

Ikut Kami

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan