Selasa, 07 April 2020
PERBICARAAN SRC
06/02/2020 12:31 AM

MELAKA, 5 Feb -- Polis berusaha mempercepat proses siasatan berhubung pendedahan rakaman audio oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan tiga individu berprofil tinggi, namun individu terbabit tidak dapat hadir memberi keterangan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador. 

Beliau berkata proses memanggil bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad masih berjalan bagi memberi keterangan berhubung pendedahan audio oleh SPRM itu pada bulan lepas.

Individu terbabit, katanya, memberi alasan antaranya sakit dan berdepan dengan proses mahkamah.

"Mereka ada urusan lain yang diberikan, alasan-alasan urusan mahkamah ke atau tidak sihat, jadi mungkin mereka diberikan tarikh tertentu. Kita kalau boleh nak cepat tetapi kalau mereka berikan alasan munasabah, contohnya sakit atau terikat dengan proses mahkamah, tidak dapat (beri keterangan).

"Sekiranya tidak, kita akan paksa mereka datang dengan mengikut prosedur undang-undang, kita akan keluarkan perintah untuk mereka tampil datang," katanya kepada pemberita selepas selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontinjen Melaka Siri 1/2020 di sini, hari ini.

Beliau berkata pegawainya berusaha melengkapkan dan menyerahkan kertas siasatan kepada Peguam Negara, namun beliau tidak dapat memberikan tarikh menyelesaikan siasatan itu berikutan individu terbabit tidak dapat hadir bagi memberi keterangan.

Pada 8 Jan lepas, SPRM mendedahkan rakaman audio perbualan yang didakwa melibatkan kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Najib semasa beliau menjadi Perdana Menteri, dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan SRC International Sdn Bhd. 

Klip audio itu dipercayai perbualan yang melibatkan Rosmah, Dzulkifli, seorang tokoh asing dan beberapa individu lain.

-- BERNAMA

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Lain-lain

Laman Korporat
Hubungi Kami
Sebutharga / Tender

Ikut Kami

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan