Khamis, 13 Ogos 2020
PERBICARAAN SRC
23/01/2020 08:42 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jan -- Seorang pakar dari Australia yang dilantik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menganalisis tandatangan di 13 dokumen SRC International Sdn Bhd yang dipertikaikan, dijangka akan membuat pemeriksaan keatas dokumen-dokumen itu pada minggu 10 Feb ini.

Tarikh baharu itu ditetapkan selepas peguam pembelaan Najib, Harvinderjit Singh memberitahu Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa pakar itu hanya dapat tiba pada minggu 10 Feb.

“Hanya minggu 10 Feb urusan itu boleh dilaksanakan. Saya tidak nampak sebarang kelewatan kepada perbicaraan. Pemeriksaan akan mengambil masa dua hari. Satu laporan dijangka akan disiapkan dalam tempoh seminggu selepas analisis,” kata peguam itu.

Sebelas daripada dokumen itu ditandakan sebagai bukti pihak pendakwaan, manakala dua lagi ditandakan sebagai bukti pihak pembelaan yang akan diserahkan semasa perbicaraan.

Semalam Hakim Mohd Nazlan membenarkan permohonan Najib untuk memanggil pakarnya sendiri atas alasan pihak tertuduh berhak mendapatkan dan mengetengahkan bukti-bukti yang relevan terhadap pembelaan yang dipilihnya.

Semasa perbicaraan sebelum ini, Najib membangkitkan persoalan berhubung ketulenan tandatangannya, memandangkan beliau mendakwa tidak pernah ditunjukkan salinan asal dokumen yang dipertikaikan itu.

Sebelum ini mahkamah telah menetapkan tarikh pemeriksaan sebelum 3 Feb.

Terdahulu semasa pemeriksaan balas oleh ketua pendakwaan Datuk V. Sithambaram, Najib tidak bersetuju dengan cadangan bahawa tindakan Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Mohamed Apandi Ali adalah salah apabila peguam negara itu membersihkan nama (Najib) daripada sebarang perbuatan salah berkaitan dengan RM2.6 bilion dipindahkan ke dalam akaun peribadinya pada persidangan media 26 Jan 2016.

Semasa ditanya oleh Sithambaram sama ada beliau berhasrat memanggil Mohamed Apandi sebagai saksi, Najib berkata perkara itu sedang dipertimbangkan ditimbangkan oleh pihak pembelaan.

Najib membela diri terhadap tujuh tuduhan menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta, yang terdiri daripada tiga tuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan yang berkaitan dengan dana SRC.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan bersambung 3 Feb dengan Sithambaram meneruskan pemeriksaan balas terhadap Najib.

Sebelum perbicaraan berakhir, Sithambaram mengucapkan terima kasih kepada Najib atas kerjasama semasa pemeriksaan balas dan mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua yang meraikan sambutan itu.

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan