Selasa, 07 April 2020
PERBICARAAN SRC
11/03/2020 03:07 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac -- Selepas memanggil sebanyak 19 saksi pada perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta yang mengambil masa 33 hari di Mahkamah Tinggi di sini, pihak pembelaan menutup kesnya hari ini.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan empat hari bermula 12 Mei depan untuk mendengar hujah lisan di akhir kes pembelaan sebelum memutuskan sama ada bekas perdana menteri itu akan disabitkan kesalahan atau dibebaskan.

Hakim Mohd Nazlan juga memerintahkan pihak pendakwaan dan pembelaan untuk mengemukakan hujahan bertulis mereka pada atau sebelum 21 April depan.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan menutup kesnya selepas pemeriksaan utama saksi terakhir, Penolong Pesuruhjaya Forensik Perakaunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Regjit Singh.

“Dengan ini perbicaraan pembelaan yang bermula 3 Dis tahun lepas selama 33 hari dan 19 saksi, sampai ke penghujung kes kami,” katanya.

Sebanyak 807 eksibit atau barang kes dikemukakan ke mahkamah dalam perbicaraan selama 91 hari bermula 3 April 2019 yang turut membabitkan nota prosiding kira-kira 6,000 muka surat. Sebelum ini, pihak pendakwaan mengemukakan 57 orang saksi.

Selain Najib, antara saksi utama yang dipanggil sepanjang perbicaraan bela diri itu ialah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali; dan dua bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan Latheefa Koya. 

Najib, 67, yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri Malaysia keenam dari April 2009 hingga Mei 2018 merupakan perdana menteri pertama negara yang dihadapkan di mahkamah.

Beliau berdepan tiga tuduhan pecah amanah (CBT) dan satu tuduhan salah guna kuasa berkaitan dana SRC berjumlah RM42 juta dan dituduh melakukan kesalahan itu antara 17 Ogos 2011 dan 10 Feb 2015.

Tiga pertuduhan CBT yang dihadapi Najib adalah:

* Bagi  pertuduhan pertama, Najib didakwa sebagai seorang penjawat awam dan ejen iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, Advisor Emeritus SRC International Sdn Bhd (SRC) dan dalam kapasiti itu diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM27 juta.

*Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, di sini antara 24 Dis 2014 dan 29 Dis 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

*Bagi pertuduhan kedua, Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM5 juta di tempat dan tarikh sama. 

*Pertuduhan ketiga, Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang berjumlah RM10 juta di tempat sama, antara 10 Feb 2015 dan 2 Mac 2015, mengikut seksyen sama.

Bagi pertuduhan salah guna kuasa, Najib didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, telah menggunakan jawatan untuk suapan bagi dirinya berjumlah RM42 juta apabila dia mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman-pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International Sdn Bhd.

Najib dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Feb 2012.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kemudian, pada 8 Ogos, beliau didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen di sini, atas tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana yang sama dan kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Najib didakwa telah menerima, masing-masing RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta, yang merupakan hasil aktiviti haram, yang dipindahkan mengikut Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) ke dalam akaun miliknya di AmIslamic Bank Berhad menggunakan nombor akaun 2112022011880 dan 2112022011906.

Najib didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan AmBank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, di sini, antara 26 Dis 2014, dan 10 Feb 2015.

Pertuduhan-pertuduhan itu difailkan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang memperuntukkan penalti mengikut Seksyen 4(1) akta yang sama.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan antara 26 Dis 2014 dan 10 Feb 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Lain-lain

Laman Korporat
Hubungi Kami
Sebutharga / Tender

Ikut Kami

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan